Monday, January 25, 2010

REVIU FILEM




2012 MEMFIKSYENKAN KIAMAT


Sains dalam gelombang era pascamoden hari ini dianggap sebagai agama manusia Barat. Maka cara dan pandang hidup yang beragamakan sains ini disebut sebagai saintistik (scientistic). Menurut Seyyed Hossein Nasr, sains moden yang difahami di sini ialah pengetahuan yang dikembangkan oleh orang seperti Galileo dan Newton dengan beberapa andaian yang dibuat berdasarkan ciri-ciri kompleks masa, ruang, jirim, pergerakan dan sebagainya; di samping kekuasaan realiti fizikal yang bebas dari realiti lain yang lebih tinggi. Sains sebagaimana yang difahami dalam konteks bahasa Inggeris ialah sains yang didakwa patut memonopoli pengetahuan tentang kekuasaan alam semulajadi yang bebas daripada semua bentuk pengetahuan yang lain. Maka ciri asas sains moden yang bersifat dusta ini ialah penceraian ilmu daripada ketuhanan.

Dalam hal ini sains moden bukan sahaja terputus dari Tuhan tetapi juga melupakan awal dan akhir (alpha dan omega) yang mengaitkan alam semesta ini kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Sains moden ini menolak kejadian yang menyerap dan mengeluarkan semua maujud dari satu pusat, yakni Tuhan Yang Esa. Islam melihat alam semesta ditentukan oleh satu permulaan yang berkait dengan tindakan penciptaan fiat lux atau kun dari al-Quran yang suci dan berakhir dengan satu pengakhiran (al-maad) yang bersifat eskatologikal dan tidak boleh dicapai dengan ramalan peristiwa fizikal serta daya atau kuasa material yang beroperasi dalam sains moden hari ini. Tetapi sains moden meletakkan pusat kejadian alam semesta ini kepada daya fizik dan material yang beroperasi melalui pemikiran objektif dan rasional manusia. Secara umum ia mewujudkan sistem palsu yang tertutup dan bebas dari Tuhan.

2012 adalah sebuah filem yang mengulangi cerita-cerita tentang kemusnahan bumi dalam filem-filem sebelumnya seperti Independence Day, Judgdement Day, Armageddon, The Day After Tomorrow, Knowing dan sebagainya. Roland Emmerich pengarah dan pencetus kepada lahirnya 2012 ini menyatakan keinginannya untuk memfilemkan kisah banjir besar yang tercatat dalam kitab injil. Namun inspirasinya muncul apabila membaca teori berkenaan peralihan kerak bumi dari buku non-fiksi Fingerprints of the Gods tulisan Graham Hancock. Filem ini mendasarkan teori kemusnahan bumi oleh peningkatan kuasa solar matahari yang mengeluarkan neutrinos sehingga mencairkan teras bumi. Ia mengakibatkan perubahan atau peralihan plat-plat bumi dan akhirnya mewujudkan malapetaka alam terbesar dengan gempa bumi, letusan gunung berapi dan ombak besar yang menenggelamkan seluruh benua. Bumi dimusnah dan distrukturkan semula oleh pergerakan semulajadi secara geo-saintifik. Kemusnahan atau penstrukturan semula geografi bumi ini telah diramalkan dalam kalendar purba peradaban Maya. Menurut perkiraan dalam kalendar purba Maya ini waktu berlakunya malapetaka besar bumi itu ialah pada tahun 2012.

Kisahnya bermula apabila seorang pakar geologi muda Amerika Syarikat iaitu Dr. Adrian Helmsley (Chiwetel Ejiofor) diberitahu oleh rakan geologisnya di India iaitu Dr. Satnam Tsurutani tentang penemuan pelik pancaran bahang solar yang besar yang disebut sebagai neutrinos terhadap bumi. Kesannya mengakibatkan bumi seperti berada dalam ketuhar yang membuat suhu di teras bumi meningkat dengan tinggi sekali. Semakin hari ia semakin mencairkan teras bumi dan akan mengakibatkan malapetaka alam yang tidak pernah dapat dibayangkan oleh manusia. Adrian memaklumkan hal ini kepada Ketua Staf Rumah Putih iaitu Carl Anheuser (Oliver Platt) yang terus memaklumkan hal yang sangat berbahaya ini kepada Presiden Amerika Syarikat iaitu Thomas Wilson (Danny Glover). Keadaan yang sangat berbahaya ini dimaklumkan kepada ketua-ketua negara G8 secara sulit. Maka maklumat ini menjadi rahsia yang maha sulit. Ketua-ketua negara maju telah bersetuju untuk menjalankan misi sulit iaitu menyelamatkan spesies manusia yang terpilih dalam menghadapi malapetaka yang akan memusnahkan seluruh kehidupan di bumi.

Mereka mula memilih genetik terpilih melalui misi saringan yang sangat sulit. Pada masa yang sama China telah dilantik untuk membina bahtera-bahtera besar untuk membawa ratusan ribu spesies manusia termasuk juga flora dan fauna bagi memastikan kelangsungan spesies manusia dan kehidupan tidak pupus dari muka bumi selepas malapetaka terbesar itu. Misi membina bahtera ini dilakukan secara sulit di bawah kawalan ketat tentera di pergunungan Himalaya. Gerakan sulit ini turut melibatkan semua jentera kerajaan negara maju termasuk pihak perisikan yang membunuh mana-mana anggota yang cuba membocorkan rahsia. Perubahan cuaca mula berlaku dengan ketidaktentuan iklim, gempa kecil, retakan bumi, letusan gunung berapi, ribut, tsunami dan pelbagai tanda yang menunjukkan kepada pergerakan kerak bumi yang semakin ketara.

Adrian bersama Satnam memantau dengan teliti setiap pergerakan bumi. Ternyata haba semakin meningkat dengan pantas di kerak bumi. Masa untuk bertindak semakin singkat. Adrian mula berkonflik dengan pihak berkuasa khususnya Anheuser tentang hak manusia lain untuk mengetahui tentang keadaan sebenar yang akan menimpa mereka. Tetapi Anheuser berkeras untuk merahsiakan perkara ini sehingga ke akhirnya, dengan manusia-manusia terpilih melalui misi saringan mereka sahaja yang tahu. Pada masa yang sama misi sulit ini turut menghubungi jutawan-jutawan dunia untuk menjualkan tempat dalam bahtera dengan harga 1 billion euro bagi menampung kos misi membina bahtera besar tersebut. Bagaimanapun ribuan juta rakyat biasa akan dibiarkan musnah bersama malapetaka terbesar itu. Adrian tidak dapat melakukan apa-apa, sehinggalah pada saat akhir dia dapat memujuk Presiden AS untuk memaklumkan hal yang sebenar kepada seluruh rakyat. Presiden AS menolak untuk menyelamatkan dirinya dan mengambil keputusan untuk mati bersama rakyatnya.

Filem ini turut menyelitkan keperitan seorang rakyat biasa iaitu Jackson Curtis (John Cussack) untuk berjuang menyelamatkan keluarganya dengan memasuki bahtera penyelamat itu secara haram. Jackson mengetahui secara tidak sengaja tentang malapetaka besar yang akan menimpa umat manusia. Maka dari situ bermulalah kisah pahit getir Jackson membawa keluarganya melepasi gempa bumi dan bencana yang sedang menimpa untuk tiba di Tibet sebelum banjir besar yang menenggelamkan dunia itu berlaku. Jackson akhirnya berjaya memasuki bahtera bersama isteri, dua anak dan beberapa orang lain secara bersembunyi dan selamat daripada banjir yang menenggelamkan dunia itu.

Kota-kota dunia satu demi satu musnah dan tenggelam ditelan laut. Satnam, pakar yang bertanggungjawab menemui maklumat awal tentang bencana besar itu juga tidak diselamatkan dan tenggelam bersama keluarganya ditelan ombak besar. Dunia kini tenggelam oleh ombak hingga setinggi 1500 dan 2000 meter, menenggelami gunung Himalaya. Bahtera-bahtera yang membawa spesies manusia dan kehidupan bumi terselamat. Selepas 27 hari, keadaan reda. Tetapi kini mukabumi telah berubah sama sekali. Sebahagian besar tanah besar sebelum ini tenggelam di bawah laut. Benua Afrika telah terangkat naik dengan puncak gunungnya kini menjadi pusat dunia yang baru.

Filem ini cuba membawa dimensi peristiwa banjir besar yang terdapat dalam kitab-kitab agama samawi dari kacamata saintifik. Walau kisah ini diambil daripada kitab agama, tetapi persoalan tentang agama ditutup bahkan dihapuskan sama sekali di bawah perbincangan saintifik. Agama dilenyapkan daripada kehidupan saintifik. Bahkan yang terselamat daripada bencana Tuhan tersebut adalah manusia-manusia bejat seperti para kapitalis, bourjuis, birokrat, saintis, tentera dan masyarakat awam yang dipilih secara genetik bagi memulakan kehidupan dunia sekular yang baru. Semua masyarakat beragama digambarkan sebagai musnah oleh banjir besar tersebut. Ia dapat dilihat daripada gambaran yang diungkapkan melalui kata-kata Anheuser, ”Kita tinggalkan mereka dengan Tuhan mereka masing-masing.”

Inilah dimensi sekular dan atheisme yang dibina secara halus dalam filem 2012. Bahkan manusia seperti Jackson sendiripun terselamat daripada bencana dengan usaha dirinya sendiri tanpa apa-apa campurtangan dari kuasa Tuhan. 2012 memperlihatkan bagaimana sains dapat mengatasi kuasa Tuhan, dengan melawan bencana alam yang begitu hebat melalui ketepatan ramalan sains dan penciptaan mesin (bahtera) yang melepaskan manusia dengan akalnya daripada kuasa Tuhan. Ternyata 2012 adalah propaganda golongan sainstitik (yang mengagamakan sains) dalam menidakkan kuasa Tuhan Yang Maha Berkuasa. Jika tidak pun gerakan besar-besaran golongan sekular-atheisme dalam membina sistem dan dunia tanpa Tuhan mereka, melalui medium teknologi maklumat yang dikuasai mereka pada hari ini.

Milenia Muslim, Januari 2010

Thursday, January 14, 2010

2010 DAN ISU KALIMAT ALLAH





Tahun 2010 hadir dengan sambutan seperti biasa di Bukit Bintang, Bangsar, Dataran Merdeka. Anak-anak muda terutamanya menjadikan sambutan tahun baru sebagai sebuah perayaan tahunan. Sambutan tahun baru adalah antara tradisi baru abad moden. Antaranya lagi ialah sambutan hari kekasih (valentine day), hari jadi (birthday), april fool, selain dari hari hak asasi, hari alam sekitar, hari wanita, dan sebagainya. Semua ini adalah tradisi moden yang menyebar ke seluruh dunia seiring dengan fahaman moden. Semua tradisi ini tiada kaitan dengan ajaran agama Islam melainkan sebahagiannya mempunyai pengaruh agama Kristian sejajar dengan agama manusia Barat yang menyebarkan fahaman moden ini.

Agama Kristian telah disesuaikan sedemikian rupa untuk menyerap ke dalam tradisi moden dan menjadi sebahagian daripada kemodenan. Agama Kristian yang bersifat evangelist iaitu bersifat menyebar dan menarik manusia untuk memeluknya sentiasa menyesuaikan diri dengan cepat dalam setiap perkembangan zaman. Suatu ketika dahulu agama Kristian meletakkan dirinya dalam tubuh feudalisme Eropah untuk menjadikannya kuat dan menjadi sebahagian daripada misi imperialisme dan kolonialisme Eropah. Ekspedisi-ekspedisi pelayaran mencari wilayah baru untuk membekalkan sumber dan pasaran kepada revolusi industri di Eropah turut menjadikan penyebaran agama Kristian sebagai matlamat suci. Agama Kristian menjadi faktor psikologi kepada manusia Eropah untuk membenarkan segala tindakan penjajahan sebagai sebagai misi suci untuk membebaskan dunia daripada kegelapan. Selebihnya ia menjadi penutup kepada perasaan bersalah penjarahan zalim manusia Eropah.

Pada zaman moden pula, agama Kristian menyesuaikan dirinya dengan menyerap dalam faham demokrasi, dan berbalik mengutuk faham feudal yang mendokongnya dahulu. Agama Kristian menjadi sebahagian daripada teras demokrasi, sebagaimana yang dikatakan oleh Samuel P. Huntington dalam bukunya The Third Wave: Democratization in the Late Twentieth Century, bahawa sebuah negara demokrasi yang tulen adalah juga sebuah negara Kristian. Bagi negara bukan Kristian, ia hanyalah sebuah negara separa-demokrasi. Negara-negara Asia yang dikatakan hampir mencapai taraf negara demokrasi tulen ialah Korea Selatan, di mana agama Kristian secara de factonya menjadi agama rasminya.

Tahun baru 2010 menyaksikan negara digegar dengan isu kalimat Allah. Isu ini bermula sejak tahun 2007. Pada Disember 2007 Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan majalah Herald, sebuah majalah mingguan Katholik yang diterbitkan di Sabah menghentikan penggunaan kalimat “Allah” termasuk juga perkataan“Baitullah”, “Solat”, dan “kaabah” dalam seksyen bahasa Melayunya. Arahan ini membawa majalah Herald memfailkan tuntutan menentang larangan KDN tersebut. Pada masa yang sama Sidang Injil Borneo atau dikenali sebagai Evangelical Church of Borneo turut memfailkan tuntutan untuk menyemak semula larangan KDN yang mengharamkan badan tersebut mengimport buku-buku agama Kristian berbahasa Melayu yang menggunakan kalimat “Allah”.

Isu ini reda seketika apabila keputusan mahkamah menyebelahi tindakan yang dilakukan oleh KDN. Namun ia muncul kembali apabila Ketua Paderi Roman Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagai penerbit majalah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan “Allah” bukan ekslusif bagi agama Islam. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhirnya membenarkan majalah Herald-The Chatholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Keputusan ini dibuat oleh Hakim Lau Bee Lan pada khamis 31 Disember 2009. Ia tentunya merupakan sesuatu yang amat mengejut dan membakar perasaan umat Melayu-Islam.

Dalam konteks masakini, terlihat gerakan agama Kristian menyesuaikan dirinya secara gradual, konsisten dan signifikan bukan sahaja dalam perkembangan zaman tetapi juga dengan situasi setempat. Berbeza dengan agama Buddha atau Hindu, agama Kristian bersifat agama yang menyebar dan menarik umat manusia untuk memeluknya. Dalam konteks agama, ’penyebaran’ adalah sebahagian daripada tuntutannya. Ia adalah sifat agama. Namun setiap negara dan masyarakat dalam dunia moden ini mempunyai peraturan dalam menjaga keamanan dan keharmonian dalam konteks tempatan. Di Malaysia agama Islam telah dilembagakan sebagai agama rasmi persekutuan. Peruntukan Perlembagaan Malaysia ini bukan sahaja perlu dihormati tetapi dipatuhi demi keharmonian sebuah negara yang dimiliki bersama.

Berlaku pertembungan antara perkembangan agama Kristian dalam menyesuaikan dirinya dalam konteks tempatan dengan situasi tempatan yang dibentuk oleh sebuah peradaban Islam yang harus memelihara kesucian Islam hasil kedaulatan yang telah dibinanya sejak berkurun dahulu. Dalam pada itu, Malaysia sendiri adalah sebuah negara yang dibina hasil daripada pertembungan tuntutan kaum peribumi dan kaum pendatang. Apabila kaum pendatang memenangi tuntutan untuk menjadi warganegara sebuah negara yang merdeka, pertembungan tuntutan antara kaum pendatang yang kini menjadi warganegara dengan kaum peribumi terus berlaku. Dari satu segi, pertembungan tuntutan yang ditranformasikan melalui tindakan politik menghasilkan sebuah fenomena politik yang unik di Malaysia. Ia mewujudkan Malaysia yang berkembang daripada dinamika masyarakat selari (parallel society). Masyarakat yang berkembang bersama tetapi hidup berasingan dalam kotak-kotak kaum masing-masing.

Apa yang menarik untuk diperhatikan dalam isu kalimat Allah ini bagaimana tuntutan daripada kaum bukan Melayu menjadi semakin kuat dan ketidakupayaan orang Melayu untuk menangani tuntutan yang semakin mengasak setiap hak mereka. Mungkin membina dikotomi Melayu dan bukan Melayu ini adalah satu pernyataan yang bertentangan dengan cita-cita perpaduan, tetapi dalam keadaan tertentu hakikat dan realiti masyarakat itu harus dilihat secara jujur dan berani. Malaysia walau apa slogan dan dasarnya, sehingga hari ini pada hakikatnya adalah sebuah negara pelbagai bangsa (heterogenus) dan bukan negara satu bangsa (homogenus). Bangsa Melayu sebagai bangsa asal dan peribumi tetap mempunyai hak mereka yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, dan juga secara histriografikal dan psikologikal memiliki kedaulatan bangsanya di Tanah Melayu ini; berbanding kaum lain.

Maka itu kegagalan atau toleransi pemimpin politik Melayu dalam membenarkan penggunaan kalimat Allah dalam agama lain, yang juga bersifat ’menyebarkan’ bukan sahaja dilihat sebagai ketidakupayaan kuasa politik Melayu menangani tuntutan bukan Melayu tetapi juga memperlihatkan kewujudan lanskap politik yang tidak seimbang. Ketidakseimbangan ini tentunya akan mewujudkan ketidakstabilan dalam masyarakat. Dan secara berentetan ia adalah akibat daripada ketidakupayaan pemimpin politik Melayu baik pemerintah mahupun pembangkang yang gagal menyeimbangkan tuntutan sehingga mencetuskan kemarahan orang Melayu-Islam. Jika kuasa politik Melayu dapat mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam sesuai dengan kedudukan yang diperuntukan dalam Perlembagaan, keadaan ini tentunya dapat dikawal. Tetapi kecelaruan dan pertindihan politik kepartian mengakibatkan pemimpin politik Melayu-Islam mengabaikan tanggungjawab mereka dan merugikan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Orang Melayu melihat UMNO yang lemah dalam menjaga kepentingan orang Melayu, lantaran reput oleh perjuangan kepentingan diri, rasuah dan sebagainya. Orang Melayu juga melihat PAS yang tidak mempunyai keupayaan politik yang dominan dalam Pakatan Rakyat sehingga terpaksa mengalah dan menyokong tuntutan bukan Melayu demi persahabatan politik marriage of convenience. Akhirnya orang Melayu melihat PKR yang harus mendongkol menyamaratakan semua kepentingan orang Melayu dengan kepentingan bukan Melayu demi kepentingan politik kepartian, walaupun ia mencabuli hak yang diperuntukkan kepada orang Melayu-Islam.

Isu kalimat Allah ini sebenarnya sedang memperlihatkan kepada orang Melayu bahawa kepimpinan politik Melayu sekarang baik UMNO, PAS dan PKR bukanlah lagi satu-satunya wadah yang dapat memelihara serta mempertahankan kepentingan dan hak orang Melayu-Islam. Orang Melayu pada hari ini harus melihat setiap pemimpin politik dan parti politik Melayu-Islam secara kritis tanpa perlu dikelubungi oleh perasaan taksub dan dogmatik. Dari sini orang Melayu dapat mewujudkan ’kuasa’ mereka terhadap para pemimpin dan parti politik yang kononnya memperjuangkan hak mereka. Maka pemimpin politik Melayu yang tidak berupaya menangani tuntutan yang merugikan orang Melayu harus ditolak oleh orang Melayu serta merta.

Isu kalimat Allah ini harus menjadi titik tolak untuk memulakan ’kuasa’ orang Melayu. Titiknya bermula dengan menolak pemimpin politik Melayu yang menyokong penggunaan kalimat Allah oleh bukan Islam. Dengan itu orang Melayu tidak perlu memusuhi mana-mana kaum atau agama lain, tetapi memusuhi pemimpin Melayu yang tidak memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu. Orang Melayu harus memulakan kempen menolak pemimpin dan intelektual Melayu yang menyokong mahupun menerima kalimat Allah digunakan oleh agama lain. Nyahkan mereka tanpa mengira siapa dan apa parti mereka.


Ia akan menjadi titik tolak untuk mengajar pemimpin politik Melayu yang lemah mahupun pemimpin yang mengejar kepentingan diri dan politik kepartian mereka.

TULISAN POLITIK 2010

Bermula tahun 2010 ini saya memulakan kembali tulisan-tulisan politik yang sebelum ini terhenti apabila saya berhenti menulis 'Dunia Tanpa Tirai' di Mingguan Wasilah. Untuk kali ini, saya menulisnya dalam blog belatidanbunga.blogspot ini setiap Jumaat. Senario politik yang tidak menentu menjadi suatu fenomena yang menarik untuk didokumentasi dalam bentuk penulisan sosiopolitik secara on line ini. Bagi saya ia merupakan sejarah yang harus dicatat, dan dengan itu saya menjadikan blog ini sebagai rakaman sejarah politik Malaysia pada era ini.