Tuesday, March 17, 2009

REVIU FILEM


KINTA FILEM CINA MALAYSIA

Dalam dekad-dekad terakhir ini dunia perfileman Malaysia dilihat berkembang mengikut corak perkembangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Perkembangan terkini dalam dunia perfileman Malaysia ini menyaksikan munculnya filem-filem Malaysia yang bukan lagi berbahasa Melayu dan bukan lagi memperlihatkan Malaysia dari kacamata ‘kebangsaan’ yang berdiri dalam skop politik kebangsaan. Tetapi filem Malaysia yang menggunakan bahasa Mandarin, Inggeris dan juga Tamil dengan cerita-cerita mengikut kacamata ‘dunia etnik’ yang wujud di Malaysia, telah menampilkan ciri-ciri sub-etnik dan sub-budaya masing-masing dalam konteks Malaysia. Kewujudan filem Malaysia yang bukan berbahasa Melayu dan tidak bercerita tentang dunia Malaysia-Melayu adalah suatu bentuk pergerakan keluar subordinate daripada superordinate nya. Secara tidak langsung perkembangan filem ini memperlihatkan sifat masyarakat Malaysia yang bergerak secara semulajadi ke arah pengukuhan pecahan identiti kaum atau kelompok etnik masing-masing.

Secara semulajadi masyarakat di Malaysia berkembang ke arah hubungan integratif antara kaum yang memilih untuk kekal dalam identiti kaum masing-masing dan bukan berkembang ke arah hubungan asimilatif ‘satu bangsa satu identiti’ sepertimana yang dicitakan oleh idealisme politik kebangsaan. Kebangsaan tidak muncul sebagai ‘satu negara satu bangsa satu identiti’ sebaliknya muncul sebagai ‘satu negara pelbagai bangsa pelbagai identiti’. Pelbagai pandangan dan persepsi boleh sahaja muncul dalam melihat corak perkembangan masyarakat Malaysia ini. Namun tidak dapat dinafikan kepelbagaian ini adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Tidak dapat tidak masyarakat Malaysia harus mempunyai kesabaran serta kebijaksanaan untuk menguruskan kepelbagaian ini dalam konteks membina faedah dan manfaat bersama.

Filem Kinta di tangan CL Hor memperlihatkan corak perkembangan dekad mutakhir dunia perfileman Malaysia. Kinta menggunakan bahasa Cina sepenuhnya dengan pelakon-pelakon berbangsa Cina-Malaysia kecuali watak Penghulu Mat dan anak buahnya. Ia mengisahkan peristiwa sejarah kehadiran masyarakat Cina di Tanah Melayu yang dibawa masuk oleh British untuk mengerjakan lombong bijih timah. Kinta adalah sebuah kawasan lombong bijih timah di Perak. Pergolakan kaum pendatang Cina yang datang dari Tanah Besar China di kongsi (kawasan kawalan atau autoriti persatuan Cina yang menguruskan lombong bijih) memaparkan peristiwa yang tersendiri – penuh keperitan, penindasan, dan perebutan kuasa.

Filem ini dibina dalam bentuk filem aksi yang menampilkan pergaduhan menggunakan teknik-teknik kung fu wushu yang boleh dikatakan agak menarik. Walaupun teknik aksi pergaduhan ini adalah carbon-copy daripada teknik filem aksi China, Taiwan dan Hong Kong (contohnya filem lakonan Jet-Li), namun latar cerita serta wataknya menjurus kepada keperibadiannya (Malaysia) yang tersendiri. Kinta menampilkan pelakon-pelakon aksi yang merupakan jaguh-jaguh wushu dan tai chi yang pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa; seperti Robin Ho, Michael Chin, Kuan Fei Jun dan Shawn Lee. Dengan mengambil kepakaran David Bao iaitu jaguh tai chi dunia dari China untuk kereografer seni mempertahankan diri, aksi-aksi seni mempertahankan diri yang ditampilkan dalam filem Kinta ini boleh dikatakan berjaya menampilkan adegan pertarungan yang menguja penonton. Lakonan para pelakon, walaupun nama baru khususnya empat orang watak utama tidak terkecuali antagonisnya dilihat tidak kekok dan berjaya membawa watak dengan baik.

Kinta mengisahkan peristiwa pengambilalihan kuasa di lombong bijih yang dilakukan secara tipu helah dan kekerasan, apabila Kumpulan He De yang diketuai oleh Zheng Hong bersepakat dengan kumpulan kongsi gelap untuk mengambil alih kuasa daripada pimpinan Li Tian. Zheng Hong mengarahkan dua orang kanannya membantu kongsi gelap tersebut untuk menghapuskan Li Tian dengan semua anak buahnya. Namun Li Tian dan empat orang orang kanannya iaitu Dragon, Tiger, Ace dan Blaze terlepas. Li Tian bersama empat orang anak buahnya ini diselamatkan oleh Penghulu Mat dan bersembunyi sehingga pulih daripada kecederaan. Dragon, yang termakan hasutan Zheng Hong mengkhianati mereka dan akhirnya bersama orang kanan Zheng Hong membunuh Ace secara tipu helah. Akhirnya Li Tian bersama Tiger dan Blaze kembali ke lombong bijih untuk menuntut bela.

Agak menarik Kinta mengambil kisah sejarah awal kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu yang dibawa untuk mengerjakan lombong bijih timah di bawah sistem Kangcu. Sistem ini menyaksikan penguasaan kongsi-kongsi gelap dalam mengawal perusahaan melombong bijih bagi pihak Inggeris. Filem ini dipenuh adegan pertarungan, yang dibuat untuk keperluan komersil bagi membolehkannya dijual di luar negara. Walaupun ia menumpukan ceritanya pada pergolakan yang berlaku di lombong bijih di bawah sistem kangcu tersebut namun kemunculan Penghulu Mat memperlihatkan hubungan pendatang-pendatang Cina dengan penduduk tempatan, iaitu bangsa Melayu.

Setelah diselamatkan oleh Penghulu Mat, empat sekawan tersebut dibawa oleh Penghulu Mat untuk membina kembali kekuatan diri mereka. Falsafah damak, iaitu senjata kecil boleh membunuh lawan yang lebih besar memberi semangat dan harapan baru kepada empat sekawan ini untuk menuntut bela. Walaupun Dragon mengkhianati mereka, namun mereka akhirnya berjaya menuntut pembalasan.

Jalan cerita filem ini kelihatannya agak lemah. Mungkin imbas kembali yang cuba menceritakan semua kenangan empat sekawan tersebut menjadikan ceritanya agak berjela. Walaupun ia cuba menghubungkan setiap kenangan empat sekawan tersebut dengan keseluruhan cerita atau peristiwa yang berlaku, namun terlihat banyak kelonggaran yang wujud. Kisah percintaaan dua watak utama menjadi tergantung begitu sahaja, begitu juga dengan kesudahan cerita yang tidak memperihalkan apa yang berlaku terhadap Zheng Hong dan kongsi gelap tersebut. Lantaran terlalu tergoda untuk menimbulkan adegan pertarungan, filem ini dilihat banyak mengabaikan kekuatan cerita dan plotnya. Agak malang cerita yang mampu mengeksploitasi dimensi sejarah yang menarik itu tidak dimanfaatkan dengan baik.

Secara keseluruhan Kinta memberikan dimensi baru kehadiran filem-filem Cina Malaysia. Walaupun sebelum ini telah ada beberapa filem cereka termasuk filem seram yang ditayangkan di pawagam, begitu juga dengan filem-filem pendek Cina Malaysia, namun kehadiran Kinta dilihat lebih memberi kesan. Kehadiran filem Cina Malaysia bukanlah perkara baru kerana pada tahun 1960 sebuah filem berbahasa Cina telah dikeluarkan di Singapura (Singapura masih dalam Malaysia). Filem yang berjudul Lion City keluaran Cathay Keris yang menampilkan Thung Pak Chee. Pada tahun 1962 Cathay Keris mengeluarkan sebuah lagi filem Cina tempatan Cast The Same Shadow. Kedua-dua filem ini gagal mendapat sambutan dan membuatkan Cathay Keris tidak mahu lagi mengeluarkan filem Cina tempatan. Jika dilihat, beberapa filem Cina tempatan tidak terkecuali Kinta kurang mendapat sambutan. Tidak tahu apakah filem-filem Cina tempatan ini akan terus dikeluarkan atau mengulangi sejarah lamanya dahulu.

Pada masa dahulu filem-filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu tidak dianggap sebagai filem Malaysia hatta oleh pengeluar dan pengarah filem bukan berbangsa Melayu pada masa itu. Namun dalam keadaan sekarang cita-cita kebangsaan yang wujud pada suatu ketika mungkin sudah bertukar rupa, jika tidak pun telah menemui kegagalannya. Namun walau apa persepsi dan pandangannya, dunia perfileman Malaysia mungkin harus mula melihat bukan sahaja untuk menyeimbangkan antara cita-cita kebangsaan dengan cita-cita identiti kaum tetapi lebih daripada itu mencari jalan tengah untuk mewujudkan sebuah dunia perfileman Malaysia, yang mungkin bersifat majmuk tetapi wujud keharmoniannya yang tulen (bukan palsu).
Lebih daripada itu, kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia telah gagal dalam pembentukan sebuah negarabangsa. Untuk itu kita perlu menerima hakikat kepelbagaian dalam konteks integratif tersebut.

Millenia Muslim, Mac 2009

No comments:

Post a Comment