Friday, March 27, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


UMNO kata beri laluan, PAS kata berhenti.

UMNO HANYA MAMPU DIBERSIHKAN OLEH RAKYAT

Perhimpunan Agung UMNO 24-28 Mac 2009 masih mengulangi lagu lama politik wang yang mula bertapak hebat sejak era pemerintahan Mahathir. Jangan ada yang melupakan bagaimana hebatnya gejala politik wang ini membenih dan menular pada era pemerintahan Mahathir. Kini seperti tahun-tahun sebelumnya, gejala buruk ini terus berleluasa seperti sebelumnya. Mahathir dalam temubualnya dengan sebuah akhbar tempatan arus perdana menyebut tentang betapa sukarnya untuk menangani gejala politik wang ini. Beberapa cara dilakukan tetapi sikap buruk pemimpin-pemimpin UMNO yang suka memberi rasuah untuk mendapat undi perwakilan tidak akan dapat memberi apa-apa kesan terhadap amalan rasuah tersebut. Namun Mahathir seperti sengaja melupakan bahawa politik wang adalah sebahagian daripada strategi beliau sendiri untuk mencapai matlamat dengan apa cara sekalipun. Cuma apa yang dilakukan Mahathir sedikit berbeza dari segi kaedah dan tekniknya.

Pelbagai cara dicadangkan untuk menangani politik yang semakin parah dalam UMNO termasuk laungan untuk melakukan perubahan atau reformasi habis-habisan dalam UMNO. Laungan untuk reformasi dalam membersihkan parti UMNO ini juga sudah klise dan lali diulang-ulang sejak dulu. Tetapi ternyata gejala politik wang dalam UMNO telah berakar menjadi sebati dan tidak mungkin hilang dengan mudah selagi kuasa dalam UMNO dilihat sebagai jalan pintas kepada kekayaan dan pengaruh. Laungan untuk melakukan perubahan hanyalah retorik kosong yang muncul setiap kali diadakan Perhimpunan Agung UMNO. Tradisi retorik kosong dan semangat mengejar kedudukan yang memberikan jalan kekayaan mudah ini dibenihkan dan subur sejak era kepimpinan Mahathir. Mahathir tidak perlulah memutar belit dengan menyalahkan pemimpin setelahnya yang merosakkan UMNO, kerana punca kepada kerosakan UMNO ini bermula di tangan Mahathir sendiri.

Lebih kompleks lagi apabila UMNO menjadi tempat para oportunis bersarang. Perang untuk menghapus rasuah atau politik wang dijadikan pula senjata untuk menghabisi kelompok atau paksi tertentu yang dianggap sebagai saingan dalam kuasa dan pengaruh. Dalam keadaan sekarang di mana proses peralihan kuasa sedang berlaku daripada Pak Lah kepada Najib, golongan oportunis dalam UMNO melihat peluang kepada mereka untuk merebut kedudukan-kedudukan baru dalam kepimpinan baru Najib. Maka berlakulah tindakan-tindakan halus untuk menyingkirkan kelompok yang berkuasa dahulunya. Dalam kata mudah, berlaku penyingkiran secara halus terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang dianggap pro-Pak Lah.

Apa yang berlaku sekarang dengan tindakan-tindakan SPRM dan Lembaga Disiplin UMNO terhadap beberapa pemimpin UMNO memperlihatkan peranan sulit golongan oportunis untuk merampas kedudukan tinggi dalam UMNO dengan menyerang sasaran-sasaran yang diletakkan sebagai pro-Pak Lah. Persaingan untuk menonjolkan diri masing-masing sebagai pro-Najib berlaku dengan hebat pada kepimpinan UMNO peringkat pertengahan. Sementara di peringkat bawahan, masing-masing mewujudkan kelompok yang menjulang pemimpin-pemimpin pertengahan yang sedang berjuang untuk merebut kedudukan dan perhatian di mata pemimpin baru UMNO. Pergelutan ini menyaksikan bagaimana UMNO sedang berada pada era persaingan dan perseteruan sesama sendiri dalam sikap berpuak-puak dan menjulang ‘Orang-orang Besar’ dan ‘Orang-orang Kaya’ masing-masing.

Keadaan ini membawa kembali orang Melayu kepada kehidupan politik mereka pada zaman feudal dahulu. Paksi-paksi politik wujud seiring dengan kuasa, pengaruh dan kekayaan yang melimpah ruah. Puak dan kelompok yang menjulang pemimpin masing-masing menjadi fenomena yang sangat ketara, sama dengan apa yang berlaku pada zaman Melayu feudal dahulunya. Malah apa yang sedang berlaku pada kepimpinan peringkat atasan atau tertinggi UMNO menjelaskan lagi tentang pengukuhan institusi feudal dalam parti terbesar bangsa Melayu itu. Pada peringkat tertinggi dapat dilihat kepimpinan di tangan Kelab Anak Perdana Menteri yang bergabung di atas dasar persamaan latar belakang dan kelas mereka.

Barisan pemimpin UMNO akan dideretkan dengan Kelab Anak Perdana Menteri dan bangsawan UMNO bermula dari Najib, Hishamuddin dan Mukriz. Jika ketiga-tiga mereka (Najib telah memastikan tempatnya sebagai Presiden UMNO) terpilih untuk menerajui jawatan yang ditandingi, maka UMNO akan membariskan kepimpinan bangsawan yang akan membawa UMNO ke era feudal dan penguasaan borjuis. Pak Lah, walaupun lemah tetapi sekurang-kurangnya cuba membawa kepimpinan rakyat ke dalam UMNO. Namun lantaran selama dua dekad era Mahathir yang membawa kepimpinan kapitalis dalam UMNO, kepimpinan rakyat yang cuba dibawa oleh Pak Lah masih tidak lepas daripada terpalit dengan doktrin politik kapitalisme Mahathir.

Norza Zakaria adalah enjin kepada jentera politik Pak Lah. Azalina dilihat sebagai oknum yang boleh menjadi liabiliti kepada golongan oportunis baru UMNO. Mohd Ali Rustam adalah pemimpin yang popular dan mampu menggugat kedudukan yang ingin dicapai atau diperuntukan kepada Mahyuddin. Sementara Khairy tentunya adalah persona yang boleh mengganggu cita-cita golongan oportunis untuk menguasai kedudukan-kedudukan penting dalam UMNO dan kerajaan. Mungkin andaian ini salah, tetapi menjadi suatu hal yang agak aneh apabila ia menjadi seperti suatu kebetulan yang disengajakan. Dan jika difikirkan sebaliknya, jika keempat-empat pemimpin ini berjaya menguasai kedudukan yang ditandingi mereka dengan bersih dan bergaya – tidakkah terlihat paksi Pak Lah masih menunjang dalam UMNO. Ini tentunya banyak mengganggu barisan baru UMNO yang akan membentuk sebuah gelombang kuasa baru tanpa sebarang persona non grata.

UMNO mungkin melihat pertarungan yang berlaku ini sebagai lumrah politik. Dan penguasaan baru terhadap kedudukan-kedudukan penting juga adalah lumrah politik. Namun bagi rakyat yang berada di luar UMNO, apa yang berlaku dalam UMNO adalah sesuatu yang jelek dan memperlihatkan bagaimana rosaknya UMNO oleh ketamakan terhadap kuasa, pengaruh dan kekayaan. Ia bukan satu persepsi yang tidak berasas tetapi umum mengetahui bagaimana cepatnya pemimpin-pemimpin UMNO menjadi usahawan, korporat dan hartawan yang berjaya. Mempunyai jawatan di dalam UMNO adalah wild cut kepada kekayaan.

Maka itu, melihat kepada keadaan ini adalah ternyata bahawa UMNO hanya dapat dibersihkan dari luar dan bukan dari dalam. Dalam erti kata lain UMNO hanya dapat dibersihkan oleh kuasa rakyat, bukan oleh kepimpinan atau perwakilan UMNO. UMNO harus berada dalam keadaan di mana tiada wang mahupun kuasa untuk dijanjikan kepada mana-mana kedudukan kepimpinan UMNO. Tiada kuasa dan tiada kekayaan yang akan diberikan kepada sesiapa yang berjuang demi kelangsungan UMNO. Di sinilah baharu rakyat dapat melihat pemimpin-pemimpin UMNO yang ikhlas dan benar-benar berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu.

Tetapi apakah keadaan yang meletakkan UMNO sedemikian rupa?

Tidak lain dan tidak bukan ialah menarik kekuasaan yang ada pada UMNO sejak 50 tahun dahulu. Jika rakyat menarik kekuasaan yang ada pada UMNO, maka UMNO hanya akan menjadi parti pembangkang yang tidak punya capaian (access) lagi kepada kuasa dan kekayaan yang mana mereka kecapi dengan leluasa sekarang. Pada masa itu, golongan oportunis yang menggerogot di dalam UMNO akan berbalik menyerang atau menunggang mana-mana pihak yang berkuasa, hatta mereka perlu meludahi UMNO. Di sinilah UMNO baru benar-benar dapat membersihkan dirinya daripada anasir-anasir parasit yang selama ini merosakkannya.

Lalu hanya kuasa rakyat melalui PRU13 sahaja yang mampu membersihkan UMNO. Selain daripada itu, UMNO tidak mungkin mampu berubah kerana UMNO adalah guni gula yang dikerumun semut sehingga ke dasar-dasarnya

Wasilah, 29 Mac-5 April 2009

Saturday, March 21, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


















GMP MENENTANG PENJAJAH BARU

Perhimpunan membantah dan menyerahkan memorandum pemansuhan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 7 Mac 2009 menyaksikan sejarah baru dalam perjuangan bahasa Melayu. Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang diketuai oleh tokoh-tokoh intelektual dan budayawan iaitu Datuk Dr. Hassan Ahmad, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Prof Dr Shahrir Mohd Zain serta tokoh-tokoh lain seperti Dato’ Dr. Abdullah Hassan, Dato’ Bakar Hamid, Dato’ Baha Zain, Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan sebagainya telah melancarkan perjuangan besar-besaran untuk mendesak pemansuhan PPSMI. Mengikut seorang pakar matematik, daripada pemerhatian dan analisa beliau dianggarkan seramai 70,000 orang telah menyertai perhimpunan membantah PPSMI tersebut.

Provokasi daripada pihak berkuasa yang menghalang dan kemudian menyuraikan perhimpunan tersebut dengan menyembur gas pemedih mata dan pancutan air telah menjadikan keadaan tidak terkawal. Amat malang sekali tokoh budayawan yang tidak berdosa seperti Sasterawan Negara A. Samad Said dan Dato’ Baha Zain turut menjadi mangsa gas pemedih mata. Apakah pihak berkuasa melihat A. Samad Said yang berusia 76 tahun itu ialah pesalah undang-undang yang patut disembur dengan gas pemedih? Apakah begini layanan kerajaan terhadap budayawan seusia Dato’ A. Samad yang telah begitu banyak menyumbang bakti kepada negara itu?

Tindakan pihak berkuasa dan reaksi daripada kerajaan BN melalui kenyataan Hishamuddin Tun Hussein khususnya, memperlihatkan bahawa perjuangan budayawan dan pejuang bahasa ini telah kembali ke era perjuangan menentang penjajah Inggeris suatu ketika dahulu. Bezanya tempat penjajah Inggeris tersebut diganti oleh kerajaan BN khususnya dengan rupa wajah Najib-Hishamuddin dan konco-konconya. Amat menghairankan juga bagaimana kedegilan Hishamuddin dalam memperjuangkan kecintaannya kepada warisan penjajah sehingga kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi secara terang-terangan disanggah oleh Hishamudin. Abdullah yang meminta Hishamuddin mengambil tindakan segera untuk mengatasi isu PPSMI sebelum ia membuka jalan kepada masalah lain yang lebih buruk, disanggah dengan degilnya oleh Hishamuddin dengan kenyataannya yang berbelit-belit.

Hishamuddin memutarbelitkan keadaan dengan menyalahkan GMP yang dikatakan didalangi oleh pihak pembangkang dan mengacau negara. Apakah Dato. Dr. Hassan yang mendapat doktorat dari universiti terkemuka di Belanda itu patung yang tidak boleh berfikir hingga boleh didalangi dan ditunggangi oleh mana-mana pihak? Kenyataan Hishamuddin itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina tokoh intelektual dan budayawan yang terlibat dalam gerakan bahasa tersebut. Hishamuddin dan konco-konconya di dalam GPMS itu perlu menyedari bahawa tokoh-tokoh dalam GMP ini bukan sahaja jauh lebih intelektual daripada mereka bahkan adalah mahaguru dan pemikir tiada tandingannya di dalam dan luar negara.

Sedarkah Hishamuddin siapa Dato Dr. Hassan Ahmad, Prof Dr. Shahrir Mohd Zain, Dato’ Dr. Abdullah Hassan, Dato’ Dr. Nik Safiah Karim, Dr. Awang Sariyan, Dato’ Baha Zain dan Datuk A. Samad Said? Sepatutnya rakyat yang perlu bertanya kepada Hishamuddin siapakah dalang di sebalik usaha gila untuk mempertahankan PPSMI ini. Apa yang jelas di sini Hishamuddin dan GPMS lah yang ditunggang dan didalangi oleh pihak tertentu yang masih berkuasa dari luar UMNO untuk meneruskan agenda PPSMI ini. Dalam pada itu, wujud kepentingan kebendaan daripada pelaksanaan PPSMI ini yang boleh dieksploitasi untuk mengaut keuntungan daripada projek-projek baru yang muncul daripada pelaksanaan PPSMI ini.

Ada dua perkara yang perlu dijelaskan terhadap isu PPSMI ini yang perlu diketahui dalam melihat duduk perkara ini. Pertama, pelaksanaan PPSMI pada tahun 2003 di bawah arahan unilateral Mahathir adalah sebagai usaha dalam membingkaikan doktrin Mahathirisme dalam kehidupan rakyat Malaysia. Secara mudah doktrin Mahathirisme melihat bahawa dasar pembangunan yang disebut sebagai developmentalism boleh digunakan sebagai serampang dua mata untuk mengekalkan kuasa politik peribadinya dengan pembangunan yang menjadikan rakyat hidup bergantung kepada kerajaan.

Kebergantungan diri ini (dependency) menjadi sempurna apabila tradisi dan peribadi baru yang dibina dalam acuan developmentalism itu dapat dilahirkan. Penggunaan bahasa Inggeris yang ad infinitum secara psikologinya akan meruntuhkan nilai dan acuan diri dan seterusnya menimbulkan sebuah ruang kosong dalam pemikiran dan jiwa rakyat. Ini membawa kepada wujudnya sifat kebergantungan rakyat kepada nilai dan ideologi baru yang dibentuk oleh kuasa yang memimpin rakyat ke arah dogmatisme baru tersebut. Developmentalism ialah suatu bentuk penyerapan hegemoni yang berlaku secara beransur-ansur (gradual) dan signifikan. Ia akhirnya melahirkan apa yang disebut sebagai Malaysianisasi iaitu proses membentuk sebuah struktur masyarakat baru yang tidak lagi mempunyai sejarah, tradisi, dan mungkin juga agama.

Mahathir mahu mewujudkan sebuah masyarakat hibrid yang patuh kepada penguasaan politik total. Bahasa Melayu dilihat Mahathir bukan sahaja kurang berperanan dalam dunia ekonomi moden dalam membantu proses developmentalismnya tetapi juga menjadi pengukuh kepada tradisi lama yang sangat dibenci Mahathir. Lebih daripada itu bahasa Melayu diletakkan dalam fikiran Mahathir sebagai bahasa yang membentuk nilai kebangsaan sekaligus menjadi subjek romantisme yang bukan sahaja merupakan suatu agen lapuk dan menghalang kemajuan tetapi juga pencetus nilai yang boleh membentuk kecenderungan untuk menentang dasar serta hegemoninya.

Persoalan kedua, Hishamuddin yang masih terpegun dengan dasar Mahathirisme melihat penerusan dasar dan doktrin Mahathir dapat memberikannya nilai kredit terhadap kedudukannya sebagai pemimpin pemuda UMNO yang harus menjadi agen kepada pembaharuan. Hishamuddin melihat PPSMI adalah agen kepada pembaharuan dan pemangkin kepada kemajuan sains dan teknologi sekaligus menjadikannya sebagai penerus dasar agung tanpa perlu bersusah payah membina kebijaksanaan politik yang baru. Namun Hishamuddin tidak memahami secara menyeluruh dasar PPSMI dalam kotak pemikiran Mahathir. Bagi Hishamuddin PPSMI adalah jalan pintas bukan sahaja kepada pembangunan tetapi juga kepada mileage politiknya dalam UMNO. Ini memandangkan pengaruh Mahathir dan kuasa di luar UMNO yang terbentuk oleh dasar developmentalism Mahathir masih amat berkuasa dalam politik UMNO.

Namun Hishamuddin tidak mempunyai visi yang jauh dan pemikiran yang panjang untuk menilai kerosakan serta kehancuran yang dibawa oleh pelaksanaan PPSMI dalam jangkamasa panjang. PPSMI hanya dilihat oleh Hishamuddin dan robot birokrat di Kementerian Pelajaran dalam konteks pencapaian murid tahun enam. Pada hakikat yang sebenarnya PPSMI tidak ada kena mengena dengan pencapaian peperiksaan murid Tahun Enam tetapi sebaliknya adalah peruntuhan terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan yang membentuk keperibadian negarabangsa sepertimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan. Peruntuhan keperibadian negarabangsa akhirnya akan menghancurkan pemikiran dan kesedaran rakyat dalam hubungan mereka dengan tradisi serta budaya yang melahirkan mereka. Ia akhirnya mewujudkan sebuah bentuk penjajahan baru dalam membina koloni-koloni politik berasaskan kepentingan mengaut kuasa dan juga kemewahan melalui politik.

Keadaan ini seterusnya melahirkan suatu bentuk penjajahan baru terhadap pemikiran rakyat di tangan elit-elit politik daripada bangsa Melayu sendiri. Maka perjuangan menentang PPSMI ini merupakan sebuah perjuangan menentang penjajahan baru yang lahir dari tangan peribumi kita sendiri. Hishamuddin adalah seraut wajah daripada wajah penjajah baru ini yang datang daripada kuasa politik yang muncul daripada dasar developmentalism ini.

Wasilah, 15-22 Mac 2009

REVIU FILEM


SLUMDOG MILLIONAIRE DAN IMPIAN DUNIA PINGGIR

Bayangan tentang filem-filem India yang bermain di fikiran tentunya ialah filem tarian erotis, aktres dan aktor yang kacak jelita, mahligai besar tersergam dan panorama alam yang indah-indah. India adalah dunia yang penuh keriaan, kemewahan dan kehidupan manusia moden yang teratur. Cinta tentunya adalah dunia pengorbanan dan kesetiaan yang tiada batasannya. Kejelitaan dan keseksian pelakon wanitanya serta kekacakan dan kekekaran tubuh pelakon lelakinya, menjadikan filem India adalah sebuah dunia ideal yang tak tergapai inspirasinya. Tetapi itu adalah wajah komersil Bollywood yang menjadi antara industri filem terbesar di dunia. Pengeluaran filem Bollywood di India adalah yang tertinggi di dunia. Hampir 800 buah filem Bollywood yang dikeluarkan setahun. Semua filem ini adalah berfungsi untuk berhibur dan menarik khalayak seramai mungkin untuk tujuan komersil. Tetapi pada hakikatnya ia tidak seindah itu. Apabila Danny Boyle menukarkan wajah Bollywood kepada sebuah Mumbai dari kaca mata orientalis mungkinnya, Bollywood yang penuh mimpi indah pecah menjadi kaca yang berselerakan.

Slumdog Millionaire membalikkan dunia ideal Bollywood itu kepada realiti India di penempatan kawasan miskin, perselisihan agama, keganasan pihak berkuasa, dunia samseng di kota besar seperti Mumbai dan kekejaman terhadap kanak-kanak. Realiti sebuah kehidupan dunia orang miskin di Mumbai diangkat ke filem hingga menjadikannya begitu nostalgik dan monumental. Jamal Malik adalah sebuah watak manusia paling kecil dari daerah miskin dan sesak di Juhu, Mumbai. Sebahagian besar daripada masyarakat pinggir atau masyarakat ghetto ini ialah masyarakat Islam, iaitu golongan minoriti yang terabai dan sering menjadi mangsa keganasan pihak fanatik Hindu. Jamal Malik diwujudkan untuk menjadi wira bahkan lagenda dunia pinggir atau masyarakat marginal yang menjadi subjek pembalikan realiti di sini. Realiti utama bagi pemikiran mapan (establishment) ialah masyarakat perdana seperti yang digambarkan dalam filem-filem drama-muzikal Bollywood. Tetapi dalam Slumdog Millionaire realiti utama ditindih oleh realiti pinggiran yang dibalikkan untuk menjadi realiti perdana.

Jamal Malik memenangi peraduan kuiz yang membolehkannya menerima hadiah wang tunai sebanyak 10 juta rupee sekaligus menjadikannya sebagai seorang jutawan dalam sekelip mata. Jamal Malik juga menjadi wira masyarakat miskin di India. Jamal Malik dilihat sebagai wakil atau lambang daripada impian jutaan masyarakat miskin yang hidup di rumah-rumah kotak yang sesak, di timbunan sampah yang berselerak, di celah-celah kehidupan demokrasi yang penuh ancaman. India adalah negara demokrasi yang terbesar di dunia dari segi populasinya. Tetapi demokrasi ini juga menyaksikan penindasan orang miskin, penyelewengan kuasa, dan perlakuan jenayah yang tidak terhitung banyak dan dahsyatnya. Inilah realiti yang diangkat oleh Danny Boyle yang melayakkannya untuk memenangi Anugerah Pengarah Terbaik dan menyapu lapan anugerah oskar termasuk Anugerah Filem Terbaik di 81st Academy Awards, iaitu anugerah paling berprestij di Hollywood.

Lahir dalam masyarakat minoriti Islam yang menetap di kawasan paling miskin di Mumbai, di bawah rumah-rumah kotak yang bertindan tindih sesak dan kotor, Jamal memulakan impian slumdog untuk mewujudkan mereka sebagai sebuah kewujudan dalam dunia yang tidak pernah melihat kewujudan mereka. Kerajaan menyisihkan mereka, fanatik Hindu memburu mereka, komplot penjahat mempergunakan mereka, masyarakat kaya menyumpah mereka dan polis juga menjadikan mereka sasaran kepada segala masalah sosial. Apakah impian yang dipunyai oleh Jamal Malik, kanak-kanak yang berlarian bersama abangnya Salim Malik dan gadis kecil piatu Latika setelah ibu mereka mati dibunuh oleh fanatik Hindu dan diburu kumpulan samseng untuk mempergunakan mereka sebagai pengemis dan pelacur. Mereka tidak mempunyai apa-apa impian dan harapan sebenarnya melainkan terus hidup tanpa tahu apa sebenarnya yang mereka lalui. Tanpa tahu apakah mereka ini sebenarnya. Dan tanpa tahu apakah mereka akan terus hidup keesokan harinya.

Jamal dan abangnya Salim bangkit daripada mati beberapa kali. Ketika usia kanak-kanak sehingga remaja, nyawa mereka setiap saat bertempur dengan maut. Namun ketika Jamal keluar daripada gelung dunia gelap yang membawa mereka kepada maut setiap saat, Salim abangnya yang menjadi ghairah dan angkuh dengan kemenangan mengatasi maut terus mendiami dunia gelap. Kerana angkuh dan ghairah dengan kemenangannya membunuh Maman, ketua samseng yang pernah mencerkap mereka dan membutakan mata kawannya untuk dijadikan pengemis, Salim bertukar rupa menjadi penjahat yang dahulunya amat dia benci. Salim membuang Jamal kerana merebut Latika untuk nafsunya. Sedang cinta Jamal kepada Latika adalah cinta yang benar-benar suci. Salim akhirnya menjadi orang suruhan ketua samseng Mumbai, Javed Khan.

Mereka berpisah kerana Salim telah berubah. Jamal melalui hidupnya sendiri menjadi chaiwala (pembantu yang menghidangkan air) di sebuah syarikat besar, dan hidup dengan satu-satunya keinginan dan harapan – iaitu bertemu kembali dengan Latika. Saat ini, nasib menjadi penggerak hidup dan impian. Terbuka peluang untuk Jamal mencari Latika melalui cariannya terhadap nama Salim Malik. Jamal bertemu Salim, tetapi Salim telah banyak berubah. Kehidupannya di dunia gelap menjadikan jiwanya juga gelap. Tetapi masih ada secuil rasa persaudaraan di hati Salim untuk kegembiraan bertemu Jamal. Namun bukan Jamal. Dendam Jamal kepada Salim tetap membara. Bagaimanapun, hati manusia yang baik seperti Jamal tidak dapat menafikan kasihnya kepada satu-satunya saudara yang dia punyai – Salim.

Mereka berpisah setelah Salim sekali lagi merampas Latika daripada Jamal. Untuk mendapatkan kembali Latika inilah, Jamal memasuki rancangan kuiz menjadi jutawan, “Who wants to be a millionaire”. Di mana-mana ketamakan dan kejahatan berada di hati manusia. Pengacara dan pemilik rancangan itu juga tidak dapat menerima hakikat Jamal, seorang anak gelandangan daripada kawasan miskin itu dapat memenangi peraduan kuiz dan mengaut 10 juta rupee. Jamal disumbat ke penjara kerana tuduhan menipu. Di penjara inilah cerita Jamal terpapar. Jamal diseksa polis untuk mengaku bahawa di menipu. Di balai polis inilah filem Slumdog Millionaire ini bergerak. Imbas kembali, imbas hadapan, seluruh kehidupan politik, ekonomi, sosial, budaya membawa kepada pertelagahan kaum, penyelewengan kuasa, keganasan samseng dan segalanya yang tersembunyi dibuka.

Jamal merasakan dia tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan kepada inspektor yang sibuk dan tegang untuk menyelesaikan kesnya yang bertimbun. Jamal menceritakan satu persatu bagaimana dia dapat menjawab semua soalan yang ditanyakan sehingga dia mendapat 10 juta rupee itu. Setiap jawapan Jamal adalah kisah hidupnya, seorang manusia kecil dari kawasan paling miskin yang tidak pernah dirasakan kewujudan mereka dalam diri sebuah negara yang dikatakan akan menjadi pusat perkembangan kuasa dunia yang baru. Dan setiap jawapan Jamal inilah plot yang menjalin cerita demi cerita tulisan Vikas Swarup dan akhirnya melengkapkan Slumdog Millionaire yakni sebuah filem di tangan Danny Boyle. Jamal memenangi 20 juta rupee, memperolehi kembali Latika melalui pengorbanan Salim. Salim menebus dosanya dan mati terbunuh demi demi kebahagiaan adiknya Jamal. Danny Boyle memasukkan tradisi peleraian Bollywood, untuk membingkaikan Slumdog Millionaire sebagai sebuah filem India.

Dalam dunia perfileman, Slumdog Millionaire muncul sebagai suatu yang baru dan mengejutkan. Tetapi dalam dunia sastera Slumdog Millionaire telah lahir berbelas kali dalam novel-novel terkemuka penulis India. Bermula dengan Paria karya Mulk Raj Anand membawa kepada God of Small Things di tangan Anundhrati Roy. Slumdog Millionaire adalah filem yang menyambung kehebatan sastera-sastera besar India ini. Di titik inilah sebenarnya Slumdog Millionaire bertolak dan menjadi besar. Sebuah sastera tentang kehidupan rakyat dalam sebuah filem.

Friday, March 20, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


Perhimpunan mansuh PPSMI pada 7 Mac 2009 dihadiri oleh 70 ribu orang kebanyakannya golongan muda yang berjuang mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu yang dihancurkan oleh Mahathir-Umno.








POLITIK PERSENGKETAAN AKAN HANCURKAN MALAYSIA

Politik adalah dunia penuh polemik. Politik tidak akan wujud tanpa polemik. Perkataan polemik berasal daripada kata Yunani iaitu polemos yang bermaksud perselisihan, persengketaan atau peperangan. Sebuah kata daripada Heraclitus berbunyi “polemos panton men pater esti” iaitu politik adalah polemik kerana ia adalah bentuk daripada sebuah pernyataan sengketa. Matlamat kepada politik-polemik ini ialah mengalahkan musuh dan menyingkirkannya daripada kuasa, sama ada dengan cara yang rasional kepada tujuan kebenaran atau dengan cara memenuhi matlamat kekuasaan untuk menguasai kelompok masyarakat.

Politik yang difahami dan dihayati melalui pemahaman di atas selalunya melihat persengketaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam proses politik. Persengketaan adalah nadi kepada proses politik. Segala tujuan dicapai hanya setelah melalui proses politik dalam ertikata melalui persengketaan. Maka itu politik harus mencipta persengketaan dan mencapai matlamatnya melalui kemenangan dalam persengketaan tersebut. Tujuan politik iaitu memiliki kekuasaan hanya akan tercapai apabila seseorang atau sesebuah kelompok itu memenangi persengketaan dan menyingkirkan musuh mereka. Politik-polemik atau politik persengketaan ini melihat lawan atau suara yang berbeza sebagai musuh persengketaan.

Apabila Islam maju mengambilalih kuasa dan pemikiran tentang politik, faham politik persengketaan ini dimansuhkan dengan wujudnya konsep negara dan ummah terbaik apabila tercapainya kebahagiaan dunia dan akhirat. Politik atau siasah ditujukan matlamatnya untuk negara dan umat terbaik melalui pencapaian kebahagian dunia dan akhirat. Maka itu cita-cita dan matlamat politik harus dilandaskan kepada kebenaran dalam konteks syariat dan hukum Allah s.w.t.

Al-Farabi menyebut hakikat politik ini sebagai, “perbuatan-perbuatan Iradiyah (sedar dan dirancang) yang bermanfaat untuk mencapai kebahagiaan adalah perbuatan-perbuatan yang elok dan baik. Tingkah laku dan bakat yang melahirkan perbuatan berkenaan adalah terbaik atau terpuji (al-Fadail). Dan semua kebaikan itu bukanlah kerana zat-zatnya, tetapi sebenarnya adalah kerana kebahagiaan itu sendiri. Perbuatan yang menghalang tercapainya kebahagiaan itu adalah perbuatan yang buruk (al-af’al al-qabihah). Sementara tingkah laku serta bakat yang melahirkan perbuatan buruk itu adalah kekurangan (al-naqais), hina (al-razail), dan keji (al-khasais). (Idris Zakaria, DBP 1991).

Dua bentuk pemahaman politik wujud di sini. Satu menuju kepada politik-polemik atau politik persengketaan dan kedua menuju kepada politik-terpuji yakni mencapai kebahagiaan melalui perbuatan terpuji. Persengketaan tentunya adalah perbuatan tercela dalam sisi politik Islam. Dan perbuatan terpuji dianggap suatu yang tidak rasional dalam politik persengketaan. Sukar untuk menemui politik-terpuji selepas era Rasulullah s.a.w yang mewujudkan konsep al-madinah al-munawarah itu. Politik di dunia Islam sendiri selepas itu lebih banyak terheret dalam bentuk politik persengketaan.

Polemik dan persengketaan bukannya tidak muncul dalam politik zaman Rasulullah s.a.w tetapi kemunculan persengketaan itu bukan dimulakan dan bukan merupakan sifat serta keinginan politik Rasulullah s.a.w. Persengketaan muncul daripada luar yang menolak politik-terpuji Rasulullah s.a.w yang mencitakan matlamat kebahagiaan melalui perbuatan terpuji serta perhambaan kepada Allah s.w.t. Matlamat ke arah perbuatan terpuji memerlukan setiap orang pemimpin melihat kuasa dengan penuh ketakutan, yakni takut kepada tanggungjawab besar terhadap janji kepada Allah s.w.t. Politik ini kemudiannya perlahan-lahan ditinggalkan dan manusia tidak kira Islam dan bukan Islam kembali kepada sifat semulajadi haiwaniah manusia iaitu politik persengketaan

Apa yang berlaku dalam politik Malaysia hari ini ialah sebuah politik persengketaan yang sangat buruk. Politik dihidupkan dengan polemik, dan akhirnya menjadi sebuah pernyataan sengketa. Tujuan politik ialah mencipta musuh dan kemudian menyingkirkan musuh demi mencapai kuasa. Menyempurnakan politik persengketaan ini, ia tidak lagi membawa kepada tujuan kebenaran tetapi kepada matlamat kekuasaan untuk menguasai kelompok masyarakat. Maka perbuatan buruk (al-af’al al-qabihah) yang terbentuk oleh sifat kekurangan (al-naqais), hina (al-razail), dan keji (al-khasais) menjadi alat dalam proses mencapai tujuan politik.

Senario perbuatan buruk dan cela dalam inti politik persengketaan ini dapat dirunut daripada hal-hal ini: membeli wakil rakyat dan melompat parti; mencari jalan untuk merekayasa keburukan peribadi; memfitnah dan mencela lawan; menggerakkan jentera keselamatan untuk menjalankan tindakan kekerasan; merekayasa tuduhan palsu; menyeleweng fakta dan kebenaran; dan melakukan rampasan kuasa melalui tipu muslihat dengan menafikan pilihanraya oleh rakyat.

Lebih buruk lagi apabila politik yang mencipta polemik setiap saat ini mula mewujudkan suasana persengketaan yang benar-benar meruncing. Kuasa tanpa segan silu dicapai dengan apa cara sekalipun, hatta tanpa malu lagi untuk membelakangkan rakyat. Sebuah negeri dirampas tanpa sebarang penglibatan undi daripada rakyat. Demokrasi dibuang dan dikencing di Perak. Senario ini mungkin sedikit sebanyak dapat dipersalahkan kepada Anwar Ibrahim yang memulakan perlakuan politik persengketaan dengan tindakan untuk menarik calon BN. Tetapi pada saat ini, peluang untuk menyelewengkan demokrasi yang diambil oleh BN menyaksikan huru hara dan suasana anarki yang wujud di Perak.

Kemelut di Perak tidak akan berakhir dengan mudah. Ia akan melibatkan lebih banyak persengketaan dan huru hara bukan sahaja dari segi politik dan pentadbiran tetapi juga keselamatan negeri serta kehidupan rakyat. Ini adalah kesan awal daripada politik persengketaan yang mula dipercikkan oleh parti-parti politik dewasa ini. Apa yang mendukacitakan ialah mangsa daripada politik persengketaan yang tidak sudah-sudah sejak PRU12, 8 mac 2008 itu ialah kemelaratan dan kesusahan yang dilalui rakyat semakin membesar dan membengkak.

Lebih malang lagi pihak keselamatan yang sepatutnya tidak dipergunakan untuk mencapai tujuan politik sepihak kelihatan mula dipergunakan. Ini memperlihatkan ciri-ciri politik persengketaan yang akan menggunakan kekerasan dan kezaliman apabila terdesak. Ini semakin kelihatan berlaku. Pihak keselamatan harus dibiarkan apolitical dan menjaga keamanan rakyat. Mana-mana pemimpin politik atau parti politik yang menghasut sentimen perkauman harus dikenakan tindakan tanpa mengira mereka BN atau PR. Namun malangnya sentimen perkauman yang dibakar oleh BN melalui UMNO, MCA, GERAKAN dan MIC dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh pihak keselamatan.

Keadaan ini lambat laun akan mencetuskan suasana yang amat bahaya kepada kestabilan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Apatah lagi apabila sentimen perkauman kini menjadi modal yang dibolak balik oleh parti-parti politik. Politik persengketaan di Malaysia kini akan menuju kepada keadaan yang lebih buruk, apatah lagi suasana ekonomi akan menjadi pemangkin kepada sebarang cetusan emosi dan sentimen yang membakar. Politik yang sudah tidak melihat kepada rakyat di Malaysia pada masa ini menyaksikan betapa ketamakan untuk berkuasa, ketakutan hilangnya kuasa, dan kesombongan menafikan undi rakyat akan membawa Malaysia ke arah ketidakstabilan politik yang paling buruk pada penghujung tahun 2009 ini.

Siapakah yang dapat menghalang kehancuran Malaysia di tangan haiwan-haiwan politik (atau lebih tepat binatang-binatang politik) yang sedang berkerkahan buas sekarang ini?


Wasilah, 8-14 Mac 2009

Thursday, March 19, 2009

DUNIA TANPA TIRAI



MENUTUP MASALAH EKONOMI DENGAN POLITIK

Dalam sejarah terdapat begitu banyak peristiwa yang menyaksikan bagaimana politik menutup masalah ekonomi. Antara peristiwa paling besar ialah peperangan Salib. Di Eropah, masalah kemiskinan akibat kezaliman dan penindasan raja serta gereja telah mencapai puncak kemarahan rakyat. Kemelaratan ekonomi sedang menjadi belon besar yang boleh meletupkan pemberontakan rakyat. Raja dan gereja yang mengaut kekayaan dengan menindas rakyat melihat masalah kemelaratan ekonomi ini adalah sesuatu yang tidak mampu untuk mereka selesaikan lagi. Munculnya isu pembebasan tempat suci Kristian di Jurusalem, Palestin yang dikuasai oleh orang Islam membuka peluang kepada golongan penguasa yang tamak di Eropah ini untuk menggunakan politik sebagai cara paling mudah untuk mengalihkan perhatian.

Perang Salib dilancarkan atas tujuan politik yang diselimuti propaganda agama. Namun jika masalah ekonomi tidak menjadi begitu meruncing di Eropah dan mengancam pemerintahan feudal yang mungkin jatuh oleh pemberontakan rakyat, ada kemungkinan Perang Salib tidak akan berlaku. Raja dan gereja bersatu menghasut rakyat demi menjaga kelangsungan nyawa dan kuasa mereka. Mereka tahu kemelaratan ekonomi akibat kerakusan dan ketamakan mereka yang begitu lama tidak akan berkekalan lama lagi. Rakyat akan mula sedar dan bangkit menumbangkan mereka. Sebelum ini berlaku, mereka perlu mencari jalan untuk membangkitkan fenomena besar yang boleh memukau rakyat untuk melupakan masalah kemelaratan ekonomi. Maka Perang Salib dilancarkan terhadap orang Islam.

Kebanyakan perang dan kekacauan selalunya mempunyai hubungan dengan ekonomi. Sama ada ia berlaku dalam memperolehi ruang ekonomi yang lebih baik, ataupun menutup kerosakan ekonomi akibat ketamakan ahli-ahli politik yang berkuasa. Ekonomi juga seringkali menjadi pemangkin kepada kebangkitan sentimen yang meluap-luap. Dalam negara yang menghadapi masalah ekonomi, kekacauan lebih mudah tercetus. Sentimen dalam bentuk apapun lebih mudah terbakar. Ahli-ahli politik seringkali melihat kepada cara yang mudah iaitu mempergunakan sentimen politik bagi menutup kegagalan mereka mengatasi masalah ekonomi. Dalam masa yang sama menutup kelemahan dan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka yang mengakibatkan kejatuhan ekonomi.

Tahun 2009 menyaksikan masalah ekonomi yang tidak mungkin mampu diselesaikan oleh mana-mana ahli politik dalam masa yang terdekat. Kejatuhan ekonomi dalam sistem kapitalis yang rosak itu menjadikan semua pemimpin politik yang berkuasa dalam sistem kapitalis ini gusar oleh kemungkinan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara akan mula dipersoalkan. Di negara demokrasi di Asia, yang mana sistem demokrasi selalu diselewengkan, pemimpin-pemimpin politik mula dihantui oleh perbuatan penyelewengan mereka atau parti mereka sejak lama dahulu. Mereka menyedari bahawa pemulihan ekonomi akan memakan masa yang lama kerana melibatkan fenomena global. Masa yang lama itu akan membawa kemungkinan kepada terbongkarnya semua ‘kejahatan’ mereka oleh kebangkitan sentimen rakyat yang terhimpit oleh kejatuhan ekonomi. Maka jalan pantas dan mudah mengatasi masalah ini ialah menimbulkan pelbagai kegalauan politik yang boleh mengalihkan perhatian rakyat.

Negara-negara di Asia banyak bergantung kepada pergerakan ekonomi di Barat. 45 % eksport Asia pergi Barat. Peningkatan eksport Asia ke Amerika Syarikat pada krisis kewangan 1997-1998 menyumbang kepada antara faktor penting pemulihan ekonomi di Asia. Sementara bank-bank di Asia dilihat banyak bergantung kepada hubungan dengan institusi kewangan di AS dan Eropah. Dengan berlakunya krisis kewangan yang teruk di AS dan Eropah, kecairan tunai menjadi kering dalam pasaran kewangan Asia. Krisis kewangan di AS dan Eropah yang berkembang menjadi krisis kewangan dunia itu juga menurunkan kadar tukaran matawang negara-negara Asia. Akibatnya syarikat-syarikat dalam kelompok industri kecil dan sederhana akan terbeban oleh hutang yang naik menjadi ‘mahal’, kerana mereka perlu membayar lebih banyak memandangkan nilai matawang mereka yang menjadi kecil.

Maka krisis kewangan dunia ini akan memberi kesan yang sangat besar terhadap ekonomi negara-negara Asia termasuk Malaysia. Kesannya akan berlaku secara berperingkat-peringkat. Ia bermula dengan masalah pembayaran hutang yang meningkat, pasaran yang lembap, permintaan yang menurun, dan penutupan kilang serta faktor pengeluaran. Pengangguran meningkat, inflasi, dan ruang pasaran menjadi semakin sempit. Kesan daripada ini membawa kepada peningkatan masalah sosial, kebangkitan pelbagai sentimen yang selama ini terkawal, dan hilangnya keyakinan terhadap kerajaan.

Pemimpin-pemimpin politik melihat masalah ekonomi sedang menjadi gelombang yang akan menghempas dan menghanyutkan mereka. Tanpa langkah yang drastik, mereka akan menjadi seperti orang salah yang menunggu untuk dipenggal. Untuk mendapat sokongan rakyat yang telah memilih membuang mereka tidak mungkin dapat dilakukan dengan cepat. Maka apa yang mampu dibuat dengan cepat dan mudah ialah mengalihkan perhatian rakyat kepada ancaman politik yang boleh menghilangkan kesejahteraan rakyat.

Kekecohan politik harus ditimbulkan sekerap yang mungkin untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah ekonomi kepada sentimen-sentimen yang menyentuh sensitiviti agama, etnik dan juga fahaman politik. Sentimen-sentimen ini sebenarnya boleh menjadi sesuatu yang amat merbahaya khususnya dalam konteks hubungan etnik atau kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Namun oleh kerana ahli-ahli politik memerlukan ‘kekecohan’, atau dalam ertikata lain lebih besar isu dan panjang masa kekecohan itu adalah lebih baik, kerana ia akan membuatkan perhatian rakyat akan teralih perlahan-lahan daripada masalah mereka.

Kekecohan di Perak memperlihatkan dimensi baru politik di Malaysia. Di sini ahli-ahli politik mempelajari bahawa demokrasi itu adalah sistem yang sangat rapuh. Mereka menyedari bahawa kelemahan dalam sistem demokrasi sebenarnya amat besar. Kuasa boleh sahaja diperolehi walaupun tanpa melibatkan undi atau sokongan rakyat. Dengan besarnya masalah untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, satu-satunya cara untuk berkuasa ialah dengan melancarkan tindakan-tindakan politik yang tidak memerlukan campur tangan rakyat melalui proses pengundian.

Ia boleh sahaja dibuat dengan membeli ADUN-ADUN untuk melompat parti, menjatuh dan mencemarkan peribadi ahli-ahli politik, serta sabotaj terhadap jentera yang menggerakkan kekuatan parti. Semua ‘peperangan’ ini tidak memerlukan penglibatan rakyat sebagaimana proses pilihanraya dan pengundian. Sebaliknya ia hanya memerlukan ahli politik yang mewakili rakyat serta media dan proganda untuk membangkitkan sentimen rakyat. Adakalanya diupah untuk berdemonstrasi dan mengibarkan sepanduk dengan janji mendapat kepentingan dan kemudahan tertentu.

Saat ini kita akan melihat lebih banyak lagi senario yang berkaitan dengan kepentingan politik. Ia bukan sahaja untuk membangkitkan sentimen seterusnya mengembalikan sokongan rakyat terhadap mereka, tetapi juga untuk menyapu masalah ekonomi yang semakin memburuk dan tidak terkawal ke bawah tikar – perlahan-lahan tanpa pengetahuan rakyat.

Bolehkah? Selama mana pula masalah ekonomi ini boleh disembunyikan dengan menyapunya ke bawah tikar?

Wasilah, 1-7 Mac 2009

REVIU FILEM


MAUT BUKAN FILEM DAKWAH

Agak malang apabila pembikin-pembikin filem dengan mudah mengisytiharkan filem mereka sebagai filem dakwah. Ini memandangkan filem-filem tersebut jauh sekali daripada konsep dan pengertian dakwah. Sebuah filem yang bercerita tentang kesedaran setelah bergelumang dengan maksiat tidak semudah itu menjadi sebuah medium dakwah. Apatah lagi apabila ia secara terang-terangan melakukan adegan maksiat, tidak kira ia sebuah lakonan atau teknik filem; pemaparan secara terangan perlakuan yang mendedahkan aurat apatah lagi pemaparan perbuatan maksiat adalah tetap merupakan kerja munkar. Apabila ia mempamerkan aurat dan melakukan pula perbuatan bersentuhan lelaki perempuan bukan muhrim; ia secara langsung adalah perlakuan maksiat dan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan pengertian dakwah.

Perkataan dakwah dalam bahasa Arab bermaksud ‘seruan’. Seruan atau dakwah adalah dikaitkan dengan menyeru manusia kepada ajaran Islam. Dari segi prinsip dan definisinya, dakwah adalah seruan yang mengajak manusia melakukan perbuatan baik yang dituntut oleh syariat (ma’ruf) dan melarang serta mencegah daripada melakukan perbuatan yang melanggar syariat Islam (munkar). Dakwah amal ma’ruf nahi munkar ini disebut sebagai da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t. Sementara seruan yang tidak mencegah perbuatan munkar, bahkan mempamerkan perbuatan tersebut secara terang-terangan merupakan ‘dorongan’ untuk manusia melakukan kejahatan atau disebut al-fahsya iaitu ‘membenarkan’ segala larangan Allah s.w.t. Ia juga disebut sebagai seruan syaitan, kerana ia melibatkan pemaparan perbuatan tercela, menyeleweng dan membuka pintu maksiat.

Seseorang yang ingin mengisytiharkan filemnya sebagai sebuah filem dakwah harus memahami sedalam-dalamnya apa itu makna dakwah dan apakah syarat sesebuah perbuatan itu disebut sebagai dakwah Islamiah. Jika pengarah filem itu tidak faham dan jahil tentang pengertian ini, adalah lebih baik jika mereka tidak menyelewengkan perkataan ‘dakwah’ itu dengan semborono dan sesuka hati. Pengarah-pengarah seperti Raja Azmi, Syed Mohamad (Akhirat), Yasmin Ahmad (Mualaf) dan juga Bade lebih baik menghasilkan filem tanpa melibatkan ‘pengisytiharan’ filem mereka adalah filem dakwah, sebelum mereka memahami benar-benar apa itu amal ma’ruf nahi munkar secara perbuatan, penglihatan mahupun pendengaran.

Maut dengan judul asalnya Malaikat Maut adalah sebuah filem yang cuba-cuba menyampaikan seruan Islam dengan memperlihatkan balasan-balasan di dunia terhadap perbuatan-perbuatan munkar. Ia mewujudkan dikotomi hitam putih dalam membandingkan hukuman dan ganjaran hidup yang diperolehi manusia akibat perbuatan mereka. Tiga buah cerita yang digabungkan dalam sebuah filem cuba meletakkan perkaitan dengan turutan bulan Syaaban, Ramadhan dan Syawal. Cerita pertama berlaku dalam bulan Syaaban tidak banyak memberikan cetusan dikotomi hitam putih tersebut. Suriani (Liyana Jasmay) diseru ruh seorang gadis yang mati akibat teraniaya. Cerita ini tidak ada kejutan kecuali mempamerkan kisah yang banyak kali diulang dalam pelbagai filem.

Cerita Farah (Sabrina Hassan) yang berlaku dalam bulan Ramadhan memberikan dikotomi hitam putih kehidupan seorang peragawati yang berkahwin dengan lelaki Eropah itu Duke. Namun kehidupan Farah mengikut jalan yang salah. Segala perbuatan munkar dilakukan tanpa batasan. Minum arak, berparti, tidak sembahyang dan puasa dalam ertikata hidup lebih mengikut Duke daripada membawa Duke kepada Islam. Farah lari daripada Duke selepas pergaduhan dan menemui kemalangan. Dalam koma Farah didatangi pengalaman bawah sedar yang mengerikan berupa seksaan terhadap manusia yang mengingkari perintah Tuhan. Ceritanya tamat dengan kesedaran Farah.

Cerita ketiga tentang Jamil (Que Haidar) yang hidup dengan amalan black metal dan mencemuh agama. Termasuk mencemuh kitab suci al-Quran melalui dialognya dengan watak orang tua misteri. Jamil akhirnya kemalangan dan mengalami koma. Dalam koma pelbagai bayangan datang dan membalas semua perbuatan Jamil. Jenazah Jamil juga tidak diterima bumi. Cerita ini cukup memberikan dikotomi hitam putih dalam memperlihatkan ganjaran dan balasan terhadap perbuatan manusia.

Pada hakikatnya tiada yang istimewa dalam semua cerita yang ditampilkan dalam Maut. Semua cerita tersebut adalah salinan daripada cerita-cerita yang menjadi mitos dalam masyarakat Melayu. Sememangnya ‘mitologi’ ini cuba memupuk kesedaran tentang balasan terhadap perbuatan umat Islam yang mengingkari ajaran Islam. Kita mungkin dapat menerima bahawa mitos adalah suatu bentuk sistem kebudayaan yang melembagakan peraturan secara tidak langsung melalui dikotomi ganjaran dan balasan oleh setiap perbuatan manusia. Tetapi kita juga harus menyedari bahawa mitos bukanlah satu kebenaran agama atau dalam kata lain da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t. Ini adalah kerana syariat berpandukan al-Quran dan al-Hadis sedangkan mitos adalah sinkretisme agama dan budaya pra-agama.

Maka jika dilihat di sini wujud percampuran antara mitos iaitu kepercayaan masyarakat yang dibina daripada pengaruh Islam, tetapi bercampur aduk dengan unsur-unsur ‘karut’ kepercayaan masyarakat Melayu. Hal-hal ghaib dan misteri tidak boleh dijadikan asas kepada da’watu’l-haq kerana da’watu’l-haq secara mutlak berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Da’watu’l-haq tidak mencampuradukkan antara kebenaran al-Quran dengan kepercayaan yang tercipta daripada imaginasi manusia. Di sini wujud gambaran yang sangat jelas tentang da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t.

Penampilan gejala maksiat dan aksi separuh bogel serta peluk cium antara bukan muhrim, bahkan jika muhrim pun – mempertontonkannya adalah jelas satu perbuatan munkar. Apa yang dilakukan oleh pelakon dalam aksi peluk cium lelaki perempuan, lagak minum arak dan mendedahkan aurat tidak memberikan pengecualian daripada dosa amalan munkar. Apa yang dilakukan dalam filem ini walaupun adalah lakonan ia tetap adalah perkara munkar.
Maka tidak mungkin sebuah filem yang melakukan kemungkaran melalui aksi lakon tersebut dapat dikatakan sebagai sebuah filem dakwah. Filem dakwah sama sekali harus mencegah sebarang perlakuan yang melanggar syariat Islam. Dakwah bukan hanya pernyataan yang diluahkan atau diekspresikan tetapi adalah amalan dan tindakan amal ma’ruf nahi munkar daripada semua bentuk keadaan.

Bade mempunyai niat yang baik untuk menghadirkan sebuah filem yang cuba menyedarkan masyarakat. Tetapi cara dan kaedah yang dilakukan itu adalah salah, jika ia mahu dihubungkan dalam konteks dan pengertian dakwah. Paling penting untuk disedari di sini bahawa kepercayaan masyarakat Melayu berhubungan peristiwa ghaib dan misteri sama sekali tidak boleh diletakkan sebagai da’watu’l-haq yang berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Wajah dan penampilan yang dibawa oleh filem Maut, sama sekali tidak meletakkannya sebagai sebuah filem dakwah. Tanpa menafikan balasan dan ganjaran syurga-neraka yang diperolehi oleh manusia daripada perbuatan mereka, Islam tidaklah pula perlu mengangkat keajaiban imaginasi demi dakwahnya. Maut dalam hal ini hanyalah filem yang mengangkat mitos dalam masyarakat Melayu yang terbina daripada teras pengaruh Islam, tetapi bukan sebuah filem dakwah Islamiah.

DUNIA TANPA TIRAI


DEMOKRASI MENUJU KEKACAUAN

Pada tahun 594SM, seorang negarawan Athens, Solon telah dilantik menjadi Ketua Hakim (Arkon) Athens. Solon mula menyusun undang-undang dan memperkenalkan apa itu yang dipanggil demokrasi. Undang-undang dasar Solon membahagikan warganegara Negara Athens kepada empat kelas dan membentuk tiga dewan perwakilan. Pertama ialah Dewan Areopagus, sebuah lembaga yang paling disegani dan dihormati yang dianggotai oleh kaum bangsawan dan hartawan; juga merupakan para politikus. Kedua ialah Dewan Boule iaitu Dewan Empat Ratus, merupakan sidang daripada perwakilan keempat-empat kelas warganegara Athens. Ketiga ialah sidang umum iaitu Ekklesia yang merupakan sidang khusus untuk mendengar suara warganegara kelas empat atau rakyat umum.

Namun kerana pengaruh dan kuasa politik tetap dipegang oleh golongan bangsawan yang bersifat feudal, asas-asas demokrasi yang dikemukakan oleh Solon segera lenyap sebaik sahaja beliau keluar meninggalkan Athens. Pesistratos segera mengangkat dirinya menjadi tirani di Athens pada 560SM, dan memusatkan kuasa kepada dirinya serta kelompok bangsawan feudal yang menyokongnya. Suatu bentuk oligarki wujud di Athens sehinggalah muncul Cleisthenes pada 508SM yang kembali mengangkat demokrasi yang diperkenalkan oleh Solon. Tetapi jawatan penting dan berpengaruh masih dikuasai oleh golongan bangsawan.

Athens melalui zaman gemilang di bawah Pericles yang gigih membatasi kuasa dan pengaruh Dewan Areopagus (bangsawan feudal) dan membesarkan kuasa Dewan Boule dan Ekklesia. Demokrasi dikatakan semakin mantap pada zaman Pericles. Pada zaman Pericles inilah lahir dan membesar seorang ahli falsafah ulung iaitu Plato. Berlakunya Perang Peloponesos yang menyaksikan kekalahan Athens kepada Sparta, menjadikan Plato sebagai seorang yang sangat kritis terhadap sistem demokrasi. Plato melihat kekalahan itu sebagai akibat kegagalan sistem demokrasi untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian.
Apatah lagi demokrasi pada waktu itu diburukkan lagi dengan kemunculan kelompok tiga puluh tirani daripada kalangan bangsawan-oligarki yang mengeksploitasi demokrasi menjadi sistem diktator yang sangat kejam dan jahat. Bahana oligarki daripada 30 tirani inilah yang menghukum bunuh guru agung Plato iaitu Socrates. Kesan itu telah menjadikan Plato meletakkan tunggak falsafahnya kepada politik. Plato meletakkan Negara paling baik ialah Negara Aristokrasi yang diperintah oleh golongan terpilih iaitu ahli falsafah. Keduanya Timokrasi iaitu pemerintahan demi darjat, hampir sama dengan Aristokrasi. Ketiga, Oligarki yang timbul setelah kemerosotan Timokrasi, menyaksikan pemerintahan kelompok yang berpengaruh. Keempat barulah demokrasi yang memberikan kebebasan yang sedemikian rupa kepada warganegara. Kebebasan menjadi tidak terbatas sehingga wujudnya keadaan yang kelima iaitu Anarki, menyaksikan kekacauan akibat kebebasan yang menjadikan setiap orang mengambil serta mengatur diri sendiri sesuka hati mereka.

Di Malaysia, kita sekarang sedang melihat tahap transisi Demokrasi menuju kepada Anarki. Bermula dengan keghairahan Anwar Ibrahim untuk membina kerajaan Pakatan Rakyat dengan menarik wakil-wakil BN melompat parti memasuki PR, kini ia menular menjadi matlamat baru mencapai cita-cita politik kedua-dua pihak. Kerajaan Perak runtuh oleh tindakan tidak bermoral beberapa orang ADUN mengisytiharkan diri mereka keluar dari parti. Ia bermula dengan tindakan tidak bermoral ADUN BN sebelum ini yang melompat menyertai PKR. Terdahulu daripada itu Parti SUPP telah membuat olah dalam BN.

Semua keadaan ini memperlihatkan situasi tidak bermoral yang kini menjadi wabak menular dalam politik demokrasi di Malaysia. Kedua-dua pihak baik PR mahupun BN terjerumus dalam perlakuan tidak bermoral ini. Baik UMNO, komponen BN, PKR, PAS mahupun DAP semuanya melalui satu bentuk situasi yang dikatakan oleh Plato iaitu kegagalan sistem demokrasi untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian. Tidak ada parti pun yang mampu mengatakan mereka menjuarai nilai agama dan moral jika siasah mereka sudah tidak mampu lagi untuk meletakkan rasa hormat kepada kotak undi yang merupakan lambang kepada peraturan dan undang-undang yang melegitimasikan kuasa politik pilihan rakyat.
Tindak tanduk kedua-dua kuasa politik PR dan BN memperlihatkan bagaimana kegilaan politik mempersendakan kehadiran rakyat. Pujukan dan ‘pembelian’ wakil rakyat seolah-olah menjadikan rakyat seperti tidak wujud. Kuasa dicaturkan dengan ‘membeli dan memujuk’ wakil-wakil rakyat yang tidak bermoral dan tidak beretika ini demi membolehkan mana-mana pihak untuk berkuasa tanpa memerlukan kehadiran rakyat. Rakyat tidak membuat pilihan di sini. Tetapi sebaliknya parti dan pemimpin politik yang membuat pilihan untuk diri mereka dan parti mereka – dalam berkuasa terhadap rakyat.

Kerajaan Perak jatuh akibat kehancuran nilai etika, moral dan politik dalam sistem demokrasi di Malaysia. BN mungkin boleh dipersalahkan terhadap kehancuran demokrasi ini, tetapi PR yang begitu ghairah melobi melalui pemimpin utamanya Anwar Ibrahim juga sama buruk dan busuknya dalam memperlihatkan ketamakan untuk memperolehi kuasa dengan cara yang amat jelek dan tidak bermoral. UMNO melakukan hal yang jelek dengan menarik tiga ADUN PR, seterusnya menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat di Perak tanpa melalui proses demokrasi. Tetapi jika UMNO tidak melakukan, PKR juga antara parti paling ghairah untuk menjatuhkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi ini. Kini PR menerima bahana daripada tindakan yang mereka sendiri mulai.

Jika PAS ingin bercakap tentang siasah Islam, mereka terlebih dahulu merujuk kepada sejarah Perjanjian Hudaibiyyah di mana pihak muslimin mematuhi perjanjian untuk memulangkan orang kafir yang memeluk Islam kepada kaum mereka; kerana Islam mematuhi dan menghormati prinsip politik yang luhur. Tetapi di sini PAS juga bersekongkol dengan tindakan tidak bermnoral teman mereka dalam PR yang mencari strategi untuk mencapai matlamat politik tanpa melalui proses persetujuan rakyat.

Sepertimana yang dilihat oleh Plato, demokrasi pada peringkat akhir akan menjadi sebuah raksasa yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian – dan akhirnya terjerumus dalam anarki. Parti-parti politk yang semakin tidak bermoral di Malaysia kini dapat dilihat sedang membawa politik Malaysia ke era baru – era anarki. Kuasa dicapai dengan kebebasan pilihan individu dan bukan pilihan rakyat dalam prinsip kolektif, demokrasi.


Wasilah, 15-21 Februari 2009