Friday, March 27, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


UMNO kata beri laluan, PAS kata berhenti.

UMNO HANYA MAMPU DIBERSIHKAN OLEH RAKYAT

Perhimpunan Agung UMNO 24-28 Mac 2009 masih mengulangi lagu lama politik wang yang mula bertapak hebat sejak era pemerintahan Mahathir. Jangan ada yang melupakan bagaimana hebatnya gejala politik wang ini membenih dan menular pada era pemerintahan Mahathir. Kini seperti tahun-tahun sebelumnya, gejala buruk ini terus berleluasa seperti sebelumnya. Mahathir dalam temubualnya dengan sebuah akhbar tempatan arus perdana menyebut tentang betapa sukarnya untuk menangani gejala politik wang ini. Beberapa cara dilakukan tetapi sikap buruk pemimpin-pemimpin UMNO yang suka memberi rasuah untuk mendapat undi perwakilan tidak akan dapat memberi apa-apa kesan terhadap amalan rasuah tersebut. Namun Mahathir seperti sengaja melupakan bahawa politik wang adalah sebahagian daripada strategi beliau sendiri untuk mencapai matlamat dengan apa cara sekalipun. Cuma apa yang dilakukan Mahathir sedikit berbeza dari segi kaedah dan tekniknya.

Pelbagai cara dicadangkan untuk menangani politik yang semakin parah dalam UMNO termasuk laungan untuk melakukan perubahan atau reformasi habis-habisan dalam UMNO. Laungan untuk reformasi dalam membersihkan parti UMNO ini juga sudah klise dan lali diulang-ulang sejak dulu. Tetapi ternyata gejala politik wang dalam UMNO telah berakar menjadi sebati dan tidak mungkin hilang dengan mudah selagi kuasa dalam UMNO dilihat sebagai jalan pintas kepada kekayaan dan pengaruh. Laungan untuk melakukan perubahan hanyalah retorik kosong yang muncul setiap kali diadakan Perhimpunan Agung UMNO. Tradisi retorik kosong dan semangat mengejar kedudukan yang memberikan jalan kekayaan mudah ini dibenihkan dan subur sejak era kepimpinan Mahathir. Mahathir tidak perlulah memutar belit dengan menyalahkan pemimpin setelahnya yang merosakkan UMNO, kerana punca kepada kerosakan UMNO ini bermula di tangan Mahathir sendiri.

Lebih kompleks lagi apabila UMNO menjadi tempat para oportunis bersarang. Perang untuk menghapus rasuah atau politik wang dijadikan pula senjata untuk menghabisi kelompok atau paksi tertentu yang dianggap sebagai saingan dalam kuasa dan pengaruh. Dalam keadaan sekarang di mana proses peralihan kuasa sedang berlaku daripada Pak Lah kepada Najib, golongan oportunis dalam UMNO melihat peluang kepada mereka untuk merebut kedudukan-kedudukan baru dalam kepimpinan baru Najib. Maka berlakulah tindakan-tindakan halus untuk menyingkirkan kelompok yang berkuasa dahulunya. Dalam kata mudah, berlaku penyingkiran secara halus terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang dianggap pro-Pak Lah.

Apa yang berlaku sekarang dengan tindakan-tindakan SPRM dan Lembaga Disiplin UMNO terhadap beberapa pemimpin UMNO memperlihatkan peranan sulit golongan oportunis untuk merampas kedudukan tinggi dalam UMNO dengan menyerang sasaran-sasaran yang diletakkan sebagai pro-Pak Lah. Persaingan untuk menonjolkan diri masing-masing sebagai pro-Najib berlaku dengan hebat pada kepimpinan UMNO peringkat pertengahan. Sementara di peringkat bawahan, masing-masing mewujudkan kelompok yang menjulang pemimpin-pemimpin pertengahan yang sedang berjuang untuk merebut kedudukan dan perhatian di mata pemimpin baru UMNO. Pergelutan ini menyaksikan bagaimana UMNO sedang berada pada era persaingan dan perseteruan sesama sendiri dalam sikap berpuak-puak dan menjulang ‘Orang-orang Besar’ dan ‘Orang-orang Kaya’ masing-masing.

Keadaan ini membawa kembali orang Melayu kepada kehidupan politik mereka pada zaman feudal dahulu. Paksi-paksi politik wujud seiring dengan kuasa, pengaruh dan kekayaan yang melimpah ruah. Puak dan kelompok yang menjulang pemimpin masing-masing menjadi fenomena yang sangat ketara, sama dengan apa yang berlaku pada zaman Melayu feudal dahulunya. Malah apa yang sedang berlaku pada kepimpinan peringkat atasan atau tertinggi UMNO menjelaskan lagi tentang pengukuhan institusi feudal dalam parti terbesar bangsa Melayu itu. Pada peringkat tertinggi dapat dilihat kepimpinan di tangan Kelab Anak Perdana Menteri yang bergabung di atas dasar persamaan latar belakang dan kelas mereka.

Barisan pemimpin UMNO akan dideretkan dengan Kelab Anak Perdana Menteri dan bangsawan UMNO bermula dari Najib, Hishamuddin dan Mukriz. Jika ketiga-tiga mereka (Najib telah memastikan tempatnya sebagai Presiden UMNO) terpilih untuk menerajui jawatan yang ditandingi, maka UMNO akan membariskan kepimpinan bangsawan yang akan membawa UMNO ke era feudal dan penguasaan borjuis. Pak Lah, walaupun lemah tetapi sekurang-kurangnya cuba membawa kepimpinan rakyat ke dalam UMNO. Namun lantaran selama dua dekad era Mahathir yang membawa kepimpinan kapitalis dalam UMNO, kepimpinan rakyat yang cuba dibawa oleh Pak Lah masih tidak lepas daripada terpalit dengan doktrin politik kapitalisme Mahathir.

Norza Zakaria adalah enjin kepada jentera politik Pak Lah. Azalina dilihat sebagai oknum yang boleh menjadi liabiliti kepada golongan oportunis baru UMNO. Mohd Ali Rustam adalah pemimpin yang popular dan mampu menggugat kedudukan yang ingin dicapai atau diperuntukan kepada Mahyuddin. Sementara Khairy tentunya adalah persona yang boleh mengganggu cita-cita golongan oportunis untuk menguasai kedudukan-kedudukan penting dalam UMNO dan kerajaan. Mungkin andaian ini salah, tetapi menjadi suatu hal yang agak aneh apabila ia menjadi seperti suatu kebetulan yang disengajakan. Dan jika difikirkan sebaliknya, jika keempat-empat pemimpin ini berjaya menguasai kedudukan yang ditandingi mereka dengan bersih dan bergaya – tidakkah terlihat paksi Pak Lah masih menunjang dalam UMNO. Ini tentunya banyak mengganggu barisan baru UMNO yang akan membentuk sebuah gelombang kuasa baru tanpa sebarang persona non grata.

UMNO mungkin melihat pertarungan yang berlaku ini sebagai lumrah politik. Dan penguasaan baru terhadap kedudukan-kedudukan penting juga adalah lumrah politik. Namun bagi rakyat yang berada di luar UMNO, apa yang berlaku dalam UMNO adalah sesuatu yang jelek dan memperlihatkan bagaimana rosaknya UMNO oleh ketamakan terhadap kuasa, pengaruh dan kekayaan. Ia bukan satu persepsi yang tidak berasas tetapi umum mengetahui bagaimana cepatnya pemimpin-pemimpin UMNO menjadi usahawan, korporat dan hartawan yang berjaya. Mempunyai jawatan di dalam UMNO adalah wild cut kepada kekayaan.

Maka itu, melihat kepada keadaan ini adalah ternyata bahawa UMNO hanya dapat dibersihkan dari luar dan bukan dari dalam. Dalam erti kata lain UMNO hanya dapat dibersihkan oleh kuasa rakyat, bukan oleh kepimpinan atau perwakilan UMNO. UMNO harus berada dalam keadaan di mana tiada wang mahupun kuasa untuk dijanjikan kepada mana-mana kedudukan kepimpinan UMNO. Tiada kuasa dan tiada kekayaan yang akan diberikan kepada sesiapa yang berjuang demi kelangsungan UMNO. Di sinilah baharu rakyat dapat melihat pemimpin-pemimpin UMNO yang ikhlas dan benar-benar berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu.

Tetapi apakah keadaan yang meletakkan UMNO sedemikian rupa?

Tidak lain dan tidak bukan ialah menarik kekuasaan yang ada pada UMNO sejak 50 tahun dahulu. Jika rakyat menarik kekuasaan yang ada pada UMNO, maka UMNO hanya akan menjadi parti pembangkang yang tidak punya capaian (access) lagi kepada kuasa dan kekayaan yang mana mereka kecapi dengan leluasa sekarang. Pada masa itu, golongan oportunis yang menggerogot di dalam UMNO akan berbalik menyerang atau menunggang mana-mana pihak yang berkuasa, hatta mereka perlu meludahi UMNO. Di sinilah UMNO baru benar-benar dapat membersihkan dirinya daripada anasir-anasir parasit yang selama ini merosakkannya.

Lalu hanya kuasa rakyat melalui PRU13 sahaja yang mampu membersihkan UMNO. Selain daripada itu, UMNO tidak mungkin mampu berubah kerana UMNO adalah guni gula yang dikerumun semut sehingga ke dasar-dasarnya

Wasilah, 29 Mac-5 April 2009

No comments:

Post a Comment