Thursday, March 19, 2009

REVIU FILEM


MAUT BUKAN FILEM DAKWAH

Agak malang apabila pembikin-pembikin filem dengan mudah mengisytiharkan filem mereka sebagai filem dakwah. Ini memandangkan filem-filem tersebut jauh sekali daripada konsep dan pengertian dakwah. Sebuah filem yang bercerita tentang kesedaran setelah bergelumang dengan maksiat tidak semudah itu menjadi sebuah medium dakwah. Apatah lagi apabila ia secara terang-terangan melakukan adegan maksiat, tidak kira ia sebuah lakonan atau teknik filem; pemaparan secara terangan perlakuan yang mendedahkan aurat apatah lagi pemaparan perbuatan maksiat adalah tetap merupakan kerja munkar. Apabila ia mempamerkan aurat dan melakukan pula perbuatan bersentuhan lelaki perempuan bukan muhrim; ia secara langsung adalah perlakuan maksiat dan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan pengertian dakwah.

Perkataan dakwah dalam bahasa Arab bermaksud ‘seruan’. Seruan atau dakwah adalah dikaitkan dengan menyeru manusia kepada ajaran Islam. Dari segi prinsip dan definisinya, dakwah adalah seruan yang mengajak manusia melakukan perbuatan baik yang dituntut oleh syariat (ma’ruf) dan melarang serta mencegah daripada melakukan perbuatan yang melanggar syariat Islam (munkar). Dakwah amal ma’ruf nahi munkar ini disebut sebagai da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t. Sementara seruan yang tidak mencegah perbuatan munkar, bahkan mempamerkan perbuatan tersebut secara terang-terangan merupakan ‘dorongan’ untuk manusia melakukan kejahatan atau disebut al-fahsya iaitu ‘membenarkan’ segala larangan Allah s.w.t. Ia juga disebut sebagai seruan syaitan, kerana ia melibatkan pemaparan perbuatan tercela, menyeleweng dan membuka pintu maksiat.

Seseorang yang ingin mengisytiharkan filemnya sebagai sebuah filem dakwah harus memahami sedalam-dalamnya apa itu makna dakwah dan apakah syarat sesebuah perbuatan itu disebut sebagai dakwah Islamiah. Jika pengarah filem itu tidak faham dan jahil tentang pengertian ini, adalah lebih baik jika mereka tidak menyelewengkan perkataan ‘dakwah’ itu dengan semborono dan sesuka hati. Pengarah-pengarah seperti Raja Azmi, Syed Mohamad (Akhirat), Yasmin Ahmad (Mualaf) dan juga Bade lebih baik menghasilkan filem tanpa melibatkan ‘pengisytiharan’ filem mereka adalah filem dakwah, sebelum mereka memahami benar-benar apa itu amal ma’ruf nahi munkar secara perbuatan, penglihatan mahupun pendengaran.

Maut dengan judul asalnya Malaikat Maut adalah sebuah filem yang cuba-cuba menyampaikan seruan Islam dengan memperlihatkan balasan-balasan di dunia terhadap perbuatan-perbuatan munkar. Ia mewujudkan dikotomi hitam putih dalam membandingkan hukuman dan ganjaran hidup yang diperolehi manusia akibat perbuatan mereka. Tiga buah cerita yang digabungkan dalam sebuah filem cuba meletakkan perkaitan dengan turutan bulan Syaaban, Ramadhan dan Syawal. Cerita pertama berlaku dalam bulan Syaaban tidak banyak memberikan cetusan dikotomi hitam putih tersebut. Suriani (Liyana Jasmay) diseru ruh seorang gadis yang mati akibat teraniaya. Cerita ini tidak ada kejutan kecuali mempamerkan kisah yang banyak kali diulang dalam pelbagai filem.

Cerita Farah (Sabrina Hassan) yang berlaku dalam bulan Ramadhan memberikan dikotomi hitam putih kehidupan seorang peragawati yang berkahwin dengan lelaki Eropah itu Duke. Namun kehidupan Farah mengikut jalan yang salah. Segala perbuatan munkar dilakukan tanpa batasan. Minum arak, berparti, tidak sembahyang dan puasa dalam ertikata hidup lebih mengikut Duke daripada membawa Duke kepada Islam. Farah lari daripada Duke selepas pergaduhan dan menemui kemalangan. Dalam koma Farah didatangi pengalaman bawah sedar yang mengerikan berupa seksaan terhadap manusia yang mengingkari perintah Tuhan. Ceritanya tamat dengan kesedaran Farah.

Cerita ketiga tentang Jamil (Que Haidar) yang hidup dengan amalan black metal dan mencemuh agama. Termasuk mencemuh kitab suci al-Quran melalui dialognya dengan watak orang tua misteri. Jamil akhirnya kemalangan dan mengalami koma. Dalam koma pelbagai bayangan datang dan membalas semua perbuatan Jamil. Jenazah Jamil juga tidak diterima bumi. Cerita ini cukup memberikan dikotomi hitam putih dalam memperlihatkan ganjaran dan balasan terhadap perbuatan manusia.

Pada hakikatnya tiada yang istimewa dalam semua cerita yang ditampilkan dalam Maut. Semua cerita tersebut adalah salinan daripada cerita-cerita yang menjadi mitos dalam masyarakat Melayu. Sememangnya ‘mitologi’ ini cuba memupuk kesedaran tentang balasan terhadap perbuatan umat Islam yang mengingkari ajaran Islam. Kita mungkin dapat menerima bahawa mitos adalah suatu bentuk sistem kebudayaan yang melembagakan peraturan secara tidak langsung melalui dikotomi ganjaran dan balasan oleh setiap perbuatan manusia. Tetapi kita juga harus menyedari bahawa mitos bukanlah satu kebenaran agama atau dalam kata lain da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t. Ini adalah kerana syariat berpandukan al-Quran dan al-Hadis sedangkan mitos adalah sinkretisme agama dan budaya pra-agama.

Maka jika dilihat di sini wujud percampuran antara mitos iaitu kepercayaan masyarakat yang dibina daripada pengaruh Islam, tetapi bercampur aduk dengan unsur-unsur ‘karut’ kepercayaan masyarakat Melayu. Hal-hal ghaib dan misteri tidak boleh dijadikan asas kepada da’watu’l-haq kerana da’watu’l-haq secara mutlak berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Da’watu’l-haq tidak mencampuradukkan antara kebenaran al-Quran dengan kepercayaan yang tercipta daripada imaginasi manusia. Di sini wujud gambaran yang sangat jelas tentang da’watu’l-haq, iaitu dakwah yang benar kepada jalan Allah s.w.t.

Penampilan gejala maksiat dan aksi separuh bogel serta peluk cium antara bukan muhrim, bahkan jika muhrim pun – mempertontonkannya adalah jelas satu perbuatan munkar. Apa yang dilakukan oleh pelakon dalam aksi peluk cium lelaki perempuan, lagak minum arak dan mendedahkan aurat tidak memberikan pengecualian daripada dosa amalan munkar. Apa yang dilakukan dalam filem ini walaupun adalah lakonan ia tetap adalah perkara munkar.
Maka tidak mungkin sebuah filem yang melakukan kemungkaran melalui aksi lakon tersebut dapat dikatakan sebagai sebuah filem dakwah. Filem dakwah sama sekali harus mencegah sebarang perlakuan yang melanggar syariat Islam. Dakwah bukan hanya pernyataan yang diluahkan atau diekspresikan tetapi adalah amalan dan tindakan amal ma’ruf nahi munkar daripada semua bentuk keadaan.

Bade mempunyai niat yang baik untuk menghadirkan sebuah filem yang cuba menyedarkan masyarakat. Tetapi cara dan kaedah yang dilakukan itu adalah salah, jika ia mahu dihubungkan dalam konteks dan pengertian dakwah. Paling penting untuk disedari di sini bahawa kepercayaan masyarakat Melayu berhubungan peristiwa ghaib dan misteri sama sekali tidak boleh diletakkan sebagai da’watu’l-haq yang berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Wajah dan penampilan yang dibawa oleh filem Maut, sama sekali tidak meletakkannya sebagai sebuah filem dakwah. Tanpa menafikan balasan dan ganjaran syurga-neraka yang diperolehi oleh manusia daripada perbuatan mereka, Islam tidaklah pula perlu mengangkat keajaiban imaginasi demi dakwahnya. Maut dalam hal ini hanyalah filem yang mengangkat mitos dalam masyarakat Melayu yang terbina daripada teras pengaruh Islam, tetapi bukan sebuah filem dakwah Islamiah.

No comments:

Post a Comment