Thursday, March 19, 2009

DUNIA TANPA TIRAI


DEMOKRASI MENUJU KEKACAUAN

Pada tahun 594SM, seorang negarawan Athens, Solon telah dilantik menjadi Ketua Hakim (Arkon) Athens. Solon mula menyusun undang-undang dan memperkenalkan apa itu yang dipanggil demokrasi. Undang-undang dasar Solon membahagikan warganegara Negara Athens kepada empat kelas dan membentuk tiga dewan perwakilan. Pertama ialah Dewan Areopagus, sebuah lembaga yang paling disegani dan dihormati yang dianggotai oleh kaum bangsawan dan hartawan; juga merupakan para politikus. Kedua ialah Dewan Boule iaitu Dewan Empat Ratus, merupakan sidang daripada perwakilan keempat-empat kelas warganegara Athens. Ketiga ialah sidang umum iaitu Ekklesia yang merupakan sidang khusus untuk mendengar suara warganegara kelas empat atau rakyat umum.

Namun kerana pengaruh dan kuasa politik tetap dipegang oleh golongan bangsawan yang bersifat feudal, asas-asas demokrasi yang dikemukakan oleh Solon segera lenyap sebaik sahaja beliau keluar meninggalkan Athens. Pesistratos segera mengangkat dirinya menjadi tirani di Athens pada 560SM, dan memusatkan kuasa kepada dirinya serta kelompok bangsawan feudal yang menyokongnya. Suatu bentuk oligarki wujud di Athens sehinggalah muncul Cleisthenes pada 508SM yang kembali mengangkat demokrasi yang diperkenalkan oleh Solon. Tetapi jawatan penting dan berpengaruh masih dikuasai oleh golongan bangsawan.

Athens melalui zaman gemilang di bawah Pericles yang gigih membatasi kuasa dan pengaruh Dewan Areopagus (bangsawan feudal) dan membesarkan kuasa Dewan Boule dan Ekklesia. Demokrasi dikatakan semakin mantap pada zaman Pericles. Pada zaman Pericles inilah lahir dan membesar seorang ahli falsafah ulung iaitu Plato. Berlakunya Perang Peloponesos yang menyaksikan kekalahan Athens kepada Sparta, menjadikan Plato sebagai seorang yang sangat kritis terhadap sistem demokrasi. Plato melihat kekalahan itu sebagai akibat kegagalan sistem demokrasi untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian.
Apatah lagi demokrasi pada waktu itu diburukkan lagi dengan kemunculan kelompok tiga puluh tirani daripada kalangan bangsawan-oligarki yang mengeksploitasi demokrasi menjadi sistem diktator yang sangat kejam dan jahat. Bahana oligarki daripada 30 tirani inilah yang menghukum bunuh guru agung Plato iaitu Socrates. Kesan itu telah menjadikan Plato meletakkan tunggak falsafahnya kepada politik. Plato meletakkan Negara paling baik ialah Negara Aristokrasi yang diperintah oleh golongan terpilih iaitu ahli falsafah. Keduanya Timokrasi iaitu pemerintahan demi darjat, hampir sama dengan Aristokrasi. Ketiga, Oligarki yang timbul setelah kemerosotan Timokrasi, menyaksikan pemerintahan kelompok yang berpengaruh. Keempat barulah demokrasi yang memberikan kebebasan yang sedemikian rupa kepada warganegara. Kebebasan menjadi tidak terbatas sehingga wujudnya keadaan yang kelima iaitu Anarki, menyaksikan kekacauan akibat kebebasan yang menjadikan setiap orang mengambil serta mengatur diri sendiri sesuka hati mereka.

Di Malaysia, kita sekarang sedang melihat tahap transisi Demokrasi menuju kepada Anarki. Bermula dengan keghairahan Anwar Ibrahim untuk membina kerajaan Pakatan Rakyat dengan menarik wakil-wakil BN melompat parti memasuki PR, kini ia menular menjadi matlamat baru mencapai cita-cita politik kedua-dua pihak. Kerajaan Perak runtuh oleh tindakan tidak bermoral beberapa orang ADUN mengisytiharkan diri mereka keluar dari parti. Ia bermula dengan tindakan tidak bermoral ADUN BN sebelum ini yang melompat menyertai PKR. Terdahulu daripada itu Parti SUPP telah membuat olah dalam BN.

Semua keadaan ini memperlihatkan situasi tidak bermoral yang kini menjadi wabak menular dalam politik demokrasi di Malaysia. Kedua-dua pihak baik PR mahupun BN terjerumus dalam perlakuan tidak bermoral ini. Baik UMNO, komponen BN, PKR, PAS mahupun DAP semuanya melalui satu bentuk situasi yang dikatakan oleh Plato iaitu kegagalan sistem demokrasi untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian. Tidak ada parti pun yang mampu mengatakan mereka menjuarai nilai agama dan moral jika siasah mereka sudah tidak mampu lagi untuk meletakkan rasa hormat kepada kotak undi yang merupakan lambang kepada peraturan dan undang-undang yang melegitimasikan kuasa politik pilihan rakyat.
Tindak tanduk kedua-dua kuasa politik PR dan BN memperlihatkan bagaimana kegilaan politik mempersendakan kehadiran rakyat. Pujukan dan ‘pembelian’ wakil rakyat seolah-olah menjadikan rakyat seperti tidak wujud. Kuasa dicaturkan dengan ‘membeli dan memujuk’ wakil-wakil rakyat yang tidak bermoral dan tidak beretika ini demi membolehkan mana-mana pihak untuk berkuasa tanpa memerlukan kehadiran rakyat. Rakyat tidak membuat pilihan di sini. Tetapi sebaliknya parti dan pemimpin politik yang membuat pilihan untuk diri mereka dan parti mereka – dalam berkuasa terhadap rakyat.

Kerajaan Perak jatuh akibat kehancuran nilai etika, moral dan politik dalam sistem demokrasi di Malaysia. BN mungkin boleh dipersalahkan terhadap kehancuran demokrasi ini, tetapi PR yang begitu ghairah melobi melalui pemimpin utamanya Anwar Ibrahim juga sama buruk dan busuknya dalam memperlihatkan ketamakan untuk memperolehi kuasa dengan cara yang amat jelek dan tidak bermoral. UMNO melakukan hal yang jelek dengan menarik tiga ADUN PR, seterusnya menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat di Perak tanpa melalui proses demokrasi. Tetapi jika UMNO tidak melakukan, PKR juga antara parti paling ghairah untuk menjatuhkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi ini. Kini PR menerima bahana daripada tindakan yang mereka sendiri mulai.

Jika PAS ingin bercakap tentang siasah Islam, mereka terlebih dahulu merujuk kepada sejarah Perjanjian Hudaibiyyah di mana pihak muslimin mematuhi perjanjian untuk memulangkan orang kafir yang memeluk Islam kepada kaum mereka; kerana Islam mematuhi dan menghormati prinsip politik yang luhur. Tetapi di sini PAS juga bersekongkol dengan tindakan tidak bermnoral teman mereka dalam PR yang mencari strategi untuk mencapai matlamat politik tanpa melalui proses persetujuan rakyat.

Sepertimana yang dilihat oleh Plato, demokrasi pada peringkat akhir akan menjadi sebuah raksasa yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan rakyat dalam bidang politik, moral dan kerohanian – dan akhirnya terjerumus dalam anarki. Parti-parti politk yang semakin tidak bermoral di Malaysia kini dapat dilihat sedang membawa politik Malaysia ke era baru – era anarki. Kuasa dicapai dengan kebebasan pilihan individu dan bukan pilihan rakyat dalam prinsip kolektif, demokrasi.


Wasilah, 15-21 Februari 2009

1 comment: