Thursday, March 19, 2009

REVIU FILEM


MAUT BUKAN FILEM DAKWAH

Agak malang apabila pembikin-pembikin filem dengan mudah mengisytiharkan filem mereka sebagai filem dakwah. Ini memandangkan filem-filem tersebut jauh sekali daripada konsep dan pengertian dakwah. Sebuah filem yang bercerita tentang kesedaran setelah bergelumang dengan maksiat tidak semudah itu menjadi sebuah medium dakwah. Apatah lagi apabila ia secara terang-terangan melakukan adegan maksiat, tidak kira ia sebuah lakonan atau teknik filem; pemaparan secara terangan perlakuan yang mendedahkan aurat apatah lagi pemaparan perbuatan maksiat adalah tetap merupakan kerja munkar. Apabila ia mempamerkan aurat dan melakukan pula perbuatan bersentuhan lelaki perempuan bukan muhrim; ia secara langsung adalah perlakuan maksiat dan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan pengertian dakwah.

Perkataan dakwah dalam bahasa Arab bermaksud ‘seruan’. Seruan atau dakwah adalah dikaitkan dengan menyeru manusia kepada ajaran Islam. Dari segi prinsip dan definisinya, dakwah adalah seruan yang mengajak manusia melakukan perbuatan baik yang dituntut oleh syariat (ma’ruf) dan melarang serta mencegah daripada melakukan perbuatan yang melanggar syariat Islam (munkar). Dakwah amal ma’ruf nahi munkar ini disebut sebagai da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t. Sementara seruan yang tidak mencegah perbuatan munkar, bahkan mempamerkan perbuatan tersebut secara terang-terangan merupakan ‘dorongan’ untuk manusia melakukan kejahatan atau disebut al-fahsya iaitu ‘membenarkan’ segala larangan Allah s.w.t. Ia juga disebut sebagai seruan syaitan, kerana ia melibatkan pemaparan perbuatan tercela, menyeleweng dan membuka pintu maksiat.

Seseorang yang ingin mengisytiharkan filemnya sebagai sebuah filem dakwah harus memahami sedalam-dalamnya apa itu makna dakwah dan apakah syarat sesebuah perbuatan itu disebut sebagai dakwah Islamiah. Jika pengarah filem itu tidak faham dan jahil tentang pengertian ini, adalah lebih baik jika mereka tidak menyelewengkan perkataan ‘dakwah’ itu dengan semborono dan sesuka hati. Pengarah-pengarah seperti Raja Azmi, Syed Mohamad (Akhirat), Yasmin Ahmad (Mualaf) dan juga Bade lebih baik menghasilkan filem tanpa melibatkan ‘pengisytiharan’ filem mereka adalah filem dakwah, sebelum mereka memahami benar-benar apa itu amal ma’ruf nahi munkar secara perbuatan, penglihatan mahupun pendengaran.

Maut dengan judul asalnya Malaikat Maut adalah sebuah filem yang cuba-cuba menyampaikan seruan Islam dengan memperlihatkan balasan-balasan di dunia terhadap perbuatan-perbuatan munkar. Ia mewujudkan dikotomi hitam putih dalam membandingkan hukuman dan ganjaran hidup yang diperolehi manusia akibat perbuatan mereka. Tiga buah cerita yang digabungkan dalam sebuah filem cuba meletakkan perkaitan dengan turutan bulan Syaaban, Ramadhan dan Syawal. Cerita pertama berlaku dalam bulan Syaaban tidak banyak memberikan cetusan dikotomi hitam putih tersebut. Suriani (Liyana Jasmay) diseru ruh seorang gadis yang mati akibat teraniaya. Cerita ini tidak ada kejutan kecuali mempamerkan kisah yang banyak kali diulang dalam pelbagai filem.

Cerita Farah (Sabrina Hassan) yang berlaku dalam bulan Ramadhan memberikan dikotomi hitam putih kehidupan seorang peragawati yang berkahwin dengan lelaki Eropah itu Duke. Namun kehidupan Farah mengikut jalan yang salah. Segala perbuatan munkar dilakukan tanpa batasan. Minum arak, berparti, tidak sembahyang dan puasa dalam ertikata hidup lebih mengikut Duke daripada membawa Duke kepada Islam. Farah lari daripada Duke selepas pergaduhan dan menemui kemalangan. Dalam koma Farah didatangi pengalaman bawah sedar yang mengerikan berupa seksaan terhadap manusia yang mengingkari perintah Tuhan. Ceritanya tamat dengan kesedaran Farah.

Cerita ketiga tentang Jamil (Que Haidar) yang hidup dengan amalan black metal dan mencemuh agama. Termasuk mencemuh kitab suci al-Quran melalui dialognya dengan watak orang tua misteri. Jamil akhirnya kemalangan dan mengalami koma. Dalam koma pelbagai bayangan datang dan membalas semua perbuatan Jamil. Jenazah Jamil juga tidak diterima bumi. Cerita ini cukup memberikan dikotomi hitam putih dalam memperlihatkan ganjaran dan balasan terhadap perbuatan manusia.

Pada hakikatnya tiada yang istimewa dalam semua cerita yang ditampilkan dalam Maut. Semua cerita tersebut adalah salinan daripada cerita-cerita yang menjadi mitos dalam masyarakat Melayu. Sememangnya ‘mitologi’ ini cuba memupuk kesedaran tentang balasan terhadap perbuatan umat Islam yang mengingkari ajaran Islam. Kita mungkin dapat menerima bahawa mitos adalah suatu bentuk sistem kebudayaan yang melembagakan peraturan secara tidak langsung melalui dikotomi ganjaran dan balasan oleh setiap perbuatan manusia. Tetapi kita juga harus menyedari bahawa mitos bukanlah satu kebenaran agama atau dalam kata lain da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t. Ini adalah kerana syariat berpandukan al-Quran dan al-Hadis sedangkan mitos adalah sinkretisme agama dan budaya pra-agama.

Maka jika dilihat di sini wujud percampuran antara mitos iaitu kepercayaan masyarakat yang dibina daripada pengaruh Islam, tetapi bercampur aduk dengan unsur-unsur ‘karut’ kepercayaan masyarakat Melayu. Hal-hal ghaib dan misteri tidak boleh dijadikan asas kepada da’watu’l-haq kerana da’watu’l-haq secara mutlak berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Da’watu’l-haq tidak mencampuradukkan antara kebenaran al-Quran dengan kepercayaan yang tercipta daripada imaginasi manusia. Di sini wujud gambaran yang sangat jelas tentang da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t.

Penampilan gejala maksiat dan aksi separuh bogel serta peluk cium antara bukan muhrim, bahkan jika muhrim pun – mempertontonkannya adalah jelas satu perbuatan munkar. Apa yang dilakukan oleh pelakon dalam aksi peluk cium lelaki perempuan, lagak minum arak dan mendedahkan aurat tidak memberikan pengecualian daripada dosa amalan munkar. Apa yang dilakukan dalam filem ini walaupun adalah lakonan ia tetap adalah perkara munkar.
Maka tidak mungkin sebuah filem yang melakukan kemungkaran melalui aksi lakon tersebut dapat dikatakan sebagai sebuah filem dakwah. Filem dakwah sama sekali harus mencegah sebarang perlakuan yang melanggar syariat Islam. Dakwah bukan hanya pernyataan yang diluahkan atau diekspresikan tetapi adalah amalan dan tindakan amal ma’ruf nahi munkar daripada semua bentuk keadaan.

Bade mempunyai niat yang baik untuk menghadirkan sebuah filem yang cuba menyedarkan masyarakat. Tetapi cara dan kaedah yang dilakukan itu adalah salah, jika ia mahu dihubungkan dalam konteks dan pengertian dakwah. Paling penting untuk disedari di sini bahawa kepercayaan masyarakat Melayu berhubungan peristiwa ghaib dan misteri sama sekali tidak boleh diletakkan sebagai da’watu’l-haq yang berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Wajah dan penampilan yang dibawa oleh filem Maut, sama sekali tidak meletakkannya sebagai sebuah filem dakwah. Tanpa menafikan balasan dan ganjaran syurga-neraka yang diperolehi oleh manusia daripada perbuatan mereka, Islam tidaklah pula perlu mengangkat keajaiban imaginasi demi dakwahnya. Maut dalam hal ini hanyalah filem yang mengangkat mitos dalam masyarakat Melayu yang terbina daripada teras pengaruh Islam, tetapi bukan sebuah filem dakwah Islamiah.

DUNIA TANPA TIRAI


DEMOKRASI MENUJU KEKACAUAN

Pada tahun 594SM, seorang negarawan Athens, Solon telah dilantik menjadi Ketua Hakim (Arkon) Athens. Solon mula menyusun undang-undang dan memperkenalkan apa itu yang dipanggil demokrasi. Undang-undang dasar Solon membahagikan warganegara Negara Athens kepada empat kelas dan membentuk tiga dewan perwakilan. Pertama ialah Dewan Areopagus, sebuah lembaga yang paling disegani dan dihormati yang dianggotai oleh kaum bangsawan dan hartawan; juga merupakan para politikus. Kedua ialah Dewan Boule iaitu Dewan Empat Ratus, merupakan sidang daripada perwakilan keempat-empat kelas warganegara Athens. Ketiga ialah sidang umum iaitu Ekklesia yang merupakan sidang khusus untuk mendengar suara warganegara kelas empat atau rakyat umum.

Namun kerana pengaruh dan kuasa politik tetap dipegang oleh golongan bangsawan yang bersifat feudal, asas-asas demokrasi yang dikemukakan oleh Solon segera lenyap sebaik sahaja beliau keluar meninggalkan Athens. Pesistratos segera mengangkat dirinya menjadi tirani di Athens pada 560SM, dan memusatkan kuasa kepada dirinya serta kelompok bangsawan feudal yang menyokongnya. Suatu bentuk oligarki wujud di Athens sehinggalah muncul Cleisthenes pada 508SM yang kembali mengangkat demokrasi yang diperkenalkan oleh Solon. Tetapi jawatan penting dan berpengaruh masih dikuasai oleh golongan bangsawan.

Athens melalui zaman gemilang di bawah Pericles yang gigih membatasi kuasa dan pengaruh Dewan Areopagus (bangsawan feudal) dan membesarkan kuasa Dewan Boule dan Ekklesia. Demokrasi dikatakan semakin mantap pada zaman Pericles. Pada zaman Pericles inilah lahir dan membesar seorang ahli falsafah ulung iaitu Plato. Berlakunya Perang Peloponesos yang menyaksikan kekalahan Athens kepada Sparta, menjadikan Plato sebagai seorang yang sangat kritis terhadap sistem demokrasi. Plato melihat kekalahan itu sebagai akibat kegagalan sistem demokrasi untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian.
Apatah lagi demokrasi pada waktu itu diburukkan lagi dengan kemunculan kelompok tiga puluh tirani daripada kalangan bangsawan-oligarki yang mengeksploitasi demokrasi menjadi sistem diktator yang sangat kejam dan jahat. Bahana oligarki daripada 30 tirani inilah yang menghukum bunuh guru agung Plato iaitu Socrates. Kesan itu telah menjadikan Plato meletakkan tunggak falsafahnya kepada politik. Plato meletakkan Negara paling baik ialah Negara Aristokrasi yang diperintah oleh golongan terpilih iaitu ahli falsafah. Keduanya Timokrasi iaitu pemerintahan demi darjat, hampir sama dengan Aristokrasi. Ketiga, Oligarki yang timbul setelah kemerosotan Timokrasi, menyaksikan pemerintahan kelompok yang berpengaruh. Keempat barulah demokrasi yang memberikan kebebasan yang sedemikian rupa kepada warganegara. Kebebasan menjadi tidak terbatas sehingga wujudnya keadaan yang kelima iaitu Anarki, menyaksikan kekacauan akibat kebebasan yang menjadikan setiap orang mengambil serta mengatur diri sendiri sesuka hati mereka.

Di Malaysia, kita sekarang sedang melihat tahap transisi Demokrasi menuju kepada Anarki. Bermula dengan keghairahan Anwar Ibrahim untuk membina kerajaan Pakatan Rakyat dengan menarik wakil-wakil BN melompat parti memasuki PR, kini ia menular menjadi matlamat baru mencapai cita-cita politik kedua-dua pihak. Kerajaan Perak runtuh oleh tindakan tidak bermoral beberapa orang ADUN mengisytiharkan diri mereka keluar dari parti. Ia bermula dengan tindakan tidak bermoral ADUN BN sebelum ini yang melompat menyertai PKR. Terdahulu daripada itu Parti SUPP telah membuat olah dalam BN.

Semua keadaan ini memperlihatkan situasi tidak bermoral yang kini menjadi wabak menular dalam politik demokrasi di Malaysia. Kedua-dua pihak baik PR mahupun BN terjerumus dalam perlakuan tidak bermoral ini. Baik UMNO, komponen BN, PKR, PAS mahupun DAP semuanya melalui satu bentuk situasi yang dikatakan oleh Plato iaitu kegagalan sistem demokrasi untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian. Tidak ada parti pun yang mampu mengatakan mereka menjuarai nilai agama dan moral jika siasah mereka sudah tidak mampu lagi untuk meletakkan rasa hormat kepada kotak undi yang merupakan lambang kepada peraturan dan undang-undang yang melegitimasikan kuasa politik pilihan rakyat.
Tindak tanduk kedua-dua kuasa politik PR dan BN memperlihatkan bagaimana kegilaan politik mempersendakan kehadiran rakyat. Pujukan dan ‘pembelian’ wakil rakyat seolah-olah menjadikan rakyat seperti tidak wujud. Kuasa dicaturkan dengan ‘membeli dan memujuk’ wakil-wakil rakyat yang tidak bermoral dan tidak beretika ini demi membolehkan mana-mana pihak untuk berkuasa tanpa memerlukan kehadiran rakyat. Rakyat tidak membuat pilihan di sini. Tetapi sebaliknya parti dan pemimpin politik yang membuat pilihan untuk diri mereka dan parti mereka – dalam berkuasa terhadap rakyat.

Kerajaan Perak jatuh akibat kehancuran nilai etika, moral dan politik dalam sistem demokrasi di Malaysia. BN mungkin boleh dipersalahkan terhadap kehancuran demokrasi ini, tetapi PR yang begitu ghairah melobi melalui pemimpin utamanya Anwar Ibrahim juga sama buruk dan busuknya dalam memperlihatkan ketamakan untuk memperolehi kuasa dengan cara yang amat jelek dan tidak bermoral. UMNO melakukan hal yang jelek dengan menarik tiga ADUN PR, seterusnya menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat di Perak tanpa melalui proses demokrasi. Tetapi jika UMNO tidak melakukan, PKR juga antara parti paling ghairah untuk menjatuhkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi ini. Kini PR menerima bahana daripada tindakan yang mereka sendiri mulai.

Jika PAS ingin bercakap tentang siasah Islam, mereka terlebih dahulu merujuk kepada sejarah Perjanjian Hudaibiyyah di mana pihak muslimin mematuhi perjanjian untuk memulangkan orang kafir yang memeluk Islam kepada kaum mereka; kerana Islam mematuhi dan menghormati prinsip politik yang luhur. Tetapi di sini PAS juga bersekongkol dengan tindakan tidak bermnoral teman mereka dalam PR yang mencari strategi untuk mencapai matlamat politik tanpa melalui proses persetujuan rakyat.

Sepertimana yang dilihat oleh Plato, demokrasi pada peringkat akhir akan menjadi sebuah raksasa yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian – dan akhirnya terjerumus dalam anarki. Parti-parti politk yang semakin tidak bermoral di Malaysia kini dapat dilihat sedang membawa politik Malaysia ke era baru – era anarki. Kuasa dicapai dengan kebebasan pilihan individu dan bukan pilihan rakyat dalam prinsip kolektif, demokrasi.


Wasilah, 15-21 Februari 2009

Tuesday, March 17, 2009

DUNIA TANPA TIRAI

Sisa-sisa peninggalan UMNO yang tinggal untuk PRU13. Awan di atas gelap menandakan suramnya UMNO yang tinggal bendera dan bangku di bawah

UMNO DI HUJUNG TANDUK

Talcott Parsons seorang ahli sosiologi abad ke-20 mengatakan bahawa masyarakat tersusun daripada empat subsistem yang berbeza. Setiap subsistem ini mempunyai fungsi untuk memecahkan persoalan tertentu. Parsons menggambarkan empat subsistem ini dengan model teori AGIL, iaitu Adaptation, Goal, Integration dan Latent. Adaptation merujuk kepada cara sistem beradaptasi dengan dunia material dan memenuhi keperluan untuk bertahan hidup. Ekonomi adalah segala-galanya dalam subsistem ini. Goal adalah pencapaian tujuan. Subsistem ini berurusan dengan hasil daripada sistem dan kepimpinan. Politik menjadi tunggak utama subsistem ini.
Integration adalah penyatuan yang berlaku dalam subsistem dalam menjaga tata aturan masyarakat. Di sini institusi dan organisasi sosial yang menjaga tatanan sosial termasuk di dalamnya dan menjadi tunggak subsistem ini. Akhir sekali Latent atau patern maintenance and tension management, yang mengacu kepada keperluan asas masyarakat. Termasuk di sini ialah institusi yang berfungsi menghasilkan nilai-nilai budaya, menjaga kesatuan sosial dan mengekalkan nilai-nilai umum masyarakat.

Dalam sebuah pertubuhan contohnya, subsistem ini wujud dan saling memecahkan persoalan yang ada. Suatu bentuk etika yang diterapkan untuk mewujudkan nilai-nilai umum yang baik dan menjadi budaya yang mencerminkan keperibadian masyarakat diselesaikan oleh model subsistem L. Sementara peraturan yang wujud untuk menjaga kesejahteraan kolektif diselesaikan oleh model subsistem I. Matlamat yang menjadi tujuan penubuhan organisasi diatur dan disusun yang menampilkan peranan kuasa dicapai dalam model subsistem G. Dan keperluan material untuk menggerakkan pertubuhan diselesaikan oleh model subsistem A.

Sebenarnya tidak susah untuk memahami model ini berfungsi. Ia lebih melihat kepada bagaimana sesebuah organisasi atau institusi sosial itu memenuhi keperluan ahlinya iaitu masyarakat serentak dengan keperluan institusi itu sendiri. Keperluan untuk memenuhi tuntutan nilai (L) dan penyatuan ahli (I) melihat kepada keperluan ahli (masyarakat) sementara keperluan untuk memenuhi tuntutan matlamat politik (G) dan ekonomi (A) melihat kepada kepentingan organisasi atau institusi.

UMNO adalah sebuah parti politik yang mempunyai dimensi yang agak menarik untuk dilihat daripada model Parsons ini. Pada hari ini UMNO dilihat lebih berada dalam model subsistem A dan G, iaitu melihat semua penyelesaian hanya bergerak dan berfungsi melalui politik dan ekonomi. Sekaligus menjarakkan dirinya daripada melihat kepada keperluan masyarakat yang mencari nilai dan penyatuan melalui budaya dan keperibadian bangsa. Bahkan keperibadian UMNO sendiri. Dalam lingkaran makro iaitu hubungan dengan masyarakat di luar UMNO, penyelesaian kepada setiap persoalan dan matlamat perjuangan menuju kepada ukuran kejayaan yang berasaskan politik dan ekonomi. Sementara dalam lingkaran mikro iaitu hubungan berlaku sesama UMNO dan pihak-pihak dalam lingkarannya, kuasa dan wang adalah segala-galanya.

UMNO tidak mampu lagi untuk melihat bentuk penyelesaian selain daripada politik dan ekonomi. Penyelesaian dalam bentuk nilai dan kebudayaan dilihat tidak lagi wujud dalam UMNO. UMNO hanya melihat bahawa punca kepada pergerakan masyarakat ialah politik dan ekonomi. Nilai dan kebudayaan tidak lagi menjadi sumber aturan dan matlamat masyarakat. Sebaliknya ia dilihat sebagai sejarah kosong masyarakat yang disisihkan sama sekali dalam minda UMNO.

Apabila UMNO mengalami situasi kehilangan sokongan rakyat yang semakin parah, dapat dilihat bahawa politik dan ekonomi bukanlah lagi satu-satunya penentu corak pergerakan masyarakat. Sebaliknya nilai dan kebudayaan mula menunjukkan betapa penting penyelesaian yang dilakukan dalam skop dan konteksnya. Kegagalan UMNO melihat nilai dan kebudayaan sebagai faktor penyelesaian membuatkan timbulnya kegagalan untuk memahami keperluan masyarakat. UMNO lebih bergerak untuk melihat kepada kepentingan dirinya lebih daripada kepentingan masyarakat yang menjadi tujuan perjuangannya.

Gagalnya UMNO mempertahankan bahasa Melayu, sebaliknya melakukan tindakan buruk dengan menghapuskan bahasa Melayu melalui perjuangan Hishamuddin yang mempertahankan dengan ‘mati-matian’ PPSMI memperlihatkan bagaimana gagalnya UMNO memahami nilai dan kebudayaan sebagai keperluan masyarakat. Bahasa Melayu merupakan unsur penting kepada nilai dan kebudayaan yang membentuk struktur keperibadian masyarakat. Bahasa Melayu adalah salah satu bentuk nilai dan budaya selain daripada tradisi, kepercayaan, adat resam dan norma yang mendasari asas kepada pembentukan masyarakat.

Pada masa yang sama kegagalan UMNO untuk melihat penyelesaian dan pendekatan perjuangan yang keluar daripada tempurung sempit politik dan ekonomi atau kuasa dan wang, membuatkan UMNO menjadi sebuah kapal usang yang berat dan menunggu masa untuk tenggelam karam di dasar lautan. UMNO tidak mampu melihat penyelesaian dalam konteks nilai dan kebudayaan sebagai sebuah keperluan masyarakat, sebaliknya melihat semua keperluan dan keinginan adalah politik dan ekonomi. Apabila politik dan ekonomi ini tidak mampu lagi disediakan UMNO bagi memenuhi tuntutan keperluan dirinya dan masyarakat yang semakin bertambah, maka gelembung yang membuak itu akan pecah.

Pada keadaan sekarang dengan ekonomi dunia yang berada dalam keadaan yang teruk, ditambah lagi dengan segala bentuk masalah rasuah dan penyelewengan, tekanan ketidakpercayaan rakyat, serta kebangkitan gelombang pembangkang – UMNO menjadi semakin tidak relevan kepada rakyat. Bahkan pada satu peringkat menjadi liabiliti kepada masyarakat. UMNO tidak mungkin dapat berdiri dengan penyelesaian politik dan ekonomi lagi, kerana kedua-dua faktor itu tidak lagi dimiliki oleh UMNO atau berpihak kepada UMNO.

Waktu ini UMNO berada dalam keadaan yang sangat genting, seperti sebutir telur di hujung tanduk yang bila-bila masa akan pecah terburai. Kebencian rakyat terhadap kegagalan politik dan ekonomi UMNO, tidak mungkin dapat membantu UMNO untuk bangkit melalui politik dan ekonomi. Dari segi politik UMNO dilihat sebagai parti yang banyak berbohong, bermuka-muka dan menyelewengkan kuasa. Sedang dari segi ekonomi UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang dipenuhi rasuah, penyelewengan, pemimpinnya yang kaya raya, projek yang disalurkan secara kronisme, dan kekayaan melimpah ruah individu UMNO.

UMNO kemudian menjadi bertambah jauh daripada masyarakat apabila dilihat tidak lagi membangunkan nilai dan memperjuangkan budaya. Nilai dan budaya ini berhubung rapat dengan keperibadian masyarakat Melayu yang diwakili UMNO. Dalam mengejar matlamat politik dan ekonomi UMNO meninggalkan nilai dan budaya yang membina serta membentuk asas masyarakat Melayu. Bahkan dalam mengejar matlamat politik UMNO dilihat bermuka-muka sehingga meminggirkan kepentingan orang Melayu. Lebih buruk lagi UMNO kini telah menanamkan kebencian yang semakin membesar golongan budayawan dan intelektual-nasionalis Melayu dengan kegalakan UMNO memperjuangkan bahasa Inggeris dan membunuh bahasa Melayu di tangan Menteri Pelajarannya Hishamuddin Hussein, yang secara halus disokong oleh Najib sendiri.

Kegagalan UMNO mempertahankan sokongan politik dan ekonomi telah membentuk ‘kebencian’ di kalangan bukan Melayu dan sebahagian orang Melayu. Sementara kegagalan UMNO membentengi nilai dan kebudayaan Melayu dengan ‘pembunuhan’ bahasa Melayu serta keperibadian Melayu, atas asas kedaulatan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan (termasuk Islam) membentuk ‘kebencian’ di kalangan nasionalis dan budayawan Melayu.

Teori Parsons secara mudah memperlihatkan sistem yang semakin kucar kacir dalam tubuh UMNO, oleh ketidakseimbangan daerah material dan budayanya. Sementara kegagalan fungsi subsistem nilai dan budaya (pembunuhan bahasa Melayu oleh belati beracun PPSMI) dalam tubuh UMNO memperlihatkan UMNO sebagai sebutir telur di hujung tanduk.

Wasilah, 8-14 Februari 2009

REVIU FILEM


KINTA FILEM CINA MALAYSIA

Dalam dekad-dekad terakhir ini dunia perfileman Malaysia dilihat berkembang mengikut corak perkembangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Perkembangan terkini dalam dunia perfileman Malaysia ini menyaksikan munculnya filem-filem Malaysia yang bukan lagi berbahasa Melayu dan bukan lagi memperlihatkan Malaysia dari kacamata ‘kebangsaan’ yang berdiri dalam skop politik kebangsaan. Tetapi filem Malaysia yang menggunakan bahasa Mandarin, Inggeris dan juga Tamil dengan cerita-cerita mengikut kacamata ‘dunia etnik’ yang wujud di Malaysia, telah menampilkan ciri-ciri sub-etnik dan sub-budaya masing-masing dalam konteks Malaysia. Kewujudan filem Malaysia yang bukan berbahasa Melayu dan tidak bercerita tentang dunia Malaysia-Melayu adalah suatu bentuk pergerakan keluar subordinate daripada superordinate nya. Secara tidak langsung perkembangan filem ini memperlihatkan sifat masyarakat Malaysia yang bergerak secara semulajadi ke arah pengukuhan pecahan identiti kaum atau kelompok etnik masing-masing.

Secara semulajadi masyarakat di Malaysia berkembang ke arah hubungan integratif antara kaum yang memilih untuk kekal dalam identiti kaum masing-masing dan bukan berkembang ke arah hubungan asimilatif ‘satu bangsa satu identiti’ sepertimana yang dicitakan oleh idealisme politik kebangsaan. Kebangsaan tidak muncul sebagai ‘satu negara satu bangsa satu identiti’ sebaliknya muncul sebagai ‘satu negara pelbagai bangsa pelbagai identiti’. Pelbagai pandangan dan persepsi boleh sahaja muncul dalam melihat corak perkembangan masyarakat Malaysia ini. Namun tidak dapat dinafikan kepelbagaian ini adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Tidak dapat tidak masyarakat Malaysia harus mempunyai kesabaran serta kebijaksanaan untuk menguruskan kepelbagaian ini dalam konteks membina faedah dan manfaat bersama.

Filem Kinta di tangan CL Hor memperlihatkan corak perkembangan dekad mutakhir dunia perfileman Malaysia. Kinta menggunakan bahasa Cina sepenuhnya dengan pelakon-pelakon berbangsa Cina-Malaysia kecuali watak Penghulu Mat dan anak buahnya. Ia mengisahkan peristiwa sejarah kehadiran masyarakat Cina di Tanah Melayu yang dibawa masuk oleh British untuk mengerjakan lombong bijih timah. Kinta adalah sebuah kawasan lombong bijih timah di Perak. Pergolakan kaum pendatang Cina yang datang dari Tanah Besar China di kongsi (kawasan kawalan atau autoriti persatuan Cina yang menguruskan lombong bijih) memaparkan peristiwa yang tersendiri – penuh keperitan, penindasan, dan perebutan kuasa.

Filem ini dibina dalam bentuk filem aksi yang menampilkan pergaduhan menggunakan teknik-teknik kung fu wushu yang boleh dikatakan agak menarik. Walaupun teknik aksi pergaduhan ini adalah carbon-copy daripada teknik filem aksi China, Taiwan dan Hong Kong (contohnya filem lakonan Jet-Li), namun latar cerita serta wataknya menjurus kepada keperibadiannya (Malaysia) yang tersendiri. Kinta menampilkan pelakon-pelakon aksi yang merupakan jaguh-jaguh wushu dan tai chi yang pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa; seperti Robin Ho, Michael Chin, Kuan Fei Jun dan Shawn Lee. Dengan mengambil kepakaran David Bao iaitu jaguh tai chi dunia dari China untuk kereografer seni mempertahankan diri, aksi-aksi seni mempertahankan diri yang ditampilkan dalam filem Kinta ini boleh dikatakan berjaya menampilkan adegan pertarungan yang menguja penonton. Lakonan para pelakon, walaupun nama baru khususnya empat orang watak utama tidak terkecuali antagonisnya dilihat tidak kekok dan berjaya membawa watak dengan baik.

Kinta mengisahkan peristiwa pengambilalihan kuasa di lombong bijih yang dilakukan secara tipu helah dan kekerasan, apabila Kumpulan He De yang diketuai oleh Zheng Hong bersepakat dengan kumpulan kongsi gelap untuk mengambil alih kuasa daripada pimpinan Li Tian. Zheng Hong mengarahkan dua orang kanannya membantu kongsi gelap tersebut untuk menghapuskan Li Tian dengan semua anak buahnya. Namun Li Tian dan empat orang orang kanannya iaitu Dragon, Tiger, Ace dan Blaze terlepas. Li Tian bersama empat orang anak buahnya ini diselamatkan oleh Penghulu Mat dan bersembunyi sehingga pulih daripada kecederaan. Dragon, yang termakan hasutan Zheng Hong mengkhianati mereka dan akhirnya bersama orang kanan Zheng Hong membunuh Ace secara tipu helah. Akhirnya Li Tian bersama Tiger dan Blaze kembali ke lombong bijih untuk menuntut bela.

Agak menarik Kinta mengambil kisah sejarah awal kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu yang dibawa untuk mengerjakan lombong bijih timah di bawah sistem Kangcu. Sistem ini menyaksikan penguasaan kongsi-kongsi gelap dalam mengawal perusahaan melombong bijih bagi pihak Inggeris. Filem ini dipenuh adegan pertarungan, yang dibuat untuk keperluan komersil bagi membolehkannya dijual di luar negara. Walaupun ia menumpukan ceritanya pada pergolakan yang berlaku di lombong bijih di bawah sistem kangcu tersebut namun kemunculan Penghulu Mat memperlihatkan hubungan pendatang-pendatang Cina dengan penduduk tempatan, iaitu bangsa Melayu.

Setelah diselamatkan oleh Penghulu Mat, empat sekawan tersebut dibawa oleh Penghulu Mat untuk membina kembali kekuatan diri mereka. Falsafah damak, iaitu senjata kecil boleh membunuh lawan yang lebih besar memberi semangat dan harapan baru kepada empat sekawan ini untuk menuntut bela. Walaupun Dragon mengkhianati mereka, namun mereka akhirnya berjaya menuntut pembalasan.

Jalan cerita filem ini kelihatannya agak lemah. Mungkin imbas kembali yang cuba menceritakan semua kenangan empat sekawan tersebut menjadikan ceritanya agak berjela. Walaupun ia cuba menghubungkan setiap kenangan empat sekawan tersebut dengan keseluruhan cerita atau peristiwa yang berlaku, namun terlihat banyak kelonggaran yang wujud. Kisah percintaaan dua watak utama menjadi tergantung begitu sahaja, begitu juga dengan kesudahan cerita yang tidak memperihalkan apa yang berlaku terhadap Zheng Hong dan kongsi gelap tersebut. Lantaran terlalu tergoda untuk menimbulkan adegan pertarungan, filem ini dilihat banyak mengabaikan kekuatan cerita dan plotnya. Agak malang cerita yang mampu mengeksploitasi dimensi sejarah yang menarik itu tidak dimanfaatkan dengan baik.

Secara keseluruhan Kinta memberikan dimensi baru kehadiran filem-filem Cina Malaysia. Walaupun sebelum ini telah ada beberapa filem cereka termasuk filem seram yang ditayangkan di pawagam, begitu juga dengan filem-filem pendek Cina Malaysia, namun kehadiran Kinta dilihat lebih memberi kesan. Kehadiran filem Cina Malaysia bukanlah perkara baru kerana pada tahun 1960 sebuah filem berbahasa Cina telah dikeluarkan di Singapura (Singapura masih dalam Malaysia). Filem yang berjudul Lion City keluaran Cathay Keris yang menampilkan Thung Pak Chee. Pada tahun 1962 Cathay Keris mengeluarkan sebuah lagi filem Cina tempatan Cast The Same Shadow. Kedua-dua filem ini gagal mendapat sambutan dan membuatkan Cathay Keris tidak mahu lagi mengeluarkan filem Cina tempatan. Jika dilihat, beberapa filem Cina tempatan tidak terkecuali Kinta kurang mendapat sambutan. Tidak tahu apakah filem-filem Cina tempatan ini akan terus dikeluarkan atau mengulangi sejarah lamanya dahulu.

Pada masa dahulu filem-filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu tidak dianggap sebagai filem Malaysia hatta oleh pengeluar dan pengarah filem bukan berbangsa Melayu pada masa itu. Namun dalam keadaan sekarang cita-cita kebangsaan yang wujud pada suatu ketika mungkin sudah bertukar rupa, jika tidak pun telah menemui kegagalannya. Namun walau apa persepsi dan pandangannya, dunia perfileman Malaysia mungkin harus mula melihat bukan sahaja untuk menyeimbangkan antara cita-cita kebangsaan dengan cita-cita identiti kaum tetapi lebih daripada itu mencari jalan tengah untuk mewujudkan sebuah dunia perfileman Malaysia, yang mungkin bersifat majmuk tetapi wujud keharmoniannya yang tulen (bukan palsu).
Lebih daripada itu, kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia telah gagal dalam pembentukan sebuah negarabangsa. Untuk itu kita perlu menerima hakikat kepelbagaian dalam konteks integratif tersebut.

Millenia Muslim, Mac 2009

DUNIA TANPA TIRAI


MENUNGGU KATA DARI TUHAN

Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah masuk minggu ke-3. Bermula dengan serangan udara pada 28 Disember 2008, kini Israel melancarkan serangan darat besar-besaran untuk menakluki Gaza dan menghapuskan Hamas. Sehingga hari ini negara-negara Arab masih berdiam diri menyaksikan masyarakat Arab Palestin disembelih oleh askar-askar Israel. Israel dan Palestin dikelilingi negara-negara seperti Syria, Jordan, Mesir dan Arab Saudi. Sama ada dunia melihat betapa pengecut dan lemahnya pemimpin-pemimpin Arab, atau melihat kesan trauma kekalahan Mesir, Syria dan Jordan dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 di tangan Israel dengan bantuan Amerika Syarikat dan Eropah. Kekalahan Arab dalam perang ini menyaksikan pendudukan Israel terhadap wilayah Mesir di Sinai, Jordan di Tebing Barat dan Syria di Bukit Golan.

Mesir, Jordan dan Syria memperolehi kembali wilayahnya yang jatuh ke tangan Israel itu setelah melutut kepada AS. Ini berlaku selepas Perang Yom Kippur Arab-Israel pada tahun 1973. Namun penduduk Palestin terus berjuang menentang Israel. PLO yang ditubuhkan pada tahun 1964 menghadapi perang besar dengan Israel pada tahun 1978, yang menyaksikan Menahem Begin Perdana Menteri Israel melancarkan Operasi Litani untuk menguasai selatan Lebanon yang diduduki pejuang PLO. Operasi ini kemudian diikuti operasi yang lebih besar iaitu Operasi Salam Aljalil menggunakan senjata canggih AS ke atas Lebanon untuk melumpuhkan PLO.

Penjarahan Israel ini menyaksikan 30,000 orang Palestin terkorban dengan 75,000 orang cedera. Bandar dan pekan di Selatan Beirut hancur dimusnahkan tentera Israel. PLO bersetuju untuk keluar dari Lebanon dengan syarat keselamatan masyarakat Palestin dijamin. Setelah PLO keluar, Israel di bawah arahan Ariel Sharon telah melakukan penyembelihan beramai-ramai di kem pelarian Palestin Sabra dan Shatila pada 16 September 1982. AS dan negara Barat hanya berdiam diri.

Trauma selama 60 tahun penjajahan zionis Israel iaitu sejak tahun 1948 yang menyaksikan kekalahan bangsa Arab – baik negara Arab mahupun pejuang Palestin dalam menghadapi konflik ketenteraan dengan Israel yang disokong AS, membuatkan negara Arab berdiam diri. Mitos kepada kemenangan Israel-AS ini ialah kehebatan teknologi persenjataan Israel-AS. Namun mitos ini sedikit tercalar oleh kejayaan Hizbollah mengekang kesombongan Israel pada tahun 2006.

Kepercayaan bahawa teknologi persenjataan moden adalah faktor mutlak kemenangan perang sebenarnya adalah mitos belaka. Jika kita kembali kepada zaman kelahiran Islam yang dipimpin oleh Baginda Muhammad Rasulullah s.a.w, orang-orang Islam Arab tidak pun mempunyai teknologi persenjataan moden sehebat Rom mahupun Parsi. Bahkan boleh dikatakan nisbah teknologi persenjataan yang dipunyai oleh orang-orang Islam masa itu berbanding dengan Rom dan Parsi adalah lebih kecil serta rendah tahapnya jika dibandingkan dengan nisbah persenjataan negara-negara Arab masa ini berbanding Israel-AS.

Tetapi mengapa Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjaya mengalahkan kerajaan Rom yang boleh dikatakan AS pada masa itu. Bukan itu sahaja, umat Islam dalam masa yang sama turut mengalahkan Parsi di Timur. Mengapa ini boleh berlaku? Ini adalah kerana gerakan Islam itu berlangsung secara amat konsisten, iaitu mujahadah yang sangat kuat dan berterusan dalam memperjuangkan agama Islam. Lebih daripada itu, matlamat utama umat Islam ketika itu ialah Islam; dan bukannya kepuakan, mazhab dan kepolitikan diri seperti sekarang.

Kemenangan Yahudi Israel dan AS serta musuh Islam ialah kerana sifat konsisten dalam memperjuangkan survival mereka untuk menguasai bangsa Arab serta umat Islam. Hanya terdapat 12,000 orang Yahudi di Palestin pada tahun 1870. Pada tahun 1914, populasi Yahudi meningkat kepada 54,000 orang iaitu 8% daripada keseluruhan penduduk Palestin iaitu 680,000 orang. Selepas konflik 1948, 900,000 penduduk Palestin menjadi pelarian kerana dirampas tanahnya oleh Yahudi yang telah menubuhkan negara Israel. Yahudi seterusnya menduduki 28% tanah penduduk Palestin di bawah resolusi yang diluluskan oleh PBB. Setelah tertubuhnya Israel, negara haram itu merangkumi 79% daripada tanah orang Arab Palestin yang dirampas – di hadapan mata PBB.

Hal ini memperlihatkan betapa konsistennya pergerakan Zionis Israel dalam menghancurkan orang Arab dan Islam di situ. Selama 60 tahun, Zionis Israel tidak pernah kehilangan walau seinci tanah yang dirampas mereka (kecuali pendudukan sementara yang tidak menguntungkan di Sinai, Tebing Barat dan Bukit Golan), sebaliknya menambahluaskan kekuasaan mereka. Dalam era kekuasaan teknologi maya di mana kekuasaan bukan bergantung kepada keluasan tanah sebaliknya pengetahuan, teknologi dan modal – Israel menghentikan perluasan tanah sebaliknya menggantikanya dengan kecanggihan teknologi dan kekuatan modal melalui jaringan ekonomi dunia. Israel seterusnya mempelopori penubuhan dan kebangkitan kekuasaan negara maya.
Namun kekuatan dan kelebihan Israel ini memperolehi segala bentuk kecanggihan teknologi dan kekuatan modalnya adalah kerana sikap konsisten mereka terhadap perjuangan Zionisme. Sedang negara-negara Arab dan negara Islam yang bertebaran di serata di dunia tidak terkecuali bangsa Palestin bukan sahaja tidak mempunyai perjuangan yang konsisten tetapi juga tidak mempunyai matlamat yang kuat dan jelas. Masyarakat Palestin berpecah kepada Hamas dan Fatah kerana sikap tidak konsisten kepada perjuangan utama mereka membuatkan timbulnya politik yang melihat kepada kepentingan puak lebih daripada kepentingan Islam.
Lalu ketika suasana aman, mereka lebih menumpukan kepada pengukuhan politik kepuakan ini daripada mengukuhkan persekutuan mereka untuk membina kekuatan melawan Israel. Begitu juga dengan negara-negara Arab di sekeliling Israel, ketika suasana aman mereka langsung melupakan ancaman senyap Israel-AS dan sibuk menindas musuh politik yang terdiri daripada saudara seagama dan sebangsa mereka sendiri. Tetapi tidak begitu dengan Israel, ketika suasana aman mereka menggunakan luang masa tersebut untuk membina kekuatan persenjataan, kekuatan ekonomi dan hubungan diplomatik dengan sahabat-sahabat AS. Israel secara konsisten mengukuhkan dirinya dan secara konsisten merancang penaklukan ke atas Arab dan Islam. Tanpa pernah rehat dan lupa tujuan Zionisme mereka.
Mengapakah Islam pada era Rasulullah s.a.w dan para sahabat dahulu dapat mengalahkan musuh Islam yang lebih besar dan canggih segala-galanya itu? Ia adalah kerana sikap konsisten umat Islam untuk menyebarkan Islam. Umat Islam pada masa itu tidak pernah meletakkan batas dan had terhadap usaha syiar dan dakwah mereka, apatah lagi ia diperkukuhkan oleh semangat jihad Islam (bukan semangat jihad mazhab dan kepuakan yang palsu). Umat Islam pada masa itu merupakan umat yang sangat terorganisasi, teratur dan konsisten dalam tindak tanduk perjuangan Islam mereka. Mereka tidak pernah leka terhadap musuh sebagaimana mereka tidak pernah leka mengerjakan hukum dan perintah Allah s.w.t.

Umat Islam pada masa ini adalah sebuah umat yang besar tetapi tidak terorganisasi, kucar kacir dan tidak konsisten; serta melebihkan emosi daripada akal. Tindakan boikot barangan AS contohnya hanya dilakukan secara jangka pendek dan tidak bermatlamat. Jika tindakan boikot ini dilakukan dengan konsisten, juga meletakkan matlamat jangka panjang untuk menggantikan barangan impot dengan barangan tempatan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Jepun dan Korea, kini diikuti oleh China – yang sangat mementingkan barangan tempatan. Sudah tentunya selama 60 tahun tersebut, negara-negara Islam bukan sahaja telah memusnahkan pasaran AS di negara-negara Islam tetapi juga telah dapat membina ekonomi mereka yang mandiri.

Tetapi seperti yang sedia maklum, tindakan umat Islam adalah tindakan yang beremosi melulu dan bersifat trendy. Setelah nanti Gaza dijajah Israel dan keadaan dunia ‘diamankan’ dengan propaganda AS, umat Islam akan kembali semula dalam gua-gua dan kepompong buruk mereka.

Kita melihat emosi yang meluap-luap untuk seminggu dua ini, tetapi ia tidak lebih daripada tindakan ‘melulu jangka pendek’ umat Islam dalam menyalurkan sikap tidak rasional mereka. Jika tidak ada tindakan yang konsisten untuk perancangan selama seratus tahun atau paling kurang 50 tahun untuk melemahkan Yahudi-AS – kita tidak perlu bercakap tentang boikot atau perang. Tunggu sahajalah ketentuan daripada Tuhan.


Wasilah, 25-31 Januari 2009

Monday, March 16, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


KEKEJAMAN ZIONIS MEMBUKA 2009

Tahun baru disambut meriah dengan bunga api di seluruh dunia. Tetapi di Gaza zionis Israel menyambutnya dengan bunga api bom dan peluru yang tidak putus-putus terhadap wilayah Palestin yang terhimpit dikepung sejak sekian lama. Apa yang dilakukan Israel bukan kerana disebabkan oleh serangan roket Hamas yang tidak lebih daripada ‘bunga api’ itu, tetapi sesuatu yang memang telah dirancang secara sulit sejak sekian lama. Israel telah lama melihat kebangkitan dan perkembangan Hamas dengan penuh cemas. Selepas memenangi pilihanraya Palestin pada 25 Januari 2006, Hamas menjadi pertubuhan politik yang mempunyai kuasa secara sah dan pengiktirafan dunia sebagai pihak pemerintah Palestin. Hal ini amat menggerunkan Israel, apatah lagi Hamas yang dilabelkan sebagai pertubuhan pengganas oleh Israel, AS, dan Eropah itu kini menjadi sebuah pertubuhan yang mempunyai kuasa yang sah ke atas sebuah negara sepertimana negara lain.
Isreal telah lama mempunyai rancangan untuk memusnahkan Hamas. Tindakan Israel mengepung dan menutup laluan di Gaza adalah satu provokasi untuk mencetuskan perang dengan Hamas. Provokasi demi provokasi yang dilakukan oleh Israel termasuk pengepungan hingga menjadikan penduduk Palestin kebuluran akhirnya membawa kepada tindak balas Hamas. Bedilan roket yang dilakukan Hamas setelah tamatnya tempoh enam bulan gencatan senjata menjadi alasan kepada Israel untuk menyerang Palestin dan melumpuhkan Hamas. Jika Hamas tidak bertindak pun, Israel ternyata akan terus melakukan provokasi terhadap penduduk Palestin dan Hamas sehingga mereka mendapat alasan untuk menjarah Palestin.

Hamas adalah singkatan daripada Harakat al-Muqawamat al-Islamiyyah iaitu Pergerakan Perjuangan Islamiyyah (Islamic Resistance Movement) yang ditubuhkan pada 1987 oleh Sheikh Ahmed Yassin, Abdel Aziz al-Rantissi dan Mohammad Taha pada era pelancaran intifada yang pertama. Hamas terlibat dengan pergerakan bersenjata menentang zionis Israel termasuk tindakan pengebom berani mati dan serangan gerila terhadap tentera Israel. Serangan bersenjata Hamas dilakukan oleh sayap militannya iaitu Briged al-Qassam yang ditubuhkan pada tahun 1992, sempena nama pemimpin pejuang Palestin yang dibunuh oleh British pada tahun 1935 iaitu Izz ad-Din al-Qassam.

Namun lebih penting lagi, Hamas mendapat kepercayaan dan sokongan padu penduduk Palestin kerana pelaksanaan program-program sosialnya seperti menubuhkan hospital, sekolah, perpustakaan, termasuk biasiswa untuk anak Palestin menuntut di institusi pengajian tinggi di luar negara. Program sosial Hamas berkembang di seluruh Tebing Barat dan Gaza. Hamas berjuang untuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan aman dengan penduduk pelbagai agama baik Islam, Kristian mahupun Yahudi. Hamas meletakkan prinsip untuk tidak memusuhi mana-mana agama ataupun kaum, melainkan memperjuangkan hak yang adil untuk bangsa Palestin. Lantaran itu Hamas tidak boleh menerima kewujudan Israel yang dibina di atas cita-cita Zionisme yang bertujuan untuk merompak dan menjajah hak bangsa Arab dan bangsa yang lain.

Prinsip dan perjuangan Hamas sebenarnya menyaksikan kebangkitan yang bukan sahaja mengancam Israel tetapi juga negara-negara Arab monarki dan ditaktor. Prinsip perjuangan Hamas yang meletakkan kepentingan rakyat di tempat utama dilaksanakan dengan program-program sosial yang dilakukan dengan sukarela untuk menyediakan kemudahan secara percuma itu telah menunjukkan kecenderungan terhadap amalan Islam yang sebenar. Berbeza dengan pemimpin-pemimpin Arab yang bergelumang dengan rasuah, kekuasaan, dan kemewahan; pemimpin-pemimpin Hamas sejak dari zaman Sheikh Ahmed Yassin adalah pejuang-pejuang barisan hadapan yang sentiasa berhadapan dengan maut.

Pada 17 Jun 2008 dengan perantaraan Mesir, Hamas telah mengadakan gencatan senjata selama enam bulan dengan Israel. Pada 5 November 2008, gencatan senjata telah dicabuli oleh pihak Israel dengan alasan menemui terowong yang digali Hamas ke wilayah Israel. Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak meluluskan tindakan ketenteraan iaitu Operasi Cast Lead yang menyaksikan tindakan bersenjata dan pengepungan di wilayah Palestin di Gaza. Kepungan ini telah meletakkan penduduk Palestin bukan sahaja dalam keadaan yang sukar sehingga membawa kepada kebuluran tetapi lebih daripada itu meletakkan sebuah wilayah Palestin dalam penjara besar Israel. Lebih malang lagi, Mesir juga turut bertanggungjawab menutup sempadannya kepada penduduk Palestin.

Ini membuatkan Hamas mengisytiharkan tamatnya gencatan senjata dengan Israel dan mula melancarkan serangan roket terhadap Israel. Hamas sebenar didesak untuk melakukan serangan tersebut oleh Israel dengan perancangan bersama daripada Amerika Syarikat. Lantaran itu negara-negara Arab di sekeliling Israel dan Palestin itu tidak melakukan apa-apa bahkan membiarkan penduduk Palestin disembelih kerana tangan AS telah bergerak secara halus dan senyap. Apa yang dilakukan oleh Israel terhadap Hamas adalah kaedah yang sama dilakukan oleh AS terhadap Iraq. Menjalankan kepungan sehingga musuh menjadi lemah dan akhirnya menyerang, menghancurkan lalu menakluki. Israel sekarang menjalankan fasa keduanya iaitu menyerang dan menghancurkan Hamas. Ia akan berakhir dengan fasa ketiga iaitu menakluki Palestin.

Namun kenyataannya, Israel tidak mungkin dapat mencapai cita-citanya semudah itu. Pengajaran daripada pertempuran dengan Hizbollah dahulunya cukup untuk membayangkan betapa kekuatan senjata AS Israel itu bukanlah pemutus dan penentu segalanya. Hamas sepertimana Hizbollah mempunyai kelebihan dan kekuatannya yang tersendiri. Apa yang pasti, kekejaman zionis Israel ini akan membangkitkan fasa baru gerakan militan Islam.

Secara umum, sememangnya AS mahu menarik dan mewujudkan fasa baru gerakan militan Islam ini kerana dalam konteks Bushisme, gerakan militan Islam ini adalah unsur binari yang memperbolehkan AS melanjutkan gerakan ketenteraannya di seluruh dunia khususnya di negara-negara Islam. Dunia akan melihat bahawa AS tidak mungkin akan melibatkan dirinya dalam sebarang konflik ketenteraan memandangkan kejatuhan ekonominya sekarang. Namun sejarah telah menunjukkan bahawa masalah ekonomi yang teruk selalunya memerlukan negara-negara besar mencari saluran eskapisme untuk mengalihkan perhatian rakyat serta tumpuan dunia kepada masalah yang lebih besar daripada kelemahan mereka (akibat ketamakan dan penyelewengan) dalam menguruskan ekonomi. Eskapisme dan objek pengalihan ini tidak lain dan tidak bukan ialah perang!

Tindakan ketenteraan Israel yang zalim ini pertamanya memberi keuntungan kepada Israel dalam menghadapi kebangkitan Hamas. Keduanya pula memberi keuntungan kepada AS dalam menghadapi malapetaka ekonomi yang sedang menghancurkannya. Ini adalah kerana selain mengalihkan objek tumpuan (daripada ekonomi kepada perang), AS juga dapat melancarkan gerakan ketenteraan yang bersepadu untuk menguasai sumber-sumber ekonomi dunia khususnya di negara-negara Islam dan seterusnya memulihkan keadaan ekonominya. Ia bukan sahaja bertindak secara langsung tetapi lebih cenderung untuk mewujudkan kesan psiko-ekonomik secara tidak langsung, yang dapat menstimulasi dan mensimulasi kertas-kertas dalam ekonomi kasinonya untuk menjadi bernilai kembali.

Sukar untuk memahami bagaimana perang yang besar, kejam dan buas ini dapat memberikan kesan balikan terhadap negara yang sedang menghadapi kehancuran oleh kejatuhan ekonominya. Tetapi sejarah Perang Salib dan Perang Dunia Pertama serta Kedua telah membuktikan bagaimana dunia Barat yang gelap dan runtuh itu menggunakan perang yang besar untuk menyelamat dan membawa mereka ke dunia baru yang cerah.

Jika kita masih ingin melihat Obama sebagai superhero yang muncul untuk menyelamatkan dunia – lupakanlah! 2009 akan menyaksikan lebih banyak konflik ketenteraan yang muncul oleh tindakan AS dan syaitannya – Israel.


Wasilah, 18-24 Januari 2009

REVIU FILEM



LAPISAN BUDAYA DALAM
WAYANG DAN BUDAK KELANTAN

Dua buah filem yang ditayangkan pada bulan November 2008 memaparkan penampilan yang unik iaitu menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya dalam wacana tutur filemnya. Budak Kelantan arahan dan lakon layar Wan Azli Wan Jusoh mengangkat kehidupan ‘budak Kelantan’ di ibu kota Kuala Lumpur. Ia lantas mempertembungkan antara dunia hitam budak Kelantan yang diwakili oleh watak Jaha (Asrulfaizal Kamarulzaman) dan dunia putih budak Kelantan yang diwakili oleh watak Buchek (Danny X Factor). Manakala filem Wayang arahan Hatta Azad Khan pula mengangkat perjuangan seorang dalang wayang kulit iaitu Awang Lah (Eman Manan), yang menghadapi tentangan daripada pihak tertentu yang menghukum wayang kulit sebagai bercanggah dengan Islam dan menghadapi masalah oleh tiadanya generasi penerus untuk menggantikan tempatnya. Kedua-dua situasi ini akan membawa kepada hilangnya tradisi wayang kulit yang telah wujud sejak sekian lama.
Kedua-dua filem ini bertemu pada titik penggunaan latar masyarakatnya iaitu masyarakat Kelantan. Kelantan adalah sebuah negeri di hujung Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang majoritinya adalah bangsa Melayu. Jika dilihat dari segi sejarahnya, Kelantan merupakan penempatan Peradaban Timur Laut yang telah wujud sejak abad ke-2 Masehi lagi. Peradaban Timur Laut ini merupakan peradaban terawal bangsa Melayu yang berkaitan dengan Kerajaan Melayu Campa di Vietnam Tengah dan kerajaan Melayu Funan di Kemboja. Peradaban ini wujud sejak zaman pra-Hindu Buddha, zaman Hindu Buddha sehinggalah zaman baru Islam. Dalam pada itu Kelantan juga merupakan pusat pertembungan paradaban selatan iaitu di kepulauan Jawa dan Sumatera dengan peradaban utara iaitu Campa, Siam, Khmer dan juga China. Lantaran itu Kelantan mempunyai tradisi dan budaya yang cukup kukuh, pelbagai dan unik. Kelantan juga merupakan pusat perkembangan Islam yang penting sejak abad ke14 hinggalah pada zaman moden dengan wujudnya institusi madrasah atau sekolah pondok yang tersusun pada abad ke-18. Lingkungan tradisi Islam ini membentuk masyarakat Kelantan menjadi masyarakat yang diatur oleh nilai dan norma Islam dalam setiap pergerakan hidup mereka.
Wayang kulit merupakan tradisi kuno yang wujud sejak zaman Hindu Buddha. Bahkan mungkin telah wujud sejak zaman pra Hindu Buddha lagi. Wayang kulit yang wujud di Kelantan dikatakan berasal dari Siam. Ada juga pendapat ia berasal dari Jawa. Kedua-dua pendapat ini tidak boleh ditolak memandangkan wujudnya pengaruh cerita Ramayana yang wujud dalam wayang kulit baik di Siam mahupun di Jawa. Tradisi wayang kulit inilah diangkat dalam Wayang. Awang Lah ialah seorang dalang wayang kulit Kelantan yang menghadapi dilema dalam memperjuangkan kelangsungan permainan wayang kulit yang semakin hilang. Pertamanya, ialah tentangan golongan agama yang diperlihatkan dengan munculnya watak Jusoh (Wan Kenari) yang menghukum wayang kulit Awang Lah itu bercanggah dengan Islam kerana memuja patung dan mengadakan persembahan yang melekakan. Bagaimanapun Jusoh tidaklah boleh dikatakan mewakili watak agamawan memandangkan sifat dan sikapnya lebih mencerminkannya sebagai orang yang ikut-ikutan sahaja. Apatah lagi dengan sifatnya yang buruk iaitu pendengki dan pendendam. Jusof hanyalah sebuah watak ‘stock’ iaitu watak lazim dalam cerita sama ada ia di pihak protagonis ataupun di pihak antagonis. Dalam Wayang, Jusoh adalah watak pipih antagonis yang wujud sebagai pemarak atau pemangkin konflik.

Selain daripada situasi yang dibawa Jusoh, Awang Lah juga berdepan dengan masalah ketiadaan orang untuk menggantikan tempatnya. Apatah lagi anaknya sendiri tidak berminat dengan wayang kulit dan lebih menumpukan perhatiannya kepada bidang pengajian agama Islam. Namun kehadiran Awi (Zulhuzaimi) yang buta dan Melur (Mas Muharni) yang sengau sebagai anak angkat sekaligus muridnya menghidupkan harapan Awang Lah untuk melihat tradisi wayang kulit yang amat dicintainya itu terus hidup. Kekuatan lakonan Eman Manan, dibantu oleh Ida Nerina menjadikan Wayang sebagai sebuah filem yang cukup dramatik dan berkesan kepada penonton. Eman Manan ternyata seorang aktor yang cukup hebat dan menjiwai watak Awang Lah. Lakonan berkesan Zulhuzaimi dan Mas Muharni juga cukup membanggakan. Begitu juga dengan Wan Kenari. Secara keseluruhannya Wayang yang dibina oleh lima orang pelakon ini cukup bijak mengoptimumkan segenap ruang dan sudut yang ada, sehingga pergelutan ‘orang-orang kecil’ ini wujud untuk menjadi wakil dan lambang yang spectacular kepada sebuah wilayah budaya yang cukup besar.

Sementara itu, filem Budak Kelantan walaupun menampilkan adegan-adegan liar Jaha dan kawan-kawannya yang hanyut di ibu kota Kuala Lumpur, tetapi mencari titik keseimbangan dengan wujudnya watak Buchek yang cukup kuat pegangan Islamnya. Buchek muncul sebagai protagonis atau wira dalam tubuh insan adabi. Buchek bukan wira yang datang dengan penuh perkasa, ganas, dan pendendam tetapi Buchek hadir sebagai wira yang dituntut oleh Islam yakni insan adabi. Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas, insan adabi ialah insan yang berilmu luhur, insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak, memahami serta menyelenggarakan penunaian tanggungjawabnya terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya, dan serba serbi tingkahlakunya senantiasa mengasuh dirinya menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan adabi.

Apabila Buchek terlempar dalam dunia kota Jaha yang ganas dan buas, Buchek tidak datang untuk menyelamatkan Jaha dengan kekuatan dan kehandalan fizikalnya sepertimana wira-wira dalam filem aksi Hollywood, Bollywood mahupun filem-filem Hong Kong. Tetapi Buchek datang untuk menyelamatkan Jaha dengan kekuatan iman dan Islamnya. Bagi Buchek Islam itu adalah kehidupan yang dilalui setiap detik dan ketika. Islam tidak boleh ditinggalkan walau bila dan di manapun. Maka itu Buchek walau di mana dan apa keadaan pun akan tetap menunaikan fardhu solat. Kerana solat itu adalah tiang agama, dan tiang agama adalah tiang iman. Iman dan Islam yang ada pada dirinya inilah dibawa Buchek bukan sahaja untuk mengasuh dirinya menuju kepada kesempurnaan insan adabi tetapi juga mengasuh dengan lembut ahli-ahli dalam masyarakatnya untuk kembali kepada Islam yang luhur. Buchek cuba membawa Jaha keluar daripada dunia gelapnya, tetapi belum pun sempat Jaha keluar (Jaha mula terpesona dengan nilai iman yang dibawa Buchek) ketentuan Ilahi mengatur dan memutuskan apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Namun umum dapat melihat bagaimana Buchek dengan keperkasaan iman dan Islamnya telah berjaya mengalahkan jiwa-jiwa hitam dalam diri Jaha, dan seterusnya menyedarkan Jaha untuk kembali kepada kehidupan Islam yang sempurna. Ini adalah kerana Buchek tahu hidup Jaha tidak sempurna, dan apabila Buchek melihat Jaha ingin berjalan ke arah kesempurnaan itu maka Buchek sanggup mengorbankan cintanya kepada Cik Nor (Bienda). Ini adalah kerana bagi Buchek – cinta kepada Allah swt itu mengatasi dan melebihi segala-galanya.

Kedua-dua filem ini sebenarnya menghadirkan suatu bentuk lapisan budaya dan keperibadian Melayu yang berlangsung dalam pergerakan sosiobudaya yang melalui sejarah yang panjang. Awang Lah mewakili warisan budaya Melayu yang dibawa sejak zaman pra-Islam. Namun kedatangan Islam telah membentuk zaman baru dan acuan budaya yang disesuaikan dengan ajaran Islam. Sementara Buchek mewakili warisan keperibadian Melayu yang telah lama menyerap dalam zaman baru yang berakar dengan Islam. Maka keteguhan iman dan Islam bersebati dalam diri Buchek, mewakili keperibadian dan nilai yang membentuk sebuah rupa kemelayuan tersebut.

Di sini kita melihat tradisi dan agama (Islam) adalah jiwa dan tubuh masyarakat Melayu itu berada. Tanpa kedua-dua teras ini masyarakat Melayu itu tidak wujud dalam ertikata sebenarnya. Awang Lah dengan tradisi wayang kulitnya adalah lapisan budaya yang membentuk kemelayuannya, dan Buchek dengan iman dan Islamnya adalah lapisan budaya yang juga membentuk kemelayuannya. Dengan melihat kepada lapisan-lapisan budaya yang akhirnya mengenalkan masyarakat kepada diri peribadinya itu membuatkan kedua-dua buah filem ini wujud sebagai sebuah hakikat sosial masyarakat Melayu yang sebenarnya.


Milenia Muslim, Januari 2009