Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 DAN KEPALSUAN REALITI

Pada 9 Julai 2011, Perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut ketelusan dalam Pilihanraya meledak di Kuala Lumpur. Lebih 50,000 orang menyertainya terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan sebagainya. Pelbagai cara dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk menghalang Bersih 2.0, terutamanya menggunakan jentera penguatkuasaan kerajaan seperti polis. Tetapi ‘pengeboman media’ secara besar-besaran oleh Kerajaan BN telah dilakukan dengan gencar sejak dua minggu lepas. Seminggu sebelum 9 Julai 2011, ‘pengeboman media’ serta pelbagai kaedah dipertingkatkan sehingga ke tahap habis-habisan. Bersih 2.0 dan pendokong-pendokongnya dilabelkan sebagai ‘penjahat dan perosak negara’. Begitu juga dengan putar belit pemimpin tertinggi BN bersepakat dengan Menteri Dalam Negeri mempermain-mainkan penganjur Bersih 2.0 untuk memberikan Stadium Merdeka tetapi kemudian mengadakan pelbagai alasan untuk menghalangnya. Putar belit dengan sikap mengejek dan mempermainkan ini dilihat sebagai sikap munafik kerajaan BN, adalah antara faktor meningkatnya sokongan ramai terhadap Bersih 2.0. Jika janji untuk memberikan stadium itu dipenuhi huru hara sebagaimana yang berlaku pada 9 Julai 2011 kemungkinan besar tidak akan berlaku.

Namun sesuatu yang mengejutkan apabila Bersih 2.0 mendapat sokongan rakyat yang begitu besar, walaupun amaran dan tindakan keras termasuk menghalang semua lalu lintas masuk ke Kuala Lumpur dilakukan oleh pihak polis. Sememangnya dijangka kemampuan parti-parti politik terutamanya PAS menggerakkan massa ke jalan raya, bersama ‘kepakaran’ penyokong PKR yang pelbagai bangsa menggerakkan demonstrasi tetapi jangkaan demonstari ini berlaku dalam skala besar tidak begitu diyakini. Ini adalah kerana tindakan sistematik dan menyeluruh yang dilakukan oleh Kerajaan BN menggunakan semua media dan jentera penguatkuasa yang ada untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0, memungkinkan perhimpunan ini lumpuh. Sebaliknya perkara yang tidak dijangkakan telah berlaku. Dalam kata lain jangkaan berlaku demonstrasi dalam skala besar dan terancang dengan pergerakan pelbagai arah sehingga ‘menawan’ Kuala Lumpur adalah sama sekali tidak diduga. Apatah lagi ia menghimpunkan rakyat pelbagai bangsa dan segenap lapisan masyarakat (ia mencabar propaganda 1Malaysia sebenarnya, kerana perpaduan kaum di dalam Bersih 2.0 lebih jujur sifatnya).

Malamnya selepas berita dan ‘kutukan’ terhadap Bersih 2.0, televisyen RTM rangkaian dua menyiarkan filem Die Hard 4, lakonan Bruce Willis sebagai polis bernama John Maclaine. Sebuah filem bikinan awal dekad 2000-an yang mengisahkan sekumpulan penggodam komputer yang menjadi pengganas untuk memusnahkan semua sistem elektronik di Amerika Syarikat. Apa yang menariknya, seorang penggodam yang dilindungi oleh John Maclaine, memperli Maclaine yang mendengar berita radio dan percaya kepada berita di radio, dengan mengatakan bahawa radio atau media adalah alat untuk mereka-reka berita dan perkara-perkara palsu bagi menakutkan orang ramai dan akhirnya membuatkan orang ramai membeli produk mereka atau mengambil perlindungan mereka. Kenyataan ini sebenarnya pernah diluahkan oleh pemikir-pemikir pascamoden seperti Jean Baudrilard yang menyebut bahawa semua realiti adalah palsu. Media, mesin dan jentera yang terpantak di minda manusia setiap masa adalah realiti yang palsu. Realiti ini, kata Baudrilard adalah keghairahan untuk berilusi (passion for illusion). Imej yang dilihat atau apa yang didengar di media, mesin dan jentera teknologi hari ini bukan lagi realiti atau kebenaran, tetapi sebaliknya hanya penjanaan simulasi. Baudrilard mengatakan bahawa horizon simulasi yang berleluasa ini bukan sahaja membuatkan kebenaran sebenar itu hilang, tetapi sempadan antara realiti dan maya itu juga sudah sirna.

Maka apabila media-media Kerajaan BN menyebarkan propaganda besar-besaran untuk memburukkan Bersih 2.0, dan seterusnya menggagalkan perhimpunan dengan cuba mempengaruhi orang ramai, ia jelas memperlihatkan bahawa simulasi media itu kini sudah tidak menjadi satu-satunya sumber kebenaran kepada orang ramai. Masyarakat pascamoden hari ini mempunyai pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat dan tidak lagi mempercayai maklumat sepihak. Lebih buruk lagi tindakan media yang berlebih-lebihan menjadikan orang ramai terpaksa memberi perhatian dan mencari sumber-sumber lain di luar media yang dikuasai kerajaan untuk mencari kebenaran. Lebih malang lagi, pengguna yang menggunakan media alternatif lebih besar daripada pengguna media konvensional yang menjadi alat utama Kerajaan BN. Bahkan media yang disebut sebagai media alternatif tidak lagi bersifat pinggiran (peripheral) sebaliknya bertukar menjadi sifat perdana atau pusat (centre). Media televisyen, radio dan suratkhabar yang dikuasai oleh kerajaan BN sudah bertukar kedudukannya menjadi pinggiran (peripheral) terutamanya dalam mencari kebenaran politik.

Kerajaan BN harus melupakan tentang Anwar Ibrahim, Ambiga, PAS dan DAP yang dikatakan mempergunakan rakyat. Hentikanlah temubual-temubual jalanan, propaganda murahan, laporan kerugian peniaga kecil kerana demonstrasi jalanan, kesesakan lalu lintas akibat perhimpunan dan sebagainya. Ini semua tidak mampu lagi mempengaruhi rakyat. Bersih 2.0 bukan faktor sebenar kepada bangkitnya rakyat untuk berhimpun secara besar-besaran. Faktor Anwar, Ambiga dan politik pembangkang bukan sebab sebenar kebangkitan rakyat ini. Apa yang sebenarnya berlaku ialah keperitan rakyat sekarang ini menanggung segala kenaikan harga barangan, bil elektrik dan segala bil kemudahan, kenaikan harga makanan, perumahan dan keperluan asas – sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup. Lebih buruk lagi, rakyat disogokkan dengan retorik-retorik kosong pembangunan, pertumbuhan ekonomi, negara berpendapatan tinggi, model ekonomi baru, nkra, gtp, dan sebagainya – sedangkan rakyat semakin sesak dan terhimpit dari hari ke hari. Di sini rakyat hanya menunggu peluang untuk melepaskan segala keperitan, kesusahan dan kemiskinan mereka yang terpendam kepada kerajaan BN yang secara menyeluruhnya gagal memberikan kesenangan ekonomi kepada mereka. Maka apabila pihak pembangkang membuka peluang ini, mereka terus datang menyerbu untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka tanpa mempedulikan siapa Anwar Ibrahim, Ambiga, PAS dan DAP. Bagi rakyat, Bersih 2.0 adalah eskapisme mereka dalam melepaskan segala keperitan dan kesusahan ekonomi yang ditanggung mereka.

Politik adalah berkaitan dengan nilai ekonomi benar. Iaitu ekonomi yang memperkirakan relatif pendapatan rakyat dengan kos sebenar sara hidup. Negara berpendapatan tinggi hanyalah sebuah realiti kemakmuran yang palsu jika ia dikira berdasarkan purata pendapatan. Statistik tidak membayangkan realiti sebenar kehidupan rakyat. Sepuluh orang jutawan yang berpendapatan terlalu amat tinggi cukup untuk memberikan perangkaan purata pendapatan yang baik, walaupun terdapat sejuta rakyat yang mempunyai pendapatan di bawah paras kemiskinan.

Menurut Hannah Arendt tindakan politik digerakkan oleh orang yang ramai dan bukan seorang, orang yang ramai ini tentunya berkongsi fikiran atau ketidakpuasan yang sama. Kata Arendt lagi, kebenaran itu bersifat saintifik dan bukan retorik atau propaganda. Orang ramai – rakyat – yang muncul begitu ramai pada Bersih 2.0 adalah bukti daripada kebenaran yang saintifik iaitu lahir daripada objektif-objektif keperitan ekonomi yang membungkam mereka. Maka segala retorik dan propaganda ekonomi-politik Kerajaan BN tidak lagi mampu menjadi gula-gula palsu untuk rakyat.

Sekali lagi lupakan Anwar Ibrahim, Ambiga mahupun politik pembangkang. Sebaliknya Kerajaan BN terutamanya UMNO harus melihat mengapa rakyat begitu membenci mereka. Ia bukan kerana hasutan pembangkang atau Anwar Ibrahim atau Ambiga. Anwar Ibrahim dan sahabatnya hanyalah oportunis yang pandai mencari ruang untuk menjaringkan bola di hadapan gol. Tetapi faktor sebenar ialah ekonomi yang gagal membahagiakan hidup rakyat.

Politik rakyat dalam dunia pasaran bebas hari ini adalah tentang ekonomi nilai benar – dan bukan simulasi realiti palsu daripada retorik demi retorik.

1 comment:

  1. Analisis yang cukup baik. Tahniah! Kebenaran adalah apa yang kaupilih dan percaya (Truth is what you choose to believe)

    ReplyDelete