Sunday, July 17, 2011

PAS DAN KUASA POLITIK BANDAR

Bandar Baru Bangi adalah sebuah bandar yang dibangunkan seiring dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Ia dikenali sebagai bandar ilmu yang berkembang pesat dari hari ke hari. Terletak di tengah antara bandar Kajang dan Putrajaya seperti menjadi gerbang antara bandar tradisional dan bandar moden, selebihnya ia menjadi titik penting kepada bandar baru di Selangor yang berpotensi menyaingi Shah Alam. Bahkan Bandar Baru Bangi lebih strategik dengan kedudukannya berhampiran pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, dan dikelilingi pusat pengajian tinggi yang ternama di samping institusi-institusi latihan serta penyelidikan yang penting di Malaysia. Institusi penting ini antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, UNITEN, USIM, IKRAM, Institut Latihan Kehakiman, PORIM, MARDI, Malaysia-French Institute MFI, Pusat Latihan Perindustrian, Maktab Perguruan Islam, Pusat Latihan KPLK, Pusat Penyelidikan Tenaga Atom Puspati dan begitu banyak lagi.

Populasi penduduk Bandar Baru Bangi hampir mencecah 200 ribu orang, sebahagian besar daripadanya merupakan golongan akademik, teknokrat, birokrat dan kakitangan yang berkerja di institusi-intitusi penting ini. Tidak terkecuali juga, menetap tokoh-tokoh ilmuan yang begitu ramai menjadi penduduk tetap di sini. Tidak mustahil sama sekali Bandar Baru Bangi muncul sebagai sebuah bandar moden yang dilengkapi prasarana bertaraf dunia memandangkan kedudukannya tersebut. Hartanah di Bandar Baru Bangi antara yang mempunyai nilai tinggi di Selangor, hampir menyamai nilai hartanah di Shah Alam dan juga Subang Jaya. Sehingga hari ini, kedai-kedai moden dengan restoran-restoran mewah bercambah di Bandar Baru Bangi. Majoriti penduduk Bandar Baru Bangi yang beragama Islam menjadikannya sebagai bandar yang dipenuhi masjid dan program-program Islam. Hal ini berlaku secara semulajadi, bukan kerana pemerintahan PAS yang ada sekarang. Bahkan ketika Bandar Baru Bangi di bawah pemerintahan UMNO Bandar Baru Bangi telah pesat membangunkan masjid dan program-program Islam. PAS hanya masuk memakaikan jubah dan kopiah kepada apa yang telah sedia ada. Itu sahaja yang dilakukan PAS.

Apa yang amat mendukacitakan, Bandar Baru Bangi kini menjadi bandar sesak, tidak terurus dan kotor. Pada tahun 2008, gelombang politik turut melanda Bandar Baru Bangi yang menyaksikannya jatuh ke tangan PAS. Pemerintahan PAS di Bandar Baru Bangi menyaksikan kegagalan PAS untuk mentadbir kawasan bandar atau lebih tepat kawasan moden yang kompleks. PAS mungkin lebih selesa dan berjaya di kampung-kampung yang mana suasananya lebih simplistik, manual, dan tradisional. Apabila PAS diberi peluang untuk mentadbirkan kawasan bandar yang lebih kompleks, adalah sangat jelas terlihat ketidakmampuan dan ketidakupayaan PAS dalam pengurusan moden yang kompleks. Bandar Baru Bangi adalah contoh ketidakmampuan dan ketidakupayaan PAS yang paling jelas. Prasarana yang tidak teratur dengan jalan yang sesak, sistem perparitan yang tidak terurus, serta kemudahan-kemudahan penduduk yang tidak dipertingkatkan – PAS seharusnya mengakui ketidakupayaan mereka mentadbir kota. Dalam pada itu, PAS tidak mempunyai kebolehan untuk membentuk sebuah sistem moden yang cepat dan tangkas mengejar peredaran zaman.

Penduduk Greek suatu ketika dahulu muncul sebagai kelompok-kelompok penghijrah ke wilayah peradaban Crete dan Mysenia. Mereka membina petempatan-petempatan yang bertaburan di kawasan yang mundur dan tersisih. Namun kemudiannya mereka bergabung dan mula membentuk petempatan yang lebih tersusun dan teratur. Dari sini mula lahir kota-kota yang akhirnya membentuk peradaban baru di Lautan Aegean. Maka lahirnya negara kota seperti Athens, Sparta, Thebes dan sebagainya. Sistem kependudukan kota yang teratur dan sistematik ini disebut sebagai ‘polis’. Perkataan politik adalah berasal daripada perkataan ’polis’ ini. Ini menandakan bahawa politik lahir apabila sistem masyarakat menjadi teratur dengan terbinanya kota-kota yang tersusun serta dilengkapi segala bentuk kemudahan dan peraturan. Peraturan dan sistematik masyarakat ini melahirkan peradaban dan akhirnya mencambahkan pemikiran-pemikiran besar terutamanya tentang politik. Suasana politik di Greek melalui perkembangan kuasa Raja, Aristokrat dan Ahli-ahli politik (Polis). Daripada peradaban negara kota inilah lahir sistem demokrasi yang diamalkan sehingga hari ini.

Suasana dan perkembangan peradaban ini secara umumnya bersifat sejagat. Hal yang sama juga disebut oleh Ibnu Khaldun tentang bagaimana sesebuah tamadun yakni negara yang berperaturan, dipenuhi oleh kaum intelektual, maju dan makmur itu terbina. Ibnu Khaldun menyebut tentang bagaimana proses ketamadunan terbentuk apabila kehidupan desa umran badawi berubah kepada kehidupan kota umran hadari, yang memperlihatkan kehidupan berpindah randah dan tidak sistematik itu bertukar kepada kehidupan menetap dan sistematik. Sesebuah tamadun lahir daripada perkembangan yang bergerak daripada premis yang simplistik kepada premis yang kompleks. Dalam kata lain tamadun lahir di bandar dan kota yang berhasil membina kehidupan yang sistematik. Daripada perkembangan sistem perbandaran yang maju ini terhasil pula kemakmuran sejagat yang disebut umran al-alam. Bagaimanapun dari sisi lain umran al-alam ini juga merujuk kepada sistem alamiah yang menentukan perkembangan serta kemajuan hidup manusia terlahir daripada proses yang sistematik dan berperaturan. Sepertimana Plato, Ibnu Khaldun juga mempercayai bahawa ‘polis’ yakni masyarakat yang teratur adalah asas kepada lahirnya politik.

Poltik yang dipunyai oleh PAS adalah politik yang tidak mampu mencatur suasana ‘polis’, yakni suasana pemikiran dan sistem yang kompleks dalam masyarakat. Lebih tepat lagi, PAS tidak mampu menguasai politik moden yang ada pada hari ini bahkan sangat mundur dalam perencanaan dan pengurusan politik dalam masyarakat, khususnya politik bandar. Politik bandar seperti yang dikatakan oleh Plato dan Ibnu Khaldun adalah titik kepada kuasa sebenar politik, malah inti kepada keseluruhan konsep dan definisi politik itu sendiri. Politik bandar yang membentuk makna tentang ‘polis’ adalah lambang kepada kebijaksanaan pemikiran dan kekuasaan yang sistematik, sebenarnya tidak dimiliki oleh PAS. Lantaran itu dalam beberapa hal, PAS menjadi sangat bergantung kepada PKR dan DAP. Dalam melihat kepada perencanaan politik, DAP adalah sebuah institusi yang amat menguasai politik moden, dalam ertikata lain suasana ‘polis’ tersebut. DAP mempunyai tenaga dan jentera yang sempurna dalam percaturan politik bandar dan politik moden.

PAS mungkin mempunyai kekuatan fundamental melalui pengundi Melayu-Islam yang mereka kuasai di kampung-kampung dan pinggir bandar (serta pilihan golongan pertengahan Melayu oleh protes terhadap UMNO). Kekuatan fundamental ini memberikan mereka kuasa majoriti berbanding PKR dan DAP. Namun kekuatan fundamental ini juga bukan merupakan sesuatu yang tetap malah seringkali diancam oleh UMNO. Dengan kekuatan fundamental yang masih tidak stabil sepenuhnya ditambahkan dengan kemunduran PAS dalam percaturan politik moden atau politik bandar, PAS menjadi sangat bergantung kepada DAP untuk perkembangan kuasa politik yang lebih jauh. Bahkan DAP ternyata lebih kuat dan perkasa dari segi prinsipnya daripada PAS. Ini terbukti PAS sekali lagi tunduk kepada DAP, apabila DAP mengugut PAS terhadap keputusan kerajaan PAS di Kedah yang berhasrat menutup pusat hiburan pada bulan Ramadhan. Ini membuatkan PAS tidak berkuasa untuk mempertahankan Islam, yang termaktub sebagai agama rasmi Persekutuan yang sewajarnya boleh bertindak untuk menuntut penghormatan daripada masyarakat bukan Islam terutamanya menutup pusat hiburan pada bulan Ramadhan. Tetapi hal ini juga tidak mampu dipertahankan oleh PAS yang lemah, mundur dan keliru menghadapi kompleksiti politik moden.

Bandar Baru Bangi memperlihatkan kegagalan PAS menguruskan suasana bandar yang komplek sekaligus kegagalan memahami konteks ‘polis’ dan ‘umran’. Ia jelas menunjukkan ketidakupayaan PAS untuk menjadi tenaga besar politik masa kini dan masa hadapan. PAS hanya bergelut dalam tubuh dinosaur yang telah pupus, dan pada masa yang sama kehilangan prinsip untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam kerana kalah dengan kemajuan pemikiran, perencanaan dan prasarana institusi politik moden seperti DAP (yang membuatkan prinsip DAP jauh lebih teguh daripada PAS).

Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 DAN KEPALSUAN REALITI

Pada 9 Julai 2011, Perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut ketelusan dalam Pilihanraya meledak di Kuala Lumpur. Lebih 50,000 orang menyertainya terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan sebagainya. Pelbagai cara dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk menghalang Bersih 2.0, terutamanya menggunakan jentera penguatkuasaan kerajaan seperti polis. Tetapi ‘pengeboman media’ secara besar-besaran oleh Kerajaan BN telah dilakukan dengan gencar sejak dua minggu lepas. Seminggu sebelum 9 Julai 2011, ‘pengeboman media’ serta pelbagai kaedah dipertingkatkan sehingga ke tahap habis-habisan. Bersih 2.0 dan pendokong-pendokongnya dilabelkan sebagai ‘penjahat dan perosak negara’. Begitu juga dengan putar belit pemimpin tertinggi BN bersepakat dengan Menteri Dalam Negeri mempermain-mainkan penganjur Bersih 2.0 untuk memberikan Stadium Merdeka tetapi kemudian mengadakan pelbagai alasan untuk menghalangnya. Putar belit dengan sikap mengejek dan mempermainkan ini dilihat sebagai sikap munafik kerajaan BN, adalah antara faktor meningkatnya sokongan ramai terhadap Bersih 2.0. Jika janji untuk memberikan stadium itu dipenuhi huru hara sebagaimana yang berlaku pada 9 Julai 2011 kemungkinan besar tidak akan berlaku.

Namun sesuatu yang mengejutkan apabila Bersih 2.0 mendapat sokongan rakyat yang begitu besar, walaupun amaran dan tindakan keras termasuk menghalang semua lalu lintas masuk ke Kuala Lumpur dilakukan oleh pihak polis. Sememangnya dijangka kemampuan parti-parti politik terutamanya PAS menggerakkan massa ke jalan raya, bersama ‘kepakaran’ penyokong PKR yang pelbagai bangsa menggerakkan demonstrasi tetapi jangkaan demonstari ini berlaku dalam skala besar tidak begitu diyakini. Ini adalah kerana tindakan sistematik dan menyeluruh yang dilakukan oleh Kerajaan BN menggunakan semua media dan jentera penguatkuasa yang ada untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0, memungkinkan perhimpunan ini lumpuh. Sebaliknya perkara yang tidak dijangkakan telah berlaku. Dalam kata lain jangkaan berlaku demonstrasi dalam skala besar dan terancang dengan pergerakan pelbagai arah sehingga ‘menawan’ Kuala Lumpur adalah sama sekali tidak diduga. Apatah lagi ia menghimpunkan rakyat pelbagai bangsa dan segenap lapisan masyarakat (ia mencabar propaganda 1Malaysia sebenarnya, kerana perpaduan kaum di dalam Bersih 2.0 lebih jujur sifatnya).

Malamnya selepas berita dan ‘kutukan’ terhadap Bersih 2.0, televisyen RTM rangkaian dua menyiarkan filem Die Hard 4, lakonan Bruce Willis sebagai polis bernama John Maclaine. Sebuah filem bikinan awal dekad 2000-an yang mengisahkan sekumpulan penggodam komputer yang menjadi pengganas untuk memusnahkan semua sistem elektronik di Amerika Syarikat. Apa yang menariknya, seorang penggodam yang dilindungi oleh John Maclaine, memperli Maclaine yang mendengar berita radio dan percaya kepada berita di radio, dengan mengatakan bahawa radio atau media adalah alat untuk mereka-reka berita dan perkara-perkara palsu bagi menakutkan orang ramai dan akhirnya membuatkan orang ramai membeli produk mereka atau mengambil perlindungan mereka. Kenyataan ini sebenarnya pernah diluahkan oleh pemikir-pemikir pascamoden seperti Jean Baudrilard yang menyebut bahawa semua realiti adalah palsu. Media, mesin dan jentera yang terpantak di minda manusia setiap masa adalah realiti yang palsu. Realiti ini, kata Baudrilard adalah keghairahan untuk berilusi (passion for illusion). Imej yang dilihat atau apa yang didengar di media, mesin dan jentera teknologi hari ini bukan lagi realiti atau kebenaran, tetapi sebaliknya hanya penjanaan simulasi. Baudrilard mengatakan bahawa horizon simulasi yang berleluasa ini bukan sahaja membuatkan kebenaran sebenar itu hilang, tetapi sempadan antara realiti dan maya itu juga sudah sirna.

Maka apabila media-media Kerajaan BN menyebarkan propaganda besar-besaran untuk memburukkan Bersih 2.0, dan seterusnya menggagalkan perhimpunan dengan cuba mempengaruhi orang ramai, ia jelas memperlihatkan bahawa simulasi media itu kini sudah tidak menjadi satu-satunya sumber kebenaran kepada orang ramai. Masyarakat pascamoden hari ini mempunyai pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat dan tidak lagi mempercayai maklumat sepihak. Lebih buruk lagi tindakan media yang berlebih-lebihan menjadikan orang ramai terpaksa memberi perhatian dan mencari sumber-sumber lain di luar media yang dikuasai kerajaan untuk mencari kebenaran. Lebih malang lagi, pengguna yang menggunakan media alternatif lebih besar daripada pengguna media konvensional yang menjadi alat utama Kerajaan BN. Bahkan media yang disebut sebagai media alternatif tidak lagi bersifat pinggiran (peripheral) sebaliknya bertukar menjadi sifat perdana atau pusat (centre). Media televisyen, radio dan suratkhabar yang dikuasai oleh kerajaan BN sudah bertukar kedudukannya menjadi pinggiran (peripheral) terutamanya dalam mencari kebenaran politik.

Kerajaan BN harus melupakan tentang Anwar Ibrahim, Ambiga, PAS dan DAP yang dikatakan mempergunakan rakyat. Hentikanlah temubual-temubual jalanan, propaganda murahan, laporan kerugian peniaga kecil kerana demonstrasi jalanan, kesesakan lalu lintas akibat perhimpunan dan sebagainya. Ini semua tidak mampu lagi mempengaruhi rakyat. Bersih 2.0 bukan faktor sebenar kepada bangkitnya rakyat untuk berhimpun secara besar-besaran. Faktor Anwar, Ambiga dan politik pembangkang bukan sebab sebenar kebangkitan rakyat ini. Apa yang sebenarnya berlaku ialah keperitan rakyat sekarang ini menanggung segala kenaikan harga barangan, bil elektrik dan segala bil kemudahan, kenaikan harga makanan, perumahan dan keperluan asas – sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup. Lebih buruk lagi, rakyat disogokkan dengan retorik-retorik kosong pembangunan, pertumbuhan ekonomi, negara berpendapatan tinggi, model ekonomi baru, nkra, gtp, dan sebagainya – sedangkan rakyat semakin sesak dan terhimpit dari hari ke hari. Di sini rakyat hanya menunggu peluang untuk melepaskan segala keperitan, kesusahan dan kemiskinan mereka yang terpendam kepada kerajaan BN yang secara menyeluruhnya gagal memberikan kesenangan ekonomi kepada mereka. Maka apabila pihak pembangkang membuka peluang ini, mereka terus datang menyerbu untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka tanpa mempedulikan siapa Anwar Ibrahim, Ambiga, PAS dan DAP. Bagi rakyat, Bersih 2.0 adalah eskapisme mereka dalam melepaskan segala keperitan dan kesusahan ekonomi yang ditanggung mereka.

Politik adalah berkaitan dengan nilai ekonomi benar. Iaitu ekonomi yang memperkirakan relatif pendapatan rakyat dengan kos sebenar sara hidup. Negara berpendapatan tinggi hanyalah sebuah realiti kemakmuran yang palsu jika ia dikira berdasarkan purata pendapatan. Statistik tidak membayangkan realiti sebenar kehidupan rakyat. Sepuluh orang jutawan yang berpendapatan terlalu amat tinggi cukup untuk memberikan perangkaan purata pendapatan yang baik, walaupun terdapat sejuta rakyat yang mempunyai pendapatan di bawah paras kemiskinan.

Menurut Hannah Arendt tindakan politik digerakkan oleh orang yang ramai dan bukan seorang, orang yang ramai ini tentunya berkongsi fikiran atau ketidakpuasan yang sama. Kata Arendt lagi, kebenaran itu bersifat saintifik dan bukan retorik atau propaganda. Orang ramai – rakyat – yang muncul begitu ramai pada Bersih 2.0 adalah bukti daripada kebenaran yang saintifik iaitu lahir daripada objektif-objektif keperitan ekonomi yang membungkam mereka. Maka segala retorik dan propaganda ekonomi-politik Kerajaan BN tidak lagi mampu menjadi gula-gula palsu untuk rakyat.

Sekali lagi lupakan Anwar Ibrahim, Ambiga mahupun politik pembangkang. Sebaliknya Kerajaan BN terutamanya UMNO harus melihat mengapa rakyat begitu membenci mereka. Ia bukan kerana hasutan pembangkang atau Anwar Ibrahim atau Ambiga. Anwar Ibrahim dan sahabatnya hanyalah oportunis yang pandai mencari ruang untuk menjaringkan bola di hadapan gol. Tetapi faktor sebenar ialah ekonomi yang gagal membahagiakan hidup rakyat.

Politik rakyat dalam dunia pasaran bebas hari ini adalah tentang ekonomi nilai benar – dan bukan simulasi realiti palsu daripada retorik demi retorik.

Friday, July 8, 2011

INTERLOK SEBUAH NOVEL SOSIAL

Interlok novel karya Abdullah Hussain yang memenangi Hadiah Saguhati Peraduan Menulis Novel Sepuluh Tahun Merdeka. Novel ini pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1971. Pada tahun 2011 novel ini menjadi teks Komsas tingkatan lima untuk zon tengah. Novel ini sengaja ditimbulkan kontroversi oleh pihak tertentu pada hujung disember 2011 kerana dikatakan mempunyai perkataan ’paria’ yang menyinggung perasaan kaum India. Perkataan ’paria’ ini terdapat dalam bab Keluarga Maniam, ketika memperihalkan sejarah asal usul dan kedatangan Maniam ke Tanah Melayu.

Interlok adalah sebuah novel sosial. Pengertian novel sosial merujuk novel yang mengangkat perjuangan golongan bawahan ataupun golongan tertindas sama ada menentang golongan yang mempergunakan mereka mahupun perjuangan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan status kelas mereka. Pergertian novel sosial mempunyai perbezaan yang nipis dengan novel masyarakat. Pengertian novel masyarakat lebih kepada bentuk novel yang mengangkat kisah masyarakat secara keseluruhan. Sementara novel sosial lebih merujuk secara khusus kepada idealogi perjuangan kelas. Novel sosial lebih merupakan fiksyen realisme yang mengangkat kisah-kisah golongan bawahan secara langsung daripada peristiwa-peristiwa kecil kehidupan payah mereka dengan tujuan mendatangkan kesan perjuangan kelas terhadap pembaca.

Di Barat pengertian novel sosial muncul pada abad ke-18, sebagai reaksi terhadap isu sosial, politik dan ekonomi pada era revolusi perindustrian di Eropah. Pada tahun 1830-an, novel sosial muncul sebagai alat memprotes ketidakadilan yang menimpa golongan pekerja oleh dasar dan sistem kerajaan, pihak pemilik industri dan golongan berkepentingan dalam era baru perindustrian. Protes dan kritikan daripada kisah keperitan dan penindasan terhadap golongan pekerja ini ditujukan kepada khalayak daripada golongan menengah untuk menarik simpati dan seterusnya bertindak untuk mengubah sistem perundangan, etika dan moral yang menindas golongan pekerja bawahan. Golongan menengah selalunya merupakan golongan yang berpengaruh dalam mendesak perubahan. Sokongan dan simpati daripada golongan menengah akan membantu perjuangan golongan bawahan ini. Bahkan perjuangan mengangkat keadilan untuk golongan bawahan ini banyak digerakkan oleh tokoh-tokoh daripada golongan menengah pada hakikatnya.

Novel sosial yang muncul di Eropah pada dekad ini memberi fokus kepada golongan pekerja yang miskin baik di desa mahupun di kota yang merupakan sisi gelap masyarakat pada era perindustrian. Novel sosial mengarah matlamat tematiknya kepada pembaikan pendidikan, hak politik, nasib golongan wanita dan buruh kanak-kanak, keadaan di kilang dan lombong, jenayah akibat suasana masyarakat yang sesak dan keadaan persekitaran yang buruk, serta segala macam akibat yang berlaku dalam usaha negara dan golongan elit mengejar matlamat kemajuan dan kekayaan. Dalam konteks moral pula, pengarang novel sosial mengangkat nilai moral daripada norma-norma kehidupan pinggiran golongan bawahan yang pada hakikatnya jauh berbeza daripada norma masyarakat atasan. Perbezaan yang memperlihatkan kebobrokan nilai moral yang melanda golongan bawahan selalunya diperbandingkan dengan kehidupan mewah golongan atasan dengan tujuan memperlihatkan kealpaan dan kesalahan yang dilakukan oleh golongan atasan hingga mengakibatkan kehidupan yang buruk kepada golongan bawahan.

Dalam banyak keadaan hal ini selalunya diperlihatkan secara tidak langsung melalui perlambangan dan sebagainya. Bahkan novel sosial selalunya juga menumpukan kepada kehidupan daif golongan bawahan tanpa mempersalahkan mana-mana pihak secara langsung. Ia lebih menekankan kritikan kepada sistem sosial yang muncul oleh keadaan-keadaan yang mewakili era tertentu. Dari sini, tematiknya merungkai permasalahan sosial sebagai akibat sejarah dan mendesak cita-cita perjuangan untuk mengubah kehidupan dalam diri golongan bawahan dan menengah. Maka secara keseluruhannya novel sosial menekankan kepada cita-cita sosial, khusus kepada golongan bawahan untuk mencapai matlamat kehidupan yang lebih sempurna. Perbezaan penting antara novel sosial dan novel masyarakat ialah idealogi sosial. Novel sosial bergerak di atas idealogi sosial, dan kadangkala membawa propaganda tertentu terhadap matlamat dan cita-cita yang dikandung olehnya secara tematik. Sementara novel masyarakat tidak memperlihatkan kecenderungan memaparkan idealogi yang khusus, sebaliknya hanya memaparkan peristiwa dalam kehidupan masyarakat yang meletakkan pengarang sebagai cermin yang membiaskan imej serta gambaran.

Interlok menghimpunkan watak-watak daripada golongan bawahan, khususnya golongan pekerja yang berada di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 di bawah pentadbiran British. Secara lebih jelas masyarakat pekerja bawahan yang berada dalam lingkaran dunia perindustrian moden, sepertimana yang terdapat dalam novel sosial Barat yang mengetengahkan golongan bawahan dan pekerja dalam era kebangkitan revolusi perindustrian di Eropah. Golongan bawahan dan pekerja yang digambarkan dalam Interlok berada dalam sistem dan lingkaran dunia perindustrian, yakni golongan buruh yang ditarik dan digunakan tenaga mereka untuk pengeluaran ekonomi perindustrian. Semua watak yang terdapat dalam Interlok adalah mereka yang berada di dalam sistem sosio-ekonomi-politik dunia perindustrian moden. Dalam buku Keluarga Seman, Seman adalah perwakilan daripada watak bangsa peribumi Melayu daripada golongan masyarakat bawahan yang menetap di kampung. Dalam sistem ekonomi-politik British, tanah jajahan merupakan tempat penyediaan bahan mentah untuk memenuhi keperluan perindustrian di England dan Eropah.

Di Tanah Melayu, British memperkenalkan ekonomi moden dalam konteks ruang tenaga buruh dan bahan mentah. Bagi mengekalkan kuasanya ke atas bangsa Melayu sebagai tanah jajahan, British melemahkan keupayaan orang Melayu dari segala segi sehingga melumpuhkan kekuatan orang Melayu baik fizikal mahupun mental. Orang Melayu menderita kehilangan kuasa politik melalui sistem politik residen British dan kemudian pentadbiran berpusat British iaitu Malaya British Administration (MBA), yang memecah belahkan kuasa politik Sultan-sultan Melayu melalui zaman pengasingan dan pembonekaan yang disebut sebagai political disenfranchisement. Sementara ekonomi orang Melayu dilumpuhkan melalui pemingiran ekonomi (economic marginalisation) dan pengasingan orang Melayu daripada modeniti dari segi sosial. Orang Melayu ditutup peluang atau dipinggirkan dalam mobiliti sosial untuk mengekalkan mereka sebagai petani dan nelayan yang menyediakan logistik seperti bekalan makanan domestik kepada British (Collin Abraham, 2008).

Seman mewakili watak orang Melayu yang dilumpuhkan segala-galanya oleh British. Seman watak manusia desa yang tidak berpendidikan, kerana peluang pendidikan sangat terbatas disediakan oleh British. Tambahan ia diburukkan lagi oleh sikap Pak Musa yang menyembunyikan Seman daripada dihantar ke sekolah Melayu. Sikap Pak Musa mewakili sikap orang Melayu yang telah dilumpuhkan jiwa dan fikiran mereka oleh sistem pengasingan (isolation) dan peminggiran (marginalisation) British. Seman muncul sebagai hasil daripada sistem penjajahan British yang berlangsung lebih dari lima dekad. Seman adalah seorang anak muda Melayu yang tidak berpendidikan, terasing daripada modeniti, dan terpinggir daripada mobiliti sosial – kekal sebagai sumber pengeluaran bagi keperluan logistik (petani, pekebun dan nelayan) untuk British secara domestik di Tanah Melayu.

Dalam buku Keluarga Chin Huat pula, Chin Huat muncul sebagai wakil watak golongan pekerja yang ditarik datang ke Tanah Melayu oleh peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh sektor ekonomi perindustrian British, yang berkaitan dengan pengeluaran dan perkhidmatan. Kehidupan miskin keluarga Chin Huat tanah asal yakni sebuah desa kecil di Tanah Besar China menjadi faktor penolak Kim Lock (bapa Chin Huat) bersama anaknya untuk keluar dari China dan mencuba nasib di Tanah Melayu. Ekonomi sumber perindustrian yang diperkenalkan British di Tanah Melayu menjadi faktor penarik untuk kaum pendatang datang ke Tanah Melayu. Di Tanah Melayu, lombong-lombong bijih timah dibuka, perdagangan eksport-import digiatkan, dan sektor perkhidmatan membuka peluang besar kepada tenaga-tenaga buruh mahir dan kurang mahir. Sistem kongsi bagi tenaga buruh dari China yang diperkenalkan oleh British sangat buruk. Ia membawa orang Cina sebagai buruh dalam keadaan miskin dan kesihatan yang buruk. Dalam persaingan yang sengit penawaran tenaga buruh, orang Cina terperangkap untuk menawarkan tenaga buruh yang termurah sama ada dalam sektor perlombongan milik British mahupun sektor perkhidmatan lain. Ia menawarkan apa yang disebut sebagai ‘survival of the cheapest’.

Begitu juga yang berlaku kepada kaum India yang datang ke Tanah Melayu oleh faktor penolak dan penarik yang sama. Dalam buku Keluarga Maniam, digambarkan Maniam dalam bulan Julai 1910 telah belayar bersama mereka yang lain dalam sebuah kapal penumpang yang bertolak meninggalkan Pelabuhan Nagapatam ke Pulau Pinang. Mereka ini semua adalah tenaga buruh yang berangkat melalui kangani – iaitu wakil yang mencari buruh untuk kebun-kebun dan ladang-ladang getah di Tanah Melayu. Dalam kapal tersebut digambarkan terdapat 120 orang penumpang yang datang dari pelbagai daerah di India, iaitu Pondicherry, Pulikat, Madras, Malabar, Kerala dan Hyderabad. Mereka semua bercakap dalam bahasa Tamil, walau ada yang bercakap dalam bahasa Malayali dan Telugu iaitu bahasa dalam rumpun bahasa Tamil yakni rumpun bangsa Dravida. Dalam pada itu digambarkan bahawa semua yang berada dalam kapal bersama Maniam pada ketika itu tergolong dalam kasta yang sama yakni kasta paria. Kasta paria merupakan golongan di luar kasta (outcast) di India yang tersisih akibat sistem kasta yang diamalkan di India. Secara sosiologi, mereka mewakili golongan bawahan yang tertindas di negara mereka sendiri, dan ini adalah salah satu faktor penolak yang penting dalam konteks kedatangan golongan pekerja dari India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20.

Namun begitu tidak semua kaum India yang datang ke Tanah Melayu daripada kasta Paria, dan ini digambarkan dalam Interlok, terdapat pekedai berkasta tinggi di Pulau Pinang bilamana Maniam datang membeli dan melihat tiada amalan penyisihan berdasarkan kasta berlaku di Tanah Melayu ini. Maniam adalah watak yang diangkat sebagai perwakilan golongan pekerja bawahan yang tertindas oleh sistem ekonomi-politik British di Tanah Melayu ketika itu. Watak Maniam dari golongan bawahan ini diangkat sebagai subjek sosiologikal dan diberikan fokus utama dalam menggambarkan perjuangan dan mobiliti sosial yang berlaku terhadap kaum India dalam sistem ekonomi-politik British pada awal abad ke-20. Maniam bukanlah kenyataan daripada keseluruhan kaum India yang datang ke Tanah Melayu pada ketika itu, tetapi hanyalah watak tipa dalam sebuah novel sosial yang mengangkat sebuah idealogi sosial perjuangan golongan bawahan. Orang India yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai buruh dalam sektor ekonomi British juga dibawa dalam kemiskinan dan kesihatan yang buruk. Malah mereka hidup dalam sistem kangani yang menyaksikan mereka diperas oleh elit pekerja daripada golongan mereka sendiri. Dalam sistem kangani yang diperkenalkan oleh British ini orang India yang datang sebagai buruh, hidup dalam apa yang disebut sebagai ’internal colonisation’, yakni mengalami penjajahan dalaman dan akhirnya hidup tanpa harapan untuk melebihi apa yang ada pada mereka.

British dalam melaksanakan dasar pecah dan perintah menemui peluang besar dalam memastikan kekuasaan mereka terus dikekalkan melalui suasana sosial yang hadir pad awal abad ke-20 ini. Kewujudan dua kaum pendatang yang besar populasinya di Tanah Melayu dilihat dapat dieksploitaskan bagi mengimbangi kedudukan orang Melayu sebagai masyarakat peribumi yang berpotensi mencabar kekuasaan British. British mengambil peluang daripada suasana sosial masa ini untuk menanamkan perasaan curiga antara etnik dan mewujudkan apa yang disebut sebagai antagonisme etnik. Dari sini British membentuk stereotaip etnik iaitu etnik dengan bidangan masing-masing, sekaligus menjarakkan satu etnik dengan etnik yang lain bagi mengembangkan perasaan curiga dan prasangka yang tidak berkesudahan antara etnik. Stereotaip etnik ini menjadi cara membentuk prinsip pemerintahan dan kawalan kuasa. Ia juga menjadi asas kepada pengabasahan penguasaan kolonial dalam mewujudkan polarisasi kaum. Kolonial Birtish dalam polisi ‘divide and rule’nya menyerapkan prinsip ‘consciuosness of kind’ iaitu dalam memastikan survival, setiap orang berjuang berdasarkan ruang kepentingan kaum masing-masing. Ertinya dalam lingkungan kaum yang sempit.

British akhirnya mengecapi kemewahan daripada penindasan melalui kotak-kotak kaum ini atau dikatakan sebagai ‘icing on the racial polarisation cake’. British meninggalkan masyarakat yang dipolarisasi ini tiada pilihan lain selain daripada bergantung kepada golongan elit kaum masing-masing. Golongan elit ini pula dalam berjuang untuk memenuhi keperluan kaum masing-masing, mengambil kesempatan mengaut kekayaan dan kepentingan untuk diri mereka. Melihat dalam konteks agenda ekonomi-politik British, isu perkauman dan polarisasi kaum ini adalah natijah daripada ‘capitalist mode of production’, yang mengaburkan perbezaan kelas dengan perbezaan dan permusuhan kaum. Ini dapat menyelamatkan kelas atasan daripada penyatuan kelas bawahan untuk menentang mereka, secara langsung melumpuhkan rakyat – melalui isu dan sentimen perkauman. Bahkan pengagihan faedah kepada rakyat juga ditentukan mengikut keperluan kaum berdasarkan kepentingan kesinambungan kuasa politik British. Polarisasi kaum ini ialah hasil dari proses ‘compartmentalisation’ yang dikemukakan oleh British, dan memberikan persepsi bahawa setiap etnik bermusuh antara satu sama lain (CollIn Abaram, 2008).

Interlok membawa persoalan ini melalui garapan perjuangan golongan bawahan yang berada dalam ’kawah gula’ ekonomi perindustrian British, secara cukup berseni melalui penyatuan tiga etnik yang akhirnya membina negara Malaya yang merdeka (kemudiannya menjadi Malaysia). Penyatuan tiga etnik secara ideal dalam Interlok ini memperlihatkan lambang penentangan terhadap dasar antagonisme etnik yang diwujudkan oleh British. Sekaligus mewujudkannya sebagai novel sosial yang bukan sahaja membawa idealogi penyatuan etnik yang kuat, tetapi juga idealogi penentangan terhadap kelas atasan yang terdiri daripada penjajah British, pemodal dan konco-konco British yang terdiri daripada para pembelot bangsa.

Adalah sesuatu yang malang apabila novel sosial yang mengangkat tema perjuangan kelas bawahan ini ditutup dengan isu perkauman yang sempit dan dangkal demi kepentingan politik perkauman. Perkataan ’paria’ tidak mungkin dibuang kerana ia menjelaskan secara historikal suatu pergerakan atau mobiliti sosial daripada golongan bawahan yang paling hina kepada golongan yang berjaya dan dihormati. Tanpa memperkenalkan Maniam sebagai seorang daripada kasta ’paria’, suatu bentuk pemaparan mobiliti sosial tersebut tidak dapat dilakukan dengan munasabah dan berkesan. Interlok adalah sebuah novel sosial yang tidak ada kena mengena dengan sebarang bentuk perlakuan untuk menghina mana-mana etnik, sebaliknya memaparkan seideal mungkin sifat menghormati antara satu sama lain yang menuju kepada ideal penyatuan antara etnik, khususnya dari kalangan masyarakat bawahan.

Sebarang tuduhan yang mengatakan bahawa Interlok sebagai novel perkauman adalah tindakan untuk menutup isu kegagalan politik dengan memainkan sentimen perkauman yang tidak bermanfaat. Pada masa yang sama ia menjulang kembali doktrin pemisahan kaum kolonial British dalam membentuk sikap kepentingan kaum atau antagonisme etnik yang telah merosakkan hubungan masyarakat demi kepentingan ekonomi-politik golongan elit politik, pemodal dan aristokrat. Kini doktrin ini digunakan pula oleh pihak yang berkepentingan untuk mencari populariti dalam masyarakat atas tujuan-tujuan yang lebih khusus. Tindakan menyuburkan sikap perkauman ini membawa masyarakat mundur ke belakang. Selain itu ia sebenarnya boleh dikatakan sebagai perjuangan sentimen yang tidak melihat kepada isu sebenar yang membelenggu masyarakat seperti isu kemiskinan, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan sebagainya. Perjuangan sentimen yang bermain dengan isu-isu kecil yang sebenarnya adalah hanya ruang sama ada mencari publisiti atau populariti yang tidak berguna, ataupun cuma helah untuk menutup kegagalan menangani masalah sebenar kemunduran sosial masyarakat.

Kembali kepada novel sosial, sebuah novel sosial yang menghadapi permasalahan yang hampir sama dengan Interlok dapat memberikan gambaran yang jelas tentang hak sebuah novel sosial untuk mengekalkan kritikan sosial berdasarkan suasana sezamannya. The adventure of Huckleberry Finn karya Mark Twain turut mengalami keadaan yang sama apabila penggunaan perkataan nigger dikatakan menyentuh sensitiviti masyarakat kulit hitam iaitu negro. Edisi baru yang diubahsuai perlu memadamkan 219 ungkapan ’nigger’. Bagaimanapun pengubahsuaian tersebut tidak disenangi oleh golongan seniman dan ahli sastera kerana sebarang bentuk penapisan adalah pelanggaran terhadap hak kebebasan penulis untuk memberikan nilai sosial semasa yang mewakili sejarah Amerika Syarikat yang membabitkan perhambaan. Apatah karya Mark Twain ini memberikan kritikan keras terhadap amalan perhambaan dan bukannya menghina golongan hamba pada waktu itu. Bahkan watak Jim (nigger tersebut) diberikan karakter seorang yang mulia dalam membimbing Huck dalam membina nilai moral. The adventure of Huckleberry Finn adalah sebuah novel sosial sebagaimana Interlok yang telah dimanipulasi oleh pihak tertentu atas sebab kejahilan ataupun atas kepentingan tertentu. Sehingga kehebatan dan kejujuran isinya yang memperjuangkan penindasan, ketidakadilan dan idea penyatuan sosial diterbalikkan untuk menjadi buruk dan hitam.


Rujukan

Abdullah Hussain, 1971. Interlok. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Collin Abraham, 2004. The Naked Sosial Order: Roots of Racial Polarisation in Malaysia. Pelanduk Publication. Selangor. Malaysia.

M. G. Swift, 2001. Essay on Social Anthropology of the Malays. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, Selangor. Malaysia.

Muzafar Desmond Tate, 2008. The Malaysian Indians: History, Problems and Future. SIRD. Petaling Jaya, Selangor. Malaysia.

Stephen G Haw, 1995. China. Cassel A Windrush Press Book. London.