Sunday, July 19, 2009

MANEK URAI DAN TEOH BENG HOCK

Kemenangan tipis PAS dengan majoriti 65 undi di Manek Urai memberikan pelbagai tanggapan dan tentunya kejutan kepada PAS. Pelbagai faktor diteliti oleh penganalisis politik. Antaranya ialah ketrampilan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah yang kurang menyengat berbanding calon terdahulu, Allahyarham Ismail Yaakob yang menang dengan majoriti 1,352 undi. Sementara calon UMNO Tuan Aziz Tuan Mat dilihat lebih berupaya dalam mendekati hati rakyat. Faktor pelaburan wang secara besar-besaran oleh UMNO untuk membeli hati pengundi juga dilihat memberikan kesan pada pilihanraya kali ini. Sementara faktor makro seperti kekalutan di dalam PAS sejak akhir-akhir ini dan faktor pertukaran Perdana Menteri yang menyaksikan rakyat ingin memberikan peluang kepada kepimpinan baru juga mungkin memberikan sedikit kesan.

Namun paling ketara daripada semua faktor ini ialah faktor ekonomi. Langkah-langkah drastik yang dilakukan oleh kepimpinan baru Najib-Muhyiddin memberikan kemudahan kepada rakyat dalam mengisi 100 hari kepimpinan baru kerajaan sedikit sebanyak menimbulkan kesan kepada keyakinan rakyat. Hal ini perlu disedari oleh PAS. Walaupun PAS menyediakan suasana yang kondusif kepada pembangunan Islam yang seimbang dengan pembangunan ekonomi di Kelantan, namun secara umumnya ia tidak banyak mengubah Kelantan dari segi ekonominya berbanding dengan negeri-negeri lain. Selama lima penggal pemerintahan PAS di Kelantan, ia lebih berada dalam ruang status quo daripada memacu Kelantan ke arah ruang perekonomian baru yang dapat memperlihatkan penjanaan sebuah bentuk dan dasar perekonomian Islam yang progresif.

Dalam pada itu perhatian, kedudukan dan pengaruh PAS lebih banyak tertumpu di kawasan pentadbirannya di Kota Bharu. Manek Urai adalah sebuah daerah yang terletak jauh dari Kota Bharu dan merupakan kawasan yang dilajuri jalan utama pintu masuk ke Kelantan melalui Gua Musang. Maka itu penduduk di kawasan Manek Urai lebih banyak berinteraksi dengan dunia luar, hasil daripada persinggahan kenderaan yang memasuki Kelantan. Dahulunya Manek Urai merupakan sebuah kawasan hulu yang jauh daripada kedatangan masyarakat luar. Tetapi keadaan pada hari ini telah berubah. Bahkan Manek Urai lebih dekat dengan masyarakat luar hasil daripada jaluran jalan masuk ke Kelantan melalui sepanjang daerahnya.

Pengaruh PAS sebenarnya agak longgar di sini berbanding dengan kawasan lain yang berhampiran dengan pusat pentadbiran PAS di Kota Bharu. Para penduduk Manek Urai sepertimana penduduk Kelantan yang lain ialah penduduk yang berdikari dan tidak banyak bergantung kepada bantuan politik. Anak-anak muda di Manek Urai ramai yang bekerja di luar terutamanya di Kuala Lumpur dan Bandar-bandar besar yang lain. Dengan itu, para penduduk di sini mempunyai pemikiran yang cukup bebas dan berdikari dalam menentukan pilihan politik mereka. Lantaran itu peranan calon memainkan peranan yang sangat besar terhadap pilihan politik rakyat. Pilihan politik masyarakat lebih banyak tertumpu kepada calon yang lebih dikenali, dihormati, dan disegani oleh masyarakat setempat. Faktor paling penting ialah calon yang mesra dan bergaul bersama masyarakat.

Sementara itu penduduk Manek Urai yang mungkin lebih terdedah dengan faktor luaran hasil daripada kedudukan daerahnya yang menjadi laluan masuk ke Kelantan menjadikan corak pemikiran penduduknya lebih dipengaruhi oleh kesan politik makro. Langkah ‘membeli’ hati rakyat termasuk dasar pembangunan ekonomi baru yang dikemukakan oleh Najib sedang diperhatikan oleh para penduduk di sini dengan penuh minat. Pendek kata faktor ekonomi sedang menjadi perhatian utama penduduk bukan sahaja di Manek Urai tetapi juga di semua tempat di Malaysia. Jika PAS di Kelantan dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor tidak memperhatikan hal ini dengan saksama dan bijaksana, tidak mustahil BN akan merampas kembali kesemuanya.

PAS dengan segala kekalutan dan kekurangannya dari segi pengurusan ekonomi menghadapi cabaran yang besar di Kelantan dan Kedah berbanding rakannya DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor. PAS di Kelantan kini bukan lagi berada dalam keadaan selesa, memandangkan sekarang penduduk Kelantan mula menilai kembali keadaan mereka khususnya dari segi pencapaian ekonomi di bawah pimpinan PAS. Tidak mustahil rakyat Kelantan akan mengubah angin mereka jika kerajaan di bawah Najib menunjukkan kejayaan dalam dasar ekonomi mereka. Begitu juga PAS di Kedah, akan tumbang serentak dengan Kelantan jika pencapaian mereka dari segi ekonomi tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dan tidak memberi keyakinan kepada rakyat.

Faktor kekalutan kerajaan perpaduan dan perpecahan yang memunculkan puak-puak dalam PAS juga sedang menjengkelkan rakyat. Dalam pada itu, PAS dalam apa keadaan pun dilihat masih didokong oleh golongan bawahan yang konservatif dan tidak merasa selesa dengan golongan liberal-demokratik dalam DAP dan PKR. Percubaan Tuan Guru Hadi Awang dan Ustaz Nasharuddin Md Isa membawa kerajaan perpaduan dilihat menguatkan akar konservatisme ini. Maka apabila Tuan Guru Hj Nik Aziz Nik Mat menentang idea kerajaan pepaduan secara keras, ia akan mengundang perpecahan di dalam PAS. Kesannya akan menimbulkan suasana yang tidak seimbang kepada keyakinan rakyat terhadap motif utama PAS dalam Pakatan Rakyat. Inilah yang mungkin ditunjukkan oleh hasil keputusan di Manek Urai.

Apa yang dinyatakan di atas adalah versi yang dilihat daripada kacamata analisis-kelemahan-PAS. Namun bagaimana jika ia dilihat pula daripada versi kacamata-strategi-UMNO. Menurut Von Clausewitz, pakar perang abad moden mengatakan dalam bukunya On War, “Strategi bermula apabila politik itu berakhir”. Najib telah memenangi peperangan politiknya untuk memegang tampuk kekuasaan. Kini adalah masa bagi Najib melancarkan strategi untuk berkuasa dan seterusnya menguasai. Apa yang dilakukan oleh Najib ialah strategi ‘feed and kill’. Rakyat dijadikan sebagai sekawan ternakan yang akan diberikan makan sehingga segar bugar sebelum disembelih untuk keuntungan kepada penternaknya. Mungkin analogi ini adalah sesuatu yang keterlaluan tetapi menurut Clausewitz, ‘politik adalah urusan yang sangat berbahaya, dan kesilapan daripada sikap baik hati adalah kesalahan yang paling buruk’. Maka itu politik selalunya lebih tepat untuk analogi yang paling kejam.

Langkah-langkah memberi pelbagai habuan kecil dan ad hoc kepada rakyat melalui polisi-polisi meringankan-beban-rakyat dilihat sebagai langkah awal untuk mengembalikan kepercayaan (baca: kebergantungan) rakyat kepada kerajaan. Bagi rakyat Malaysia yang rata-ratanya berfikiran simplistic dan status qou, langkah Najib itu agak menampakkan kesan. Ini merupakan pelaksanaan strategi ‘feed’ yang perlu dilakukan secara berterusan oleh Najib. Ia diikuti dengan langkah liberalisasi ekonomi yang mungkin dapat membawa Malaysia kepada pemulihan ekonominya. Ternyata Najib lebih bijak dan berkemampuan berbanding Abdullah Badawi dalam hal ini. Kemantapan Muhyiddin Yassin sebagai gandingan Najib juga terserlah, lebih-lebih lagi dengan keputusan pemansuhan PPSMI. Muhyuddin mendapat merit yang tinggi dalam kalangan intelektual-budayawan atas keputusan beraninya ini.

Melihat kepada kesan-kesan positif daripada strategi ‘memberi makan’ ini. Najib dilihat mula menggerakkan strategi ‘kill’nya. Tanggapan sebelum ini bahawa ‘bunuh’ dilakukan selepas ‘memberi makan’ agak tersasar. Ini kerana kedua-dua strategi ini berjalan serentak. ‘Bunuh’ sebenarnya dihalakan kepada PR, bukan rakyat (untuk setakat masa ini). Kekuasaan PR di negeri-negeri mula diusik. Setelah Perak, negeri yang paling penting dan perlu diberi keutamaan ialah Selangor. Selangor bukan sahaja merupakan nadi kepada ekonomi Malaysia tetapi juga adalah pusat kekuatan PR. Jika Selangor dapat ‘diganggu’ dan paling penting dijatuhkan, pusat kekuatan PR akan hancur. Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan akan menjadi kuasa-kuasa yang terpisah dalam PR.

Sekali lagi andaian mungkin bukan sahaja keterlaluan tetapi juga amat berbahaya, tetapi politik selalu meletakkan andaian yang paling berbahaya sebagai kenyataan yang paling dekat. Siasatan SPRM terhadap beberapa Adun PR di Selangor mula menimbulkan kesangsian dan kerimasan rakyat. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan pembelian pembesar suara di masjid, jamuan deepavalli dan sebagainya yang dibuat oleh Adun PR, berbanding jutaan ringgit yang dihabiskan dalam masa dua bulan oleh Adun BN di Selangor. Dan apalah sangat jika dibandingkan dengan banglo puluhan juta ringgit oleh bekas menteri besar. Dan lagi apalah sangat jika dibandingkan dengan ratusan ribu ringgit tunai yang disimpan oleh menteri di rumah, kepentingan perniagaan dalam urusan kementerian pelancongan dan komisen jutaan ringgit dalam pembelian kapal selam?

SPRM kini hanyalah dilihat sebagai ‘nama baru bagi amalan lama’. Bahkan lebih tercemar dan tragis dengan insiden yang berlaku ke atas Teoh Beng Hock, seorang setiausaha politik seorang Adun yang disiasat SPRM mati terjatuh dari pejabat SPRM ketika dalam proses siasatan. SPRM bukan sahaja dilihat sebagai badan yang tidak tahu menentukan keutamaan (priority) malahan kucar kacir dan tidak berfungsi sebagai badan yang benar-benar bebas daripada politik. Sudah berbilion ringgit duit rakyat hilang diselewengkan oleh para pemimpin politik yang berkuasa sejak era Mahathir sehingga kini, tetapi berapa ramaikah jerung-jerung besar ini yang mampu disiasat oleh SPRM. Tidak ada kecuali SPRM hanya menampakkan keberaniannya kepada insan-insan kecil (bahkan mungkin tidak bersalah pun) seperti Teoh Beng Hock.

Kemarahan dan ketidakpuasan hati kepada SPRM bukanlah dapat dilihat secara lurus menuju kepada SPRM. Ada sesuatu yang mempunyai hubungan yang samar dengan politik kekuasaan. Ia adalah suatu ruang kelabu (grey area) yang berhubungkait dengan strategi politik kekuasaan. Politik kini sedang berada dalam peringkat strategi. Memberi makan dan mengusahakan pemulihan ekonomi adalah strategi yang berjalan serentak dengan menghancurkan kekuasaan kuasa saingan politik. Jika ‘feed’ sedang berlangsung untuk menarik kembali rakyat, maka ‘kill’ pula sedang berlangsung untuk meruntuhkan pusat kuasa pembangkang. Agensi-agensi boleh saja digemblengkan untuk menjadi alat kepada kedua-dua strategi ini. Sekali lagi ia sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Clausewitz ‘perang adalah perkakasan kepada polisi’ (war is an instrument of policy).

Tetapi tragedi Teoh Beng Hock akan membalikkan senjata ke dada sendiri. Di sini kita harus percaya, korban nyawa selalunya akan merubah politik menjadi sesuatu yang tidak mampu dibaca lagi.

No comments:

Post a Comment