Thursday, June 4, 2009

DUNIA TANPA TIRAI




PENULIS MUDA DAN PERHATIAN KERAJAAN

Baru-baru ini berlangsung Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang menghimpunkan penulis-penulis muda dalam dunia sastera serta peserta-peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Perhimpunan penulis selalunya dipandang sepi oleh kerajaan, tidak terkecuali parti-parti politik baik di pihak mana sekalipun. Penulis apatah lagi sasterawan tidak dianggap sebagai bahagian penting dalam mana-mana perencanaan politik. Apatah lagi di Malaysia, di mana para penulis selalunya hanya dilihat sebagai karyawan atau seniman jauh terpinggir dalam dunia seni mereka yang tidak banyak memberi kesan terhadap sebarang perencanaan masyarakat secara politikal dan ekonomikal. Selebihnya para penulis hanya dianggap sebagai hama-hama yang berapungan di udara. Mungkin sedikit boleh memberi gatal, ataupun hilang begitu sahaja apabila dihembus angin.

Para penulis selalunya tidak diberi sebarang perhatian serius oleh kerajaan. Maka itu apabila para penulis muda ini berhimpun, Kementerian Belia dan Sukan tidak mengambil perhatian malah menolak permohonan mereka untuk mendapatkan dana dan bantuan bagi penganjuran ini. Para penulis muda ini berhimpun selama tiga hari dengan mengadakan seminar, dialog serta perbahasan yang bukan sahaja menyangkuti isu sastera dan bahasa malahan soal pemansuhan PPSMI serta dasar kerajaan terhadap pembinaan modal insan melalui sistem pendidikan. Ternyata dalam hampir 200 orang peserta tersebut, terdapat begitu ramai penulis muda yang menulis dalam pelbagai bentuk penulisan yang mengisi pelbagai ruang media massa.

Penulis-penulis muda ini sebenarnya dari satu sudut merupakan gerbang kepada ilmu pengetahuan dan maklumat masyarakat. Ini kerana melalui penulisan-penulisan merekalah masyarakat mendapat maklumat dan pengetahuan tentang sesuatu isu tidak terkecuali isu-isu politik. Dalam konteks kerajaan, jika modal insan yakni penulis-penulis muda ini dapat dilibatkan atau digemblengkan untuk membentuk gelombang maklumat dan pengetahuan bagi masyarakat khususnya golongan muda di luar sana; sekaligus mencambahkan nilai positif kepada masyarakat melalui penulisan mereka, sudah tentu ia dapat membantu untuk menangani permasalahan sosial yang berlaku dalam masyarakat khususnya golongan muda dewasa ini.

Tulisan-tulisan dalam bentuk rencana dan buku cerita novel banyak dibaca oleh golongan muda. Secara tidak langsung ia mempengaruhi cara anak-anak muda berfikir, bahkan juga mempengaruhi sudut pandangan anak-anak muda dalam melihat kepada sesuatu isu. Dalam pesta buku antarabangsa baru-baru ini, ratusan ribu buah buku-buku cerita terjual dengan bahagian besar pembelinya adalah golongan muda. Buku-buku cerita popular tentunya menjadi bahagian besar daripada jualan buku ini. Sebahagian besar daripada buku cerita popular ini berkisar kepada soal cinta muda mudi dan cerita masyarakat yang berkisar kepada kehidupan seharian yang diolah dengan imaginasi penulis. Bagaimanapun terdapat juga penulis-penulis cerita percintaan popular ini menyelitkan unsur-unsur pendidikan dan nilai moral, tidak terkecuali nilai-nilai Islam untuk tatapan muda-mudi penggemar novel popular ini.

Masalah sosial termasuk gejala mat rempit, bohsia dan sebagainya seratus peratus berlaku kepada golongan remaja. Sehingga hari ini kerajaan hanya menemukan jalan penyelesaiannya secara ‘rod and stick’, iaitu memberikan hukuman-hukuman keras secara fizikal. Dari satu sudut, penyelesaian ini lebih merupakan penyelesaian jangka pendek. Tindakan kerajaan dalam melihat kepada penyelesaian jangka panjang tidak menampakkan sebarang kebijaksanaan yang meyakinkan. Ini mungkin kerana kerajaan pada hari lebih menyenakkan kepala mereka dengan kehidupan politik dan ekonomi yang berat kepada keduniaan sehingga mereka tidak dapat melihat model-model penyelesaian terhadap masalah sosial ini melalui pendekatan budaya yang mampu menerapkan nilai-nilai rohaniah atau spiritual values yang bersifat intangible.

Perhimpunan penulis muda yang dianjurkan baru-baru ini boleh dijadikan ruang untuk mencari penyelesaian secara budaya, yakni melalui penerapan nilai dan pemikiran hasil daripada penulisan para penulis muda ini kepada golongan muda di luar sana. Malangnya Kementerian Belia dan Sukan yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Pemuda UMNO iaitu YB Dato’ Razali Ibrahim tidak dapat melihat ruang penyelesaian budaya ini, selain daripada melihat projek-projek belia yang bersifat jangka pendek serta lebih cenderung kepada penyelesaian secara jasmaniah dan materialistik. Ini memperlihatkan bagaimana jauhnya Pemuda UMNO daripada golongan muda yang menjadi agen kepada perubahan masyarakat, yakni para penulis yang menjadi gerbang kepada maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat.

Tidak hairanlah apabila dilihat golongan muda yang menjadi penentu kepada undi politik ini tidak memihak kepada UMNO. Ini adalah kerana Pemuda UMNO pada hakikatnya tidak memainkan peranan yang berkesan dan tidak menemui sasaran yang tepat dalam menarik golongan muda. Pemuda UMNO yang sepatutnya agresif dan proaktif dalam mendekati golongan pemikir muda, khususnya begitu ramai dalam kalangan penulis muda ini, tidak melakukannya. Sebaliknya pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO ini lebih selesa bermalas-malas mengecapi nikmat pangkat dan mengejar kemewahan projek-projek belia jangka pendek itu, yang boleh diperolehi dengan mudah melalui kedudukan mereka dalam kerajaan daripada bekerja keras mendekati golongan pemikir muda secara berdialog dan berdepan mata.

Lantaran itu Pemuda UMNO pada hari ini lebih dilihat sebagai kehadiran borjuis baru yang mencipta fenomena politik neo-borjuis, yang sekaligus mewujudkan sentimen jelek di kalangan golongan muda. Hal ini secara langsung menjauhkan golongan muda daripada UMNO khususnya dan kerajaan umumnya. UMNO tidak akan dapat menarik sokongan golongan muda jika sayap Pemudanya tidak bekerja keras memainkan peranan yang berkesan dalam mendekati golongan pemikir muda khususnya di kalangan para penulis. Sepatutnya Pemuda UMNO dengan Timbalan Ketuanya YB Dato Razali Ibrahim yang mempunyai kapasiti sebagai Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan dapat melihat penyelesaian budaya melalui gerakan mendekati golongan pemikir muda ini dalam menarik golongan muda kepada kerajaan. Namun malangnya hal ini tidak dapat dilihat, dan Pemuda UMNO terus menjadi organisasi yang eksklusif dan borjuis yang amat jauh daripada golongan muda.

Perhimpunan Penulis Muda telah mencapai resolusinya, yakni persetujuan sebulat suara 200 orang para penulis dan pemikir muda yang menegaskan pendirian mereka tentang pelaksanaan PPSMI hendaklah dimansuhkan dengan segera. Resolusi ini juga meminta Kementerian Belia dan Sukan mengiktiraf golongan penulis muda dengan memberikan dana khas setaraf dengan pertubuhan belia yang lain. Resolusi yang melibatkan Kementerian Belia dan Sukan tersebut membuatkan kita tertanya-tanya apakah golongan penulis muda yang memainkan peranan yang sangat besar dalam penyebaran ilmu, pengetahuan dan maklumat ini tidak pernah diiktiraf sebagai kumpulan belia yang wajar diberi dana dan bantuan untuk bergerak? Jika ini bentuk pemikiran Kementerian Belia dan Sukan maka tidak hairanlah mengapa gejala sosial di kalangan belia semakin buruk dari sehari ke sehari. Ini adalah kerana ketidakmampuan Kementerian Belia dan Sukan dalam melihat penyelesaian secara budaya yang bersifat jangka panjang, dan keupayaannya untuk mengoptimumkan ruang penyaluran ilmu pengetahuan yang membentuk nilai positif melalui golongan penulis serta pemikir muda ini.

Tidak hairanlah penulis dan pemikir muda yang kritis dan intelektual pada hari ini sedang bergerak ke arah yang gelombang pembaharuan yang menolak kekuasaan politik yang berkubu di dahan rapuh itu.