Monday, March 16, 2009

REVIU FILEM



LAPISAN BUDAYA DALAM
WAYANG DAN BUDAK KELANTAN

Dua buah filem yang ditayangkan pada bulan November 2008 memaparkan penampilan yang unik iaitu menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya dalam wacana tutur filemnya. Budak Kelantan arahan dan lakon layar Wan Azli Wan Jusoh mengangkat kehidupan ‘budak Kelantan’ di ibu kota Kuala Lumpur. Ia lantas mempertembungkan antara dunia hitam budak Kelantan yang diwakili oleh watak Jaha (Asrulfaizal Kamarulzaman) dan dunia putih budak Kelantan yang diwakili oleh watak Buchek (Danny X Factor). Manakala filem Wayang arahan Hatta Azad Khan pula mengangkat perjuangan seorang dalang wayang kulit iaitu Awang Lah (Eman Manan), yang menghadapi tentangan daripada pihak tertentu yang menghukum wayang kulit sebagai bercanggah dengan Islam dan menghadapi masalah oleh tiadanya generasi penerus untuk menggantikan tempatnya. Kedua-dua situasi ini akan membawa kepada hilangnya tradisi wayang kulit yang telah wujud sejak sekian lama.
Kedua-dua filem ini bertemu pada titik penggunaan latar masyarakatnya iaitu masyarakat Kelantan. Kelantan adalah sebuah negeri di hujung Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang majoritinya adalah bangsa Melayu. Jika dilihat dari segi sejarahnya, Kelantan merupakan penempatan Peradaban Timur Laut yang telah wujud sejak abad ke-2 Masehi lagi. Peradaban Timur Laut ini merupakan peradaban terawal bangsa Melayu yang berkaitan dengan Kerajaan Melayu Campa di Vietnam Tengah dan kerajaan Melayu Funan di Kemboja. Peradaban ini wujud sejak zaman pra-Hindu Buddha, zaman Hindu Buddha sehinggalah zaman baru Islam. Dalam pada itu Kelantan juga merupakan pusat pertembungan paradaban selatan iaitu di kepulauan Jawa dan Sumatera dengan peradaban utara iaitu Campa, Siam, Khmer dan juga China. Lantaran itu Kelantan mempunyai tradisi dan budaya yang cukup kukuh, pelbagai dan unik. Kelantan juga merupakan pusat perkembangan Islam yang penting sejak abad ke14 hinggalah pada zaman moden dengan wujudnya institusi madrasah atau sekolah pondok yang tersusun pada abad ke-18. Lingkungan tradisi Islam ini membentuk masyarakat Kelantan menjadi masyarakat yang diatur oleh nilai dan norma Islam dalam setiap pergerakan hidup mereka.
Wayang kulit merupakan tradisi kuno yang wujud sejak zaman Hindu Buddha. Bahkan mungkin telah wujud sejak zaman pra Hindu Buddha lagi. Wayang kulit yang wujud di Kelantan dikatakan berasal dari Siam. Ada juga pendapat ia berasal dari Jawa. Kedua-dua pendapat ini tidak boleh ditolak memandangkan wujudnya pengaruh cerita Ramayana yang wujud dalam wayang kulit baik di Siam mahupun di Jawa. Tradisi wayang kulit inilah diangkat dalam Wayang. Awang Lah ialah seorang dalang wayang kulit Kelantan yang menghadapi dilema dalam memperjuangkan kelangsungan permainan wayang kulit yang semakin hilang. Pertamanya, ialah tentangan golongan agama yang diperlihatkan dengan munculnya watak Jusoh (Wan Kenari) yang menghukum wayang kulit Awang Lah itu bercanggah dengan Islam kerana memuja patung dan mengadakan persembahan yang melekakan. Bagaimanapun Jusoh tidaklah boleh dikatakan mewakili watak agamawan memandangkan sifat dan sikapnya lebih mencerminkannya sebagai orang yang ikut-ikutan sahaja. Apatah lagi dengan sifatnya yang buruk iaitu pendengki dan pendendam. Jusof hanyalah sebuah watak ‘stock’ iaitu watak lazim dalam cerita sama ada ia di pihak protagonis ataupun di pihak antagonis. Dalam Wayang, Jusoh adalah watak pipih antagonis yang wujud sebagai pemarak atau pemangkin konflik.

Selain daripada situasi yang dibawa Jusoh, Awang Lah juga berdepan dengan masalah ketiadaan orang untuk menggantikan tempatnya. Apatah lagi anaknya sendiri tidak berminat dengan wayang kulit dan lebih menumpukan perhatiannya kepada bidang pengajian agama Islam. Namun kehadiran Awi (Zulhuzaimi) yang buta dan Melur (Mas Muharni) yang sengau sebagai anak angkat sekaligus muridnya menghidupkan harapan Awang Lah untuk melihat tradisi wayang kulit yang amat dicintainya itu terus hidup. Kekuatan lakonan Eman Manan, dibantu oleh Ida Nerina menjadikan Wayang sebagai sebuah filem yang cukup dramatik dan berkesan kepada penonton. Eman Manan ternyata seorang aktor yang cukup hebat dan menjiwai watak Awang Lah. Lakonan berkesan Zulhuzaimi dan Mas Muharni juga cukup membanggakan. Begitu juga dengan Wan Kenari. Secara keseluruhannya Wayang yang dibina oleh lima orang pelakon ini cukup bijak mengoptimumkan segenap ruang dan sudut yang ada, sehingga pergelutan ‘orang-orang kecil’ ini wujud untuk menjadi wakil dan lambang yang spectacular kepada sebuah wilayah budaya yang cukup besar.

Sementara itu, filem Budak Kelantan walaupun menampilkan adegan-adegan liar Jaha dan kawan-kawannya yang hanyut di ibu kota Kuala Lumpur, tetapi mencari titik keseimbangan dengan wujudnya watak Buchek yang cukup kuat pegangan Islamnya. Buchek muncul sebagai protagonis atau wira dalam tubuh insan adabi. Buchek bukan wira yang datang dengan penuh perkasa, ganas, dan pendendam tetapi Buchek hadir sebagai wira yang dituntut oleh Islam yakni insan adabi. Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas, insan adabi ialah insan yang berilmu luhur, insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak, memahami serta menyelenggarakan penunaian tanggungjawabnya terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya, dan serba serbi tingkahlakunya senantiasa mengasuh dirinya menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan adabi.

Apabila Buchek terlempar dalam dunia kota Jaha yang ganas dan buas, Buchek tidak datang untuk menyelamatkan Jaha dengan kekuatan dan kehandalan fizikalnya sepertimana wira-wira dalam filem aksi Hollywood, Bollywood mahupun filem-filem Hong Kong. Tetapi Buchek datang untuk menyelamatkan Jaha dengan kekuatan iman dan Islamnya. Bagi Buchek Islam itu adalah kehidupan yang dilalui setiap detik dan ketika. Islam tidak boleh ditinggalkan walau bila dan di manapun. Maka itu Buchek walau di mana dan apa keadaan pun akan tetap menunaikan fardhu solat. Kerana solat itu adalah tiang agama, dan tiang agama adalah tiang iman. Iman dan Islam yang ada pada dirinya inilah dibawa Buchek bukan sahaja untuk mengasuh dirinya menuju kepada kesempurnaan insan adabi tetapi juga mengasuh dengan lembut ahli-ahli dalam masyarakatnya untuk kembali kepada Islam yang luhur. Buchek cuba membawa Jaha keluar daripada dunia gelapnya, tetapi belum pun sempat Jaha keluar (Jaha mula terpesona dengan nilai iman yang dibawa Buchek) ketentuan Ilahi mengatur dan memutuskan apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Namun umum dapat melihat bagaimana Buchek dengan keperkasaan iman dan Islamnya telah berjaya mengalahkan jiwa-jiwa hitam dalam diri Jaha, dan seterusnya menyedarkan Jaha untuk kembali kepada kehidupan Islam yang sempurna. Ini adalah kerana Buchek tahu hidup Jaha tidak sempurna, dan apabila Buchek melihat Jaha ingin berjalan ke arah kesempurnaan itu maka Buchek sanggup mengorbankan cintanya kepada Cik Nor (Bienda). Ini adalah kerana bagi Buchek – cinta kepada Allah swt itu mengatasi dan melebihi segala-galanya.

Kedua-dua filem ini sebenarnya menghadirkan suatu bentuk lapisan budaya dan keperibadian Melayu yang berlangsung dalam pergerakan sosiobudaya yang melalui sejarah yang panjang. Awang Lah mewakili warisan budaya Melayu yang dibawa sejak zaman pra-Islam. Namun kedatangan Islam telah membentuk zaman baru dan acuan budaya yang disesuaikan dengan ajaran Islam. Sementara Buchek mewakili warisan keperibadian Melayu yang telah lama menyerap dalam zaman baru yang berakar dengan Islam. Maka keteguhan iman dan Islam bersebati dalam diri Buchek, mewakili keperibadian dan nilai yang membentuk sebuah rupa kemelayuan tersebut.

Di sini kita melihat tradisi dan agama (Islam) adalah jiwa dan tubuh masyarakat Melayu itu berada. Tanpa kedua-dua teras ini masyarakat Melayu itu tidak wujud dalam ertikata sebenarnya. Awang Lah dengan tradisi wayang kulitnya adalah lapisan budaya yang membentuk kemelayuannya, dan Buchek dengan iman dan Islamnya adalah lapisan budaya yang juga membentuk kemelayuannya. Dengan melihat kepada lapisan-lapisan budaya yang akhirnya mengenalkan masyarakat kepada diri peribadinya itu membuatkan kedua-dua buah filem ini wujud sebagai sebuah hakikat sosial masyarakat Melayu yang sebenarnya.


Milenia Muslim, Januari 2009

No comments:

Post a Comment