Sunday, July 12, 2009

BERKUBURKAH PPSMI PADA 2012?




Para Pejuang Bahasa yang menggerakkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP)



Pada 8 Julai 2009 pengumuman bersejarah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia iaitu memansuhkan PPSMI di sekolah rendah dan menengah. Pemansuhan tersebut dilaksanakan secara berjadual dan pemansuhan sepenuhnya akan terlaksana pada penggal persekolahan yang bermula pada bulan Januari 2012. Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Sementara di Sekolah Jenis kebangsaan Cina dan Jenis Kebangsaan Tamil, matapelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

Rasional pemansuhan ini ialah melihat secara faktual terhadap kegagalan menyeluruh dasar PPSMI. PPSMI bermula daripada arahan (bukan dasar dalam ertikata sebenarnya) autokratik Mahathir di mesyuarat khas kabinet pada Julai 2002. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu mempengerusikan mesyuarat tersebut secara autokratik mengeluarkan arahan untuk melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Arahan Mahathir ini jelas dan terang melanggar Akta Pelajaran 1961 yang masih berkuatkuasa, sekaligus melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahkan lebih buruk lagi tindakan autokratik Mahathir ini secara terang-terangan menghina Peruntukan Akta 152 Perlembagaan Malaysia.

Pada bulan Januari 2003, PPSMI mula dilaksanakan tanpa sebarang perundingan, kajian dan nasihat pihak akademik mahupun badan pendidikan. Tidak ada sebarang perbincangan meja bulat, kajian atau penyelidikan; sebaliknya pelaksanaan PPSMI itu dibuat semata-mata di bawah arahan kuku besi Mahathir. Dengan melimpahkan perbelanjaan sehingga berbilion ringgit dan mempersiakan tujuh tahun usia murid-murid di seluruh Negara, PPSMI menunjukkan kegagalan demi kegagalan. Namun bagi menutup ‘kegilaan’ Mahathirisme yang secara tidak langsung akan menggugat kredibiliti UMNO yang masih dibayangi oleh pengaruh dan cita-cita daripada doktrin Mahathirisme tersebut; kegagalan ini cuba ditutup dengan pelbagai muslihat ‘jahat’ yang berlaku secara sulit di peringkat kementerian. Antara muslihat ‘jahat’ ini ialah mengubahsuai kajian atau mengesampingkan kajian yang menunjukkan kegagalan PPSMI walaupun dibuat oleh pihak yang berautoriti dalam bidang akademik; mempropagandakan secara muslihat akan kejayaan dasar PPSMI walaupun pada hakikatnya ia gagal; memudahkan soalan-soalan Sains dan Matematik bagi meningkatkan peratusan lulus; dan akhir sekali menurunkan markah untuk gred bagi menunjukkan pencapaian dan kejayaan PPSMI yang palsu.

Muslihat dan penipuan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO di bawah arahan Menteri berkenaan tidak dapat disembunyi dan dibendung lagi apabila kegagalan PPSMI semakin ketara dan dirasai peritnya oleh warga pendidik, ahli akademik, pejuang bahasa dan masyarakat umum. Akibatnya muncul protes-protes lantang yang akhirnya membawa kepada penubuhan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menampilkan tokoh-tokoh seperti Datuk Dr. Hassan Ahmad, Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, Prof. Dr. Shahrir Mohd Zain, Prof. Dr. Abdullah Hassan, disertai oleh aktivis seperti Dinsman, Hasni Abbas, Ainon Mohamad, juga wakil dari PAS Suhaizan Kaat dan wakil daripada badan mahasiswa, badan bukan kerajaan serta persatuan-persatuan guru. Puncak kepada penentangan GMP ini ialah perarakan hampir 100,000 orang di Kuala Lumpur menentang PPSMI pada 7 Mac 2009. Perarakan bersejarah tersebut telah membuka mata Kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO yang mempertahankan doktrin Mahathirisme.

Kemarahan rakyat yang dipimpin oleh para pejuang bahasa menjadikan Hishamuddin Tun Hussein Onn, yang merupakan Menteri Pelajaran ketika itu sebagai sasaran kebencian. Hishamuddin bukan sahaja gagal menangani isu PPSMI dengan bijak bahkan dianggap sebagai pengkhianat bahasa Melayu yang mempertahankan doktrin Mahathirisme yang banyak menimbulkan onar dan kerosakan kepada situasi politik serta Negara pada hari ini. Kecenderungan Hishamuddin untuk mempertahankan PPSMI amat ketara, sehingga terlihat kecondongan beliau memberi sokongan terhadap badan-badan kepentingan elit (seperti PAGE contohnya) yang memperjuangkan PPSMI. Kedegilan Hishamuddin untuk mempertahankan PPSMI mewujudkan hubungan yang tegang antara GMP dan Hishamuddin secara khusus. Kemarahan GMP serta rakyat yang prihatin terhadap kedaulatan bahasa kebangsaan yang berkembang luas, kini khusus dan bulat kepada UMNO lantaran sokongan sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO yang bukan sahaja mempertahankan PPSMI, bahkan mengotorkan tangan mereka untuk membunuh bahasa Melayu.

Sokongan daripada tokoh-tokoh akademik dan tokoh masyarakat seperti Ungku Aziz, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Tan Sri Aziz Abdul Rahman dan sebahagian besar barisan nama ahli-ahli akademik menjadikan penentangan terhadap PPSMI bertambah gencar. Apatah lagi ia disertai oleh golongan muda yang cukup bersemangat. Ini semua menimbulkan suasana yang agak mencemaskan kepada UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional.

Setelah bergantinya kepimpinan UMNO ke tangan Najib Tun Abdul Razak, UMNO mengambil langkah-langkah drastik untuk memulihkan sokongan rakyat. Najib dengan gandingan Muhyiddin Yassin bergerak ke semua arah untuk mengembalikan kembali kepercayaan rakyat. Pertukaran portfolio Hishamuddin, yang menyaksikan Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pelajaran, dengan Timbalan Menterinya Dr. Fuad Zakarshi yang merupakan antara pemimpin UMNO yang lantang menentang dasar PPSMI sedikit meredakan ketegangan kerajaan dengan para pejuang bahasa. Kehadiran wajah baru di Kementerian Pelajaran menggantikan wajah penyokong tegar PPSMI Hishamuddin Tun Hussein, membayangkan perubahan akan berlaku terhadap dasar yang gagal dan menimbulkan huru hara tersebut. Ternyata terkaan tersebut menjadi kenyataan apabila Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan PPSMI secara berjadual dan terlaksana sepenuhnya pada tahun 2012.

Pelbagai maklum balas yang spontan dan adakalanya bersifat panik disampaikan pada hari pertama pengumuman dibuat. Rata-rata rakyat yang cintakan kedaulatan bahasa kebangsaan menyambutnya dengan gembira. Walau begitu pejuang bahasa, GMP dan ahli akademik masih tertanya-tanya mengapa perlu menunggu sehingga 2012. Sementara segelintir pihak yang menyokong PPSMI menyatakan bantahan, dan ada yang membuat reaksi panik seperti menyatakan akan menghantar anak mereka bersekolah di sekolah antarabangsa atau di Singapura yang menggunakan bahasa Inggeris. Media-media bahasa Inggeris kebanyakannya memberikan reaksi yang menolak keputusan memansuhkan PPSMI. Sementara akhbar berbahasa Melayu serta akhbar berbahasa Cina dan Tamil memaparkan reaksi yang pelbagai namun condong untuk menyokong pemansuhan PPSMI.

Mahathir yang menyangka bahawa dia masih dapat menguasai keputusan orang lain sepertimana yang dilakukan semasa era pemerintahan autokratiknya, melancarkan penentangannya terhadap keputusan untuk memansuhkan dasar yang dipeloporinya secara kuku besi dahulu. Mahathir cuba mendapat sokongan dan simpati daripada golongan elit dan sekular yang dibentuk pemikiran mereka oleh doktrin Mahathirisme untuk menentang keputusan memansuhkan PPSMI ini. Usaha Mahathir tertumpu di blognya dan kenyataan-kenyataan yang tidak menilai serta melihat dirinya sendiri, untuk mendapat sokongan penyokong-penyokongnya.

Muhyiddin menegaskan bahawa keputusan yang dibuat untuk memansuhkan PPSMI ialah keputusan yang muktamad. Apa yang dilakukan oleh Muhyiddin setakat hari ini terhadap isu PPSMI bolehlah dipuji dan disokong. Mungkin ada kelemahan dan kemungkinan yang mungkin berlaku sebaliknya pada masa akan datang. Tetapi setakat hari ini tindakan Muhyiddin wajar mendapat pujian dan mendapat sokongan. Untuk setakat hari ini. Menyokong dan menerima apa yang dilakukan oleh Muhyiddin terhadap isu PPSMI setakat ini, sebenarnya adalah sesuatu yang wajar dihormati. Sekurang-kurangnya tempoh masa dua tahun tersebut dapat digunakan untuk memperkukuhkan serta mengembalikan kedaulatan bahasa kebangsaan yang dicemari oleh Mahathir selama ini. Walau begitu ia tidak boleh menjadikan kita leka dan membiarkan pelaksanaan keputusan tersebut dilakukan oleh Kerajaan tanpa adanya pemantauan yang teliti daripada pihak pejuang bahasa dan pendokong kedaulatan bahasa Melayu.

Maka itu GMP tidak perlu dibubarkan, begitu juga perjuangan bahasa tidak bolehlah dikatakan berakhir dengan keputusan pemansuhan PPSMI tersebut. Ini adalah kerana di dalam UMNO, pisang selalunya berbuah banyak kali.

No comments:

Post a Comment