Saturday, March 14, 2009

DUNIA TANPA TIRAI

Shanghai dari Menara Jin Tao. Ekonomi China menjadi meter penyukat kepada ekonomi Asia.








TAHUN BARU YANG PENUH KETIDAKTENTUAN

Kita berada di penghujung tahun 2008, sebentar lagi melangkah ke tahun 2009. Masa berlalu amat pantas. Sejarah tempatan tercatat besar melalui peristiwa PRU12 pada 11 Mac 2008 yang menyaksikan perubahan besar dalam topografi politik Malaysia. Sejarah dunia pula menyaksikan peristiwa kemelesetan ekonomi yang menyaksikan keruntuhan berhala-berhala kapitalisme di seluruh dunia bermula di Amerika Syarikat, merebak ke Eropah dan kini ke seluruh dunia. Mungkin melihat kehadiran tahun 2009 dengan penuh pesimistik bukanlah caranya untuk mengatasi atau menghadapi keadaan sukar yang bakal ditempuhi. Timbul juga pertanyaan, apakah tahun 2009 benar-benar adalah tahun perit yang penuh ketidaktentuan. Atau ia hanyalah spekulasi sepertimana spekulasi-spekulasi lain yang sedang menjadi amalan dan rutin kehidupan dunia pascamoden ini.

Sukar untuk menjawabnya. Apatah lagi kejadian manusia bukannya kejadian yang boleh melihat ke masa hadapannya. Manusia hanyalah kejadian yang terbatas untuk menghadapi hidup hari ini. Bahkan seringnya juga terlucut daripada apa-apa ingatan atau hubungan dengan hari kelmarin. Maka itu, entiti manusia pascamoden hari ini boleh dikatakan merupakan sebuah subjek yang semata-mata hidup dalam ruang saat ini atau modo (just now), tanpa punya sejarah atau hubungan dengan hari lepas dan tujuan untuk hari esok.

Ini merupakan tahap di mana zaman sekular mencapai puncak tertingginya, iaitu manusia masa kini tanpa masa lalu dan masa hadapan. Ini kerana neo-sekularisme melihat kenyataan dan kebenaran yang ada hanyalah simulasi daripada keinginan ‘saat ini’, dan wujud sebagai hologram-hologram yang menyampaikan keinginan untuk mencapai kepuasan (utiliti) badaniah yang tertinggi. Tidak ada kebenaran yang mutlak dalam neo-sekularisme. Maka tidak ada tuhan dan tidak ada agama yang menuntun hidup manusia, melainkan manusia itu dituntun oleh gerak keinginan untuk mencapai kepuasan badaniah yang tertinggi itu.

Tahap neo-sekularisme ini sedang mencapai puncaknya pada dekad akhir tahun 2000-an. Masyarakat dunia pada hari berada dalam satu sistem kehidupan yang dibentuk oleh tujuan ekonomi. Iaitu menjadikan ekonomi sebagai agama dan tuhan yang mengatasi segalanya. Semua tujuan dan matlamat kehidupan diarahkan kepada pencapaian keberuntungan ekonomi. Kekayaan menjadi puncaknya; dan jalan mencapainya dibenarkan dengan apa cara sekalipun. Tidak ada sekatan nilai, moral atau etika melainkan undang-undang yang digunakan untuk menyekat ‘kekasaran fizikal’ (seperti rompak, mencuri, menipu dan sebagainya); tetapi bukan untuk menyekat ‘kekasaran non-fizikal’ (menindas massa, menyeleweng kuasa, merompak dan menipu dengan halus melalui pemodalan, pengkorporatan dan pengambilalihan).

Sistem ekonomi pada hari ini adalah sebuah kasino perjudian agung, yang menyaksikan pemain besar dan kecil berjudi dengan saham, bon, matawang, komoditi, dan apa sahaja kertas-kertas kosong yang boleh dimanipulasi dan disimulasi untuk menjadi daun poker atau jackpot. Bank-bank, institusi kewangan dan institusi negara seperti badan pelaburan merupakan pemain utama dalam kasino agung ini. Dalam pada itu ia turut menyelit pemain-pemain kecil yang siang malam hanyut mengejar wang dan kekayaan yang palsu. Dalam kasino agung ini, politik dan orang politik adalah juga penjudi-penjudi yang mempunyai peranan penting bersama penjudi-penjudi utama pedagang-pedagang besar dunia.

Keruntuhan ekonomi kasino ini berlaku apabila nilai yang ‘dijudikan’ melebihi nilai sebenar. Dalam ertikata lain, nilai yang dikatakan atau dilihat ada itu hanyalah simulasi atau bayangan yang dicipta melalui pancaran otak-otak penganjur kasino agung itu. Akibatnya nilai wang (tujuan hidup) itu hanyalah pancaran-pancaran hologram atau bayangan palsu semata-mata. Tiada nilai sebenar yang wujud dan manusia di sini hanya ‘memakan’ bayang-bayang yang membuatkan mereka merasakan mereka kenyang berisi tetapi pada hakikatnya lapar dan kosong. Akhirnya tubuh mereka lemah dan tumbang.

Inilah yang berlaku dalam sistem ekonomi kapitalis dunia sekarang. Keruntuhannya bermula di Wall Street, New York dengan tumbangnya institusi kewangan gadai janji Merrill Lynch pada September 2008, diikuti Lehman Brothers, Fannie Mae and Freddie Mac dan merebak kepada institusi-insitusi kewangan di seluruh dunia. Pusatnya atau epicenter ekonomi kasino ini ialah di New York, yang juga merupakan pusat kekuatan pemodal Yahudi. Di sinilah kasino agung yang menjadi ‘arah penyembahan’ ekonomi kasino dunia itu berada. Amerika Syarikat kini mengeluarkan sebanyak USD7.5 trilion, lebih 50% daripada KDNK AS untuk menyelamatkan ekonomi kasinonya. Secara tidak langsung menyelamatkan ekonomi kasino dunia.
Kesan besar yang berlaku daripada keruntuhan ekonomi kasino dunia ini ialah hilangnya keupayaan instusi kewangan yang selama ini (melalui lingkaran setan sistem ribanya) untuk menyumbang modal kepada aktiviti ekonomi, dan seterusnya melumpuhkan aktiviti ekonomi secara besar-besaran. Ia akhirnya akan membawa kepada skala pengangguran yang menggerunkan, kemerosotan pengeluaran yang melumpuhkan, inflasi yang menakutkan dan kekacauan sosial yang meruntuhkan negara, malah mungkin tamadun.

Bank dunia meramalkan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia bergerak perlahan sekitar 0.9% dan dagangan dunia akan jatuh 2.1%. Kemelesetan ekonomi dunia pada hakikatnya lebih besar dan dalam kesannya daripada apa yang dijangkakan. Amerika Syarikat yang mana importnya adalah 50% datang dari negara membangun, akan memperlihatkan bagaimana kejatuhan kasino agung di New York akan membawa kesan besar kepada ekonomi negara-negara membangun. Apatah lagi syarikat-syarikat multinasional yang dipanggil pulang untuk menyelamatkan ekonomi negara masing-masing atau memberhentikan operasi serta pelaburan mereka kerana kesan daripada kemeseletan dunia – akan memberhentikan pengaliran pelaburan luar ke negara-negara membangun.

Apakah mungkin kita dapat menyatakan bahawa tahun 2009 tidak membawa ketidaktentuan dan ketidakstabilan? Mungkin keajaiban akan berlaku, dan semua pesimisme ini menjadi tidak berasas. Tetapi keajaiban juga datang dengan sebab-akibatnya yang tersendiri. Mengharapkan keajaiban tanpa melihat kepada punca segala kemusnahan dan kebobrokan ialah seperti lakonan teater yang mewujudkan dues ex machina (tangan dewa atau mesin penyelamat) untuk menutup lakon-cerita mereka yang berserabut dan tidak menemui jalan penyudahnya. Ia boleh berlaku dan lakonan teater, tetapi apakah ia juga boleh berlaku dalam kehidupan nyata? Apakah kita boleh mencipta-cipta nasib dan takdir yang baik untuk diri kita sendiri?

Sebahagian orang menyalahkan sistem (sepertimana Mahathir menyalahkan Soros dan sistem yang membenarkan spekulasi matawang), tetapi pada hakikatnya sebahagian daripada punca bencana itu sebenarnya datang daripada sikap mereka sendiri. Sistem kapitalis dan ekonomi pasaran bebas yang kemudian mewujudkan genre ekonomi kasino adalah sebahagian daripada punca kepada bencana ekonomi hari ini dan seterusnya. Tetapi sebahagian lagi puncanya datangnya daripada praktik politik yang bergelumang dengan segala bentuk penyelewengan, rasuah, ketamakan dan kerakusan yang berlaku di atas. Pengambilalihan, pengswastaan, bail-out, suntikan modal, dan segala macam bentuk tindakan yang menyumbangkan kepada keberuntungan pihak elit politik yang berkuasa memperlihatkan bagaimana ’perjudian’ di ekonomi kasino ini berlangsung dengan rakus dan buas – dengan menggunakan wang rakyat dan penindasan terhadap majoriti rakyat.

Bermula dari era Mahathirisme, kerajaan bukan lagi bersifat untuk rakyat tetapi sebaliknya bertukar menjadi rakyat untuk kerajaan. Akhirnya amalan rakyat dipergunakan oleh kerajaan menjadi budaya rasmi dalam politik Malaysia. Akibat daripada konsep dan pemahaman politik yang salah ini, menjadikan keputusan-keputusan negara khususnya dalam penentuan ekonomi lebih melihat kepada keberuntungan kelompok elit yang berkuasa dan berpengaruh. Mereka – pemimpin politik dan pedagang – akhirnya menjadi penjudi-penjudi rakus yang turut membuka ekonomi kasino mereka sendiri di negara ini, di samping ‘berjudi’ di ekonomi kasino dunia.
Tahun 2009 mungkin menjadi lebih baik jika kita mula bertindak untuk mencari jalan dan mekanisme bagi membanteras ‘penjudi-penjudi’nya terlebih dahulu dan seterusnya menutup ekonomi kasino itu. Mampukah kita – wahai rakyat?


Wasilah, 4-10 Januari 2009

No comments:

Post a Comment