Thursday, March 19, 2009

DUNIA TANPA TIRAI



MENUTUP MASALAH EKONOMI DENGAN POLITIK

Dalam sejarah terdapat begitu banyak peristiwa yang menyaksikan bagaimana politik menutup masalah ekonomi. Antara peristiwa paling besar ialah peperangan Salib. Di Eropah, masalah kemiskinan akibat kezaliman dan penindasan raja serta gereja telah mencapai puncak kemarahan rakyat. Kemelaratan ekonomi sedang menjadi belon besar yang boleh meletupkan pemberontakan rakyat. Raja dan gereja yang mengaut kekayaan dengan menindas rakyat melihat masalah kemelaratan ekonomi ini adalah sesuatu yang tidak mampu untuk mereka selesaikan lagi. Munculnya isu pembebasan tempat suci Kristian di Jurusalem, Palestin yang dikuasai oleh orang Islam membuka peluang kepada golongan penguasa yang tamak di Eropah ini untuk menggunakan politik sebagai cara paling mudah untuk mengalihkan perhatian.

Perang Salib dilancarkan atas tujuan politik yang diselimuti propaganda agama. Namun jika masalah ekonomi tidak menjadi begitu meruncing di Eropah dan mengancam pemerintahan feudal yang mungkin jatuh oleh pemberontakan rakyat, ada kemungkinan Perang Salib tidak akan berlaku. Raja dan gereja bersatu menghasut rakyat demi menjaga kelangsungan nyawa dan kuasa mereka. Mereka tahu kemelaratan ekonomi akibat kerakusan dan ketamakan mereka yang begitu lama tidak akan berkekalan lama lagi. Rakyat akan mula sedar dan bangkit menumbangkan mereka. Sebelum ini berlaku, mereka perlu mencari jalan untuk membangkitkan fenomena besar yang boleh memukau rakyat untuk melupakan masalah kemelaratan ekonomi. Maka Perang Salib dilancarkan terhadap orang Islam.

Kebanyakan perang dan kekacauan selalunya mempunyai hubungan dengan ekonomi. Sama ada ia berlaku dalam memperolehi ruang ekonomi yang lebih baik, ataupun menutup kerosakan ekonomi akibat ketamakan ahli-ahli politik yang berkuasa. Ekonomi juga seringkali menjadi pemangkin kepada kebangkitan sentimen yang meluap-luap. Dalam negara yang menghadapi masalah ekonomi, kekacauan lebih mudah tercetus. Sentimen dalam bentuk apapun lebih mudah terbakar. Ahli-ahli politik seringkali melihat kepada cara yang mudah iaitu mempergunakan sentimen politik bagi menutup kegagalan mereka mengatasi masalah ekonomi. Dalam masa yang sama menutup kelemahan dan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka yang mengakibatkan kejatuhan ekonomi.

Tahun 2009 menyaksikan masalah ekonomi yang tidak mungkin mampu diselesaikan oleh mana-mana ahli politik dalam masa yang terdekat. Kejatuhan ekonomi dalam sistem kapitalis yang rosak itu menjadikan semua pemimpin politik yang berkuasa dalam sistem kapitalis ini gusar oleh kemungkinan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara akan mula dipersoalkan. Di negara demokrasi di Asia, yang mana sistem demokrasi selalu diselewengkan, pemimpin-pemimpin politik mula dihantui oleh perbuatan penyelewengan mereka atau parti mereka sejak lama dahulu. Mereka menyedari bahawa pemulihan ekonomi akan memakan masa yang lama kerana melibatkan fenomena global. Masa yang lama itu akan membawa kemungkinan kepada terbongkarnya semua ‘kejahatan’ mereka oleh kebangkitan sentimen rakyat yang terhimpit oleh kejatuhan ekonomi. Maka jalan pantas dan mudah mengatasi masalah ini ialah menimbulkan pelbagai kegalauan politik yang boleh mengalihkan perhatian rakyat.

Negara-negara di Asia banyak bergantung kepada pergerakan ekonomi di Barat. 45 % eksport Asia pergi Barat. Peningkatan eksport Asia ke Amerika Syarikat pada krisis kewangan 1997-1998 menyumbang kepada antara faktor penting pemulihan ekonomi di Asia. Sementara bank-bank di Asia dilihat banyak bergantung kepada hubungan dengan institusi kewangan di AS dan Eropah. Dengan berlakunya krisis kewangan yang teruk di AS dan Eropah, kecairan tunai menjadi kering dalam pasaran kewangan Asia. Krisis kewangan di AS dan Eropah yang berkembang menjadi krisis kewangan dunia itu juga menurunkan kadar tukaran matawang negara-negara Asia. Akibatnya syarikat-syarikat dalam kelompok industri kecil dan sederhana akan terbeban oleh hutang yang naik menjadi ‘mahal’, kerana mereka perlu membayar lebih banyak memandangkan nilai matawang mereka yang menjadi kecil.

Maka krisis kewangan dunia ini akan memberi kesan yang sangat besar terhadap ekonomi negara-negara Asia termasuk Malaysia. Kesannya akan berlaku secara berperingkat-peringkat. Ia bermula dengan masalah pembayaran hutang yang meningkat, pasaran yang lembap, permintaan yang menurun, dan penutupan kilang serta faktor pengeluaran. Pengangguran meningkat, inflasi, dan ruang pasaran menjadi semakin sempit. Kesan daripada ini membawa kepada peningkatan masalah sosial, kebangkitan pelbagai sentimen yang selama ini terkawal, dan hilangnya keyakinan terhadap kerajaan.

Pemimpin-pemimpin politik melihat masalah ekonomi sedang menjadi gelombang yang akan menghempas dan menghanyutkan mereka. Tanpa langkah yang drastik, mereka akan menjadi seperti orang salah yang menunggu untuk dipenggal. Untuk mendapat sokongan rakyat yang telah memilih membuang mereka tidak mungkin dapat dilakukan dengan cepat. Maka apa yang mampu dibuat dengan cepat dan mudah ialah mengalihkan perhatian rakyat kepada ancaman politik yang boleh menghilangkan kesejahteraan rakyat.

Kekecohan politik harus ditimbulkan sekerap yang mungkin untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah ekonomi kepada sentimen-sentimen yang menyentuh sensitiviti agama, etnik dan juga fahaman politik. Sentimen-sentimen ini sebenarnya boleh menjadi sesuatu yang amat merbahaya khususnya dalam konteks hubungan etnik atau kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Namun oleh kerana ahli-ahli politik memerlukan ‘kekecohan’, atau dalam ertikata lain lebih besar isu dan panjang masa kekecohan itu adalah lebih baik, kerana ia akan membuatkan perhatian rakyat akan teralih perlahan-lahan daripada masalah mereka.

Kekecohan di Perak memperlihatkan dimensi baru politik di Malaysia. Di sini ahli-ahli politik mempelajari bahawa demokrasi itu adalah sistem yang sangat rapuh. Mereka menyedari bahawa kelemahan dalam sistem demokrasi sebenarnya amat besar. Kuasa boleh sahaja diperolehi walaupun tanpa melibatkan undi atau sokongan rakyat. Dengan besarnya masalah untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, satu-satunya cara untuk berkuasa ialah dengan melancarkan tindakan-tindakan politik yang tidak memerlukan campur tangan rakyat melalui proses pengundian.

Ia boleh sahaja dibuat dengan membeli ADUN-ADUN untuk melompat parti, menjatuh dan mencemarkan peribadi ahli-ahli politik, serta sabotaj terhadap jentera yang menggerakkan kekuatan parti. Semua ‘peperangan’ ini tidak memerlukan penglibatan rakyat sebagaimana proses pilihanraya dan pengundian. Sebaliknya ia hanya memerlukan ahli politik yang mewakili rakyat serta media dan proganda untuk membangkitkan sentimen rakyat. Adakalanya diupah untuk berdemonstrasi dan mengibarkan sepanduk dengan janji mendapat kepentingan dan kemudahan tertentu.

Saat ini kita akan melihat lebih banyak lagi senario yang berkaitan dengan kepentingan politik. Ia bukan sahaja untuk membangkitkan sentimen seterusnya mengembalikan sokongan rakyat terhadap mereka, tetapi juga untuk menyapu masalah ekonomi yang semakin memburuk dan tidak terkawal ke bawah tikar – perlahan-lahan tanpa pengetahuan rakyat.

Bolehkah? Selama mana pula masalah ekonomi ini boleh disembunyikan dengan menyapunya ke bawah tikar?

Wasilah, 1-7 Mac 2009

No comments:

Post a Comment