Tuesday, March 17, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


MENUNGGU KATA DARI TUHAN

Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah masuk minggu ke-3. Bermula dengan serangan udara pada 28 Disember 2008, kini Israel melancarkan serangan darat besar-besaran untuk menakluki Gaza dan menghapuskan Hamas. Sehingga hari ini negara-negara Arab masih berdiam diri menyaksikan masyarakat Arab Palestin disembelih oleh askar-askar Israel. Israel dan Palestin dikelilingi negara-negara seperti Syria, Jordan, Mesir dan Arab Saudi. Sama ada dunia melihat betapa pengecut dan lemahnya pemimpin-pemimpin Arab, atau melihat kesan trauma kekalahan Mesir, Syria dan Jordan dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967 di tangan Israel dengan bantuan Amerika Syarikat dan Eropah. Kekalahan Arab dalam perang ini menyaksikan pendudukan Israel terhadap wilayah Mesir di Sinai, Jordan di Tebing Barat dan Syria di Bukit Golan.

Mesir, Jordan dan Syria memperolehi kembali wilayahnya yang jatuh ke tangan Israel itu setelah melutut kepada AS. Ini berlaku selepas Perang Yom Kippur Arab-Israel pada tahun 1973. Namun penduduk Palestin terus berjuang menentang Israel. PLO yang ditubuhkan pada tahun 1964 menghadapi perang besar dengan Israel pada tahun 1978, yang menyaksikan Menahem Begin Perdana Menteri Israel melancarkan Operasi Litani untuk menguasai selatan Lebanon yang diduduki pejuang PLO. Operasi ini kemudian diikuti operasi yang lebih besar iaitu Operasi Salam Aljalil menggunakan senjata canggih AS ke atas Lebanon untuk melumpuhkan PLO.

Penjarahan Israel ini menyaksikan 30,000 orang Palestin terkorban dengan 75,000 orang cedera. Bandar dan pekan di Selatan Beirut hancur dimusnahkan tentera Israel. PLO bersetuju untuk keluar dari Lebanon dengan syarat keselamatan masyarakat Palestin dijamin. Setelah PLO keluar, Israel di bawah arahan Ariel Sharon telah melakukan penyembelihan beramai-ramai di kem pelarian Palestin Sabra dan Shatila pada 16 September 1982. AS dan negara Barat hanya berdiam diri.

Trauma selama 60 tahun penjajahan zionis Israel iaitu sejak tahun 1948 yang menyaksikan kekalahan bangsa Arab – baik negara Arab mahupun pejuang Palestin dalam menghadapi konflik ketenteraan dengan Israel yang disokong AS, membuatkan negara Arab berdiam diri. Mitos kepada kemenangan Israel-AS ini ialah kehebatan teknologi persenjataan Israel-AS. Namun mitos ini sedikit tercalar oleh kejayaan Hizbollah mengekang kesombongan Israel pada tahun 2006.

Kepercayaan bahawa teknologi persenjataan moden adalah faktor mutlak kemenangan perang sebenarnya adalah mitos belaka. Jika kita kembali kepada zaman kelahiran Islam yang dipimpin oleh Baginda Muhammad Rasulullah s.a.w, orang-orang Islam Arab tidak pun mempunyai teknologi persenjataan moden sehebat Rom mahupun Parsi. Bahkan boleh dikatakan nisbah teknologi persenjataan yang dipunyai oleh orang-orang Islam masa itu berbanding dengan Rom dan Parsi adalah lebih kecil serta rendah tahapnya jika dibandingkan dengan nisbah persenjataan negara-negara Arab masa ini berbanding Israel-AS.

Tetapi mengapa Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjaya mengalahkan kerajaan Rom yang boleh dikatakan AS pada masa itu. Bukan itu sahaja, umat Islam dalam masa yang sama turut mengalahkan Parsi di Timur. Mengapa ini boleh berlaku? Ini adalah kerana gerakan Islam itu berlangsung secara amat konsisten, iaitu mujahadah yang sangat kuat dan berterusan dalam memperjuangkan agama Islam. Lebih daripada itu, matlamat utama umat Islam ketika itu ialah Islam; dan bukannya kepuakan, mazhab dan kepolitikan diri seperti sekarang.

Kemenangan Yahudi Israel dan AS serta musuh Islam ialah kerana sifat konsisten dalam memperjuangkan survival mereka untuk menguasai bangsa Arab serta umat Islam. Hanya terdapat 12,000 orang Yahudi di Palestin pada tahun 1870. Pada tahun 1914, populasi Yahudi meningkat kepada 54,000 orang iaitu 8% daripada keseluruhan penduduk Palestin iaitu 680,000 orang. Selepas konflik 1948, 900,000 penduduk Palestin menjadi pelarian kerana dirampas tanahnya oleh Yahudi yang telah menubuhkan negara Israel. Yahudi seterusnya menduduki 28% tanah penduduk Palestin di bawah resolusi yang diluluskan oleh PBB. Setelah tertubuhnya Israel, negara haram itu merangkumi 79% daripada tanah orang Arab Palestin yang dirampas – di hadapan mata PBB.

Hal ini memperlihatkan betapa konsistennya pergerakan Zionis Israel dalam menghancurkan orang Arab dan Islam di situ. Selama 60 tahun, Zionis Israel tidak pernah kehilangan walau seinci tanah yang dirampas mereka (kecuali pendudukan sementara yang tidak menguntungkan di Sinai, Tebing Barat dan Bukit Golan), sebaliknya menambahluaskan kekuasaan mereka. Dalam era kekuasaan teknologi maya di mana kekuasaan bukan bergantung kepada keluasan tanah sebaliknya pengetahuan, teknologi dan modal – Israel menghentikan perluasan tanah sebaliknya menggantikanya dengan kecanggihan teknologi dan kekuatan modal melalui jaringan ekonomi dunia. Israel seterusnya mempelopori penubuhan dan kebangkitan kekuasaan negara maya.
Namun kekuatan dan kelebihan Israel ini memperolehi segala bentuk kecanggihan teknologi dan kekuatan modalnya adalah kerana sikap konsisten mereka terhadap perjuangan Zionisme. Sedang negara-negara Arab dan negara Islam yang bertebaran di serata di dunia tidak terkecuali bangsa Palestin bukan sahaja tidak mempunyai perjuangan yang konsisten tetapi juga tidak mempunyai matlamat yang kuat dan jelas. Masyarakat Palestin berpecah kepada Hamas dan Fatah kerana sikap tidak konsisten kepada perjuangan utama mereka membuatkan timbulnya politik yang melihat kepada kepentingan puak lebih daripada kepentingan Islam.
Lalu ketika suasana aman, mereka lebih menumpukan kepada pengukuhan politik kepuakan ini daripada mengukuhkan persekutuan mereka untuk membina kekuatan melawan Israel. Begitu juga dengan negara-negara Arab di sekeliling Israel, ketika suasana aman mereka langsung melupakan ancaman senyap Israel-AS dan sibuk menindas musuh politik yang terdiri daripada saudara seagama dan sebangsa mereka sendiri. Tetapi tidak begitu dengan Israel, ketika suasana aman mereka menggunakan luang masa tersebut untuk membina kekuatan persenjataan, kekuatan ekonomi dan hubungan diplomatik dengan sahabat-sahabat AS. Israel secara konsisten mengukuhkan dirinya dan secara konsisten merancang penaklukan ke atas Arab dan Islam. Tanpa pernah rehat dan lupa tujuan Zionisme mereka.
Mengapakah Islam pada era Rasulullah s.a.w dan para sahabat dahulu dapat mengalahkan musuh Islam yang lebih besar dan canggih segala-galanya itu? Ia adalah kerana sikap konsisten umat Islam untuk menyebarkan Islam. Umat Islam pada masa itu tidak pernah meletakkan batas dan had terhadap usaha syiar dan dakwah mereka, apatah lagi ia diperkukuhkan oleh semangat jihad Islam (bukan semangat jihad mazhab dan kepuakan yang palsu). Umat Islam pada masa itu merupakan umat yang sangat terorganisasi, teratur dan konsisten dalam tindak tanduk perjuangan Islam mereka. Mereka tidak pernah leka terhadap musuh sebagaimana mereka tidak pernah leka mengerjakan hukum dan perintah Allah s.w.t.

Umat Islam pada masa ini adalah sebuah umat yang besar tetapi tidak terorganisasi, kucar kacir dan tidak konsisten; serta melebihkan emosi daripada akal. Tindakan boikot barangan AS contohnya hanya dilakukan secara jangka pendek dan tidak bermatlamat. Jika tindakan boikot ini dilakukan dengan konsisten, juga meletakkan matlamat jangka panjang untuk menggantikan barangan impot dengan barangan tempatan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Jepun dan Korea, kini diikuti oleh China – yang sangat mementingkan barangan tempatan. Sudah tentunya selama 60 tahun tersebut, negara-negara Islam bukan sahaja telah memusnahkan pasaran AS di negara-negara Islam tetapi juga telah dapat membina ekonomi mereka yang mandiri.

Tetapi seperti yang sedia maklum, tindakan umat Islam adalah tindakan yang beremosi melulu dan bersifat trendy. Setelah nanti Gaza dijajah Israel dan keadaan dunia ‘diamankan’ dengan propaganda AS, umat Islam akan kembali semula dalam gua-gua dan kepompong buruk mereka.

Kita melihat emosi yang meluap-luap untuk seminggu dua ini, tetapi ia tidak lebih daripada tindakan ‘melulu jangka pendek’ umat Islam dalam menyalurkan sikap tidak rasional mereka. Jika tidak ada tindakan yang konsisten untuk perancangan selama seratus tahun atau paling kurang 50 tahun untuk melemahkan Yahudi-AS – kita tidak perlu bercakap tentang boikot atau perang. Tunggu sahajalah ketentuan daripada Tuhan.


Wasilah, 25-31 Januari 2009

No comments:

Post a Comment