Monday, March 22, 2010

CORAT CORET

AHLI POLITIK JADIKAN PARLIMEN PROGRAM 'TERJAH'

Bermulanya sesi parlimen pada Isnin lepas menyaksikan ahli-ahli politik menjadikan parlimen sebagai sebuah program 'Terjah' TV3. Dimulakan oleh Zahrain yang kononnya membongkar peristiwa 16 September di mana PR akan mengambil alih kerajaan setelah berjaya membawa ahli-ahli parlimen BN melompat ke PR. Selama berhari-hari sehingga hari ini parlimen membuang masa untuk mendengar pembongkaran kebusukan ahli-ahli politik ini. Parlimen sepatutnya menjadi tempat untuk membahaskan soal kepentingan rakyat, tetapi hari ini ia membuang masa dan duit rakyat untuk mendengar politik celaka ahli-ahli politik yang tidak bermaruah dan sibuk berbalah serta mencari salah lawan mereka tanpa lagi peduli soal kepentingan rakyat. Apa peduli rakyat dengan siasah busuk mereka untuk berkuasa itu. Soalnya sekarang mengapa ahli-ahli politik yang dungu di Malaysia ini tidak habis-habis berpolitik? Bukankah pilihanraya sudah berlalu? Ini adalah masa untuk bekerja demi rakyat. Tidak bolehkah tunggu PRU13 untuk ular-ular politik ini berpolitik? Peliknya di Malaysia ahli politiknya berpolitik setiap saat, sehingga rakyat menjadi tidak tahu bila masa mereka bekerja. Alangkah celakanya ahli politik di Malaysia ini!

Sunday, March 14, 2010

POLITIK

PKR DAN POLITIK BARU 2

Pada peringkat awal PKR dilihat sebagai medium ketiga politik yang membawa perjuangan politik baru; tidak berasaskan kepentingan kaum, menghapuskan rasuah dan penyelewengan kuasa, serta melahirkan sebuah Negara adil dan saksama. Namun gagasan ini terlalu umum dan tidak melihat secara terperinci hakikat masyarakat di Malaysia. Bahkan pada satu ketika ia menjadi pernyataan yang terlalu ideal, jika tidak satu utopia. Masyarakat di Malaysia wujud daripada sebuah kerangka politik consociational, iaitu kerangka politik yang lahir daripada warisan pentadbiran kolonial British. Kerangka politik ini melihat bahawa perbezaan antara masyarakat dapat dimanipulasikan untuk membina kestabilan politik. Fahaman ini lahir daripada kejayaan doktrin ’pecah dan perintah’ (divide and rule) dalam penguasaan empayar British terhadap hampir separuh daripada dunia. Masyarakat harus diletakkan dalam kotak-kotak yang tidak bersentuhan dan selalunya bertentangan. Mereka hanya dihubungkan oleh pemerintah dari segi keperluan sosial dan politik, dan kepentingan ekonomi. Model ini sangat sesuai untuk sebuah sistem ekonomi politik. Masyarakat dalam kotak-kotak ini bergerak bersama di bawah kerangka dan hala tuju yang dibawa oleh pemerintah, dan selalunya menuju ke arah matlamat ekonomi.

Sebuah parallel society atau masyarakat kotak-kotak ini dijauhkan antara satu sama lain untuk menjadikan mereka tidak memahami satu sama lain. Lebih daripada itu, mengelakkan wujudnya hubungan langsung tanpa melalui tangan golongan elit yang memerintah. Setiap hubungan antara kotak-kotak masyarakat (kaum) ini harus melalui wakil-wakil kotak (kaum), yakni elit-elit yang berada dalam ’pejabat’ pemerintahan. Maka hubungan bahkan hala tuju dan kehidupan masyarakat ditentukan oleh golongan elit ini. Pada masa yang sama masyarakat kotak-kotak ini menjadi formula utama kepada pengukuhan kuasa politik golongan elit. Golongan elit politik yang berkuasa pada bila-bila masa boleh memainkan sentimen perkauman atau perbezaan masyarakat untuk mendapat kredit kepada kuasa politik mereka. Kawalan terhadap masyarakat juga dapat dilakukan dengan mempergunakan faktor sentimen dan emosi. Dalam pada itu, segala bentuk penyelewengan dan kesalahan elit penguasa politik ini juga dengan mudah dapat ditenggelamkan dengan memainkan faktor sentimen perkauman ini.

Secara tidak langsung masyarakat diletakkan dalam keadaan curiga-mencurigai antara satu sama lain. Perasaan curiga dan tidak selamat ini menjadikan mereka sangat bergantung kepada elit penguasa politik. Keadaan ini akhirnya memudahkan elit penguasa politik memanipulasikan sentimen masyarakat demi kepentingan peribadi dan kelompok mereka. Namun dari satu sudut, keadaan ini juga mewujudkan satu ruang equalibrium dalam masyarakat. Sentimen ini akan menentukan had dan batasan seseorang dalam hubungannya dalam masyarakat. Maka setiap ahli masyarakat akan mengawal tingkah laku mereka atau ’ahli kotak’ mereka dalam memastikan ia tidak mengganggu sempadan kaum yang boleh mencetuskan suasana kacau yang akan mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan mereka secara keseluruhan. Maka di sini faktor politik juga akan terlibat untuk mengawal had dan batasan tingkah laku ahli masyarakat daripada mendatangkan kesan kepada kestabilan masyarakat keseluruhannya.

Apabila PKR muncul membawa gagasan politik baru, ia dibuat secara spontan berasaskan tindakan atau gerakan masyarakat yang bergerak spontan pada masa itu. Namun gagasan politik baru mengalami period yang sukar apabila melalui fasa pelaksanannya. Ini memandangkan pertamanya, gagasan itu berlaku secara spontan dan apabila diperinci ’hak dan sama rata’ itu tidak mungkin berlaku tanpa mengganggu status quo yang memelihara kestabilan masyarakat selama ini. Status quo hak istimewa orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan Malaysia. Status quo agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang mewujudkan kuasa mahkamah syariah di luar kuasa mahkamah sivil. Status quo institusi Raja-raja Melayu yang menentukan kuasa politik negeri di tangan orang Melayu serta kelulusan rang undang-undang dan kuasa terhadap institusi keselamatan negara. Hak dan sama rata tidak mungkin wujud antara semua kaum tanpa menghapuskan status quo orang Melayu. Maka politik baru akan menghabiskan seluruh masanya untuk berjuang menghapuskan status quo orang Melayu termasuk agama Islam dan institusi Raja-raja Melayu. Jika hal ini berlaku, Malaysia akan terhumban dalam kekacauan yang tidak berpenghujung.

Keduanya, gagasan politik baru yang berlaku secara spontan ini secara praktikumnya akan mengganggu kestabilan masyarakat yang wujud selama ini. Ini memandangkan bahawa asas-asas yang menjadi teras kepada perbezaan masyarakat masih kukuh berdiri sebagai tunjang pendiri masyarakat. Tembok-tembok yang memisahkan masyarakat sama ada yang kelihatan atau yang tidak kelihatan masih menjadi pagar yang menentukan tingkah laku ahli masyarakat dalam menjaga kestabilan masyarakat besar mereka. Jika masyarakat yang berbeza secara fundamental ini ingin dibersamakan dengan mengejut dan begitu sahaja; sudah tentunya ia akan menikam antara satu sama lain. Ia seperti kayu-kayu yang berpaku dicampakkan masuk dalam sebuah tong tanpa dibuang segala paku dan besi tajamnya – tentunya ia akan menikam dan memusnahkan satu sama lain. Seharusnya paku dan besi yang merbahaya dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu. Ia sama keadaannya dengan masyarakat kotak-kotak yang selama ini meletakkan paku dan pancang bagi menjaga sempadan dan keselamatan kotak masing-masing. Maka segala asas dan teras yang wujud selama ini sebagai ’mengawal’ sempadan atau kotak kaum masing-masing itu perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Politik baru memerlukan sebuah tindakan yang sangat reaksioner, terutama pergorbanan setiap bangsa dan kaum dalam membuang kepentingan diri dan kelompok masing-masing. Tetapi ini merupakan suatu bentuk pengorbanan yang tidak mungkin berlaku secara per se apabila ia melibatkan agama, adat resam, kepentingan bangsa-kaum – dan juga penguasaan masing-masing kaum terhadap bidang politik dan ekonomi. Apa yang berlaku dalam gagasan politik baru PKR dan PR sekarang ialah gerakan atau tindakan yang keliru dalam memastikan langkah paling tepat untuk menjaga kestabilan atau titik equalibrium masyarakat di Malaysia. Apa yang dilakukan oleh PKR ialah mengambil konsep dan pemikiran liberal Barat dalam membina kerangka politik baru khususnya dalam mencipta hak yang sama rata dalam masyarakat. Maka pelaksanaan doktrin politik baru dalam PKR sekarang dilihat lebih cenderung kepada pengurangan status quo orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan Malaysia.

Pertamanya, PKR yang tergabung daripada orang Melayu dan bukan Melayu melihat status quo orang Melayu dalam Perlembagaan ini sebagai camouflage kuasa politik UMNO. Maka itu PKR dan PR tidak dapat membezakan antara menyerang UMNO dan menyerang kepentingan orang Melayu khususnya status quo orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan, dan menjadi teras penting dalam kewujudan negara bangsa Malaysia pada hari ini. Pada masa yang sama PKR tidak bertindak secara menyeluruh atau sangat lambat dan lembap untuk bertindak secara menyeluruh mengurangkan status quo semua kaum secara sama rata yang menjadi tunjang politik lama sebelum ini. Maka status quo orang Cina seperti sistem pendidikan vernakular sekolah Cina, monopoli ekonomi kaum Cina dan sebagainya masih kekal dan semakin kukuh akibat serangan terhadap status quo orang Melayu.

Lantaran itu politik baru PKR dan juga Pakatan Rakyat DAP serta PAS kini menghadapi tentangan besar daripada orang Melayu. Bahkan ia akan muncul menjadi tentangan besar-besaran orang Melayu jika PR masih tidak dapat membezakan antara kepentingan orang Melayu dan kepentingan UMNO. Dari satu sudut, UMNO mempunyai kelebihan kerana status quo orang Melayu masih menjadi kubu kebal UMNO. Orang Melayu mungkin marah dan benci terhadap penyelewengan UMNO selama ini, tetapi ini bukan bermakna orang Melayu akan membuang dan menghapuskan status quo mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sehingga hari ini – kerana mereka mempunyai hak yang berdaulat ke atas tanah air mereka yang mereka miliki sejak ribuan tahun dahulu.

PKR dan PAS menghadapi masalah besar dalam konteks status quo orang Melayu ini; iaitu masalah buta sejarah dan buta politik!

Tuesday, March 9, 2010

FILEM




ORIENTALISME DAN NEO-ANIMISME DALAM AVATAR

Avatar dipropagandakan sebagai filem teknologi tinggi terhebat dekad awal abad ke-21, sehingga disebut sebagai sebuah filem epik sains abad baru. Filem yang memakan belanja lebih USD400 juta dan mengutip USD1.6 billion dalam masa dua bulan tayangan ini menerima hasil daripada pelaburan meganya apabila memenangi anugerah Filem Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-67 pada 17 Januari 2010 di California. Sementara James Cameron, pengarahnya menerima anugerah Pengarah Terbaik mengalah barisan pengarah filem The Hurt Locker, Inglourious Basterds, Preciuos dan Up in the Air. James Cameron sekali lagi menggegarkan dunia perfileman selepas filem Titanicnya. Avatar dihasilkan sepenuhnya oleh James dengan skrip dan arahan semua daripadanya. James adalah ’master and commander’ kepada Avatar. Kejayaan filem ini juga banyak bergantung kepada strategi dan belanja pemasaran yang sangat besar iaitu sebanyak USD150 juta.

Avatar adalah perkataan yang berasal daripada agama Hindu iaitu penjelmaan semula Dewa Visnu ke dalam bentuk rupa manusia atau makhluk di bumi. Dalam kitab Ramayana, Rama adalah penjelmaan Dewa Visnu. Terdapat 10 bentuk penjelmaan Dewa Vishnu yang disebut sebagai avatara ini. James Cameron menggunakan konsep dan falsafah penjelmaan Dewa Visnu ini dalam filem Avatarnya, dengan penjelmaan saintis manusia kulit putih ke dalam dunia kaum asli Na’vi melalui tubuh fizikal kaum Na’vi tersebut. Secara tidak langsung seperti meletakkan manusia kulit putih sebagai dewa yang menjelma ke dunia yang tidak bertamadun. Avatar membawa orientalisme kolot dunia Barat dengan kepercayaan ’white mens burdens’ dan ’self and others’nya. Segala masalah dan penyelesaian di dunia ini bahkan sehingga ke planet Pandora yang sejauh 4.3 tahun cahaya dari bumi itu terletak di bahu bangsa kulit putih. Ia mengulangi propaganda superioriti kulit putih seperti dalam cerita Tarzan, King Kong, Superman, Batman dan sebagainya.

Dalam filem Avatar digambarkan bagaimana kolonialisme baru Barat berlaku di planet Pandora. Syarikat penggalian yang di ketuai oleh Parker Selfridge mencari bahan galian bernilai tinggi di planet Pandora. Turut menyertai Parker ialah pasukan marin upahan yang dilengkapi senjata tempur termoden. Ekspedisi kolonial-kapitalisme ini membawa misi untuk mengaut sebanyak-banyaknya galian yang akan menjadi revolusi kepada sumber tenaga baru tersebut. Sepertimana misi kolonialisme di mana-mana pun, ia dimulai dengan membina hubungan dengan penduduk peribumi bangsa Na’vi, iaitu makhluk peribumi berkulit biru, setinggi tiga meter, hidup sebahagian daripada alam Pandora yang indah dan menyembah semangat alam yang dinamakan Eywa. Ekspedisi awal menghantar saintis Grace (Sigourney Weaver) untuk mengkaji bangsa Na’vi di samping memperkenalkan kemudahan moden untuk memikat kaum Na’vi.

Turut terlibat dalam misi kajian dan bantuan ini ialah Jake Sully (Sam Worthington) seorang askar marin lumpuh yang kebetulan terpilih kerana menggantikan abangnya seorang ’pemandu avatar’ yang mati sebelum misi berjalan. Oleh kerana hanya DNA Jake yang sama, maka dia terpaksa dibawa dalam misi avatar yang memakan belanja yang besar itu. Misi kumpulan Grace bersama Jake ialah berbaik dan kemudian memujuk kaum Na’vi berpindah dari Hometree. Ini adalah kerana di bawah Hometree itulah terdapat galian unobtarium yang sangat banyak. Apabila kaum Na’vi menolak untuk berpindah dan misi Grace gagal. Maka Parker melancarkan misi kedua iaitu menggunakan kekerasan melalui tentera marin untuk memusnah dan menghalau keluar kaum Na’vi dari Hometree.

Namun Jake Sully yang hidup bersama kaum Na’vi serta bercinta dengan puteri ketua puak Na’vi yang tinggal di Hometree telah mengambil keputusan nekad untuk bersama kaum Na’vi menentang Parker serta negaranya sendiri demi mempertahankan Hometree. Turut menyertai Jake ialah Grace dan kumpulan mereka yang simpati dengan kaum Na’vi dan menentang dasar kolonialisasi bangsa kulit putih mereka sendiri. Jake muncul sebagai watak luar biasa dan kemudian menjadi wira agung kaum Na’vi setelah berjaya menunggang Toruk iaitu seekor burung raksasa yang ganas. Penunggang Toruk sebelum ini ialah pemimpin lagenda bangsa Na’vi yang menyatukan bangsa Na’vi untuk menentang musuh. Kini ruh pemimpin lagenda itu menjelma dalam diri Jake Sully untuk menyatu dan memimpin bangsa Na’vi menentang musuh baru mereka iaitu kolonialisme kulit putih.

Jake Sully berjaya memimpin bangsa Na’vi dan menghalau keluar kolonial yang cuba menjajah Pandora untuk mendapat galian berharga. Jake Sully akhirnya meninggalkan tubuh manusianya dan wujud dalam tubuh makhluk Na’vi sepenuhnya dalam upacara mistik pemujaan terhadap Eywa. Filem ini adalah sebuah sains fiksyen yang memanfaatkan sepenuh-penuhnya teknologi sains untuk mewujudkan sebuah imaginasi menjadi sebuah realiti dalam filem. Sepertimana filem Hollywood yang lain, Avatar juga mengulangi klise Hollywood tentang superioriti kulit putih. Bangsa kulit putih menjadi penggerak dan pencetus kepada semua hal di alam semesta ini. Jake Sully hanyalah mengulangi watak ’Tarzan’ iaitu ’dewa kulit putih’ yang diturunkan kepada bangsa yang tidak bertamadun untuk menyelamat dan membawa mereka keluar dari penindasan atau kegelapan. Doktrin lapuk orientalisme dilontarkan kembali oleh James Cameron dalam bentuk yang sama tetapi hanya dibezakan oleh silap mata teknologi IMAX 3D nya.

Dalam pada itu, kegilaan kaum atheis dan pencari agama baru di Barat kini bukan sahaja menyebarkan fahaman tentang sains sebagai agama tetapi mula meneroka fahaman baru penolakan agama. Fahaman ini semakin tersebar sebagai sebuah fahaman yang bergerak sendirian tetapi akrab dengan pascamodenisme yang turut mengagungkan sains sebagai agama umat manusia pada era pascamodenisme. Fahaman ini ialah fahaman memuja alam sehingga mencetuskan perkembangan baru falsafah moden yang boleh disebut sebagai neo-animisme. Fahama neo-animisme ini menyatakan bahawa pemujaan terhadap alam dan semangat alam adalah agama asal dan asli manusia. Manusia adalah unsur alam yang wujud secara semulajadi tanpa ciptaan dan campur tangan Tuhan. Agama samawi atau teologi yang membawa fahaman tentang tuhan, tuhan yang esa dan sebagainya kemudian datang sebagai ’agama asing’ yang mencemari kehidupan manusia yang wujud secara semulajadi ini.

Neo-animisme yang berakar dari faham Darwinisme ini berkembang dari pemuka-pemuka atheis seperti Richard Dawkins dan Sam Harris. Secara tidak langsung sekarang berkembang ke dalam prinsip-prinsip kemasyarakatan moden seperti doktrin alam sekitar dan hak asasi manusia. Secara halus dan gradual prinsip-prinsip moden ini menolak agama (Islam khususnya) dengan memprojekkan kejumudan agama dalam menyumbang kepada ’kemusnahan fizikal dan filosofikal’ alam semulajadi serta hak asasi manusia. Faham ini juga membawa manusia kepada pemujaan kembali alam dan semangat alam serta menolak kekuasaan Tuhan (Yang Esa). Bahkan dalam banyak keadaan (fiksyen filem dan novel di Barat) agama dilihat sebagai sebuah unsur kaku yang tidak berperanan dalam kehidupan manusia. Bahkan sering diperlihatkan sebagai punca sikap dan tindakan jumud-melampau manusia.

James Cameron selain daripada menyogokkan faham kolot orientalismenya, dengan bijak memasukkan elemen fahaman baru neo-animisme tersebut melalui spektakular pandora dan Na’vinya. Secara tidak langsung ia mengungkapkan wacana pascamodenisme yang pertamanya mengaburkan realiti dan keduanya menolak agama samawi secara semu melalui faham pemujaan alam neo-animisme. Tidak hairanlah terdapat sektor agama Kristian yang mengutuk filem Avatar kerana membawa faham neo-animisme yang menolak secara halus prinsip ketuhanan agama samawi.

Milenia Muslim, Mac 2010

Monday, March 8, 2010

KALIMAT ALLAH DAN PR

Kata PKR dan PAS, isu kalimah Allah mainan UMNO. Tetapi kedua-dua parti ini gagal menangani mainan UMNO sehingga kepercayaan umat Melayu-Islam terhadap mereka kini luntur. Terbaru Fairus adun Penanti menyatakan kekesalannya terhadap pendirian PKR dan Anwar Ibrahim terhadap isu kalimat Allah. Sebelumnya juga Zulkifli Noordin. Soal kalimat Allah bukan soal politik atau siasah mengambil hati, tetapi soal pendirian terhadap perkara yang boleh bertolak ansur dan perkara yang tidak boleh untuk bertolak ansur. Mengapa PKR dan PAS tiba-tiba mahu bertolak ansur terhadap perkara yang tidak perlu untuk bertolak ansur? Isu kalimat Allah adalah pengajaran kepada PKR khususnya Anwar Ibrahim dan PAS untuk bertegas dalam soal Islam dan kepentingan orang Melayu. Ia bukan soal perkauman tetapi soal mempertahankan Perlembagaan demi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Jika isu kalimat Allah mainan UMNO ternyata PKR dan PAS telah gagal dan kalah dalam perlawanan ini. Dan mereka akan terus kalah kepada UMNO di atas ketidakcerdikan mereka (PAS dan PKR) dalam menangani isu kepentingan Islam dan Melayu.

Sunday, March 7, 2010

PKR DAN POLITIK BARU I

Parti Keadilan Rakyat tertubuh hasil daripada gerakan reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah dipecat dari UMNO dan Kerajaan oleh Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Secara de jure dikatakan wujud konspirasi politik terbesar dalam sejarah politik Malaysia dalam isu pemecatan Anwar Ibrahim ini. Apatah lagi ia dihadapkan dengan tuduhan liwat yang penuh kontroversi dan berakhir dengan hukuman penjara. Gerakan reformasi lahir oleh kerana kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pimpinan korup dan autokratik Mahathir Mohamad, di samping muak dengan pemerintahan oligarkisme Barisan Nasional yang semakin menekan kehidupan rakyat dengan sistem politik tiranikal mereka. Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dikatakan menentang autokratikisme Mahathir Mohamad menghadapi tindakan balas yang akhirnya telah menghancurkan karier politiknya di dalam UMNO. Kemarahan dan kebencian rakyat segera bersatu dengan faktor Anwar dan akhirnya menggerakkan gelombang reformasi yang menggoncang kerajaan BN.

Namun Kerajaan BN gagal ditumbangkan kerana masyarakat bukan Melayu khususnya masyarakat Cina tidak memberikan sokongan padu kepada gerakan reformasi yang mendapat sokongan begitu padu masyarakat Melayu. Masyarakat Cina berbelah bahagi untuk menyokong gerakan reformasi kerana melihat ia sebagai isu pergolakan politik Melayu, dan mengambil sikap berdiam diri demi menjaga kepentingan diri mereka. Kecuali beberapa orang individu seperti Tian Chua, sebagai pejuang hak asasi dan parti DAP yang melihat isu Anwar sebagai batu loncatan untuk meraih sokongan bagi menentang BN, masyarakat Cina mengambil sikap membiarkan orang Melayu berhempas pulas menentang penindasan BN di bawah Mahathir. Mereka hanya menunggu untuk melihat demi menjaga kepentingan mereka, dan mengambil sikap memihak kepada tindakan yang menguntungkan diri mereka. Faktor sikap masyarakat Cina antara sebab kegagalan gerakan reformasi yang berjuang untuk merubah keadaan politik Malaysia pada tahun 1998.

Senario politik yang berubah setelah Mahathir meletak jawatan, dan menyaksikan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menanggung kesan ekonomi yang teruk akibat kerakusan serta keborosan regim Mahathir telah memberi kesan yang teruk kepada masyarakat Cina. Akibatnya masyarakat Cina mula bertukar haluan untuk menyokong pembangkang. Sangat nyata keputusan politik masyarakat Cina di Malaysia yang pertama-tamanya adalah berdasarkan kepentingan diri dan kepentingan perkauman Cina mereka. Ini terbukti daripada rentetan senario gerakan reformasi dan tsunami politik PRU12, 8 mac 2008. Senario PRU12 menggabungkan perasaan tidak puas hati orang Melayu terhadap gejala politik rasuah dan menyelewengan yang membusuk di dalam BN, dengan perasaan masyarakat Cina yang lebih didorong oleh kesan ekonomi pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi. Sementara perasaan tidak puas hati masyarakat India terhadap MIC yang bekerja untuk tembolok pemimpin dan membiarkan masyarakat India di garis marginal bergabung untuk menentang BN.

Terlihat jelas bahawa PRU12 yang dikatakan membawa gelombang politik baru iaitu politik yang tidak berasaskan perkauman itu sendiri terbentuk oleh gerakan-gerakan yang berasaskan perjuangan perkauman. Masyarakat Cina melihat kesan ekonomi yang merugikan mereka (Cina per se) dan dominasi UMNO dalam BN yang bersifat Malay-centric. Begitu juga masyarakat India yang digerakkan oleh Hindraf yang muncul sebagai perjuangan ekstrim Hinduisme dalam konteks mengeluarkan masyarakat India dari garis marginal yang wujud hasil daripada sistem politik kepentingan kaum BN. Hindraf menyasarkan UMNO dan MIC sebagai punca kepada kemelaratan masyarakat India di Malaysia, termasuk mempertikai kerajaan British zaman kolonial yang melemparkan mereka ke Tanah Melayu tanpa pembelaan. Hindraf juga melihat politik Malay-centric UMNO sebagai musuh kepada perjuangan mendapat hak yang sama rata untuk semua kaum. Sementara masyarakat Melayu melihat kebusukan politik UMNO yang mempergunakan dasar memperjuangkan hak orang Melayu sebagai bumiputera diselewengkan untuk mengisi tembolok pemimpin UMNO dan melahirkan umnoputera.

Amatlah jelas bahawa penyatuan rasa politik rakyat yang menakung kebencian kepada Kerajaan BN adalah muncul dalam kotak-kotak pemikiran perkauman yang memaksa mereka untuk menerima antara satu sama lain demi mencapai tujuan politik kepentingan kaum masing-masing. Pada peringkat atasan dan pertengahan, hubungan pelbagai kaum lebih bergerak kepada perjuangan pemikiran liberal. Namun pada peringkat bawahan yang mengisi populasi terbesar rakyat, hubungan antara kaum adalah masih dalam bentuk hubungan yang palsu. Ia adalah hubungan yang dibentuk secara kosmetik yang masih dalam keadaan state of stable tension, dan mengikut telunjuk hasutan golongan elit yang berpengaruh dalam hirearki sosial kaum masing-masing. Politik baru pada hakikatnya hanya wujud sebagai sebuah teori dan digunakan sebagai retorik untuk mencapai tujuan politik yang masih sangat samar. Secara amali dan hakiki politik baru adalah sebuah dongeng moden masyarakat Malaysia.

PKR muncul sebagai sebuah parti atau ruang politik baru apabila parti-parti politik tradisi baik seperti UMNO, MCA, MIC, PAS dan DAP dilihat sebagai locus politik lama yang berasaskan perjuangan kepentingan kaum atau puak yang selalu disempitkan dengan pelbagai hal yang tidak mampu mengubah struktur politik Malaysia yang semakin berat dan hampir runtuh. Dari satu segi PKR boleh dikatakan muncul sebagai suara ketiga (middle ground) dalam senario politik Malaysia. Kemunculan PKR sebagai wadah suara ketiga itu akhirnya menjadi jambatan untuk menghubungkan parti chauvinis Cina DAP dan parti fundamentalis Islam PAS dalam menentang hegemoni BN di bawah regim autokratik UMNO. Pada masa yang sama PKR menjadi breeding ground kepada kemunculan suara golongan muda yang terbuka dan kritis dalam melihat situasi politik hari ini. Golongan muda ini menjadi penentang tegar segala bentuk hegemoni tua yang bertapak dalam kerangka besar struktur besar politik Malaysia.

Namun malangnya PKR diacu oleh kepentingan golongan liberal yang ingin mewujudkan sebuah kerangka politik baru yang kononnya tidak berasaskan perkauman atau bebas perkauman, dan meletakkan hak sama rata tanpa mengira kaum sebagai sebuah perjuangan suci politik baru mereka. Hal ini menjadi sebuah momok politik yang muluk pada peringkat awalnya. Tetapi lama-kelamaan apabila perjuangan untuk hak sama rata itu banyak menyerang kepentingan dan hak orang Melayu termasuk agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan, dasar politik PKR telah menjadi sebuah suara ketiga yang mengacu kepada kepentingan liberal dalam konteks kerangka pemikiran Barat. Pemimpin-pemimpin PKR khususnya Anwar Ibrahim sendiri bertukar menjadi pengunggul-pengunggul liberalisme Barat yang menghala kepada sistem politik sekular yang menentang mana-mana kepentingan dan kedaulatan penduduk peribumi.

Politik baru di tangan PKR dan Pakatan Rakyat berjuang untuk mengurangkan status quo orang Melayu termasuk hak bumiputera dalam peruntukan 152 dan 153 Perlembagaan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru, dan bahkan ketetapan dalam Agama Islam seperti isu murtad, kuasa mahkamah syariah, dan isu kalimat Allah. Tetapi malangnya status quo bukan Melayu seperti Sekolah Aliran Cina dan Tamil yang menjadi sebab utama polarisasi kaum dan gagalnya dasar kebangsaan tidak pernah berani diusik. Malah diperkuatkan lagi segala bentuk status quo bukan Melayu ketika status quo Melayu diserang habis-habisan dan dirobohkan satu demi satu. Pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR dan PAS memikirkan ia adalah satu siasah politik dalam menumbangkan Kerajaan BN. Tetapi tanpa mereka sedar, mereka sedang memperjudikan bangsa dan agama mereka demi sebuah matlamat politik yang sangat samar. PKR pada hari ini adalah sebuah gerakan reformasi Melayu yang ingin membawa keadilan kepada semua kaum di Malaysia; yang telah dirampas (hijacked) untuk menjadi breeding ground kepada perjuangan liberalisme yang dibangunkan atas kerangka pemikiran dan falsafah Barat – yang tentunya menolak kepentingan Melayu dan Islam dalam konteks politik Malaysia hari ini.

(bersambung)