Saturday, May 30, 2009

DAPAT 1PERAK HILANG 1MALAYSIA





Ada dua kenyataan yang menarik daripada Nicolo Machiavelli. Pertama kata Machiavelli, “Kekacauan politik dapat disembuhkan dengan cepat jika ia diketahui penyakitnya dan hanya seorang penguasa yang bijaksana sahaja mengetahui kesulitan sebelumnya (dan yang akan timbul). Kalau tidak dilakukan maka kesulitan semakin bertambah besar sehingga semua orang mengetahuinya dan terlambatlah untuk sesiapapun menyembuhkannya”.

Kedua kata Machiavelli, “Perlu diingat bahawa jika mahu merebut sesebuah negeri, penguasa harus menentukan berat penderitaan yang dianggap perlu dibebankan kepada rakyat. Ia harus menimpakan penderitaan itu hanya untuk sekali, dan jangan mengulang-ulang penderitaan itu setiap hari. Dengan cara itu ia akan menenangkan fikiran rakyat dan dapat menarik mereka memihak kepadanya jika ia menerangkan tentang manfaat daripada tindakannya. Namun barang siapa bertindak sebaliknya, entah kerana sikap tidak tegas (atau dungu) atau kerana nasihat jahat – akan dipaksa untuk selalu siap memegang senjata (kekerasan), dan tidak pernah dapat bersandar kepada rakyat. Lantaran itu mereka akan mengalami penderitaan baru terus menerus setiap masa dan tidak akan aman dalam menghadapinya”.

Machiavelli bukan contoh yang baik dalam melihat pembentukan suasana politik yang murni dan baik. Pemikiran Machiavelli, seorang atheis yang melihat setiap tindakan daripada jiwa sekular, selalu menghalalkan apa jua cara demi mencapai matlamat kekuasaan. Namun dalam melihat suasana politik dewasa ini, kita terlalu jauh untuk dapat melihat akan wujudnya suasana politik yang murni dan baik itu. Politik bukan dunia yang murni dan baik (dan selalunya pun). Kacamata Machiavelli akan selalu terpaksa dipakai walaupun dalam keadaan sembunyi, untuk melihat politik pada hari ini.

Apa yang berlaku di Perak memperlihatkan keadaan yang disebut oleh Machiavelli itu. Pertama, kita melihat kekacauan yang tidak dapat disembuhkan kerana penguasa (kerajaan pusat yang berkuasa dan ‘merampas’ kuasa di Perak) tidak bijaksana dalam melihat implikasi jangka panjangnya. Bahkan terburu-buru, gelojoh dan ghairah tanpa melihat kepada ‘penyakit’ yang akan hinggap dan merebak dengan cara pengambilalihan kuasa sebegitu. Kedua, kita melihat penderitaan yang dibebankan kepada rakyat kini bukan sahaja menjadi berkali-kali tetapi akan terus menerus sehingga berlakunya pembubaran DUN, sama ada pada peringkat negeri mahupun pada peringkat pilihanraya umum. Pihak BN tentunya tidak akan mempunyai masa dan ruang untuk menenangkan fikiran rakyat, tetapi sebaliknya terpaksa selalu memegang ‘senjata’ dan tidak akan dapat pada mana-mana keadaan lagi untuk bersandar kepada rakyat.

Bagaimanapun punca kepada kekacauan di Perak tidak lagi dilihat oleh umum. Sebaliknya umum pada hari ini melihat konflik yang berlaku lebih antara kuasa legislatif dan kuasa eksekutif, bahkan hingga melibatkan institusi Raja. Umum juga melihat gembar gembur dari media yang memberi fokus kepada pertelingkahan antara Nizar dan Dr. Zambry bagi kedudukan menteri besar Perak. Lebih daripada itu umum melihat kedegilan BN yang masih cuba mempertahankan kuasanya yang cukup rapuh melalui tiga kerusi DUN, yang dianggap sepatutnya diadakan pilihanraya kecil bagi menentukan pilihan rakyat. Tetapi umum semakin melupakan punca sebenar kekacauannya.
Kekacauan ini sebenarnya berpunca daripada Anwar Ibrahim yang menggalakkan wakil rakyat melompat parti demi mendapat kuasa dengan mudah dan tidak terhormat. Tindakan Anwar Ibrahim dibalas oleh Najib Tun Razak dengan menarik masuk tiga orang wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat untuk keluar dan berdiri sebagai wakil bebas yang memihak kepada BN. Anwar didorong oleh keghairahan untuk berkuasa tanpa sabar-sabar untuk menunggu PRU13. Sedang Najib mendorong dirinya untuk mengambil kesempatan di atas alasan membalas tindakan Anwar. Kedua-dua manusia politik ini sama-sama tidak melihat atau sengaja tidak mahu memikirkan implikasi jangka panjang akibat tindakan-tindakan politik mereka yang ad hominem itu. Selebihnya kedua-dua mereka ini sememangnya sedang melaksanakan agenda dan perjuangan politik mereka dalam mata fikir Machiavellisme.

Kedua-dua Anwar dan Najib tidak melihat tentang penyakit yang akan merebak akibat tindakan mereka, dan juga tidak melihat akan berapa banyak serta selama mana penderitaan yang akan dibebankan kepada rakyat. Kedua-duanya hanya melihat bagaimana kuasa itu harus diperolehi tanpa mengira sebesar mana kerosakan yang akan berlaku pada masa hadapan. Penting untuk diingati punca kepada permasalahan ini. Puncanya datang daripada kedua-dua Anwar dan Najib. Tetapi kini umum tidak lagi melihat punca kepada kekacauan tersebut, sebaliknya lebih melihat kemelut antara Nizar dan Dr. Zambry, atau selebihnya PR dan BN secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, untuk memutar jam waktu lalu mempersalahkan kedua-dua borjuis politik ini dan kemudian mengembalikan Perak seperti sediakala yang aman tidak mungkin berlaku. Apa yang telah berlaku tidak mungkin diundur kembali. Anwar dan Najib sudah terlepas daripada kesalahan mereka, dan keadaan yang berlaku telah dianggap sebagai hukum politik yang sudah ditakdirkan. Menyalahkan Dr. Zambry dan Nizar juga bukan satu penyelesaian. Begitu juga dengan menyumpah ketiga-tiga wakil rakyat yang menghancurkan kestabilan di Perak. Andaikan sahajalah mereka mempunyai sebab yang tersendiri, dan semua yang terjadi adalah takdir dan hukum politik yang tidak mungkin mampu ditolak.

Kenyataan kedua Machiavelli tentang keadaan huru hara yang berterusan dan kerajaan (Perak) yang ada tidak mungkin dapat lagi bersandar kepada rakyat sebenar akan mencetuskan implikasi makro yang lebih parah. BN akan menghabiskan banyak masa, tenaga, dan wang ringgit untuk mempertahankan kuasanya yang tipis di Perak. Malah lebih buruk lagi, ia akan menimbulkan semakin banyak tindakan yang salah untuk mempertahankan keadaan yang salah. Akibatnya BN akan lebih banyak mempamerkan wajah hodoh politik dari pihak mereka sehingga rakyat semakin muak dan jelek terhadap mereka.

Mempertahankan sebuah benteng dengan sepenuh kekuatan yang ada akan mendedahkan benteng-benteng yang lain kepada bahaya yang tidak terjangka. Selebihnya benteng yang dipertahankan bermati-matian itu akan mencetuskan pelbagai senario jelek yang akan menjadi perhatian serta tumpuan ramai. Akibatnya ia akan menimbulkan fenomena ‘peristiwa kecil sebagai kesimpulan kepada semua’. Rakyat akan melihat apa yang berlaku di Perak sebagai manifestasi BN secara keseluruhannya. Lebih daripada itu, ia akan mendedahkan kubu-kubu BN di tempat lain bahkan tubuh BN seluruhnya kepada bahaya tanggapan negatif akibat daripada apa yang berlaku di Perak. Tanggapan negatif terhadap BN akan menjadi persepi menyeluruh yang kuat dan kemudian muncul untuk menjadi gelombang penolakan rakyat seluruhnya terhadap BN.

Mempertahankan kuasa yang tipis di Perak, yang dari sudut mana sekalipun tetap memperlihatkan sikap tidak terhormat BN oleh sebab ‘kuasa’ yang hanya terletak kepada tiga ADUN yang lemah dengan dua daripadanya sedang menghadapi tuduhan rasuah – akan mendedahkan BN kepada implikasi serangan yang tidak tertangkis. Lebih buruk lagi apabila BN masih ingin mempertahankannya dengan mati-matian dan dengan apa cara sekalipun sehingga bukan sahaja melunturkan fungsi badan yang menjaga keadilan untuk rakyat akibat ‘dipergunakan secara wayang’ – malah lebih buruk ia semakin hari semakin membengkakkan kebencian rakyat kepada BN.

Implikasi jangka panjangnya ialah – BN akan dapat 1Peraknya, tetapi jelas akan kehilangan 1Malaysianya pada PRU13 nanti. Ini adalah oleh kerana kegagalan BN dan Najib untuk melihat bahawa mempertahankan kuasa secara eksklusif di Perak akan merebahkan mereka di seluruh tempat di Malaysia.

Mingguan Wasilah, 24-30 Mei 2009

3 comments:

  1. Malam ini akan bergendang kembali isu bahasa Melayu di rancangan Luar Lingkungan TV1.

    ReplyDelete
  2. Tuan Syed,
    Isu awal yang diutarakan oleh DSAI yang digembar-gemburkan sebagai peralihan 16 September itu adalah mengikut prosedur perundangan. Jangan lupa, isu undi tidak percaya ke atas mantan PM dulu akan dibawa ke parlimen untuk usul undi tidak percaya. Kalau ditakdirkan berlaku sedemikian, maka langkah berikutnya meminta perkenan DYMM...proses yang termaktub dalam perlembagaan. bukan seperti rampasan yang berlaku di Darul Ridzuan. Tapi ini yang diselindungkan dan pembohongan yang kerapkali didendang melalui media arus perdana yang diperkakaskan mereka!

    ReplyDelete
  3. Tetapi yang pasti DSAI juga melakukan sesuatu yang tidak beretika dalam politik. Mengapakah tidak sabar untuk menunggu PRU13, dan berhadapan secara gentleman. Dengan itu jentera PR dapat menumpukan tenaga untuk bekerja memperkuatkan negeri-negeri di bawah PR.

    Walau kita bersetuju bahawa DSAI merupakan faktor kepada penyatuan paksi pembangkang, tetapi DSAI bagi saya mengulangi kegopohannya untuk kali kedua.

    ReplyDelete