Monday, June 7, 2010

REVIU FILEM

HO YUHANG DAN FILEM VERNAKULAR MALAYSIA

Ho Yuhang merupakan antara pengarah filem vernakular yang muncul pada dekad 1990-an dan menjadi perintis kepada gerakan filem vernakular di Malaysia. Antara nama penting yang menjadi perintis filem vernakular bersama Yuhan ialah James Lee. Filem-filem vernakular iaitu filem-filem yang menggunakan bahasa vernakular seperti Mandarin, Kantonis, Hokkien dan Tamil, sebelumnya lahir dalam gerakan filem indie yang muncul pada dekad 1990-an. Dalam kumpulan filem ini muncul nama-nama seperti Yasmin Ahmad, Amir Muhammad, James Lee, Bernard Chauly, dan beberapa nama lagi. Filem-filem ini dilabelkan sebagai filem indie kerana sifat dan bentuknya yang lari daripada filem arus perdana, iaitu filem berbahasa Melayu dengan ciri-ciri filem kebangsaan (Malaysia). Selain daripada itu filem indie ini membawa sifat minimalis, mementingkan nilai seni lebih daripada nilai komersil, menentang status quo, memberontak terhadap nilai kebangsaan, mengangkat isu sosial dalam hubungan pelbagai kaum dan cuba menggambarkan realiti sedekat yang mungkin (verisilimitude). Dalam pada itu ia memperjuangkan pemikiran sekular, liberal dan bebas nilai dalam mewujudkan secara semu sebuah masyarakat moden Malaysia yang bebas daripada nilai-nilai lama.

Filem-filem indie ini bergerak bebas dalam ruangnya yang tersendiri. Bebas mengkritik apa sahaja, dan fokus kritikan atau ketidakpuasan hati ini kebanyakannya tertumpu kepada isu sosiopolitik. Dari satu sisi, gerakan filem indie kelihatan secara tidak langsung menolak cita-cita kebangsaan yang dikatakan terperangkap dalam gelung dikotomi bumiputera-bukan bumiputera. Pemberontakan ini menuntut sebuah negarabangsa yang berdiri di atas dasar meritokrasi, sekular dan liberal. Sebahagian besar filem indie membawa peranan ini. Antara ciri utama pemberontakan terhadap nilai-nilai kebangsaan ini ialah penggunaan bahasa vernakular seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Hokkien dan Tamil. Bahasa kebangsaan dikesampingkan dengan cara mengaburkan persepsi masyarakat untuk melihat kedudukan bahasa kebangsaan sebagai sama dengan mana-mana bahasa pun dan tidak mempunyai sebarang kedudukan istimewa sebagai bahasa kebangsaan. Pengaburan ciri kebangsaan melalui serangan terhadap bahasa kebangsaan ini dilihat sebagai tindakan halus untuk mewujudkan fahaman liberal-tanpa-nilai-kebangsaan. Bahasa kebangsaan dilihat sebagai tembok utama nilai-nilai lama, yang dianggap sebagai penyumbang kepada mujudnya dikotomi bumiputera-bukan bumiputera yang dilihat sebagai amalan diskriminasi sosial yang ketinggalan zaman.

Bagaimanapun kenyataan sebagai anti-nilai kebangsaan ditolak sepenuhnya oleh penggerak filem indie. Mereka menyatakan bahawa filem indie ialah filem yang tidak terikat kepada kepentingan komersil dan menjadi medium untuk menyuarakan suara masyarakat. Filem indie juga bersifat apolitikal, bebas perkauman dan pencetus kesedaran sosial. Daripada kebangkitan filem-filem indie dekad 90-an inilah muncul filem-filem vernakular (Cina) di tangan Ho Yuhang, James Lee dan sebagainya. Filem vernakular memaparkan hakikat masyarakat yang terpisah entiti kehidupannya berdasar klasifikasi kaum. Dalam kata lain, ia memperlihatkan masyarakat majmuk di Malaysia ialah daripada jenis masyarakat selari (parallel society), iaitu masyarakat yang bergerak bersama tetapi hidup dalam kotak kaum masing-masing. Masyarakat wujud di atas dasar integrasi dan bukan asimilasi. Maka itu setiap kaum bebas membentuk ‘nilai kebangsaan’ masing-masing.

At the End of the Daybreak (AED) arahan Ho Yuhang menggunakan dialek Kantonis sepenuhnya, sekaligus menampilkan sebuah filem Cina Malaysia. Istilah filem Cina Malaysia tidak dipersetujui kebanyakan daripada penggerak filem vernakular ini, kerana mereka mendakwa bahawa filem berbahasa Cina ini juga adalah filem Malaysia. Mana-mana filem yang lahir daripada hasil kerja warganegara Malaysia baik dalam bahasa apapun adalah filem Malaysia – iaitu filem tempatan. Sebelum ini Ho Yuhang menghasilkan filem Rain Dogs yang mendapat kejayaan dalam festival filem di Venice dan Toronto pada tahun 2006. AED adalah filem terbitan Paperheart. Ho Yuhang juga adalah penulis skrip dengan penerbitnya Lorna Tee. Paperheart menerbitkan filem-filem hasil kerja pengarah tempatan untuk pasaran antarabangsa khususnya Hong Kong dan kawasan Asia Timur.

AED mengisahkan Tuck Chai (Chui Tien You) pemuda berusia 23 tahun bercinta dengan pelajar sekolah berusia 16 tahun iaitu Ying (Ng Meng Hui). Cinta terlarang mereka membawa kepada hubungan intim. Ying seorang gadis remaja yang naïf, sering dibuli di sekolah, dan tidak memikirkan hubungan intim itu membawa kesan besar kepadanya. Selebihnya Ying hanya ingin mengenali dan merasai kehidupan dunia dalam usia remajanya yang terkurung di sekolah dan rumah. Ying adalah anak keluarga berada dan terpelajar sementara Tuck Chai ialah anak lelaki kepada ibu tunggal (Kara Hui) yang bersusah payah membina kehidupan setelah ditinggalkan suami yang lari dengan adiknya sendiri. Tuck Chai bekerja membantu ibunya di kedai runcit dan masa lapangnya dihabiskan dengan menunggang motor dan berkawan dengan kawan-kawan yang sehaluan dengannya.

Hubungan terlarang Tuck Chai dan Ying terbongkar apabila ibu bapa Ying menemui pil perancang keluarga. Mengesyaki Ying mempunyai hubungan sulit, mereka mendesak Ying dan akhirnya Ying membongkarkan hubungannya dengan Tuck Chai. Ibu Tuck Chai datang ke rumah Ying dan cuba menyelesaikan masalah ini dengan baik. Tetapi ibu bapa Ying mengatakan mereka akan membuat laporan polis dengan tuduhan Tuck Chai memperkosa gadis di bawah umur. Ibu Tuck Chai merayu dan ibu bapa Ying setuju menggugurkan tuduhan jika mereka dibayar sejumlah wang. Ibu Tuck bersusah payah mencari wang, tetapi apabila wang dibayar ibubapa Ying menyatakan bahawa mereka tetap akan membawa Tuck Chai kepada polis. Keadaan menjadi semakin rumit. Tuck Chai yang kebingungan dan takut dipenjarakan mengaturkan pertemuan dengan Ying. Ying datang bersama teman sekolahnya dan Tuk Chai bersama dua orang teman baiknya membawa mereka berdua ke suatu tempat. Tuck Chai cuba memujuk Ying untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi usaha Tuck Chai gagal oleh sikap acuh tak acuh Ying. Pertemuan ini berakhir dengan tragedi apabila Tuck Chai bertengkar dengan Ying dan secara tidak sengaja telah terbunuh Ying.

Keadaan menjadi tidak terkawal dan dalam usaha untuk menenangkan kawan Ying yang melihat Ying tidak bernafas lagi, kedua-dua kawan Tuck Chai pula secara tidak sengaja telah melemaskan kawan Ying sehingga mati. Kedua-dua Ying dan kawannya meninggal dunia di situ. Polis dapat menangkap dua orang kawan Tuck Chai. Ibu Tuck Chai juga disoal siasat di balai polis. Sementara Tuck Chai yang keliru dan bingung membawa motosikalnya meredah malam ke subuh tanpa henti akhirnya kemalangan dan mati.

Filem ini merupakan sebuah pengucapan kepada pertembungan kelas dalam masyarakat Cina di Malaysia. Ibubapa Ying dari kelas menengah dan ibu Tuck Chai dari kelas bawahan. Pertembungan kelas ini mewujudkan prejudis dan persepsi umum kelas menengah terhadap kelas bawahan. Ibu bapa Ying melihat Tuck Chai adalah pemuda kelas bawahan yang rosak dari keluarga yang porak peranda, apatah lagi ibu Tuck Chai juga adalah penagih arak. Tuck Chai dan ibunya di mata ibubapa Ying hanyalah sampah dalam masyarakat dan perlu diajar akibat kejahatan mereka. Namun pada hakikat sebenarnya Tuck Chai ialah pemuda yang baik, penyayang begitu juga ibunya yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap anaknya. Filem ini mewujudkan watak yang mempunyai sebab tersendiri atas perlakuan mereka. Faktor keadaan membuatkan kehidupan diasak kepada masalah yang tidak dapat mereka selesaikan. Dalam erti kata lain, semua watak dalam filem ini adalah manusia yang tidak bersalah tetapi keadaan yang melorongkan mereka. Tiada protagonis dan antagonis yang jelas dalam filem ini.

Suatu perkara yang baik dalam AED ini ialah azan subuh yang kedengaran ketika Tuck Chai yang bingung dan keliru itu menunggang motosikalnya tanpa tujuan semalaman. Azan subuh itu terhenti apabila Tuck Chai kemalangan dan jatuh mati. Simbolik ini dari satu sisi ia menggambarkan waktu subuh. Dari sisi yang lain pula ia juga boleh dilihat sebagai simbolik kepada hubungan kehidupan dan kematian dengan kesedaran yang bersifat kerohanian. Kesedaran dan keinsafan Tuck Chai bergaul dalam azan subuh. Ia adalah satu perlambangan yang menarik dari hasil tangan seorang pengarah yang bukan beragama Islam. Sayangnya perlambangan agama (Islam) ini bukan datang dari tangan pengarah muda beragama Islam di Malaysia ini yang hanyut dalam cerita-cerita maksiat, rempit, bohsia, hantu tahyul dan samseng.

Monday, April 12, 2010

UMNO KETAM BAHASA

Pepatah Melayu menyebut 'Seperti ketam mengajar anak berjalan betul'. Ini kerana ketam berjalan serong, tetapi menyuruh anaknya berjalan betul. Dalam konteks kerajaan Malaysia juga hal sama yang amat sering berlaku. Pada 10 april 2010 Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyatakan bahawa kerajaan hanya akan memberi kelulusan kepada projek yang dikategorikan sebagai 'cangkul ready' bagi mengelak pelan pembinaan alam Rancangan Malaysia ke-10 tergendala. Apa yang menjengkelkan di sini ialah mengapa penggunaan bahasa rojak 'cangkul ready' menjadi slogan di sini. Tidak bolehkah menggunakan slogan 'sedia cangkul' atau 'cangkul siap' digunakan. Hal ini mungkin perkara kecil, tetapi mentaliti menteri-menteri Malaysia dalam konteks penggunaan bahasa menunjukkan kekerdilan jiwa mereka terhadap semangat menggunakan bahasa kebangsaan. Menteri-menteri jiwa-kebangsaan-kerdil ini bagaimana sekalipun akan menyelitkan perkataan bahasa Inggeris dalam slogan mereka. Tidak lama dahulu juga Puteri UMNO melancarkan kempen terhadap isu buang bayi. Sekalipun slogan kempen mereka terpampang bahasa Inggeris 'We care' (lebih kurang begitulah). Tidak bolehkah digunakan bahasa kebangsaan wahai Puteri UMNO? Sedangkan yang terlibat dalam kes buang bayi itu kebanyakannya pemudi Melayu yang mempunyai latar belakang pendidikan rendah. Tentunya bahasa yang akrab dengan mereka ialah bahasa Melayu. Tetapi apabila digunakan bahasa Inggeris maka kempen ini lebih merupakan kempen syok sendiri Puteri UMNO yang merasakan mereka sedang berada di Tanah Inggeris. Jika sasaran kempen ditujukan kepada golongan remaja berpendidikan rendah maka gunakanlah bahasa yang akrab dengan golongan tersebut. Inilah kekeliruan Puteri UMNO, Menteri-menteri UMNO - pendek kata UMNO sendiri yang tidak tahu lagi bahawa sejarah perjuangan mereka adalah sejarah perjuangan memperkukuhkan nilai-nilai kebangsaan. Satu daripadanya ialah bahasa kebangsaan. Bahkan slogan utama sekarang 1Malaysia tidak disebut 'Satu Malaysia' tetapi disebut 'One Malaysia'. Ke mana sesatnya UMNO sekarang ini?

Monday, March 22, 2010

CORAT CORET

AHLI POLITIK JADIKAN PARLIMEN PROGRAM 'TERJAH'

Bermulanya sesi parlimen pada Isnin lepas menyaksikan ahli-ahli politik menjadikan parlimen sebagai sebuah program 'Terjah' TV3. Dimulakan oleh Zahrain yang kononnya membongkar peristiwa 16 September di mana PR akan mengambil alih kerajaan setelah berjaya membawa ahli-ahli parlimen BN melompat ke PR. Selama berhari-hari sehingga hari ini parlimen membuang masa untuk mendengar pembongkaran kebusukan ahli-ahli politik ini. Parlimen sepatutnya menjadi tempat untuk membahaskan soal kepentingan rakyat, tetapi hari ini ia membuang masa dan duit rakyat untuk mendengar politik celaka ahli-ahli politik yang tidak bermaruah dan sibuk berbalah serta mencari salah lawan mereka tanpa lagi peduli soal kepentingan rakyat. Apa peduli rakyat dengan siasah busuk mereka untuk berkuasa itu. Soalnya sekarang mengapa ahli-ahli politik yang dungu di Malaysia ini tidak habis-habis berpolitik? Bukankah pilihanraya sudah berlalu? Ini adalah masa untuk bekerja demi rakyat. Tidak bolehkah tunggu PRU13 untuk ular-ular politik ini berpolitik? Peliknya di Malaysia ahli politiknya berpolitik setiap saat, sehingga rakyat menjadi tidak tahu bila masa mereka bekerja. Alangkah celakanya ahli politik di Malaysia ini!

Sunday, March 14, 2010

POLITIK

PKR DAN POLITIK BARU 2

Pada peringkat awal PKR dilihat sebagai medium ketiga politik yang membawa perjuangan politik baru; tidak berasaskan kepentingan kaum, menghapuskan rasuah dan penyelewengan kuasa, serta melahirkan sebuah Negara adil dan saksama. Namun gagasan ini terlalu umum dan tidak melihat secara terperinci hakikat masyarakat di Malaysia. Bahkan pada satu ketika ia menjadi pernyataan yang terlalu ideal, jika tidak satu utopia. Masyarakat di Malaysia wujud daripada sebuah kerangka politik consociational, iaitu kerangka politik yang lahir daripada warisan pentadbiran kolonial British. Kerangka politik ini melihat bahawa perbezaan antara masyarakat dapat dimanipulasikan untuk membina kestabilan politik. Fahaman ini lahir daripada kejayaan doktrin ’pecah dan perintah’ (divide and rule) dalam penguasaan empayar British terhadap hampir separuh daripada dunia. Masyarakat harus diletakkan dalam kotak-kotak yang tidak bersentuhan dan selalunya bertentangan. Mereka hanya dihubungkan oleh pemerintah dari segi keperluan sosial dan politik, dan kepentingan ekonomi. Model ini sangat sesuai untuk sebuah sistem ekonomi politik. Masyarakat dalam kotak-kotak ini bergerak bersama di bawah kerangka dan hala tuju yang dibawa oleh pemerintah, dan selalunya menuju ke arah matlamat ekonomi.

Sebuah parallel society atau masyarakat kotak-kotak ini dijauhkan antara satu sama lain untuk menjadikan mereka tidak memahami satu sama lain. Lebih daripada itu, mengelakkan wujudnya hubungan langsung tanpa melalui tangan golongan elit yang memerintah. Setiap hubungan antara kotak-kotak masyarakat (kaum) ini harus melalui wakil-wakil kotak (kaum), yakni elit-elit yang berada dalam ’pejabat’ pemerintahan. Maka hubungan bahkan hala tuju dan kehidupan masyarakat ditentukan oleh golongan elit ini. Pada masa yang sama masyarakat kotak-kotak ini menjadi formula utama kepada pengukuhan kuasa politik golongan elit. Golongan elit politik yang berkuasa pada bila-bila masa boleh memainkan sentimen perkauman atau perbezaan masyarakat untuk mendapat kredit kepada kuasa politik mereka. Kawalan terhadap masyarakat juga dapat dilakukan dengan mempergunakan faktor sentimen dan emosi. Dalam pada itu, segala bentuk penyelewengan dan kesalahan elit penguasa politik ini juga dengan mudah dapat ditenggelamkan dengan memainkan faktor sentimen perkauman ini.

Secara tidak langsung masyarakat diletakkan dalam keadaan curiga-mencurigai antara satu sama lain. Perasaan curiga dan tidak selamat ini menjadikan mereka sangat bergantung kepada elit penguasa politik. Keadaan ini akhirnya memudahkan elit penguasa politik memanipulasikan sentimen masyarakat demi kepentingan peribadi dan kelompok mereka. Namun dari satu sudut, keadaan ini juga mewujudkan satu ruang equalibrium dalam masyarakat. Sentimen ini akan menentukan had dan batasan seseorang dalam hubungannya dalam masyarakat. Maka setiap ahli masyarakat akan mengawal tingkah laku mereka atau ’ahli kotak’ mereka dalam memastikan ia tidak mengganggu sempadan kaum yang boleh mencetuskan suasana kacau yang akan mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan mereka secara keseluruhan. Maka di sini faktor politik juga akan terlibat untuk mengawal had dan batasan tingkah laku ahli masyarakat daripada mendatangkan kesan kepada kestabilan masyarakat keseluruhannya.

Apabila PKR muncul membawa gagasan politik baru, ia dibuat secara spontan berasaskan tindakan atau gerakan masyarakat yang bergerak spontan pada masa itu. Namun gagasan politik baru mengalami period yang sukar apabila melalui fasa pelaksanannya. Ini memandangkan pertamanya, gagasan itu berlaku secara spontan dan apabila diperinci ’hak dan sama rata’ itu tidak mungkin berlaku tanpa mengganggu status quo yang memelihara kestabilan masyarakat selama ini. Status quo hak istimewa orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan Malaysia. Status quo agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang mewujudkan kuasa mahkamah syariah di luar kuasa mahkamah sivil. Status quo institusi Raja-raja Melayu yang menentukan kuasa politik negeri di tangan orang Melayu serta kelulusan rang undang-undang dan kuasa terhadap institusi keselamatan negara. Hak dan sama rata tidak mungkin wujud antara semua kaum tanpa menghapuskan status quo orang Melayu. Maka politik baru akan menghabiskan seluruh masanya untuk berjuang menghapuskan status quo orang Melayu termasuk agama Islam dan institusi Raja-raja Melayu. Jika hal ini berlaku, Malaysia akan terhumban dalam kekacauan yang tidak berpenghujung.

Keduanya, gagasan politik baru yang berlaku secara spontan ini secara praktikumnya akan mengganggu kestabilan masyarakat yang wujud selama ini. Ini memandangkan bahawa asas-asas yang menjadi teras kepada perbezaan masyarakat masih kukuh berdiri sebagai tunjang pendiri masyarakat. Tembok-tembok yang memisahkan masyarakat sama ada yang kelihatan atau yang tidak kelihatan masih menjadi pagar yang menentukan tingkah laku ahli masyarakat dalam menjaga kestabilan masyarakat besar mereka. Jika masyarakat yang berbeza secara fundamental ini ingin dibersamakan dengan mengejut dan begitu sahaja; sudah tentunya ia akan menikam antara satu sama lain. Ia seperti kayu-kayu yang berpaku dicampakkan masuk dalam sebuah tong tanpa dibuang segala paku dan besi tajamnya – tentunya ia akan menikam dan memusnahkan satu sama lain. Seharusnya paku dan besi yang merbahaya dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu. Ia sama keadaannya dengan masyarakat kotak-kotak yang selama ini meletakkan paku dan pancang bagi menjaga sempadan dan keselamatan kotak masing-masing. Maka segala asas dan teras yang wujud selama ini sebagai ’mengawal’ sempadan atau kotak kaum masing-masing itu perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Politik baru memerlukan sebuah tindakan yang sangat reaksioner, terutama pergorbanan setiap bangsa dan kaum dalam membuang kepentingan diri dan kelompok masing-masing. Tetapi ini merupakan suatu bentuk pengorbanan yang tidak mungkin berlaku secara per se apabila ia melibatkan agama, adat resam, kepentingan bangsa-kaum – dan juga penguasaan masing-masing kaum terhadap bidang politik dan ekonomi. Apa yang berlaku dalam gagasan politik baru PKR dan PR sekarang ialah gerakan atau tindakan yang keliru dalam memastikan langkah paling tepat untuk menjaga kestabilan atau titik equalibrium masyarakat di Malaysia. Apa yang dilakukan oleh PKR ialah mengambil konsep dan pemikiran liberal Barat dalam membina kerangka politik baru khususnya dalam mencipta hak yang sama rata dalam masyarakat. Maka pelaksanaan doktrin politik baru dalam PKR sekarang dilihat lebih cenderung kepada pengurangan status quo orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan Malaysia.

Pertamanya, PKR yang tergabung daripada orang Melayu dan bukan Melayu melihat status quo orang Melayu dalam Perlembagaan ini sebagai camouflage kuasa politik UMNO. Maka itu PKR dan PR tidak dapat membezakan antara menyerang UMNO dan menyerang kepentingan orang Melayu khususnya status quo orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan, dan menjadi teras penting dalam kewujudan negara bangsa Malaysia pada hari ini. Pada masa yang sama PKR tidak bertindak secara menyeluruh atau sangat lambat dan lembap untuk bertindak secara menyeluruh mengurangkan status quo semua kaum secara sama rata yang menjadi tunjang politik lama sebelum ini. Maka status quo orang Cina seperti sistem pendidikan vernakular sekolah Cina, monopoli ekonomi kaum Cina dan sebagainya masih kekal dan semakin kukuh akibat serangan terhadap status quo orang Melayu.

Lantaran itu politik baru PKR dan juga Pakatan Rakyat DAP serta PAS kini menghadapi tentangan besar daripada orang Melayu. Bahkan ia akan muncul menjadi tentangan besar-besaran orang Melayu jika PR masih tidak dapat membezakan antara kepentingan orang Melayu dan kepentingan UMNO. Dari satu sudut, UMNO mempunyai kelebihan kerana status quo orang Melayu masih menjadi kubu kebal UMNO. Orang Melayu mungkin marah dan benci terhadap penyelewengan UMNO selama ini, tetapi ini bukan bermakna orang Melayu akan membuang dan menghapuskan status quo mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sehingga hari ini – kerana mereka mempunyai hak yang berdaulat ke atas tanah air mereka yang mereka miliki sejak ribuan tahun dahulu.

PKR dan PAS menghadapi masalah besar dalam konteks status quo orang Melayu ini; iaitu masalah buta sejarah dan buta politik!

Tuesday, March 9, 2010

FILEM




ORIENTALISME DAN NEO-ANIMISME DALAM AVATAR

Avatar dipropagandakan sebagai filem teknologi tinggi terhebat dekad awal abad ke-21, sehingga disebut sebagai sebuah filem epik sains abad baru. Filem yang memakan belanja lebih USD400 juta dan mengutip USD1.6 billion dalam masa dua bulan tayangan ini menerima hasil daripada pelaburan meganya apabila memenangi anugerah Filem Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-67 pada 17 Januari 2010 di California. Sementara James Cameron, pengarahnya menerima anugerah Pengarah Terbaik mengalah barisan pengarah filem The Hurt Locker, Inglourious Basterds, Preciuos dan Up in the Air. James Cameron sekali lagi menggegarkan dunia perfileman selepas filem Titanicnya. Avatar dihasilkan sepenuhnya oleh James dengan skrip dan arahan semua daripadanya. James adalah ’master and commander’ kepada Avatar. Kejayaan filem ini juga banyak bergantung kepada strategi dan belanja pemasaran yang sangat besar iaitu sebanyak USD150 juta.

Avatar adalah perkataan yang berasal daripada agama Hindu iaitu penjelmaan semula Dewa Visnu ke dalam bentuk rupa manusia atau makhluk di bumi. Dalam kitab Ramayana, Rama adalah penjelmaan Dewa Visnu. Terdapat 10 bentuk penjelmaan Dewa Vishnu yang disebut sebagai avatara ini. James Cameron menggunakan konsep dan falsafah penjelmaan Dewa Visnu ini dalam filem Avatarnya, dengan penjelmaan saintis manusia kulit putih ke dalam dunia kaum asli Na’vi melalui tubuh fizikal kaum Na’vi tersebut. Secara tidak langsung seperti meletakkan manusia kulit putih sebagai dewa yang menjelma ke dunia yang tidak bertamadun. Avatar membawa orientalisme kolot dunia Barat dengan kepercayaan ’white mens burdens’ dan ’self and others’nya. Segala masalah dan penyelesaian di dunia ini bahkan sehingga ke planet Pandora yang sejauh 4.3 tahun cahaya dari bumi itu terletak di bahu bangsa kulit putih. Ia mengulangi propaganda superioriti kulit putih seperti dalam cerita Tarzan, King Kong, Superman, Batman dan sebagainya.

Dalam filem Avatar digambarkan bagaimana kolonialisme baru Barat berlaku di planet Pandora. Syarikat penggalian yang di ketuai oleh Parker Selfridge mencari bahan galian bernilai tinggi di planet Pandora. Turut menyertai Parker ialah pasukan marin upahan yang dilengkapi senjata tempur termoden. Ekspedisi kolonial-kapitalisme ini membawa misi untuk mengaut sebanyak-banyaknya galian yang akan menjadi revolusi kepada sumber tenaga baru tersebut. Sepertimana misi kolonialisme di mana-mana pun, ia dimulai dengan membina hubungan dengan penduduk peribumi bangsa Na’vi, iaitu makhluk peribumi berkulit biru, setinggi tiga meter, hidup sebahagian daripada alam Pandora yang indah dan menyembah semangat alam yang dinamakan Eywa. Ekspedisi awal menghantar saintis Grace (Sigourney Weaver) untuk mengkaji bangsa Na’vi di samping memperkenalkan kemudahan moden untuk memikat kaum Na’vi.

Turut terlibat dalam misi kajian dan bantuan ini ialah Jake Sully (Sam Worthington) seorang askar marin lumpuh yang kebetulan terpilih kerana menggantikan abangnya seorang ’pemandu avatar’ yang mati sebelum misi berjalan. Oleh kerana hanya DNA Jake yang sama, maka dia terpaksa dibawa dalam misi avatar yang memakan belanja yang besar itu. Misi kumpulan Grace bersama Jake ialah berbaik dan kemudian memujuk kaum Na’vi berpindah dari Hometree. Ini adalah kerana di bawah Hometree itulah terdapat galian unobtarium yang sangat banyak. Apabila kaum Na’vi menolak untuk berpindah dan misi Grace gagal. Maka Parker melancarkan misi kedua iaitu menggunakan kekerasan melalui tentera marin untuk memusnah dan menghalau keluar kaum Na’vi dari Hometree.

Namun Jake Sully yang hidup bersama kaum Na’vi serta bercinta dengan puteri ketua puak Na’vi yang tinggal di Hometree telah mengambil keputusan nekad untuk bersama kaum Na’vi menentang Parker serta negaranya sendiri demi mempertahankan Hometree. Turut menyertai Jake ialah Grace dan kumpulan mereka yang simpati dengan kaum Na’vi dan menentang dasar kolonialisasi bangsa kulit putih mereka sendiri. Jake muncul sebagai watak luar biasa dan kemudian menjadi wira agung kaum Na’vi setelah berjaya menunggang Toruk iaitu seekor burung raksasa yang ganas. Penunggang Toruk sebelum ini ialah pemimpin lagenda bangsa Na’vi yang menyatukan bangsa Na’vi untuk menentang musuh. Kini ruh pemimpin lagenda itu menjelma dalam diri Jake Sully untuk menyatu dan memimpin bangsa Na’vi menentang musuh baru mereka iaitu kolonialisme kulit putih.

Jake Sully berjaya memimpin bangsa Na’vi dan menghalau keluar kolonial yang cuba menjajah Pandora untuk mendapat galian berharga. Jake Sully akhirnya meninggalkan tubuh manusianya dan wujud dalam tubuh makhluk Na’vi sepenuhnya dalam upacara mistik pemujaan terhadap Eywa. Filem ini adalah sebuah sains fiksyen yang memanfaatkan sepenuh-penuhnya teknologi sains untuk mewujudkan sebuah imaginasi menjadi sebuah realiti dalam filem. Sepertimana filem Hollywood yang lain, Avatar juga mengulangi klise Hollywood tentang superioriti kulit putih. Bangsa kulit putih menjadi penggerak dan pencetus kepada semua hal di alam semesta ini. Jake Sully hanyalah mengulangi watak ’Tarzan’ iaitu ’dewa kulit putih’ yang diturunkan kepada bangsa yang tidak bertamadun untuk menyelamat dan membawa mereka keluar dari penindasan atau kegelapan. Doktrin lapuk orientalisme dilontarkan kembali oleh James Cameron dalam bentuk yang sama tetapi hanya dibezakan oleh silap mata teknologi IMAX 3D nya.

Dalam pada itu, kegilaan kaum atheis dan pencari agama baru di Barat kini bukan sahaja menyebarkan fahaman tentang sains sebagai agama tetapi mula meneroka fahaman baru penolakan agama. Fahaman ini semakin tersebar sebagai sebuah fahaman yang bergerak sendirian tetapi akrab dengan pascamodenisme yang turut mengagungkan sains sebagai agama umat manusia pada era pascamodenisme. Fahaman ini ialah fahaman memuja alam sehingga mencetuskan perkembangan baru falsafah moden yang boleh disebut sebagai neo-animisme. Fahama neo-animisme ini menyatakan bahawa pemujaan terhadap alam dan semangat alam adalah agama asal dan asli manusia. Manusia adalah unsur alam yang wujud secara semulajadi tanpa ciptaan dan campur tangan Tuhan. Agama samawi atau teologi yang membawa fahaman tentang tuhan, tuhan yang esa dan sebagainya kemudian datang sebagai ’agama asing’ yang mencemari kehidupan manusia yang wujud secara semulajadi ini.

Neo-animisme yang berakar dari faham Darwinisme ini berkembang dari pemuka-pemuka atheis seperti Richard Dawkins dan Sam Harris. Secara tidak langsung sekarang berkembang ke dalam prinsip-prinsip kemasyarakatan moden seperti doktrin alam sekitar dan hak asasi manusia. Secara halus dan gradual prinsip-prinsip moden ini menolak agama (Islam khususnya) dengan memprojekkan kejumudan agama dalam menyumbang kepada ’kemusnahan fizikal dan filosofikal’ alam semulajadi serta hak asasi manusia. Faham ini juga membawa manusia kepada pemujaan kembali alam dan semangat alam serta menolak kekuasaan Tuhan (Yang Esa). Bahkan dalam banyak keadaan (fiksyen filem dan novel di Barat) agama dilihat sebagai sebuah unsur kaku yang tidak berperanan dalam kehidupan manusia. Bahkan sering diperlihatkan sebagai punca sikap dan tindakan jumud-melampau manusia.

James Cameron selain daripada menyogokkan faham kolot orientalismenya, dengan bijak memasukkan elemen fahaman baru neo-animisme tersebut melalui spektakular pandora dan Na’vinya. Secara tidak langsung ia mengungkapkan wacana pascamodenisme yang pertamanya mengaburkan realiti dan keduanya menolak agama samawi secara semu melalui faham pemujaan alam neo-animisme. Tidak hairanlah terdapat sektor agama Kristian yang mengutuk filem Avatar kerana membawa faham neo-animisme yang menolak secara halus prinsip ketuhanan agama samawi.

Milenia Muslim, Mac 2010

Monday, March 8, 2010

KALIMAT ALLAH DAN PR

Kata PKR dan PAS, isu kalimah Allah mainan UMNO. Tetapi kedua-dua parti ini gagal menangani mainan UMNO sehingga kepercayaan umat Melayu-Islam terhadap mereka kini luntur. Terbaru Fairus adun Penanti menyatakan kekesalannya terhadap pendirian PKR dan Anwar Ibrahim terhadap isu kalimat Allah. Sebelumnya juga Zulkifli Noordin. Soal kalimat Allah bukan soal politik atau siasah mengambil hati, tetapi soal pendirian terhadap perkara yang boleh bertolak ansur dan perkara yang tidak boleh untuk bertolak ansur. Mengapa PKR dan PAS tiba-tiba mahu bertolak ansur terhadap perkara yang tidak perlu untuk bertolak ansur? Isu kalimat Allah adalah pengajaran kepada PKR khususnya Anwar Ibrahim dan PAS untuk bertegas dalam soal Islam dan kepentingan orang Melayu. Ia bukan soal perkauman tetapi soal mempertahankan Perlembagaan demi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Jika isu kalimat Allah mainan UMNO ternyata PKR dan PAS telah gagal dan kalah dalam perlawanan ini. Dan mereka akan terus kalah kepada UMNO di atas ketidakcerdikan mereka (PAS dan PKR) dalam menangani isu kepentingan Islam dan Melayu.

Sunday, March 7, 2010

PKR DAN POLITIK BARU I

Parti Keadilan Rakyat tertubuh hasil daripada gerakan reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah dipecat dari UMNO dan Kerajaan oleh Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Secara de jure dikatakan wujud konspirasi politik terbesar dalam sejarah politik Malaysia dalam isu pemecatan Anwar Ibrahim ini. Apatah lagi ia dihadapkan dengan tuduhan liwat yang penuh kontroversi dan berakhir dengan hukuman penjara. Gerakan reformasi lahir oleh kerana kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pimpinan korup dan autokratik Mahathir Mohamad, di samping muak dengan pemerintahan oligarkisme Barisan Nasional yang semakin menekan kehidupan rakyat dengan sistem politik tiranikal mereka. Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dikatakan menentang autokratikisme Mahathir Mohamad menghadapi tindakan balas yang akhirnya telah menghancurkan karier politiknya di dalam UMNO. Kemarahan dan kebencian rakyat segera bersatu dengan faktor Anwar dan akhirnya menggerakkan gelombang reformasi yang menggoncang kerajaan BN.

Namun Kerajaan BN gagal ditumbangkan kerana masyarakat bukan Melayu khususnya masyarakat Cina tidak memberikan sokongan padu kepada gerakan reformasi yang mendapat sokongan begitu padu masyarakat Melayu. Masyarakat Cina berbelah bahagi untuk menyokong gerakan reformasi kerana melihat ia sebagai isu pergolakan politik Melayu, dan mengambil sikap berdiam diri demi menjaga kepentingan diri mereka. Kecuali beberapa orang individu seperti Tian Chua, sebagai pejuang hak asasi dan parti DAP yang melihat isu Anwar sebagai batu loncatan untuk meraih sokongan bagi menentang BN, masyarakat Cina mengambil sikap membiarkan orang Melayu berhempas pulas menentang penindasan BN di bawah Mahathir. Mereka hanya menunggu untuk melihat demi menjaga kepentingan mereka, dan mengambil sikap memihak kepada tindakan yang menguntungkan diri mereka. Faktor sikap masyarakat Cina antara sebab kegagalan gerakan reformasi yang berjuang untuk merubah keadaan politik Malaysia pada tahun 1998.

Senario politik yang berubah setelah Mahathir meletak jawatan, dan menyaksikan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menanggung kesan ekonomi yang teruk akibat kerakusan serta keborosan regim Mahathir telah memberi kesan yang teruk kepada masyarakat Cina. Akibatnya masyarakat Cina mula bertukar haluan untuk menyokong pembangkang. Sangat nyata keputusan politik masyarakat Cina di Malaysia yang pertama-tamanya adalah berdasarkan kepentingan diri dan kepentingan perkauman Cina mereka. Ini terbukti daripada rentetan senario gerakan reformasi dan tsunami politik PRU12, 8 mac 2008. Senario PRU12 menggabungkan perasaan tidak puas hati orang Melayu terhadap gejala politik rasuah dan menyelewengan yang membusuk di dalam BN, dengan perasaan masyarakat Cina yang lebih didorong oleh kesan ekonomi pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi. Sementara perasaan tidak puas hati masyarakat India terhadap MIC yang bekerja untuk tembolok pemimpin dan membiarkan masyarakat India di garis marginal bergabung untuk menentang BN.

Terlihat jelas bahawa PRU12 yang dikatakan membawa gelombang politik baru iaitu politik yang tidak berasaskan perkauman itu sendiri terbentuk oleh gerakan-gerakan yang berasaskan perjuangan perkauman. Masyarakat Cina melihat kesan ekonomi yang merugikan mereka (Cina per se) dan dominasi UMNO dalam BN yang bersifat Malay-centric. Begitu juga masyarakat India yang digerakkan oleh Hindraf yang muncul sebagai perjuangan ekstrim Hinduisme dalam konteks mengeluarkan masyarakat India dari garis marginal yang wujud hasil daripada sistem politik kepentingan kaum BN. Hindraf menyasarkan UMNO dan MIC sebagai punca kepada kemelaratan masyarakat India di Malaysia, termasuk mempertikai kerajaan British zaman kolonial yang melemparkan mereka ke Tanah Melayu tanpa pembelaan. Hindraf juga melihat politik Malay-centric UMNO sebagai musuh kepada perjuangan mendapat hak yang sama rata untuk semua kaum. Sementara masyarakat Melayu melihat kebusukan politik UMNO yang mempergunakan dasar memperjuangkan hak orang Melayu sebagai bumiputera diselewengkan untuk mengisi tembolok pemimpin UMNO dan melahirkan umnoputera.

Amatlah jelas bahawa penyatuan rasa politik rakyat yang menakung kebencian kepada Kerajaan BN adalah muncul dalam kotak-kotak pemikiran perkauman yang memaksa mereka untuk menerima antara satu sama lain demi mencapai tujuan politik kepentingan kaum masing-masing. Pada peringkat atasan dan pertengahan, hubungan pelbagai kaum lebih bergerak kepada perjuangan pemikiran liberal. Namun pada peringkat bawahan yang mengisi populasi terbesar rakyat, hubungan antara kaum adalah masih dalam bentuk hubungan yang palsu. Ia adalah hubungan yang dibentuk secara kosmetik yang masih dalam keadaan state of stable tension, dan mengikut telunjuk hasutan golongan elit yang berpengaruh dalam hirearki sosial kaum masing-masing. Politik baru pada hakikatnya hanya wujud sebagai sebuah teori dan digunakan sebagai retorik untuk mencapai tujuan politik yang masih sangat samar. Secara amali dan hakiki politik baru adalah sebuah dongeng moden masyarakat Malaysia.

PKR muncul sebagai sebuah parti atau ruang politik baru apabila parti-parti politik tradisi baik seperti UMNO, MCA, MIC, PAS dan DAP dilihat sebagai locus politik lama yang berasaskan perjuangan kepentingan kaum atau puak yang selalu disempitkan dengan pelbagai hal yang tidak mampu mengubah struktur politik Malaysia yang semakin berat dan hampir runtuh. Dari satu segi PKR boleh dikatakan muncul sebagai suara ketiga (middle ground) dalam senario politik Malaysia. Kemunculan PKR sebagai wadah suara ketiga itu akhirnya menjadi jambatan untuk menghubungkan parti chauvinis Cina DAP dan parti fundamentalis Islam PAS dalam menentang hegemoni BN di bawah regim autokratik UMNO. Pada masa yang sama PKR menjadi breeding ground kepada kemunculan suara golongan muda yang terbuka dan kritis dalam melihat situasi politik hari ini. Golongan muda ini menjadi penentang tegar segala bentuk hegemoni tua yang bertapak dalam kerangka besar struktur besar politik Malaysia.

Namun malangnya PKR diacu oleh kepentingan golongan liberal yang ingin mewujudkan sebuah kerangka politik baru yang kononnya tidak berasaskan perkauman atau bebas perkauman, dan meletakkan hak sama rata tanpa mengira kaum sebagai sebuah perjuangan suci politik baru mereka. Hal ini menjadi sebuah momok politik yang muluk pada peringkat awalnya. Tetapi lama-kelamaan apabila perjuangan untuk hak sama rata itu banyak menyerang kepentingan dan hak orang Melayu termasuk agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan, dasar politik PKR telah menjadi sebuah suara ketiga yang mengacu kepada kepentingan liberal dalam konteks kerangka pemikiran Barat. Pemimpin-pemimpin PKR khususnya Anwar Ibrahim sendiri bertukar menjadi pengunggul-pengunggul liberalisme Barat yang menghala kepada sistem politik sekular yang menentang mana-mana kepentingan dan kedaulatan penduduk peribumi.

Politik baru di tangan PKR dan Pakatan Rakyat berjuang untuk mengurangkan status quo orang Melayu termasuk hak bumiputera dalam peruntukan 152 dan 153 Perlembagaan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru, dan bahkan ketetapan dalam Agama Islam seperti isu murtad, kuasa mahkamah syariah, dan isu kalimat Allah. Tetapi malangnya status quo bukan Melayu seperti Sekolah Aliran Cina dan Tamil yang menjadi sebab utama polarisasi kaum dan gagalnya dasar kebangsaan tidak pernah berani diusik. Malah diperkuatkan lagi segala bentuk status quo bukan Melayu ketika status quo Melayu diserang habis-habisan dan dirobohkan satu demi satu. Pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR dan PAS memikirkan ia adalah satu siasah politik dalam menumbangkan Kerajaan BN. Tetapi tanpa mereka sedar, mereka sedang memperjudikan bangsa dan agama mereka demi sebuah matlamat politik yang sangat samar. PKR pada hari ini adalah sebuah gerakan reformasi Melayu yang ingin membawa keadilan kepada semua kaum di Malaysia; yang telah dirampas (hijacked) untuk menjadi breeding ground kepada perjuangan liberalisme yang dibangunkan atas kerangka pemikiran dan falsafah Barat – yang tentunya menolak kepentingan Melayu dan Islam dalam konteks politik Malaysia hari ini.

(bersambung)

Monday, January 25, 2010

REVIU FILEM




2012 MEMFIKSYENKAN KIAMAT


Sains dalam gelombang era pascamoden hari ini dianggap sebagai agama manusia Barat. Maka cara dan pandang hidup yang beragamakan sains ini disebut sebagai saintistik (scientistic). Menurut Seyyed Hossein Nasr, sains moden yang difahami di sini ialah pengetahuan yang dikembangkan oleh orang seperti Galileo dan Newton dengan beberapa andaian yang dibuat berdasarkan ciri-ciri kompleks masa, ruang, jirim, pergerakan dan sebagainya; di samping kekuasaan realiti fizikal yang bebas dari realiti lain yang lebih tinggi. Sains sebagaimana yang difahami dalam konteks bahasa Inggeris ialah sains yang didakwa patut memonopoli pengetahuan tentang kekuasaan alam semulajadi yang bebas daripada semua bentuk pengetahuan yang lain. Maka ciri asas sains moden yang bersifat dusta ini ialah penceraian ilmu daripada ketuhanan.

Dalam hal ini sains moden bukan sahaja terputus dari Tuhan tetapi juga melupakan awal dan akhir (alpha dan omega) yang mengaitkan alam semesta ini kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Sains moden ini menolak kejadian yang menyerap dan mengeluarkan semua maujud dari satu pusat, yakni Tuhan Yang Esa. Islam melihat alam semesta ditentukan oleh satu permulaan yang berkait dengan tindakan penciptaan fiat lux atau kun dari al-Quran yang suci dan berakhir dengan satu pengakhiran (al-maad) yang bersifat eskatologikal dan tidak boleh dicapai dengan ramalan peristiwa fizikal serta daya atau kuasa material yang beroperasi dalam sains moden hari ini. Tetapi sains moden meletakkan pusat kejadian alam semesta ini kepada daya fizik dan material yang beroperasi melalui pemikiran objektif dan rasional manusia. Secara umum ia mewujudkan sistem palsu yang tertutup dan bebas dari Tuhan.

2012 adalah sebuah filem yang mengulangi cerita-cerita tentang kemusnahan bumi dalam filem-filem sebelumnya seperti Independence Day, Judgdement Day, Armageddon, The Day After Tomorrow, Knowing dan sebagainya. Roland Emmerich pengarah dan pencetus kepada lahirnya 2012 ini menyatakan keinginannya untuk memfilemkan kisah banjir besar yang tercatat dalam kitab injil. Namun inspirasinya muncul apabila membaca teori berkenaan peralihan kerak bumi dari buku non-fiksi Fingerprints of the Gods tulisan Graham Hancock. Filem ini mendasarkan teori kemusnahan bumi oleh peningkatan kuasa solar matahari yang mengeluarkan neutrinos sehingga mencairkan teras bumi. Ia mengakibatkan perubahan atau peralihan plat-plat bumi dan akhirnya mewujudkan malapetaka alam terbesar dengan gempa bumi, letusan gunung berapi dan ombak besar yang menenggelamkan seluruh benua. Bumi dimusnah dan distrukturkan semula oleh pergerakan semulajadi secara geo-saintifik. Kemusnahan atau penstrukturan semula geografi bumi ini telah diramalkan dalam kalendar purba peradaban Maya. Menurut perkiraan dalam kalendar purba Maya ini waktu berlakunya malapetaka besar bumi itu ialah pada tahun 2012.

Kisahnya bermula apabila seorang pakar geologi muda Amerika Syarikat iaitu Dr. Adrian Helmsley (Chiwetel Ejiofor) diberitahu oleh rakan geologisnya di India iaitu Dr. Satnam Tsurutani tentang penemuan pelik pancaran bahang solar yang besar yang disebut sebagai neutrinos terhadap bumi. Kesannya mengakibatkan bumi seperti berada dalam ketuhar yang membuat suhu di teras bumi meningkat dengan tinggi sekali. Semakin hari ia semakin mencairkan teras bumi dan akan mengakibatkan malapetaka alam yang tidak pernah dapat dibayangkan oleh manusia. Adrian memaklumkan hal ini kepada Ketua Staf Rumah Putih iaitu Carl Anheuser (Oliver Platt) yang terus memaklumkan hal yang sangat berbahaya ini kepada Presiden Amerika Syarikat iaitu Thomas Wilson (Danny Glover). Keadaan yang sangat berbahaya ini dimaklumkan kepada ketua-ketua negara G8 secara sulit. Maka maklumat ini menjadi rahsia yang maha sulit. Ketua-ketua negara maju telah bersetuju untuk menjalankan misi sulit iaitu menyelamatkan spesies manusia yang terpilih dalam menghadapi malapetaka yang akan memusnahkan seluruh kehidupan di bumi.

Mereka mula memilih genetik terpilih melalui misi saringan yang sangat sulit. Pada masa yang sama China telah dilantik untuk membina bahtera-bahtera besar untuk membawa ratusan ribu spesies manusia termasuk juga flora dan fauna bagi memastikan kelangsungan spesies manusia dan kehidupan tidak pupus dari muka bumi selepas malapetaka terbesar itu. Misi membina bahtera ini dilakukan secara sulit di bawah kawalan ketat tentera di pergunungan Himalaya. Gerakan sulit ini turut melibatkan semua jentera kerajaan negara maju termasuk pihak perisikan yang membunuh mana-mana anggota yang cuba membocorkan rahsia. Perubahan cuaca mula berlaku dengan ketidaktentuan iklim, gempa kecil, retakan bumi, letusan gunung berapi, ribut, tsunami dan pelbagai tanda yang menunjukkan kepada pergerakan kerak bumi yang semakin ketara.

Adrian bersama Satnam memantau dengan teliti setiap pergerakan bumi. Ternyata haba semakin meningkat dengan pantas di kerak bumi. Masa untuk bertindak semakin singkat. Adrian mula berkonflik dengan pihak berkuasa khususnya Anheuser tentang hak manusia lain untuk mengetahui tentang keadaan sebenar yang akan menimpa mereka. Tetapi Anheuser berkeras untuk merahsiakan perkara ini sehingga ke akhirnya, dengan manusia-manusia terpilih melalui misi saringan mereka sahaja yang tahu. Pada masa yang sama misi sulit ini turut menghubungi jutawan-jutawan dunia untuk menjualkan tempat dalam bahtera dengan harga 1 billion euro bagi menampung kos misi membina bahtera besar tersebut. Bagaimanapun ribuan juta rakyat biasa akan dibiarkan musnah bersama malapetaka terbesar itu. Adrian tidak dapat melakukan apa-apa, sehinggalah pada saat akhir dia dapat memujuk Presiden AS untuk memaklumkan hal yang sebenar kepada seluruh rakyat. Presiden AS menolak untuk menyelamatkan dirinya dan mengambil keputusan untuk mati bersama rakyatnya.

Filem ini turut menyelitkan keperitan seorang rakyat biasa iaitu Jackson Curtis (John Cussack) untuk berjuang menyelamatkan keluarganya dengan memasuki bahtera penyelamat itu secara haram. Jackson mengetahui secara tidak sengaja tentang malapetaka besar yang akan menimpa umat manusia. Maka dari situ bermulalah kisah pahit getir Jackson membawa keluarganya melepasi gempa bumi dan bencana yang sedang menimpa untuk tiba di Tibet sebelum banjir besar yang menenggelamkan dunia itu berlaku. Jackson akhirnya berjaya memasuki bahtera bersama isteri, dua anak dan beberapa orang lain secara bersembunyi dan selamat daripada banjir yang menenggelamkan dunia itu.

Kota-kota dunia satu demi satu musnah dan tenggelam ditelan laut. Satnam, pakar yang bertanggungjawab menemui maklumat awal tentang bencana besar itu juga tidak diselamatkan dan tenggelam bersama keluarganya ditelan ombak besar. Dunia kini tenggelam oleh ombak hingga setinggi 1500 dan 2000 meter, menenggelami gunung Himalaya. Bahtera-bahtera yang membawa spesies manusia dan kehidupan bumi terselamat. Selepas 27 hari, keadaan reda. Tetapi kini mukabumi telah berubah sama sekali. Sebahagian besar tanah besar sebelum ini tenggelam di bawah laut. Benua Afrika telah terangkat naik dengan puncak gunungnya kini menjadi pusat dunia yang baru.

Filem ini cuba membawa dimensi peristiwa banjir besar yang terdapat dalam kitab-kitab agama samawi dari kacamata saintifik. Walau kisah ini diambil daripada kitab agama, tetapi persoalan tentang agama ditutup bahkan dihapuskan sama sekali di bawah perbincangan saintifik. Agama dilenyapkan daripada kehidupan saintifik. Bahkan yang terselamat daripada bencana Tuhan tersebut adalah manusia-manusia bejat seperti para kapitalis, bourjuis, birokrat, saintis, tentera dan masyarakat awam yang dipilih secara genetik bagi memulakan kehidupan dunia sekular yang baru. Semua masyarakat beragama digambarkan sebagai musnah oleh banjir besar tersebut. Ia dapat dilihat daripada gambaran yang diungkapkan melalui kata-kata Anheuser, ”Kita tinggalkan mereka dengan Tuhan mereka masing-masing.”

Inilah dimensi sekular dan atheisme yang dibina secara halus dalam filem 2012. Bahkan manusia seperti Jackson sendiripun terselamat daripada bencana dengan usaha dirinya sendiri tanpa apa-apa campurtangan dari kuasa Tuhan. 2012 memperlihatkan bagaimana sains dapat mengatasi kuasa Tuhan, dengan melawan bencana alam yang begitu hebat melalui ketepatan ramalan sains dan penciptaan mesin (bahtera) yang melepaskan manusia dengan akalnya daripada kuasa Tuhan. Ternyata 2012 adalah propaganda golongan sainstitik (yang mengagamakan sains) dalam menidakkan kuasa Tuhan Yang Maha Berkuasa. Jika tidak pun gerakan besar-besaran golongan sekular-atheisme dalam membina sistem dan dunia tanpa Tuhan mereka, melalui medium teknologi maklumat yang dikuasai mereka pada hari ini.

Milenia Muslim, Januari 2010

Thursday, January 14, 2010

2010 DAN ISU KALIMAT ALLAH





Tahun 2010 hadir dengan sambutan seperti biasa di Bukit Bintang, Bangsar, Dataran Merdeka. Anak-anak muda terutamanya menjadikan sambutan tahun baru sebagai sebuah perayaan tahunan. Sambutan tahun baru adalah antara tradisi baru abad moden. Antaranya lagi ialah sambutan hari kekasih (valentine day), hari jadi (birthday), april fool, selain dari hari hak asasi, hari alam sekitar, hari wanita, dan sebagainya. Semua ini adalah tradisi moden yang menyebar ke seluruh dunia seiring dengan fahaman moden. Semua tradisi ini tiada kaitan dengan ajaran agama Islam melainkan sebahagiannya mempunyai pengaruh agama Kristian sejajar dengan agama manusia Barat yang menyebarkan fahaman moden ini.

Agama Kristian telah disesuaikan sedemikian rupa untuk menyerap ke dalam tradisi moden dan menjadi sebahagian daripada kemodenan. Agama Kristian yang bersifat evangelist iaitu bersifat menyebar dan menarik manusia untuk memeluknya sentiasa menyesuaikan diri dengan cepat dalam setiap perkembangan zaman. Suatu ketika dahulu agama Kristian meletakkan dirinya dalam tubuh feudalisme Eropah untuk menjadikannya kuat dan menjadi sebahagian daripada misi imperialisme dan kolonialisme Eropah. Ekspedisi-ekspedisi pelayaran mencari wilayah baru untuk membekalkan sumber dan pasaran kepada revolusi industri di Eropah turut menjadikan penyebaran agama Kristian sebagai matlamat suci. Agama Kristian menjadi faktor psikologi kepada manusia Eropah untuk membenarkan segala tindakan penjajahan sebagai sebagai misi suci untuk membebaskan dunia daripada kegelapan. Selebihnya ia menjadi penutup kepada perasaan bersalah penjarahan zalim manusia Eropah.

Pada zaman moden pula, agama Kristian menyesuaikan dirinya dengan menyerap dalam faham demokrasi, dan berbalik mengutuk faham feudal yang mendokongnya dahulu. Agama Kristian menjadi sebahagian daripada teras demokrasi, sebagaimana yang dikatakan oleh Samuel P. Huntington dalam bukunya The Third Wave: Democratization in the Late Twentieth Century, bahawa sebuah negara demokrasi yang tulen adalah juga sebuah negara Kristian. Bagi negara bukan Kristian, ia hanyalah sebuah negara separa-demokrasi. Negara-negara Asia yang dikatakan hampir mencapai taraf negara demokrasi tulen ialah Korea Selatan, di mana agama Kristian secara de factonya menjadi agama rasminya.

Tahun baru 2010 menyaksikan negara digegar dengan isu kalimat Allah. Isu ini bermula sejak tahun 2007. Pada Disember 2007 Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan majalah Herald, sebuah majalah mingguan Katholik yang diterbitkan di Sabah menghentikan penggunaan kalimat “Allah” termasuk juga perkataan“Baitullah”, “Solat”, dan “kaabah” dalam seksyen bahasa Melayunya. Arahan ini membawa majalah Herald memfailkan tuntutan menentang larangan KDN tersebut. Pada masa yang sama Sidang Injil Borneo atau dikenali sebagai Evangelical Church of Borneo turut memfailkan tuntutan untuk menyemak semula larangan KDN yang mengharamkan badan tersebut mengimport buku-buku agama Kristian berbahasa Melayu yang menggunakan kalimat “Allah”.

Isu ini reda seketika apabila keputusan mahkamah menyebelahi tindakan yang dilakukan oleh KDN. Namun ia muncul kembali apabila Ketua Paderi Roman Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagai penerbit majalah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan “Allah” bukan ekslusif bagi agama Islam. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhirnya membenarkan majalah Herald-The Chatholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Keputusan ini dibuat oleh Hakim Lau Bee Lan pada khamis 31 Disember 2009. Ia tentunya merupakan sesuatu yang amat mengejut dan membakar perasaan umat Melayu-Islam.

Dalam konteks masakini, terlihat gerakan agama Kristian menyesuaikan dirinya secara gradual, konsisten dan signifikan bukan sahaja dalam perkembangan zaman tetapi juga dengan situasi setempat. Berbeza dengan agama Buddha atau Hindu, agama Kristian bersifat agama yang menyebar dan menarik umat manusia untuk memeluknya. Dalam konteks agama, ’penyebaran’ adalah sebahagian daripada tuntutannya. Ia adalah sifat agama. Namun setiap negara dan masyarakat dalam dunia moden ini mempunyai peraturan dalam menjaga keamanan dan keharmonian dalam konteks tempatan. Di Malaysia agama Islam telah dilembagakan sebagai agama rasmi persekutuan. Peruntukan Perlembagaan Malaysia ini bukan sahaja perlu dihormati tetapi dipatuhi demi keharmonian sebuah negara yang dimiliki bersama.

Berlaku pertembungan antara perkembangan agama Kristian dalam menyesuaikan dirinya dalam konteks tempatan dengan situasi tempatan yang dibentuk oleh sebuah peradaban Islam yang harus memelihara kesucian Islam hasil kedaulatan yang telah dibinanya sejak berkurun dahulu. Dalam pada itu, Malaysia sendiri adalah sebuah negara yang dibina hasil daripada pertembungan tuntutan kaum peribumi dan kaum pendatang. Apabila kaum pendatang memenangi tuntutan untuk menjadi warganegara sebuah negara yang merdeka, pertembungan tuntutan antara kaum pendatang yang kini menjadi warganegara dengan kaum peribumi terus berlaku. Dari satu segi, pertembungan tuntutan yang ditranformasikan melalui tindakan politik menghasilkan sebuah fenomena politik yang unik di Malaysia. Ia mewujudkan Malaysia yang berkembang daripada dinamika masyarakat selari (parallel society). Masyarakat yang berkembang bersama tetapi hidup berasingan dalam kotak-kotak kaum masing-masing.

Apa yang menarik untuk diperhatikan dalam isu kalimat Allah ini bagaimana tuntutan daripada kaum bukan Melayu menjadi semakin kuat dan ketidakupayaan orang Melayu untuk menangani tuntutan yang semakin mengasak setiap hak mereka. Mungkin membina dikotomi Melayu dan bukan Melayu ini adalah satu pernyataan yang bertentangan dengan cita-cita perpaduan, tetapi dalam keadaan tertentu hakikat dan realiti masyarakat itu harus dilihat secara jujur dan berani. Malaysia walau apa slogan dan dasarnya, sehingga hari ini pada hakikatnya adalah sebuah negara pelbagai bangsa (heterogenus) dan bukan negara satu bangsa (homogenus). Bangsa Melayu sebagai bangsa asal dan peribumi tetap mempunyai hak mereka yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, dan juga secara histriografikal dan psikologikal memiliki kedaulatan bangsanya di Tanah Melayu ini; berbanding kaum lain.

Maka itu kegagalan atau toleransi pemimpin politik Melayu dalam membenarkan penggunaan kalimat Allah dalam agama lain, yang juga bersifat ’menyebarkan’ bukan sahaja dilihat sebagai ketidakupayaan kuasa politik Melayu menangani tuntutan bukan Melayu tetapi juga memperlihatkan kewujudan lanskap politik yang tidak seimbang. Ketidakseimbangan ini tentunya akan mewujudkan ketidakstabilan dalam masyarakat. Dan secara berentetan ia adalah akibat daripada ketidakupayaan pemimpin politik Melayu baik pemerintah mahupun pembangkang yang gagal menyeimbangkan tuntutan sehingga mencetuskan kemarahan orang Melayu-Islam. Jika kuasa politik Melayu dapat mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam sesuai dengan kedudukan yang diperuntukan dalam Perlembagaan, keadaan ini tentunya dapat dikawal. Tetapi kecelaruan dan pertindihan politik kepartian mengakibatkan pemimpin politik Melayu-Islam mengabaikan tanggungjawab mereka dan merugikan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Orang Melayu melihat UMNO yang lemah dalam menjaga kepentingan orang Melayu, lantaran reput oleh perjuangan kepentingan diri, rasuah dan sebagainya. Orang Melayu juga melihat PAS yang tidak mempunyai keupayaan politik yang dominan dalam Pakatan Rakyat sehingga terpaksa mengalah dan menyokong tuntutan bukan Melayu demi persahabatan politik marriage of convenience. Akhirnya orang Melayu melihat PKR yang harus mendongkol menyamaratakan semua kepentingan orang Melayu dengan kepentingan bukan Melayu demi kepentingan politik kepartian, walaupun ia mencabuli hak yang diperuntukkan kepada orang Melayu-Islam.

Isu kalimat Allah ini sebenarnya sedang memperlihatkan kepada orang Melayu bahawa kepimpinan politik Melayu sekarang baik UMNO, PAS dan PKR bukanlah lagi satu-satunya wadah yang dapat memelihara serta mempertahankan kepentingan dan hak orang Melayu-Islam. Orang Melayu pada hari ini harus melihat setiap pemimpin politik dan parti politik Melayu-Islam secara kritis tanpa perlu dikelubungi oleh perasaan taksub dan dogmatik. Dari sini orang Melayu dapat mewujudkan ’kuasa’ mereka terhadap para pemimpin dan parti politik yang kononnya memperjuangkan hak mereka. Maka pemimpin politik Melayu yang tidak berupaya menangani tuntutan yang merugikan orang Melayu harus ditolak oleh orang Melayu serta merta.

Isu kalimat Allah ini harus menjadi titik tolak untuk memulakan ’kuasa’ orang Melayu. Titiknya bermula dengan menolak pemimpin politik Melayu yang menyokong penggunaan kalimat Allah oleh bukan Islam. Dengan itu orang Melayu tidak perlu memusuhi mana-mana kaum atau agama lain, tetapi memusuhi pemimpin Melayu yang tidak memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu. Orang Melayu harus memulakan kempen menolak pemimpin dan intelektual Melayu yang menyokong mahupun menerima kalimat Allah digunakan oleh agama lain. Nyahkan mereka tanpa mengira siapa dan apa parti mereka.


Ia akan menjadi titik tolak untuk mengajar pemimpin politik Melayu yang lemah mahupun pemimpin yang mengejar kepentingan diri dan politik kepartian mereka.

TULISAN POLITIK 2010

Bermula tahun 2010 ini saya memulakan kembali tulisan-tulisan politik yang sebelum ini terhenti apabila saya berhenti menulis 'Dunia Tanpa Tirai' di Mingguan Wasilah. Untuk kali ini, saya menulisnya dalam blog belatidanbunga.blogspot ini setiap Jumaat. Senario politik yang tidak menentu menjadi suatu fenomena yang menarik untuk didokumentasi dalam bentuk penulisan sosiopolitik secara on line ini. Bagi saya ia merupakan sejarah yang harus dicatat, dan dengan itu saya menjadikan blog ini sebagai rakaman sejarah politik Malaysia pada era ini.