Saturday, May 30, 2009

DAPAT 1PERAK HILANG 1MALAYSIA





Ada dua kenyataan yang menarik daripada Nicolo Machiavelli. Pertama kata Machiavelli, “Kekacauan politik dapat disembuhkan dengan cepat jika ia diketahui penyakitnya dan hanya seorang penguasa yang bijaksana sahaja mengetahui kesulitan sebelumnya (dan yang akan timbul). Kalau tidak dilakukan maka kesulitan semakin bertambah besar sehingga semua orang mengetahuinya dan terlambatlah untuk sesiapapun menyembuhkannya”.

Kedua kata Machiavelli, “Perlu diingat bahawa jika mahu merebut sesebuah negeri, penguasa harus menentukan berat penderitaan yang dianggap perlu dibebankan kepada rakyat. Ia harus menimpakan penderitaan itu hanya untuk sekali, dan jangan mengulang-ulang penderitaan itu setiap hari. Dengan cara itu ia akan menenangkan fikiran rakyat dan dapat menarik mereka memihak kepadanya jika ia menerangkan tentang manfaat daripada tindakannya. Namun barang siapa bertindak sebaliknya, entah kerana sikap tidak tegas (atau dungu) atau kerana nasihat jahat – akan dipaksa untuk selalu siap memegang senjata (kekerasan), dan tidak pernah dapat bersandar kepada rakyat. Lantaran itu mereka akan mengalami penderitaan baru terus menerus setiap masa dan tidak akan aman dalam menghadapinya”.

Machiavelli bukan contoh yang baik dalam melihat pembentukan suasana politik yang murni dan baik. Pemikiran Machiavelli, seorang atheis yang melihat setiap tindakan daripada jiwa sekular, selalu menghalalkan apa jua cara demi mencapai matlamat kekuasaan. Namun dalam melihat suasana politik dewasa ini, kita terlalu jauh untuk dapat melihat akan wujudnya suasana politik yang murni dan baik itu. Politik bukan dunia yang murni dan baik (dan selalunya pun). Kacamata Machiavelli akan selalu terpaksa dipakai walaupun dalam keadaan sembunyi, untuk melihat politik pada hari ini.

Apa yang berlaku di Perak memperlihatkan keadaan yang disebut oleh Machiavelli itu. Pertama, kita melihat kekacauan yang tidak dapat disembuhkan kerana penguasa (kerajaan pusat yang berkuasa dan ‘merampas’ kuasa di Perak) tidak bijaksana dalam melihat implikasi jangka panjangnya. Bahkan terburu-buru, gelojoh dan ghairah tanpa melihat kepada ‘penyakit’ yang akan hinggap dan merebak dengan cara pengambilalihan kuasa sebegitu. Kedua, kita melihat penderitaan yang dibebankan kepada rakyat kini bukan sahaja menjadi berkali-kali tetapi akan terus menerus sehingga berlakunya pembubaran DUN, sama ada pada peringkat negeri mahupun pada peringkat pilihanraya umum. Pihak BN tentunya tidak akan mempunyai masa dan ruang untuk menenangkan fikiran rakyat, tetapi sebaliknya terpaksa selalu memegang ‘senjata’ dan tidak akan dapat pada mana-mana keadaan lagi untuk bersandar kepada rakyat.

Bagaimanapun punca kepada kekacauan di Perak tidak lagi dilihat oleh umum. Sebaliknya umum pada hari ini melihat konflik yang berlaku lebih antara kuasa legislatif dan kuasa eksekutif, bahkan hingga melibatkan institusi Raja. Umum juga melihat gembar gembur dari media yang memberi fokus kepada pertelingkahan antara Nizar dan Dr. Zambry bagi kedudukan menteri besar Perak. Lebih daripada itu umum melihat kedegilan BN yang masih cuba mempertahankan kuasanya yang cukup rapuh melalui tiga kerusi DUN, yang dianggap sepatutnya diadakan pilihanraya kecil bagi menentukan pilihan rakyat. Tetapi umum semakin melupakan punca sebenar kekacauannya.
Kekacauan ini sebenarnya berpunca daripada Anwar Ibrahim yang menggalakkan wakil rakyat melompat parti demi mendapat kuasa dengan mudah dan tidak terhormat. Tindakan Anwar Ibrahim dibalas oleh Najib Tun Razak dengan menarik masuk tiga orang wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat untuk keluar dan berdiri sebagai wakil bebas yang memihak kepada BN. Anwar didorong oleh keghairahan untuk berkuasa tanpa sabar-sabar untuk menunggu PRU13. Sedang Najib mendorong dirinya untuk mengambil kesempatan di atas alasan membalas tindakan Anwar. Kedua-dua manusia politik ini sama-sama tidak melihat atau sengaja tidak mahu memikirkan implikasi jangka panjang akibat tindakan-tindakan politik mereka yang ad hominem itu. Selebihnya kedua-dua mereka ini sememangnya sedang melaksanakan agenda dan perjuangan politik mereka dalam mata fikir Machiavellisme.

Kedua-dua Anwar dan Najib tidak melihat tentang penyakit yang akan merebak akibat tindakan mereka, dan juga tidak melihat akan berapa banyak serta selama mana penderitaan yang akan dibebankan kepada rakyat. Kedua-duanya hanya melihat bagaimana kuasa itu harus diperolehi tanpa mengira sebesar mana kerosakan yang akan berlaku pada masa hadapan. Penting untuk diingati punca kepada permasalahan ini. Puncanya datang daripada kedua-dua Anwar dan Najib. Tetapi kini umum tidak lagi melihat punca kepada kekacauan tersebut, sebaliknya lebih melihat kemelut antara Nizar dan Dr. Zambry, atau selebihnya PR dan BN secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, untuk memutar jam waktu lalu mempersalahkan kedua-dua borjuis politik ini dan kemudian mengembalikan Perak seperti sediakala yang aman tidak mungkin berlaku. Apa yang telah berlaku tidak mungkin diundur kembali. Anwar dan Najib sudah terlepas daripada kesalahan mereka, dan keadaan yang berlaku telah dianggap sebagai hukum politik yang sudah ditakdirkan. Menyalahkan Dr. Zambry dan Nizar juga bukan satu penyelesaian. Begitu juga dengan menyumpah ketiga-tiga wakil rakyat yang menghancurkan kestabilan di Perak. Andaikan sahajalah mereka mempunyai sebab yang tersendiri, dan semua yang terjadi adalah takdir dan hukum politik yang tidak mungkin mampu ditolak.

Kenyataan kedua Machiavelli tentang keadaan huru hara yang berterusan dan kerajaan (Perak) yang ada tidak mungkin dapat lagi bersandar kepada rakyat sebenar akan mencetuskan implikasi makro yang lebih parah. BN akan menghabiskan banyak masa, tenaga, dan wang ringgit untuk mempertahankan kuasanya yang tipis di Perak. Malah lebih buruk lagi, ia akan menimbulkan semakin banyak tindakan yang salah untuk mempertahankan keadaan yang salah. Akibatnya BN akan lebih banyak mempamerkan wajah hodoh politik dari pihak mereka sehingga rakyat semakin muak dan jelek terhadap mereka.

Mempertahankan sebuah benteng dengan sepenuh kekuatan yang ada akan mendedahkan benteng-benteng yang lain kepada bahaya yang tidak terjangka. Selebihnya benteng yang dipertahankan bermati-matian itu akan mencetuskan pelbagai senario jelek yang akan menjadi perhatian serta tumpuan ramai. Akibatnya ia akan menimbulkan fenomena ‘peristiwa kecil sebagai kesimpulan kepada semua’. Rakyat akan melihat apa yang berlaku di Perak sebagai manifestasi BN secara keseluruhannya. Lebih daripada itu, ia akan mendedahkan kubu-kubu BN di tempat lain bahkan tubuh BN seluruhnya kepada bahaya tanggapan negatif akibat daripada apa yang berlaku di Perak. Tanggapan negatif terhadap BN akan menjadi persepi menyeluruh yang kuat dan kemudian muncul untuk menjadi gelombang penolakan rakyat seluruhnya terhadap BN.

Mempertahankan kuasa yang tipis di Perak, yang dari sudut mana sekalipun tetap memperlihatkan sikap tidak terhormat BN oleh sebab ‘kuasa’ yang hanya terletak kepada tiga ADUN yang lemah dengan dua daripadanya sedang menghadapi tuduhan rasuah – akan mendedahkan BN kepada implikasi serangan yang tidak tertangkis. Lebih buruk lagi apabila BN masih ingin mempertahankannya dengan mati-matian dan dengan apa cara sekalipun sehingga bukan sahaja melunturkan fungsi badan yang menjaga keadilan untuk rakyat akibat ‘dipergunakan secara wayang’ – malah lebih buruk ia semakin hari semakin membengkakkan kebencian rakyat kepada BN.

Implikasi jangka panjangnya ialah – BN akan dapat 1Peraknya, tetapi jelas akan kehilangan 1Malaysianya pada PRU13 nanti. Ini adalah oleh kerana kegagalan BN dan Najib untuk melihat bahawa mempertahankan kuasa secara eksklusif di Perak akan merebahkan mereka di seluruh tempat di Malaysia.

Mingguan Wasilah, 24-30 Mei 2009

Wednesday, May 13, 2009

DUNIA TANPA TIRAI



Rakyat bangkit akibat tindakan opresif dan koesif Kerajaan BN yang mengamalkan keputusan unilateral dan paternalistik.



PUNCANYA DARI AWAL YANG SALAH

Filem Indonesia Tujuh Naga yang mengisahkan perjalanan hidup beberapa orang sahabat dalam dunia gelap mengungkapkan bahawa akhir yang salah bermula dari awal yang salah. Segala kehancuran hidup bermula dari langkah awal yang salah. Apabila berlaku kemelut di Perak yang tidak sudah-sudah yang bertambah buruk dari semasa ke semasa, maka ia juga berpunca dari awal yang salah. Kemelut di Perak akan terus memburuk bahkan akan menimbulkan suasana yang akan menjadi titik kepada konflik yang lebih besar. Pada masa yang sama ia membuakkan kebencian rakyat kepada banyak pihak, terutamanya terhadap pihak yang melakukan ‘kudeta’ yang amat tidak beretika dan tidak bermoral.

Kuasa BN di Perak diperolehi dengan cara yang amat tidak bermoral dan tidak menunjukkan kejujuran serta kematangan politik. Amat memalukan apabila kuasa ‘dirampas’ melalui permainan wayang tiga badut politik dan bukannya melalui pilihan rakyat. Rakyat menjadi tertanya-tanya apakah demokrasi menjadi sebuah jenaka slapstik yang biasa ditonton melalui filem-filem lawak bodoh di pawagam tempatan. Ia bukan persoalan individu atau institusi, tetapi merupakan persoalan paling penting iaitu berhubung dengan asas kepada sistem politik yang dibina untuk rakyat.

Semua sistem politik yang terbina adalah diasaskan kepada penyusunan kuasa yang berasaskan kepada prinsip moral yang wujud dalam sistem sosio-budaya sesebuah masyarakat. Plato meletakkan teori sistem politik idealnya berdasarkan kepimpinan Ahli Falsafah-Raja (Philospher King) yang melihat bahawa masyarakat harus dipimpin oleh kepimpinan intelektual-moral. Kemunculan feudalisme di Eropah menyaksikan kepimpinan Raja yang dianggap sebagai wakil Tuhan di bumi. Begitu juga tradisi asiatik-feudal di Asia yang melihat raja sebagai bayangan dewa atau Tuhan di bumi. Raja dalam kedua-dua bentuk sistem ini mewakili satu prinsip moral-keagamaan yang tertinggi, yang memimpin dan menjadi model suci kepada rakyat. Islam kemudian muncul dengan prinsip moral yang paling tinggi dalam sejarah sistem politik apabila Rasulullah s.a.w membawa prinsip wahyu sebagai pembentuk sistem politik. Khalifah diletakkan sebagai penjaga kepada institusi sosio-politik yang diasaskan kepada wahyu dan sunnah yakni Al-Quran dan Hadis.

Apabila demokrasi menjadi institusi penting dan paling besar dalam sistem politik moden, ia bukan sahaja menspesifikasikan bahawa rakyat yang harus memimpin rakyat tetapi juga tujuan kerajaan adalah semata-mata demi dan untuk kebaikan rakyat. Prinsip klasik demokrasi yang menjadi pusat kepada ideal demokrasi ini ialah; keunggulan rakyat (supremacy of the people), pemerintahan demi kebaikan rakyat (consent of governe), diaturkan oleh undang-undang (the rule of law), kepentingan awam (public interest), individu warganegara sebagai manusia rasional (individual as rational citizen), dan kesaksamaan hak untuk rakyat (equal civil rights). Kesemua ini adalah prinsip-prinsip moral dalam hubungan masyarakat.

Prinsip klasik demokrasi ini merupakan sebuah pernyataan yang ideal, dan untuk dekad ini ia adakalanya kelihatan seperti kewujudan utopia. Ini bukan kerana keadilan untuk rakyat itu tidak mungkin dapat dilakukan dengan begitu sempurna. Ia juga bukan kerana kekuasaan dari rakyat dan untuk rakyat itu tidak dapat dicapai. Tetapi konteks masakini memperlihatkan ia lebih kepada masalah sejarah kolonial, demografi etnik dan penentuan ekonomi yang mewujudkan padang yang tidak sama rata antara kelompok atau kaum dalam sebuah masyarakat makro. Namun dari segi politik, cita-cita kuasa dari rakyat dan kepada rakyat tersebut itu boleh dicapai dan menjadi faktor penentu kepada kestabilan dan kesejahteraan masyarakat serta negara.

Dalam sesebuah masyarakat moden pascakolonial yang merdeka dan menjadi entiti baru negara-bangsa, tidak mungkin hak untuk masyarakat peribumi dan masyarakat pendatang diberikan secara sama rata. Juga tidak mungkin kekuatan sesuatu kaum yang menguasai bidang ekonomi harus dibiarkan menjadi senget dan tidak seimbang dalam membentuk strata sosial. Dan juga tidak mungkin undang-undang sivil menjadi kuasa undang-undang tertinggi di sebuah negara yang beragama rasmi Islam. Namun keadilan untuk keseluruhan masyarakat berasaskan prinsip moral yang bersifat consensus gentium (kesepakatan umum) tidak mungkin diabaikan hanya kerana ingin memenangkan kuasa politik partisan yang memperolok-olokkan ‘kuasa di tangan rakyat’. Walaupun kepelbagaian suasana yang dibentuk oleh perkembangan masyarakat majmuk menimbulkan banyak pertindihan kepentingan, tetapi ia tidak harus melupakan bahawa kepentingan bersama itu tetap wujud dalam praktik politik pemerintahan.

Kemelut politik di Perak menjadi kacau dan huru hara oleh sikap tidak menghormati serta melanggar aturan demokrasi yang menjunjung prinsip kepentingan bersama yang dibentuk oleh dasar politik-moral. Politik ialah sistem moral yang melingkungi tingkah laku masyarakat manusia. Daripada prinsip moral inilah kuasa dapat muncul melalui mandat masyarakatnya. Prinsip moral yang mendukung demokrasi ialah sebuah struktur nilai yang wujud dalam masyarakat yang mempercayai rakyat adalah sebagai tujuan tertinggi negara. Apabila BN melanggar semua prinsip moral dan struktur nilai ini dengan merampas kuasa tanpa penglibatan (undi) rakyat maka tujuan demokrasi yang melihat rakyat sebagai tujuan tertinggi negara itu bukan sahaja dilanggar tetapi dibuang oleh BN sendiri.

Kuasa BN di Perak diperolehi dengan melanggar prinsip paling asas kepada demokrasi iaitu membelakangkan kuasa penentu di tangan rakyat. Retorik yang berbelit-belit tentang majoriti kerusi DUN, akta-akta yang dimanipulasi dan sebagainya tidak lebih daripada mewujudkan kuasa opresif dan koersif (penindasan dan paksaan) terhadap rakyat. Penindasan dan paksaan selalunya menimbulkan penentangan aktif dan seterusnya menimbulkan keadaan huru hara dalam masyarakat. Maka tidak hairanlah kemelut di Perat mewujudkan suasana chaos dan huru hara memandang prinsip asas demokrasi telah dibuang dan apa yang muncul ialah aksi kepada bibit-bibit kuasa opresif dan koersif tadi.

Tindakan BN yang mengambil alih kuasa dan melawan sekeras-kerasnya pembubaran DUN untuk memberikan rakyat kuasa memilih, bukan sahaja menjadi punca kepada semua suasana huru hara ini tetapi juga memperlihatkan pelanggaran terhadap sistem politik demokrasi yang diamalkan selama ini (setiap masa dicemari). Alasan bahawa pembubaran DUN dan pilihanraya di Perak memakan belanja yang besar dan tidak sesuai untuk zaman kemelesetan ekonomi ini; telah memakan diri apabila suasana yang tidak stabil dalam jangkamasa panjang akan lebih memakan belanja berbelas kali ganda daripada belanja mengadakan pilihanraya penentuan kuasa di Perak.

Lebih malang lagi kemelut politik yang panjang ini mengheret institusi yang neutral seperti instusi mahkamah dan institusi Raja yang tidak harus ‘dikacau’ demi perjuangan politik partisan. Perjuangan politik partisan yang meletakkan tujuan utama untuk kepentingan parti adalah sama sekali berbeza dengan perjuangan politik negara yang melihat kepada tujuan kepentingan rakyat. Hal ini harus difahami oleh setiap lapisan rakyat. Menyokong BN mahupun PR bukan bererti menyokong perjuangan politik negara. Perjuangan politik negara meletakkan setiap parti politik hanya sebagai kenderaan untuk membawa kepentingan rakyat, dan bukan kepentingan rakyat itu sendiri. Apa yang berlaku di Perak ialah perjuangan untuk ‘menentukan kenderaan’ dan bukannya perjuangan untuk mencapai cita-cita rakyat yang dibuat melalui undi di kotak undi.

Kepada semua pihak yang percaya bahawa tujuan politik itu adalah rakyat, maka satu-satunya jalan untuk menyelesaikan kemelut di Perak dalam konteks dan keadaan sekarang ini ialah membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya secara adil sama ada di peringkat negeri atau di tiga kawasan yang dicemari politik badut tersebut.
Sebelum itu kita semua harus mengakui bahawa seorang ahli politik yang tidak mempunyai etika politik (melompat parti, politik wang dsbnya) lebih buruk daripada ‘seekor haiwan dalam masyarakatnya’.

Sunday, May 10, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


Apabila jauh, ia mencetuskan sifat sombong dan apabila sombong ia akan membangkitkan kebencian dan penentangan daripada rakyat


JAUHNYA UMNO DARI RAKYAT

Saiyidina Abu Bakar as-sidiq r.a setelah berucap menerima perlantikan beliau sebagai Khalifah umat Islam, pada keesokan harinya kelihatan membawa barang perniagaannya ke pasar untuk berjualan mencari rezeki. Kerana pada ketika itu, belum terdapat ketetapan untuk pemerintah Islam menerima apa-apa gaji. Setelah itu barulah para sahabat bermesyuarat untuk menetapkan sejumlah wang daripada baitulmal bagi membiayai keperluan Khalifah. Bagaimanapun pembiayaan daripada Baitulmal tersebut hanya cukup-cukup saja untuk keperluan makan minum dan pakaian yang seadanya buat seorang Khalifah. Namun Saiyidina Abu Bakar cukup bersyukur dengan apa yang ada dan terus bergelumang hidup bergaul bersama rakyat.

Kehidupan pemimpin dan rakyat dalam Islam amatlah dekat sehingga jika dilihat daripada mata kasar khususnya pada zaman para sahabat, tidak dapat dibezakan antara seorang khalifah dan seorang orang awam yang lain. Maka itu, seorang pemimpin juga adalah seorang rakyat yang mempunyai hak yang sama berbanding orang awam yang lain. Tidak lebih dan tidak kurang. Pemikiran yang ideal dalam Islam ini sebenarnya menawarkan suatu bentuk locus clasicuss dalam falsafah politik ‘kerajaan rakyat’ yang muncul dalam zaman moden ini.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke pasar malam, Pudu Raya, Bricksfield, Petaling Street dan mana-mana kawasan awam, ia tiba-tiba menjadi berita muka depan yang paling penting dalam media massa khususnya akhbar berbahasa Melayu. Ia seolah-olah berlaku satu perkara yang amat luar biasa dalam sejarah Malaysia. Perdana Menteri turun makan di Pudu Raya, Timbalan Perdana Menteri berjalan tiga kilometer melihat kawasan golongan bawahan menjadi kepelikan yang luar biasa.

Dari satu sisi yang lain, ia sebenarnya memperlihatkan hakikat bahawa perkara yang dilakukan itu sebenarnya tidak pernah dilakukan sebelum ini. Lantaran itu ia menjadi peristiwa yang luar biasa. Jika Perdana Menteri dan Menteri-menteri sentiasa keluar berbual dan hidup bersama rakyat tentunya ia menjadi perkara biasa dan tidak luar biasa lagi. Kerana ia tidak pernah dilakukan maka ia menjadi suatu hal yang amat luar biasa. Tafsirannya di sini ialah menunjukkan bahawa betapa jauhnya UMNO dari rakyat selama ini. Maka tidak hairanlah jika UMNO tidak lagi mendapat undi dan tempat di hati rakyat.

Perkara ini cukup mudah untuk difahami. Maka jika PM dan TPM turun padang diberi publisiti besar-besaran, implikasi lain pula yang timbul. Lawatan tersebut akan dilihat pula oleh rakyat sebagai lakonan untuk mengambil hati rakyat semata-mata; sepertimana apa yang berlaku sejak berpuluh tahun yang lepas lagi. Ia mengulangi lakonan yang sama berulangkali. Itulah yang akan dilihat oleh rakyat daripada laporan berlebih-lebihan media massa terhadap lawatan PM dan TPM tadi. Selebihnya ia memperlihatkan betapa jauhnya pemimpin-pemimpin dari rakyat.

Jurgen Habermas dalam satu tesisnya menyebut tentang kewujudan sebuah ruang awam dalam mengutarakan gagasan tentang kekuatan dan kekuasaan masyarakat sivil. Ruang awam adalah wilayah yang tidak memiliki apa-apa kepentingan politik selain daripada sifat kritisnya terhadap politik yang dilihat sebagai milik mereka semua secara bersama. Habermas mempunyai gagasan yang mirip dengan Antonio Gramsci yang menyatakan ruang awam adalah landasan untuk membangunkan masyarakat sivil yang merupakan indicator kepada keterlibatan seluruh komponen masyarakat untuk membicarakan kepentingan politik. Bagi Gramsci, politik tidak harus dibicarakan hanya oleh regim penguasa, tetapi juga dapat dibicarakan dengan bebas di kedai kopi dan kaki lima biasa oleh setiap rakyat. Namun menurut Gramsci lagi, ruang awam di Eropah telah hilang dirompak oleh golongan borjuis dengan kepentingan ekonominya.

Mesej daripada gagasan ini menunjukkan bahawa sebuah masyarakat sivil iaitu masyarakat bertamadun dan berorientasikan kepentingan bersama, wujud apabila politik itu menjadi sesuatu yang insklusif (terbuka untuk semua orang) tanpa adanya ‘segolongan’ yang terlalu berkuasa sehingga menjadikan politik terlalu bersifat eksklusif (tertutup dan menjadi milik elit). Dalam ruang awam, antara rakyat dan pemimpin menjadi tiada bezanya. Seorang pemimpin memimpin masyarakat di atas mandat yang diberikan rakyat dan mereka sendiri terdiri daripada golongan rakyat yang hidup dalam kehidupan rakyat.

Oleh itu jika pemimpin yang turun untuk bergaul bersama rakyat itu dianggap melakukan perkara yang luar biasa, ia menunjukkan bahawa Malaysia masih tidak mempunyai bentuk masyarakat sivil yang maju dan matang itu. Keajaiban dan kepelikan oleh perlakuan Menteri turun bersama rakyat adalah satu contoh bahawa masyarakat yang ada di Malaysia masih lagi sebuah masyarakat yang ditindas secara psikologinya oleh sistem kapitalis-feudal sehingga mereka tidak mempunyai suara untuk bercakap soal politik. Politik menjadi sesuatu yang eksklusif dan milik para elit. Ia menjadikan para elit yang memiliki kuasa politik ini bukan lagi sebagai rakyat yang sama dengan orang yang lain, tetapi ‘dewa’ yang terpisah jauh daripada rakyat.

Pemimpin UMNO hari ini adalah para elit menjadi ‘dewa’ yang bukan sahaja terpisah kehidupannya daripada rakyat tetapi juga entiti kuasa yang melambangkan cirri-ciri borjuis dan feudal. Ini dibuktikan oleh betapa jarangnya mereka bertemu rakyat dan betapa jauhnya jarak kehidupan mereka dengan rakyat. Apabila mereka turun bersama rakyat, maka mereka lebih dilihat sebagai ‘dewa’ yang bersinar di tengah rakyat jelata. Bukan lagi seorang rakyat yang diberi mandat untuk membela nasib rakyat.

Perdana Menteri memperkenalkan konsep 1Malaysia, sebuah konsep yang mencitakan suatu ruang persamaan antara semua orang. Tetapi malangnya konsep 1Malaysia ini mengecualikan pemimpin-pemimpin politik khususnya UMNO, kerana mereka diletakkan dalam luar lingkungan ‘kesatuan rakyat’ sebalik terus menjadi para elit ‘sang dewa’ yang terasing secara status, secara politik dan secara psikologinya daripada rakyat. Akhirnya ia akan terus mewujudkan apa yang dikatakan oleh Gramsci, ‘ruang awam hilang dirompak oleh golongan borjuis dengan kepentingan ekonominya’. 1Malaysia akan menjadi projeksi golongan elit untuk menghimpunkan rakyat di bawah kuasa borjuis yang bersifat feudal; lalu menggumpal-gumpalnya untuk kepentingan ekonomi-politik mereka.

UMNO perlu melihat banyak perkara di dalam dirinya sendiri. Hakikat mereka yang jauh dari rakyat dan juga persepsi rakyat terhadap mereka, tidak pernah mereka tahu dan ingin mengambil tahu. Lebih buruk lagi Pemuda UMNO yang mendabik dada bahawa mereka adalah wakil suara golongan muda, adalah mereka yang amat rakus dan tamak mengejar kepentingan diri dengan menimbulkan kebencian yang tidak mempunyai sempadannya di kalangan generasi muda yang akan menjadi undi penentu dalam PRU13 nanti. Pemuda UMNO, khusus di kalangan pemimpinnya pada hakikatnya lebih eksklusif kehidupan mereka dengan segala kemewahan projek dan pengejaran kepentingan; sehingga jarak mereka dengan rakyat daripada golongan muda menjadi amat jauh dan terpisah.

UMNO terlalu banyak dipenuhi retorik dan amat jauh dari rakyat. Apabila golongan muda yang akan menjadi penentu survival UMNO dilihat sebagai matlamat kepada kempen UMNO untuk menarik sokongan, maka tugas diletakkan di atas bahu Pemuda UMNO. Malangnya UMNO tidak pernah menyedari bahawa Pemuda UMNO sebenarnya adalah liabiliti kepada UMNO itu sendiri. Ini adalah kerana sikap pemimpin-pemimpinnya yang lebih rakus mencari kekayaan dan kepentingan diri sehingga membawa rakyat dari kalangan generasi muda melihat mereka lebih sebagai borjuis-borjuis baru yang dilahirkan oleh UMNO; daripada pemimpin golongan muda.

Mungkin UMNO perlu membuat audit tentang betapa tingginya pencapaian ekonomi dan pangkat-darjat pemimpin-pemimpin mudanya relatif dengan usia mereka. Selain daripada melihat jarak antara mereka dengan rakyat sehingga pergi ke pasar malam atau Pudu Raya menjadi sesuatu yang amat luar biasa bagi seorang pemimpin UMNO.

Mingguan Wasilah, 10-16 Mei 2009