Saturday, March 14, 2009

DUNIA TANPA TIRAI



Miniatur Bandar Shanghai di Muzium Pembandaran Shanghai. China membangunkan dengan menterjemahkan ilmu-ilmu dunia ke dalam bahasa Mandarin demi untuk membangun dan maju dalam acuan keperibadiannya yang tersendiri. Tiada bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar pendidikan di China.


CABAR PPSMI DENGAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom yang menyatakan bahawa badan-badan bukan kerajaan dan institusi yang menentang PPSMI sebagai memberi tekanan dan mengganggu Kementerian Pelajaran dan Menteri Pelajaran untuk membuat keputusan penting demi masa hadapan para pelajar adalah satu putar belit terhadap hakikat yang sebenar. Pada hakikat yang sebenar PPSMI adalah satu ‘tindakan haram’ kerajaan melalui arahan Menteri Pelajaran dan pelaksanaan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Maka pihak Kementerian Pelajaranlah yang menekan dan mengganggu bagi membolehkan tindakan haram mereka melanggar Perlembagaan Negara dihalalkan.

PPSMI dilaksanakan atas arahan Menteri Pelajaran setelah beberapa pindaan terhadap akta pelajaran dilakukan termasuk memperuntukkan kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk membuat arahan terhadap pelaksanaan dasar pelajaran. Ia dilakukan pada zaman Mahathir dan diteruskan sehingga era pemerintahan Pak Lah. Menteri yang bertanggungjawab ‘memperjuangkan’ PPSMI sekarang ini ialah Hishamuddin Hussein. PPSMI adalah tindakan haram kerajaan yang jelas telah melanggar Perlembagaan Malaysia yang terkandung dalam peruntukan Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1996. Pelaksanaan PPSMI langsung tidak mengikut lunas-lunas akta yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Kenyataan Datuk Alimuddin yang mengangkat pencapaian UPSR dan PMR sebenarnya tidak lebih untuk memesongkan fakta sebenar tentang PPSMI ini. Isu sebenar berkenaan PPSMI ini bukan sekadar pencapaian peperiksaan murid yang boleh sahaja dimanipulasikan. Bahkan kita sebenarnya tidak tahu berapakah markah lulus dan markah untuk pangkat A,B, C dan sebagainya yang dilaksanakan pada tahun ini. Beberapa andaian mengatakan bahawa markah telah diturunkan ke paras yang cukup rendah untuk membolehkan pihak yang ‘memperjuangkan PPSMI’ dapat menjalankan propaganda secara besar-besaran melalui pencapaian peperiksaan.

Namun isu pencapaian peperiksaan ini hanyalah perkara kecil yang diperbesar-besar untuk menutup dan mengalihkan perhatian, bahkan mengaburkan perkara utama yang ditentang dalam PPSMI ini. Pencapaian peperiksaan tidak ada kena mengena dengan isu PPSMI sebenarnya. Bencana besar serta malapetaka yang dibawa oleh PPSMI ini ialah membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah digunapakai dan dikembangkan setelah wujudnya Akta Pelajaran Kebangsaan. Puluhan ribu istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kini pupus oleh kerana ‘kelaknatan’ tiga empat butir kepala pengkhianat bangsa. Lebih besar lagi ialah ia membawa kepada lemah dan kemudian kehancuran bahasa Melayu yang telah wujud sejak ribuan tahun dahulu.

PPSMI bukan hanya melibatkan dua subjek Sains dan Matematik tetapi sehingga 80 peratus subjek di peringkat pengajian tinggi termasuk kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan, teknologi maklumat, pengurusan dan bidang sains gunaan yang lain. Hanya pengajian Islam dan sains sosial (melibatkan komunikasi, sastera, linguistik dan media) sahaja yang menggunapakai bahasa Melayu. Sehingga akhirnya penggunaan bahasa Inggeris secara de facto akan menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tentunya pencapaian peperiksaan akan lebih membanggakan (tetapi jauh ketinggalan dalam tahap merit antarabangsa). Namun kebanggaan itu adalah sesuatu yang kosong kerana umat Melayu sudah sudah punya bahasanya lagi. Tanpa bahasa apakah umat Melayu ini masih boleh dikatakan Melayu?

UMNO sudah sepatutnya juga pupus bersama bahasa Melayu yang pupus itu. Kerana UMNO lah menjadi punca kemusnahan dan kepupusan bahasa Melayu. Apakah UMNO mahu menafikan hakikat ini? Perjuangan UMNO sebenarnya sudah tidak berdiri pada tempat yang sebenarnya. Dengan pemimpin-pemimpin dari kalangan aristokrat dan borjuis yang mendominasi kepimpinan UMNO, apakah kita dapat melihat perjuangan UMNO untuk rakyat yang berkibar hebat suatu ketika dahulu. UMNO pada hari ini ternyata tidak mempunyai apa-apa perjuangan yang signifikan untuk bangsa Melayu lagi. Jiwa dan semangat kebangsaan telah pupus di kalangan pemimpin UMNO. Ini membuatkan UMNO tidak mempunyai sebarang perasaan bersalah terhadap dosa besar yang mereka lakukan kepada bahasa Melayu.

Pelbagai kaedah dan cara yang bergerak bersama propaganda dan kepentingan peribadi tentunya akan berjalan ke arah penerusan PPSMI. Daripada propaganda media dan kenyataan yang memuji pencapaian bahasa Inggeris, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran secara jelas memperlihatkan keputusan untuk mengekalkan PPSMI. Apa yang dilakukan sekarang ini ialah menarik seberapa banyak sokongan daripada kalangan yang berpengaruh dan propaganda besar-besaran untuk mengelabui rakyat terhadap peri pentingnya bahasa Inggeris. Ini adalah langkah yang dilakukan sekarang sehinggalah kerajaan merasakan selesa untuk melaksanakan keputusan yang ditangguhkan sekarang ini, iaitu meneruskan PPSMI!

Sehubungan dengan itu, badan bukan kerajaan dan organisasi yang berjuang demi kepentingan bahasa Melayu dan cita-cita kebangsaan tidak perlu lagi memikirkan jalan perundingan. Kerana jalan perundingan yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran hanyalah helah untuk mengendurkan tekanan untuk mereka melaksanakan PPSMI. Maka itu BBK yang terbabit ni harus mengambil langkah drastik iaitu menyiapkan segala keperluan perundangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran dan Menteri Pelajaran. Ini adalah kerana jika tindakan undang-undang ini tidak diambil dalam masa terdekat, momentum masyarakat akan hilang oleh propaganda besar-besaran kerajaan melalui media. Dalam pada itu kerajaan juga akan melobi seberapa banyak institusi dan BBK untuk menyokong PPSMI.

Luang masa yang diperolehi melalui helah perundingan sebenarnya akan digunakan untuk memperkuatkan sokongan terhadap PPSMI di samping mengendurkan momentum penentangannya. Lantaran itu tindakan undang-undang perlu dilakukan pada ketika ini tanpa menunggu keputusan daripada Menteri Pelajaran. Isu PPSMI ini sekarang menjadi helah politik sementara menunggu pemilihan UMNO pada Mac 2009. Jika tindakan undang-undang atau sebarang tindakan tidak diambil sebelum Mac 2009, maka perjuangan untuk memansuhkan PPSMI akan menemui jalan kegagalan. BBK khususnya GAPENA perlu mengambil tindakan undang-undang pada waktu sekarang ini, kerana kesannya akan memberi tamparan hebat bukan sahaja terhadap keputusan yang akan dibuat terhadap isu PPSMI tetapi juga kepada Menteri yang akan bertanding dalam pemilihan UMNO Mac 2009 nanti.

Percayalah, jika tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran dan Menteri Pelajaran diambil sekarang PPSMI akan dimansuhkan sebelum Mac 2009!


Wasilah, 11-17 Januari 2009

2 comments:

  1. saya menyokong penuh apa yang saudara cadangkan di sini. jangan sesekali lupa kepada orang yg mencetuskan segala kekalutan ini perlu dituntut keadilan darinya sebagai pengajaran untuk kami anak bangsa tidak suka2 mudah percaya begitu saja semua dia cakapakan betul belaka berpandangan jauh kononnya.

    ReplyDelete
  2. segera panjangkan pandangan hebat saudara ini kepada pihak2 yg berkaitan saya amat2 merayu demi kami anak bangsa yg terpaksa belajar di ipt2 tempatan dengan bahasa asing terpaksa faham bergelut untuk memahami bahasa inggeris dan kaedah2 dalam ilmu itu sendiri. kalau masih diteruskan alamat bangsa kita makin samar dan tidak menuju ke arah bangsa pencipta dengan ilmu sekadar cemerlang diukur dengan keputusan peperiksaan semata.

    ReplyDelete