Wednesday, March 11, 2009

HISHAMUDDIN SILAP HITUNG PEJUANG BAHASA

Hishamuddin mempunyai keghairahan luar biasa untuk memperjuangkan bahasa Inggeris. Sebenarnya hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Hishamuddin ialah seorang anglophile yang lahir dan membesar dalam mangkuk emas. Beliau adalah golongan aristokrat yang hidup dalam sistem pendidikan Inggeris dan tidak melalui sistem pendidikan sekolah kebangsaan. Ditambah dengan persekitaran elit dan aristokrat yang condong memuja superioriti Inggeris/Barat, sudah tentunya dia adalah pengagum dan pendokong doktrin superioriti Barat. Hishamuddin tidak mempunyai jiwa perjuangan Melayu dalam ertikata sebenarnya. Jiwanya kosong dengan cinta terhadap keperibadian Melayu. Apa yang dilaung dan dijulang (keris) hanyalah retorik dan lakonan politik demi kelangsungan cita-citanya dalam UMNO.

Doktrin Mahathirisme yang mendokong cita-cita melahirkan sebuah masyarakat baru sekular-liberal yang terpisah daripada segala bentuk keperibadian bangsa sangat memerlukan oknum seperti Hishamuddin. Kerangka Mahathirisme akan mewujudkan sebuah masyarakat baru bermula dengan menanamkan doktrin terhadap superioriti moden kepada golongan muda elit yang membesar dalam sistem pendidikan liberal khususnya hidup dalam semangat kekaguman kepada Barat.

Golongan muda ini merupakan golongan yang membesar dalam budaya hybrid dan memandang rendah terhadap segala bentuk keperibadian tradisi. Homi K. Babbha menyebut golongan ini sebagai golongan vernacular cosmopolitan. Mereka memuja superioriti moden dan rata-ratanya adalah anglophilia. Dengan merekrut golongan ini, doktrin Mahathirisme akan bergerak untuk menghapuskan segala bentuk tradisi dan keperibadian asli untuk mewujudkan suatu bentuk keperibadian baru yang kosong dan menurut perintah penguasa.

PPSMI secara de factonya telah putus untuk diteruskan. Ini terlihat jelas daripada kenyataan yang dibuat baik oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Don mahupun Hishamuddin sendiri. Beberapa tindakan ‘menindas’ gerakan perjuangan bahasa Melayu memperlihatkan usaha yang jelas untuk mempertahankan PPSMI. Apatah lagi propaganda melalui media yang dipaparkan dengan taktik murahan melalui surat pembaca yang ‘palsu’ adalah sebahagian daripada kesungguhan untuk mempertahankan PPSMI tersebut. Kesungguhan ini turut diperlihatkan melalui sokongan GPMS (yang menjadi alat UMNO) terhadap Hishamuddin dan beberapa badan di bawah telunjuk kerajaan.

Beberapa penjawat penting daripada Kementerian Pelajaran juga telah dihantar untuk bertemu dengan salah sebuah badan NGO yang lantang memperjuangkan pemansuhan PPSMI. Ia diikuti oleh ‘pengambilan kenyataan’ daripada sebahagian aktivis yang terlibat oleh pihak tertentu. Beberapa amaran tidak langsung juga telah diberikan secara halus kepada kakitangan kerajaan yang menyokong gerakan pemansuhan PPSMI ini. Ini semua memperlihatkan bahawa kerajaan sedang mempertahankan keputusan untuk meneruskan PPSMI yang telah dibuat secara de facto oleh Hishamuddin.

Keputusan untuk mengekalkan PPSMI ini dibuat oleh kerana kesilapan Hishamuddin yang memandang kecil terhadap isu bahasa Melayu. Isu ini dikaitkan secara salah dengan pencapaian pelajar dalam keputusan UPSR dan PMR. Isu pencapaian peperiksaan yang dimomokkan sebegitu rupa, sedang perjuangan untuk memansuhkan PPSMI sebenarnya tidak ada kena mengena dengan pencapaian peperiksaan murid-murid tahun enam tersebut. Perjuangan untuk memansuhkan PPSMI adalah berkaitan dengan subjek yang lebih besar iaitu kedaulatan bahasa Melayu mengikut akta yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia. Lebih daripada itu ia melibatkan masa hadapan bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan yang mencitakan bangsa dan Negara Malaysia.

PPSMI secara langsung dan tidak langsung akan mengecilkan peranan bahasa kebangsaan sekaligus mengangkat citra superioriti moden yang lebih banyak memberikan keuntungan kepada golongan elit dan aristokrat yang berkuasa. Tentangan para pejuang bahasa adalah berasaskan faktor mempertahankan bahasa kebangsaan mengikut akta yanhg termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak ada kena mengena dengan apa-apa kepentingan politik dan mana-mana parti politik. Golongan pejuang bahasa ini merupakan golongan non-partisan dan sebahagian besar daripadanya adalah veteran UMNO yang telah banyak berjuang untuk parti dan Negara.

Sifat angkuh Hishamuddin yang memandang rendah kepada semangat dan keikhlasan perjuangan para pejuang bahasa ini akan menjerumuskan isu PPSMI ini ke dalam kemelut yang lebih buruk. Bahkan isu PPSMI ini akan menjadi punca besar kepada kebencian golongan intelektual dan budayawan terhadap kepimpinan UMNO. Hishamuddin akan berdepan dengan keadaan yang lebih sukar berikutan kegagalannya memansuhkan dasar PPSMI yang dilaksanakan demi mencapai cita-cita Mahathirisme. PPSMI bukan sahaja dasar yang silap tetapi juga adalah kegagalan Hishamuddin dan UMNO dalam memperjuangkan cita-cita nasionalisme yang dirintis oleh para pejuang UMNO yang terdahulu.

UMNO tidak perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan individu iaitu Mahathir dan kini Hishamuddin. Maka penting bagi pejuang-pejuang UMNO yang masih mempunyai jiwa perjuangan kebangsaan bangkit dan menekan golongan aristokrat yang menjadi duri kepada perjuangan UMNO ini untuk kembali memperjuangan bahasa kebangsaan dengan menghapuskan PPSMI; atau menolak golongan ini keluar daripada UMNO.

Tanpa golongan anglophile ini, UMNO akan lebih murni dan tulen sepertimana era sebelum merdeka.

1 comment:

  1. ya sudah tiba masanya kita memilih pemimpin yg pentingkan Islam segenap aspek kehidupan bukan barat segala dengan alasan pelbagai kaum segala sedangkan kita Muslim adalah majoritinya. teruskan perjuangan hebatmu amat saya kaguminya jauh di dalam hati. tahniah teruskan dengan lebih berkesan sekarang dengan aktif. saya rela mambantu hubungilah saya.

    ReplyDelete