Tuesday, March 17, 2009

DUNIA TANPA TIRAI

Sisa-sisa peninggalan UMNO yang tinggal untuk PRU13. Awan di atas gelap menandakan suramnya UMNO yang tinggal bendera dan bangku di bawah

UMNO DI HUJUNG TANDUK

Talcott Parsons seorang ahli sosiologi abad ke-20 mengatakan bahawa masyarakat tersusun daripada empat subsistem yang berbeza. Setiap subsistem ini mempunyai fungsi untuk memecahkan persoalan tertentu. Parsons menggambarkan empat subsistem ini dengan model teori AGIL, iaitu Adaptation, Goal, Integration dan Latent. Adaptation merujuk kepada cara sistem beradaptasi dengan dunia material dan memenuhi keperluan untuk bertahan hidup. Ekonomi adalah segala-galanya dalam subsistem ini. Goal adalah pencapaian tujuan. Subsistem ini berurusan dengan hasil daripada sistem dan kepimpinan. Politik menjadi tunggak utama subsistem ini.
Integration adalah penyatuan yang berlaku dalam subsistem dalam menjaga tata aturan masyarakat. Di sini institusi dan organisasi sosial yang menjaga tatanan sosial termasuk di dalamnya dan menjadi tunggak subsistem ini. Akhir sekali Latent atau patern maintenance and tension management, yang mengacu kepada keperluan asas masyarakat. Termasuk di sini ialah institusi yang berfungsi menghasilkan nilai-nilai budaya, menjaga kesatuan sosial dan mengekalkan nilai-nilai umum masyarakat.

Dalam sebuah pertubuhan contohnya, subsistem ini wujud dan saling memecahkan persoalan yang ada. Suatu bentuk etika yang diterapkan untuk mewujudkan nilai-nilai umum yang baik dan menjadi budaya yang mencerminkan keperibadian masyarakat diselesaikan oleh model subsistem L. Sementara peraturan yang wujud untuk menjaga kesejahteraan kolektif diselesaikan oleh model subsistem I. Matlamat yang menjadi tujuan penubuhan organisasi diatur dan disusun yang menampilkan peranan kuasa dicapai dalam model subsistem G. Dan keperluan material untuk menggerakkan pertubuhan diselesaikan oleh model subsistem A.

Sebenarnya tidak susah untuk memahami model ini berfungsi. Ia lebih melihat kepada bagaimana sesebuah organisasi atau institusi sosial itu memenuhi keperluan ahlinya iaitu masyarakat serentak dengan keperluan institusi itu sendiri. Keperluan untuk memenuhi tuntutan nilai (L) dan penyatuan ahli (I) melihat kepada keperluan ahli (masyarakat) sementara keperluan untuk memenuhi tuntutan matlamat politik (G) dan ekonomi (A) melihat kepada kepentingan organisasi atau institusi.

UMNO adalah sebuah parti politik yang mempunyai dimensi yang agak menarik untuk dilihat daripada model Parsons ini. Pada hari ini UMNO dilihat lebih berada dalam model subsistem A dan G, iaitu melihat semua penyelesaian hanya bergerak dan berfungsi melalui politik dan ekonomi. Sekaligus menjarakkan dirinya daripada melihat kepada keperluan masyarakat yang mencari nilai dan penyatuan melalui budaya dan keperibadian bangsa. Bahkan keperibadian UMNO sendiri. Dalam lingkaran makro iaitu hubungan dengan masyarakat di luar UMNO, penyelesaian kepada setiap persoalan dan matlamat perjuangan menuju kepada ukuran kejayaan yang berasaskan politik dan ekonomi. Sementara dalam lingkaran mikro iaitu hubungan berlaku sesama UMNO dan pihak-pihak dalam lingkarannya, kuasa dan wang adalah segala-galanya.

UMNO tidak mampu lagi untuk melihat bentuk penyelesaian selain daripada politik dan ekonomi. Penyelesaian dalam bentuk nilai dan kebudayaan dilihat tidak lagi wujud dalam UMNO. UMNO hanya melihat bahawa punca kepada pergerakan masyarakat ialah politik dan ekonomi. Nilai dan kebudayaan tidak lagi menjadi sumber aturan dan matlamat masyarakat. Sebaliknya ia dilihat sebagai sejarah kosong masyarakat yang disisihkan sama sekali dalam minda UMNO.

Apabila UMNO mengalami situasi kehilangan sokongan rakyat yang semakin parah, dapat dilihat bahawa politik dan ekonomi bukanlah lagi satu-satunya penentu corak pergerakan masyarakat. Sebaliknya nilai dan kebudayaan mula menunjukkan betapa penting penyelesaian yang dilakukan dalam skop dan konteksnya. Kegagalan UMNO melihat nilai dan kebudayaan sebagai faktor penyelesaian membuatkan timbulnya kegagalan untuk memahami keperluan masyarakat. UMNO lebih bergerak untuk melihat kepada kepentingan dirinya lebih daripada kepentingan masyarakat yang menjadi tujuan perjuangannya.

Gagalnya UMNO mempertahankan bahasa Melayu, sebaliknya melakukan tindakan buruk dengan menghapuskan bahasa Melayu melalui perjuangan Hishamuddin yang mempertahankan dengan ‘mati-matian’ PPSMI memperlihatkan bagaimana gagalnya UMNO memahami nilai dan kebudayaan sebagai keperluan masyarakat. Bahasa Melayu merupakan unsur penting kepada nilai dan kebudayaan yang membentuk struktur keperibadian masyarakat. Bahasa Melayu adalah salah satu bentuk nilai dan budaya selain daripada tradisi, kepercayaan, adat resam dan norma yang mendasari asas kepada pembentukan masyarakat.

Pada masa yang sama kegagalan UMNO untuk melihat penyelesaian dan pendekatan perjuangan yang keluar daripada tempurung sempit politik dan ekonomi atau kuasa dan wang, membuatkan UMNO menjadi sebuah kapal usang yang berat dan menunggu masa untuk tenggelam karam di dasar lautan. UMNO tidak mampu melihat penyelesaian dalam konteks nilai dan kebudayaan sebagai sebuah keperluan masyarakat, sebaliknya melihat semua keperluan dan keinginan adalah politik dan ekonomi. Apabila politik dan ekonomi ini tidak mampu lagi disediakan UMNO bagi memenuhi tuntutan keperluan dirinya dan masyarakat yang semakin bertambah, maka gelembung yang membuak itu akan pecah.

Pada keadaan sekarang dengan ekonomi dunia yang berada dalam keadaan yang teruk, ditambah lagi dengan segala bentuk masalah rasuah dan penyelewengan, tekanan ketidakpercayaan rakyat, serta kebangkitan gelombang pembangkang – UMNO menjadi semakin tidak relevan kepada rakyat. Bahkan pada satu peringkat menjadi liabiliti kepada masyarakat. UMNO tidak mungkin dapat berdiri dengan penyelesaian politik dan ekonomi lagi, kerana kedua-dua faktor itu tidak lagi dimiliki oleh UMNO atau berpihak kepada UMNO.

Waktu ini UMNO berada dalam keadaan yang sangat genting, seperti sebutir telur di hujung tanduk yang bila-bila masa akan pecah terburai. Kebencian rakyat terhadap kegagalan politik dan ekonomi UMNO, tidak mungkin dapat membantu UMNO untuk bangkit melalui politik dan ekonomi. Dari segi politik UMNO dilihat sebagai parti yang banyak berbohong, bermuka-muka dan menyelewengkan kuasa. Sedang dari segi ekonomi UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang dipenuhi rasuah, penyelewengan, pemimpinnya yang kaya raya, projek yang disalurkan secara kronisme, dan kekayaan melimpah ruah individu UMNO.

UMNO kemudian menjadi bertambah jauh daripada masyarakat apabila dilihat tidak lagi membangunkan nilai dan memperjuangkan budaya. Nilai dan budaya ini berhubung rapat dengan keperibadian masyarakat Melayu yang diwakili UMNO. Dalam mengejar matlamat politik dan ekonomi UMNO meninggalkan nilai dan budaya yang membina serta membentuk asas masyarakat Melayu. Bahkan dalam mengejar matlamat politik UMNO dilihat bermuka-muka sehingga meminggirkan kepentingan orang Melayu. Lebih buruk lagi UMNO kini telah menanamkan kebencian yang semakin membesar golongan budayawan dan intelektual-nasionalis Melayu dengan kegalakan UMNO memperjuangkan bahasa Inggeris dan membunuh bahasa Melayu di tangan Menteri Pelajarannya Hishamuddin Hussein, yang secara halus disokong oleh Najib sendiri.

Kegagalan UMNO mempertahankan sokongan politik dan ekonomi telah membentuk ‘kebencian’ di kalangan bukan Melayu dan sebahagian orang Melayu. Sementara kegagalan UMNO membentengi nilai dan kebudayaan Melayu dengan ‘pembunuhan’ bahasa Melayu serta keperibadian Melayu, atas asas kedaulatan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan (termasuk Islam) membentuk ‘kebencian’ di kalangan nasionalis dan budayawan Melayu.

Teori Parsons secara mudah memperlihatkan sistem yang semakin kucar kacir dalam tubuh UMNO, oleh ketidakseimbangan daerah material dan budayanya. Sementara kegagalan fungsi subsistem nilai dan budaya (pembunuhan bahasa Melayu oleh belati beracun PPSMI) dalam tubuh UMNO memperlihatkan UMNO sebagai sebutir telur di hujung tanduk.

Wasilah, 8-14 Februari 2009

No comments:

Post a Comment