Sunday, March 14, 2010

POLITIK

PKR DAN POLITIK BARU 2

Pada peringkat awal PKR dilihat sebagai medium ketiga politik yang membawa perjuangan politik baru; tidak berasaskan kepentingan kaum, menghapuskan rasuah dan penyelewengan kuasa, serta melahirkan sebuah Negara adil dan saksama. Namun gagasan ini terlalu umum dan tidak melihat secara terperinci hakikat masyarakat di Malaysia. Bahkan pada satu ketika ia menjadi pernyataan yang terlalu ideal, jika tidak satu utopia. Masyarakat di Malaysia wujud daripada sebuah kerangka politik consociational, iaitu kerangka politik yang lahir daripada warisan pentadbiran kolonial British. Kerangka politik ini melihat bahawa perbezaan antara masyarakat dapat dimanipulasikan untuk membina kestabilan politik. Fahaman ini lahir daripada kejayaan doktrin ’pecah dan perintah’ (divide and rule) dalam penguasaan empayar British terhadap hampir separuh daripada dunia. Masyarakat harus diletakkan dalam kotak-kotak yang tidak bersentuhan dan selalunya bertentangan. Mereka hanya dihubungkan oleh pemerintah dari segi keperluan sosial dan politik, dan kepentingan ekonomi. Model ini sangat sesuai untuk sebuah sistem ekonomi politik. Masyarakat dalam kotak-kotak ini bergerak bersama di bawah kerangka dan hala tuju yang dibawa oleh pemerintah, dan selalunya menuju ke arah matlamat ekonomi.

Sebuah parallel society atau masyarakat kotak-kotak ini dijauhkan antara satu sama lain untuk menjadikan mereka tidak memahami satu sama lain. Lebih daripada itu, mengelakkan wujudnya hubungan langsung tanpa melalui tangan golongan elit yang memerintah. Setiap hubungan antara kotak-kotak masyarakat (kaum) ini harus melalui wakil-wakil kotak (kaum), yakni elit-elit yang berada dalam ’pejabat’ pemerintahan. Maka hubungan bahkan hala tuju dan kehidupan masyarakat ditentukan oleh golongan elit ini. Pada masa yang sama masyarakat kotak-kotak ini menjadi formula utama kepada pengukuhan kuasa politik golongan elit. Golongan elit politik yang berkuasa pada bila-bila masa boleh memainkan sentimen perkauman atau perbezaan masyarakat untuk mendapat kredit kepada kuasa politik mereka. Kawalan terhadap masyarakat juga dapat dilakukan dengan mempergunakan faktor sentimen dan emosi. Dalam pada itu, segala bentuk penyelewengan dan kesalahan elit penguasa politik ini juga dengan mudah dapat ditenggelamkan dengan memainkan faktor sentimen perkauman ini.

Secara tidak langsung masyarakat diletakkan dalam keadaan curiga-mencurigai antara satu sama lain. Perasaan curiga dan tidak selamat ini menjadikan mereka sangat bergantung kepada elit penguasa politik. Keadaan ini akhirnya memudahkan elit penguasa politik memanipulasikan sentimen masyarakat demi kepentingan peribadi dan kelompok mereka. Namun dari satu sudut, keadaan ini juga mewujudkan satu ruang equalibrium dalam masyarakat. Sentimen ini akan menentukan had dan batasan seseorang dalam hubungannya dalam masyarakat. Maka setiap ahli masyarakat akan mengawal tingkah laku mereka atau ’ahli kotak’ mereka dalam memastikan ia tidak mengganggu sempadan kaum yang boleh mencetuskan suasana kacau yang akan mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan mereka secara keseluruhan. Maka di sini faktor politik juga akan terlibat untuk mengawal had dan batasan tingkah laku ahli masyarakat daripada mendatangkan kesan kepada kestabilan masyarakat keseluruhannya.

Apabila PKR muncul membawa gagasan politik baru, ia dibuat secara spontan berasaskan tindakan atau gerakan masyarakat yang bergerak spontan pada masa itu. Namun gagasan politik baru mengalami period yang sukar apabila melalui fasa pelaksanannya. Ini memandangkan pertamanya, gagasan itu berlaku secara spontan dan apabila diperinci ’hak dan sama rata’ itu tidak mungkin berlaku tanpa mengganggu status quo yang memelihara kestabilan masyarakat selama ini. Status quo hak istimewa orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan Malaysia. Status quo agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang mewujudkan kuasa mahkamah syariah di luar kuasa mahkamah sivil. Status quo institusi Raja-raja Melayu yang menentukan kuasa politik negeri di tangan orang Melayu serta kelulusan rang undang-undang dan kuasa terhadap institusi keselamatan negara. Hak dan sama rata tidak mungkin wujud antara semua kaum tanpa menghapuskan status quo orang Melayu. Maka politik baru akan menghabiskan seluruh masanya untuk berjuang menghapuskan status quo orang Melayu termasuk agama Islam dan institusi Raja-raja Melayu. Jika hal ini berlaku, Malaysia akan terhumban dalam kekacauan yang tidak berpenghujung.

Keduanya, gagasan politik baru yang berlaku secara spontan ini secara praktikumnya akan mengganggu kestabilan masyarakat yang wujud selama ini. Ini memandangkan bahawa asas-asas yang menjadi teras kepada perbezaan masyarakat masih kukuh berdiri sebagai tunjang pendiri masyarakat. Tembok-tembok yang memisahkan masyarakat sama ada yang kelihatan atau yang tidak kelihatan masih menjadi pagar yang menentukan tingkah laku ahli masyarakat dalam menjaga kestabilan masyarakat besar mereka. Jika masyarakat yang berbeza secara fundamental ini ingin dibersamakan dengan mengejut dan begitu sahaja; sudah tentunya ia akan menikam antara satu sama lain. Ia seperti kayu-kayu yang berpaku dicampakkan masuk dalam sebuah tong tanpa dibuang segala paku dan besi tajamnya – tentunya ia akan menikam dan memusnahkan satu sama lain. Seharusnya paku dan besi yang merbahaya dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu. Ia sama keadaannya dengan masyarakat kotak-kotak yang selama ini meletakkan paku dan pancang bagi menjaga sempadan dan keselamatan kotak masing-masing. Maka segala asas dan teras yang wujud selama ini sebagai ’mengawal’ sempadan atau kotak kaum masing-masing itu perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Politik baru memerlukan sebuah tindakan yang sangat reaksioner, terutama pergorbanan setiap bangsa dan kaum dalam membuang kepentingan diri dan kelompok masing-masing. Tetapi ini merupakan suatu bentuk pengorbanan yang tidak mungkin berlaku secara per se apabila ia melibatkan agama, adat resam, kepentingan bangsa-kaum – dan juga penguasaan masing-masing kaum terhadap bidang politik dan ekonomi. Apa yang berlaku dalam gagasan politik baru PKR dan PR sekarang ialah gerakan atau tindakan yang keliru dalam memastikan langkah paling tepat untuk menjaga kestabilan atau titik equalibrium masyarakat di Malaysia. Apa yang dilakukan oleh PKR ialah mengambil konsep dan pemikiran liberal Barat dalam membina kerangka politik baru khususnya dalam mencipta hak yang sama rata dalam masyarakat. Maka pelaksanaan doktrin politik baru dalam PKR sekarang dilihat lebih cenderung kepada pengurangan status quo orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan Malaysia.

Pertamanya, PKR yang tergabung daripada orang Melayu dan bukan Melayu melihat status quo orang Melayu dalam Perlembagaan ini sebagai camouflage kuasa politik UMNO. Maka itu PKR dan PR tidak dapat membezakan antara menyerang UMNO dan menyerang kepentingan orang Melayu khususnya status quo orang Melayu yang wujud dalam Perlembagaan, dan menjadi teras penting dalam kewujudan negara bangsa Malaysia pada hari ini. Pada masa yang sama PKR tidak bertindak secara menyeluruh atau sangat lambat dan lembap untuk bertindak secara menyeluruh mengurangkan status quo semua kaum secara sama rata yang menjadi tunjang politik lama sebelum ini. Maka status quo orang Cina seperti sistem pendidikan vernakular sekolah Cina, monopoli ekonomi kaum Cina dan sebagainya masih kekal dan semakin kukuh akibat serangan terhadap status quo orang Melayu.

Lantaran itu politik baru PKR dan juga Pakatan Rakyat DAP serta PAS kini menghadapi tentangan besar daripada orang Melayu. Bahkan ia akan muncul menjadi tentangan besar-besaran orang Melayu jika PR masih tidak dapat membezakan antara kepentingan orang Melayu dan kepentingan UMNO. Dari satu sudut, UMNO mempunyai kelebihan kerana status quo orang Melayu masih menjadi kubu kebal UMNO. Orang Melayu mungkin marah dan benci terhadap penyelewengan UMNO selama ini, tetapi ini bukan bermakna orang Melayu akan membuang dan menghapuskan status quo mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sehingga hari ini – kerana mereka mempunyai hak yang berdaulat ke atas tanah air mereka yang mereka miliki sejak ribuan tahun dahulu.

PKR dan PAS menghadapi masalah besar dalam konteks status quo orang Melayu ini; iaitu masalah buta sejarah dan buta politik!

No comments:

Post a Comment