Monday, January 25, 2010

REVIU FILEM




2012 MEMFIKSYENKAN KIAMAT


Sains dalam gelombang era pascamoden hari ini dianggap sebagai agama manusia Barat. Maka cara dan pandang hidup yang beragamakan sains ini disebut sebagai saintistik (scientistic). Menurut Seyyed Hossein Nasr, sains moden yang difahami di sini ialah pengetahuan yang dikembangkan oleh orang seperti Galileo dan Newton dengan beberapa andaian yang dibuat berdasarkan ciri-ciri kompleks masa, ruang, jirim, pergerakan dan sebagainya; di samping kekuasaan realiti fizikal yang bebas dari realiti lain yang lebih tinggi. Sains sebagaimana yang difahami dalam konteks bahasa Inggeris ialah sains yang didakwa patut memonopoli pengetahuan tentang kekuasaan alam semulajadi yang bebas daripada semua bentuk pengetahuan yang lain. Maka ciri asas sains moden yang bersifat dusta ini ialah penceraian ilmu daripada ketuhanan.

Dalam hal ini sains moden bukan sahaja terputus dari Tuhan tetapi juga melupakan awal dan akhir (alpha dan omega) yang mengaitkan alam semesta ini kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Sains moden ini menolak kejadian yang menyerap dan mengeluarkan semua maujud dari satu pusat, yakni Tuhan Yang Esa. Islam melihat alam semesta ditentukan oleh satu permulaan yang berkait dengan tindakan penciptaan fiat lux atau kun dari al-Quran yang suci dan berakhir dengan satu pengakhiran (al-maad) yang bersifat eskatologikal dan tidak boleh dicapai dengan ramalan peristiwa fizikal serta daya atau kuasa material yang beroperasi dalam sains moden hari ini. Tetapi sains moden meletakkan pusat kejadian alam semesta ini kepada daya fizik dan material yang beroperasi melalui pemikiran objektif dan rasional manusia. Secara umum ia mewujudkan sistem palsu yang tertutup dan bebas dari Tuhan.

2012 adalah sebuah filem yang mengulangi cerita-cerita tentang kemusnahan bumi dalam filem-filem sebelumnya seperti Independence Day, Judgdement Day, Armageddon, The Day After Tomorrow, Knowing dan sebagainya. Roland Emmerich pengarah dan pencetus kepada lahirnya 2012 ini menyatakan keinginannya untuk memfilemkan kisah banjir besar yang tercatat dalam kitab injil. Namun inspirasinya muncul apabila membaca teori berkenaan peralihan kerak bumi dari buku non-fiksi Fingerprints of the Gods tulisan Graham Hancock. Filem ini mendasarkan teori kemusnahan bumi oleh peningkatan kuasa solar matahari yang mengeluarkan neutrinos sehingga mencairkan teras bumi. Ia mengakibatkan perubahan atau peralihan plat-plat bumi dan akhirnya mewujudkan malapetaka alam terbesar dengan gempa bumi, letusan gunung berapi dan ombak besar yang menenggelamkan seluruh benua. Bumi dimusnah dan distrukturkan semula oleh pergerakan semulajadi secara geo-saintifik. Kemusnahan atau penstrukturan semula geografi bumi ini telah diramalkan dalam kalendar purba peradaban Maya. Menurut perkiraan dalam kalendar purba Maya ini waktu berlakunya malapetaka besar bumi itu ialah pada tahun 2012.

Kisahnya bermula apabila seorang pakar geologi muda Amerika Syarikat iaitu Dr. Adrian Helmsley (Chiwetel Ejiofor) diberitahu oleh rakan geologisnya di India iaitu Dr. Satnam Tsurutani tentang penemuan pelik pancaran bahang solar yang besar yang disebut sebagai neutrinos terhadap bumi. Kesannya mengakibatkan bumi seperti berada dalam ketuhar yang membuat suhu di teras bumi meningkat dengan tinggi sekali. Semakin hari ia semakin mencairkan teras bumi dan akan mengakibatkan malapetaka alam yang tidak pernah dapat dibayangkan oleh manusia. Adrian memaklumkan hal ini kepada Ketua Staf Rumah Putih iaitu Carl Anheuser (Oliver Platt) yang terus memaklumkan hal yang sangat berbahaya ini kepada Presiden Amerika Syarikat iaitu Thomas Wilson (Danny Glover). Keadaan yang sangat berbahaya ini dimaklumkan kepada ketua-ketua negara G8 secara sulit. Maka maklumat ini menjadi rahsia yang maha sulit. Ketua-ketua negara maju telah bersetuju untuk menjalankan misi sulit iaitu menyelamatkan spesies manusia yang terpilih dalam menghadapi malapetaka yang akan memusnahkan seluruh kehidupan di bumi.

Mereka mula memilih genetik terpilih melalui misi saringan yang sangat sulit. Pada masa yang sama China telah dilantik untuk membina bahtera-bahtera besar untuk membawa ratusan ribu spesies manusia termasuk juga flora dan fauna bagi memastikan kelangsungan spesies manusia dan kehidupan tidak pupus dari muka bumi selepas malapetaka terbesar itu. Misi membina bahtera ini dilakukan secara sulit di bawah kawalan ketat tentera di pergunungan Himalaya. Gerakan sulit ini turut melibatkan semua jentera kerajaan negara maju termasuk pihak perisikan yang membunuh mana-mana anggota yang cuba membocorkan rahsia. Perubahan cuaca mula berlaku dengan ketidaktentuan iklim, gempa kecil, retakan bumi, letusan gunung berapi, ribut, tsunami dan pelbagai tanda yang menunjukkan kepada pergerakan kerak bumi yang semakin ketara.

Adrian bersama Satnam memantau dengan teliti setiap pergerakan bumi. Ternyata haba semakin meningkat dengan pantas di kerak bumi. Masa untuk bertindak semakin singkat. Adrian mula berkonflik dengan pihak berkuasa khususnya Anheuser tentang hak manusia lain untuk mengetahui tentang keadaan sebenar yang akan menimpa mereka. Tetapi Anheuser berkeras untuk merahsiakan perkara ini sehingga ke akhirnya, dengan manusia-manusia terpilih melalui misi saringan mereka sahaja yang tahu. Pada masa yang sama misi sulit ini turut menghubungi jutawan-jutawan dunia untuk menjualkan tempat dalam bahtera dengan harga 1 billion euro bagi menampung kos misi membina bahtera besar tersebut. Bagaimanapun ribuan juta rakyat biasa akan dibiarkan musnah bersama malapetaka terbesar itu. Adrian tidak dapat melakukan apa-apa, sehinggalah pada saat akhir dia dapat memujuk Presiden AS untuk memaklumkan hal yang sebenar kepada seluruh rakyat. Presiden AS menolak untuk menyelamatkan dirinya dan mengambil keputusan untuk mati bersama rakyatnya.

Filem ini turut menyelitkan keperitan seorang rakyat biasa iaitu Jackson Curtis (John Cussack) untuk berjuang menyelamatkan keluarganya dengan memasuki bahtera penyelamat itu secara haram. Jackson mengetahui secara tidak sengaja tentang malapetaka besar yang akan menimpa umat manusia. Maka dari situ bermulalah kisah pahit getir Jackson membawa keluarganya melepasi gempa bumi dan bencana yang sedang menimpa untuk tiba di Tibet sebelum banjir besar yang menenggelamkan dunia itu berlaku. Jackson akhirnya berjaya memasuki bahtera bersama isteri, dua anak dan beberapa orang lain secara bersembunyi dan selamat daripada banjir yang menenggelamkan dunia itu.

Kota-kota dunia satu demi satu musnah dan tenggelam ditelan laut. Satnam, pakar yang bertanggungjawab menemui maklumat awal tentang bencana besar itu juga tidak diselamatkan dan tenggelam bersama keluarganya ditelan ombak besar. Dunia kini tenggelam oleh ombak hingga setinggi 1500 dan 2000 meter, menenggelami gunung Himalaya. Bahtera-bahtera yang membawa spesies manusia dan kehidupan bumi terselamat. Selepas 27 hari, keadaan reda. Tetapi kini mukabumi telah berubah sama sekali. Sebahagian besar tanah besar sebelum ini tenggelam di bawah laut. Benua Afrika telah terangkat naik dengan puncak gunungnya kini menjadi pusat dunia yang baru.

Filem ini cuba membawa dimensi peristiwa banjir besar yang terdapat dalam kitab-kitab agama samawi dari kacamata saintifik. Walau kisah ini diambil daripada kitab agama, tetapi persoalan tentang agama ditutup bahkan dihapuskan sama sekali di bawah perbincangan saintifik. Agama dilenyapkan daripada kehidupan saintifik. Bahkan yang terselamat daripada bencana Tuhan tersebut adalah manusia-manusia bejat seperti para kapitalis, bourjuis, birokrat, saintis, tentera dan masyarakat awam yang dipilih secara genetik bagi memulakan kehidupan dunia sekular yang baru. Semua masyarakat beragama digambarkan sebagai musnah oleh banjir besar tersebut. Ia dapat dilihat daripada gambaran yang diungkapkan melalui kata-kata Anheuser, ”Kita tinggalkan mereka dengan Tuhan mereka masing-masing.”

Inilah dimensi sekular dan atheisme yang dibina secara halus dalam filem 2012. Bahkan manusia seperti Jackson sendiripun terselamat daripada bencana dengan usaha dirinya sendiri tanpa apa-apa campurtangan dari kuasa Tuhan. 2012 memperlihatkan bagaimana sains dapat mengatasi kuasa Tuhan, dengan melawan bencana alam yang begitu hebat melalui ketepatan ramalan sains dan penciptaan mesin (bahtera) yang melepaskan manusia dengan akalnya daripada kuasa Tuhan. Ternyata 2012 adalah propaganda golongan sainstitik (yang mengagamakan sains) dalam menidakkan kuasa Tuhan Yang Maha Berkuasa. Jika tidak pun gerakan besar-besaran golongan sekular-atheisme dalam membina sistem dan dunia tanpa Tuhan mereka, melalui medium teknologi maklumat yang dikuasai mereka pada hari ini.

Milenia Muslim, Januari 2010

1 comment: